
Batalkan solat kerana anak menangis. Situasi ini mungkin pernah berlaku kalangan ibu yang mempunyai anak kecil.
Tapi perlu diketahui bahawa adalah haram membatalkan solat fardu hanya kerana anak menangis. Demikian penjelasan yang diberi melalui Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Ini kerana dalam Islam membatalkan sesuatu amalan dengan sengaja tanpa sebab-sebab yang dibolehkan syarak adalah dilarang dan hal ini merupakan perkara yang disepakati oleh fuqaha.
Tidak boleh batalkan solat melainkan
Seseorang yang sedang mendirikan solat fardu, tidak boleh membatalkan solatnya melainkan jika terdapat keuzuran yang dibenarkan oleh syarak. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah, dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!” Surah Muhammad (33)
Antara keuzuran yang dibenarkan syarak itu ialah seperti membunuh kala jengking, ular, menyelamatkan diri daripada bahaya atau apa sahaja yang boleh memberikan mudarat kepada diri orang yang sedang menunaikan solat.
Perkara ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW, Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
اقْتُلُوا الأَسْوَدَيْنِ فِي الصَّلاَةِ الْحَيَّةَ وَالْعَقْرَبَ
Maksudnya: “Bunuhlah dua binatang hitam ketika solat iaitu ular dan kala jengking.” Riwayat Abu Daud
Oleh itu isu anak menangis ketika penjaganya sedang melakukan solat fardu bukan termasuk dalam perkara darurat yang membolehkan penjaganya membatalkan solat fardu melainkan jika tangisan tersebut seolah-olah boleh membahayakan nyawanya.
Penyelesaian terbaik
Jalan penyelesaian yang terbaik bagi situasi ini adalah dengan meringan dan mempercepatkan solat dengan melakukan perbuatan rukun-rukun solat sahaja tanpa melakukan perkara-perkara sunat dalam solat.
Ia berdasarkan kepada hadis diriwayatkan oleh Abu Qatadah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنِّي لأَقُومُ إِلَى الصَّلاةِ وَأَنَا أُرِيدُ أَنْ أُطَوِّلَ فِيهَا، فَأَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ فَأَتَجَوَّزُ كَرَاهِيَةَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمِّهِ
Maksudnya: “Ketika aku sedang solat, aku ingin memanjangkan solat. Lalu aku mendengar tangisan seorang kanak-kanak hingga menyebabkan aku memendekkan solatku kerana bimbang akan menyusahkan ibu kepada kanak-kanak tersebut.” Riwayat Abu Daud
Kesimpulannya adalah haram membatalkan solat fardu bagi penjaga kanak-kanak kerana risau keadaan anaknya yang sedang menangis melainkan jika tangisan tersebut seolah-olah boleh membahayakan nyawanya.
Namun, dia boleh meringan dan mempercepatkan solat dengan melakukan rukun-rukun solat sahaja tanpa melakukan perkara-perkara sunat dalam solat.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?





