Menjelang raya ini ramai yang menggunakan khidmat tukar duit raya dari pihak tertentu untuk elak beratur panjang di bank. Tapi ramai tak tahu situasi ini boleh menyebabkan kita terlibat dalam perbuatan riba.
Perkara ini diterang oleh pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus selepas menjawab satu soalan netizen berkaitan upah khidmat tukar duit raya.
“Jika tukaran RM100 dan hanya mendapat RM98 kerana RM2 itu dikira upah, maka haram hukumnya. Itu riba namanya.
“Pertukaran mesti nilai yang sama. Perbuatan ‘cabut upah’ awal tidak dibolehkan,” katanya dalam laman YouTube miliknya.
Namun kata Ustaz Azhar khidmat upah tersebut diharuskan sekiranya tukaran tersebut sama nilainya selain bayaran upah dibuat selepas tukaran selesai.
Ads
“Tukar duit RM520 dengan RM500, pertukaran itu tidak betul dan haram. Kena tukar RM500 dengan RM500 juga dan selepas itu beri RM20 kerana upah, itu baru betul (diharuskan),” hurainya.
Situasi tersebut sama juga hukumnya dengan tukaran wang kecil untuk tujuan lain selain duit raya.
Bagaimanapun ada dua syarat yang perlu dipenuhi ketika menukar duit tersebut agar kita tidak terlibat dengan riba.
Ads
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dua syarat tersebut ialah mesti sama kuantiti tukaran dan dilakukan secara serta-merta.
“Sekiranya kuantiti tukaran tidak sama, maka transaksi tersebut tergolong dalam kategori riba al-Fadl.
“Sekiranya terdapat syarat menangguhkan bayaran atau penyerahan barang, maka ia tergolong dalam kategori riba an-Nasiah,” katanya seperti disiarkan dalam laman rasminya yang bertajuk Al-Kafi #1847: Jenis-jenis riba di sisi mazhab Syafie.
Ads
Katanya lagi, selain itu terdapat juga transaksi yang niat asalnya dilakukan secara serta-merta namun terlewat dari sudut penyerahan barang.
“Sekiranya hal ini berlaku, transaksi tersebut tergolong dalam kategori riba al-Yadd iaitu riba yang berlaku disebabkan lewat menyerahkan barang walaupun tidak diletakkan syarat penangguhan.
“Akhirnya, menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk memastikan setiap jual beli yang dilakukan tidak terjerumus dalam kancah riba yang diharamkan oleh ALLAH dan rasul-NYA,” katanya.
Sudah berpisah, namun bekas suami isteri terus berhubung dan berkawan baik demi anak. Ada masa keduanya juga bertemu malah da juga yang menghabiskan masa bercuti bersama. Alasannya supaya anak-anak tak terasa kehilangan susuk ibu atau bapa.
Dalam situasi bekas suami isteri bertemu apa hukumnya? Perkara ini ada dijelaskan dalam Irsyad Hukum Ke-298: Hukum Keluar Dengan Bekas Isteri Bersama Anak Kecil melalui laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Pada asalnya, hukum bekas pasangan suami isteri berjumpa adalah sama seperti dua orang yang ajnabi (asing) berlainan jantina berjumpa. Berkenaan hukumnya, ia perlu melihat kepada keperluan.
Sekiranya tidak ada keperluan, sedangkan perjumpaan membawa kepada memandang, berkhalwat, dan bercakap secara mesra antara satu sama lain, maka tidak dibenarkan. Ini berdasarkan firman Allah ﷻ:
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.” (Surah al-Nur: 30)
Berkata Imam Ibn Jarir al-Tobari berkenaan tafsir ayat ini: “Hendaklah mereka menahan pandangan mereka daripada apa yang mendatangkan syahwat pada padangan terhadapnya, daripada jenis perkara yang dilarang Allah untuk memandang kepadanya… maka itu lebih suci bagi diri mereka di sisi Allah dan lebih banyak kelebihan.”
Namun begitu, dalam situasi hajat dan darurat, harus sesama ajnabi itu memandang antara satu dan lain. Para ulama menggariskan beberapa panduan berkenaan hal-hal keperluan yang mengharuskan memandang:
-Meminang
-Belajar
-Berubat
-Bermuamalat
-Kesaksian dalam kes mahkamah
-Hakim meminta sumpah dan menjatuhkan hukum
Pengecualian ini berdasarkan kadar keperluan sahaja dan tidak melebihi daripada keperluan. Jika tujuannya adalah untuk berseronok-seronok, maka diharamkan.
Berdasarkan fakta dan hukum di atas, kami berpendapat hukum bekas pasangan suami isteri berjumpa adalah diharuskan. Ini kerana suami masih lagi memiliki tanggungjawab terhadap anak yang berusia empat tahun itu daripada sudut memberikan nafkah dan pendidikan.
Justeru, berjumpa dan berbual dengan bekas isteri bagi tujuan maslahat anak adalah diharuskan.
Namun begitu mereka tidak boleh bersendirian kerana mereka adalah ajnabi. Wajib terdapat orang ketiga yang boleh menemani mereka sama ada mahram bagi wanita atau wanita Muslim yang dipercaya dan diyakini boleh menegah mereka daripada melakukan perzinaan.
Tidak disyaratkan orang tengah tersebut adalah isteri kedua tersebut. Boleh juga sesi perjumpaan itu dibuat di khalayak ramai dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah.
Hukum ini berdasarkan hadis Abdullah bin Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
Maksudnya: “Jangan sekali-kali seorang lelaki itu bersendirian dengan seorang perempuan melainkan terdapat bersamanya mahram.” Riwayat al-Bukhari (5233) dan Muslim (1341)
Dalam riwayat al-Tirmidzi (2165) daripada Ibn Umar R.Anhuma, Baginda ﷺ juga bersabda:
إِلَّا كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ
Maksudnya: “…melainkan antara kedua mereka ada syaitan (jika tiada mahram atau seumpamanya).”
Perbezaan yang ketara antara puasa umat Islam dengan umat-umat yang terdahulu ialah dapat dilihat pada amalan bersahur.
Daripada Amru bin al-Ash bahawa bersabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, Perbezaan antara puasa kita (umat Islam) dengan Ahli Kitab ialah makan sahur. (Riwayat Muslim).
Umat-umat terdahulu berpuasa tanpa bersahur. Sedangkan umat Islam disunatkan bersahur. sebagaimana yang ditunjukkan sendiri oleh Rasulullah s.a.w. bahawa mereka yang bersahur akan mendapat pahala dan dijanjikan dengan keberkatan.
Saya tinggal serumah dengan beberapa orang kawan. Ada kalangan kami yang berpuasa tetapi selalu tidak bangun sahur. Katanya ‘dia tahan’ walaupun tak bersahur. Ada yang sahur terlalu awal, seawal jam 2 pagi. Ada yang sahur ‘siap-siap’ sebelum tidur kerana malas hendak bangun. Ada yang jika bangun hampir waktu subuh, dia kata dah tamat waktu sahur, sekalipun belum azan lagi, dia tetap tak mahu sahur. Saya cuba berikan nasihat kepada kawan-kawan sekadar yang saya faham. Bolehkah berikan panduan apa yang terbaik kepada kami?
Selamat menyambut Ramadan semoga kita semua dirahmati Allah. Alhamdulillah, saudara dan sahabat-sahabat saudara berpuasa. Ini menandakan tanggungjawab sebagai muslim masih lagi kuat dalam jiwa saudara-saudara sekelian. Puasa adalah ibadah yang melambangkan keikhlasan. Jika seseorang itu benar-benar berpuasa, tanda adanya keikhlasan yang besar dalam penghayatan Islamnya. Saudara pula merupakan sahabat yang baik, yang mempunyai kesedaran bagi diri sendiri dan juga rakan-rakan untuk mengamalkan amalan yang menepati sunnah Nabi s.a.w. Semoga Allah membanyakkan pemuda seperti saudara dan diberikan pahala yang besar.
Ada pun persoalan saudara tentang sahur itu, maka saya jawab berdasarkan beberapa perkara berikut;
1. Sahur itu adalah sunnah. Sekalipun ia tidak diwajibkan, namun amat-amat digalakkan. Bahkan ia dijadikan pembeza antara sahur muslim dan sahur Yahudi.
Sabda Nabi s.a.w: فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ، أَكْلَةُ السَّحَرِ “Pembeza antara puasa kita dan puasa Ahli Kitab adalah makan sahur”. (Riwayat Muslim).
Maka kita berpuasa kerana ingin mengabdikan diri kepada Allah dan kita berlumba-lumba melakukan perkara yang disukai Allah pada bulan Ramadan ini, maka ikutilah sunnah Nabi s.a.w termasuk dalam bersahur. Besarnya rahmat Allah, sehingga seseorang yang bangun bersahur agar dia bertenaga esok harinya ketika berpuasa, dihitung sebagai ibadah yang diberi ganjaran.
2. Allah jadikan keberkatan dalam bersahur.
Sabda Nabi s.a.w :
تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً “Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Barakah adalah sesuatu yang mustahak dalam kehidupan ini. Insan mungkin memiliki berbagai perkara, tetapi jika ianya tidak diberkati Allah, maka segala kebaikan yang diharapkan akan hilang. Mencari keberkatan adalah suatu yang teramat penting dalam hidup ini. Dalam sahur itu ada keberkatan buat puasa yang bakal dilaksanakan dan kehidupan individu yang berpuasa secara umumnya. Semoga kita memperolehinya.
3. Bersahur itu terhasil dengan memakan apa-apa makanan yang halal, atau meminum apa-apa minuman yang halal.
Sabda Nabi s.a.w: تَسَحَّرُوا وَلَوْ بِجَرْعَةٍ من ماء “Bersahurlah walaupun seteguk air” (Riwayat Ibn Hibban, hadis hasan)
4. Berdasarkan hadis, kita digalakkan bersahur dengan tamar.
Nabi s.a.w bersabda: نِعْمَ سَحُورُ الْمُؤْمِنِ التَّمْرُ “Sebaik-baik sahur orang mukmin ialah tamar”. (Riwayat Abu Daud, Ibn Hibban dan al-Baihaqi, sanadnya sahih).
Maka dengan ini, kita bukan sahaja digalakkan berbuka puasa dengan tamar, kita juga digalakkan untuk bersahur dengan tamar. Maka, ambillah sekurang-kurangnya sebiji tamar semasa bersahur semoga mendapat pahala tambahan. Pada tamar ada kelebihan yang memberikan kekuatan untuk seseorang berpuasa.
5. Kita disunnahkan untuk melewatkan sahur. Perkataan sahur itu sendiri merujuk kepada akhir malam atau sepertiga akhir malam.
Ini seperti firman Allah: وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ (maksudnya) “Pada waktu sahur mereka memohon keampunan” (Surah Ali ‘Imran: 17).
Bersahur terlalu awal bukanlah sesuatu yang digalakkan sebaliknya disunnahkan melewatkannya.
Kata Zaid bin Thabit: تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلاَةِ»، قُلْتُ: كَمْ كَانَ بَيْنَ الأَذَانِ وَالسَّحُورِ؟ ” قَالَ: «قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً “Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan bahawa betapa lewatnya sahur Nabi s.a.w. Jika 50 ayat dibaca, kadarnya lebih kurang beberapa minit. Di tempoh itulah Nabi s.a.w menghentikan sahur untuk bersiap menuju solat.
6. Waktu sahur berlanjutan sehinggalah masuknya waktu subuh. Andaian bahawa puasa itu mesti bermula sepuluh atau dua puluh minit sebelum subuh adalah tidak tepat. Hadis Zaid di atas tadi, bukan menunjukkan sahur itu wajib berhenti kadar 50 ayat sebelum azan, tetapi menunjukkan amalan Nabi s.a.w yang dilihat oleh Zaid.
Buktinya, Aisyah r.a menyebut: أَنَّ بِلاَلًا كَانَ يُؤَذِّنُ بِلَيْلٍ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «كُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُؤَذِّنَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ، فَإِنَّهُ لاَ يُؤَذِّنُ حَتَّى يَطْلُعَ الفَجْرُ “Sesungguh Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan pada zaman Nabi s.a.w ada dua kali azan bagi waktu subuh. Ini seperti yang diamalkan di kebanyakan dunia Islam terutamanya Mekah dan Madinah. Azan pertama sebelum masuk waktu, ia dilaungkan oleh Bilah bin Rabah. Azan kedua, oleh sahabat Nabi s.a.w yang merupakan seorang buta, beliau Abdullah ibn Ummi Maktum. Maka Nabi s.a.w mengizinkan seseorang yang hendak berpuasa itu makan sehingga azan kedua, iaitu masuk waktu subuh yang sebenar, maka barulah berhenti.
7. Al-Quran sendiri menjelaskan tentang hal ini dengan menyatakan:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ
(Maksudnya): “Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam” (Surah al-Baqarah: 187).
Maka penentu bagi waktu terakhir sahur adalah masuknya waktu subuh yang sebenar, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh.
Dalam riwayat Muslim, Nabi s.a.w bersabda: لَا يَغُرَّنَّكُمْ مِنْ سَحُورِكُمْ أَذَانُ بِلَالٍ، وَلَا بَيَاضُ الْأُفُقِ الْمُسْتَطِيلُ هَكَذَا، حَتَّى يَسْتَطِيرَ هَكَذَا “Jangan kamu tersilap disebabkan azan Bilal, ataupun warna putih yang memanjang sehinggalah kelihatan waktu fajar (sebenar)”.
8. Maka berdasar al-Quran dan hadis-hadis di atas, juga pelbagai riwayat yang lain, maka waktu ‘imsak’ yang sebenarnya bermula apabila masuknya waktu subuh, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh. Maka, apabila seseorang bangun bersahur dan didapati waktu subuh belum masuk sekalipun hanya tinggal beberapa minit, dia tetap boleh memakan sahurnya sehinggalah masuknya waktu subuh.
9. Bersahur di samping membantu kita untuk lebih cergas semasa berpuasa, ia juga mendidik seseorang untuk bangun pada sepertiga yang akhir malam. Ini kerana waktu tersebut adalah waktu yang mempunyai kelebihan untuk ibadah dan dimustajabkan doa serta istighfar.
Dalam hadis, Rasulullah s.a.w bersabda:
ينْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي، فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ، مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ “Tuhan kita Yang Maha Berkat dan Agung turun setiap malam ke langit dunia, ketika hanya tinggal sepertiga malam yang akhir. Lalu berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepadaKu, akan Aku perkenankan untuknya. Sesiapa yang meminta kepadaKu, akan aku berikanNya. Sesiapa yang memohon keampunan kepadaKu, akan Aku ampunkannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan fadilat berdoa dan beristighfar pada waktu sepertiga malam yang akhir. Maka dengan seseorang bangun pada waktu tersebut memberikan peluang dan ruang kepadanya untuk berdoa dan memohon hajat kepada Allah pada waktu tersebut.
10. Puasa adalah proses mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. Jika seseorang itu berpuasa serta mengikuti sunnah-sunnah bagi seseorang yang berpuasa, maka mudah-mudahan mencapai hakikat taqwa. Ia akan mendidik diri dengan berbagai kebaikan yang lain, termasuklah qiyamullail atau ‘bangun malam beribadah’. Sahur, salah satu program penting yang jika dihayati dengan baik, membentuk jika menjadi insan yang menghampirkan diri kepada Allah.
Sumber: Dr.Maza.com
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Perompak, pencuri, penyamun hatta lanun di lautan sekalipun sanggup lakukan apa sahaja untuk mendapatkan habuan kerja jenayah mereka.
Apatah lagi dengan kemajuan teknologi serba canggih hari ini, mereka mudah lolos masuk ke rumah atau premis perniagaan kita walaupun telah dilengkapi dengan teknologi keselamatan tinggi dan melakukan langkah pencegahan lain. Ini memang menakutkan.
Sungguhpun begitu, kuasa Allah mengatasi segalanya. Ada amalan dan doa yang elok kita amalkan setiap hari bagi menjauhkan perompak atau penjenayah ini datang ‘membuat kunjungan hormat’. Jangan lupa diamalkan.
Tak kira lah kita hanya nak pergi ke kedai runcit yang hanya 50 meter jaraknya dari rumah. Sekadar untuk imbas semula, diringkaskan satu peristiwa yang menimpa sebuah keluarga di Batang Kali apabila kediaman mereka dimasuki perompak.
Kegembiraan selepas bercuti keluarga ini ‘disambut’ oleh dua orang perompak yang telah terperangkap selama tiga hari dalam rumah mereka.
Rupanya cubaan merompak telah gagal kerana mereka tidak berjaya keluar dari rumah tersebut. Bukan itu sahaja, mereka juga gagal mendapat sebarang hasil rompakan berikutan kaki dan tangan terasa dipasung.
Perompak itu tidak dapat bergerak saat ingin merompak. Malah untuk minum setitis air pun tidak dapat. Allahuakbar! Bagaimana itu boleh terjadi?
Apabila menceritakan segalanya, rupanya pemilik ada mengamalkan bacaan ayat 9 dari surah Yassin. Itu merupakan amalan rutin yang diamalkannya setiap hari sebelum keluar rumah dan sebelum tidur yang diajar oleh arwah ayahnya. Subhanallah.
Siapalah kita untuk menafikan kekuasaan Allah. Dan kisah ini seharusnya menjadi teladan dan wajar kita amalkan.
Berikut adalah doa dan amalan yang harus kita praktikkan tanpa culas. Semoga usaha kita ini dirahmati dan diberkati Allah.
Ketika rumah, pejabat atau kedai kita telah dikunci dengan rapi, maka letakkan tapak tangan kanan kita ke pintu atau dinding rumah, pejabat atau kedai dan bacalah ayat-ayat doa seperti berikut :
1.Mengucap Dua Kalimah Syahadah (sekali) 2. Berselawat ke atas Nabi SAW (tiga kali) 3. Baca Ayatul Qursi (sekali) 4. Baca surah Yasin: ayat 9 (sekali) “Wa ja’alna mim baini aidihim saddaw wamin kholfihim saddan fa aghsyaina hum fa hum laa yubsiruun”
Allah berfirman;
“Dan Kami adakan di hadapan mereka dinding-dinding dan di belakang mereka dinding-dinding (pula), dan Kami menutup mata mereka sehingga mereka tidak dapat melihat” (Surah Yassin: Ayat 9)