Bayar Deposit Beli Barang Tapi Tak Jadi Ambil, Duit Pendahuluan Ini Hak Pembeli Atau Penjual?

Share

Bayar Deposit Beli Barang Tapi Tak Jadi Ambil, Duit Pendahuluan Ini Hak Pembeli Atau Penjual?

Dalam urusan jual beli hari ini, bayaran pendahuluan atau deposit sering menjadi amalan biasa  terutama dalam pembelian rumah, tanah atau barang bernilai besar. Namun, kadangkala berlaku situasi di mana pembeli membatalkan hasrat untuk meneruskan pembelian.

Maka timbul persoalan adakah wang pendahuluan itu boleh diambil sepenuhnya oleh penjual atau broker? Atau ia wajib dipulangkan kepada pembeli?

Dalam Islam, isu ini dikenali sebagai jual beli ‘Urbun’. Para ulama berbeza pandangan mengenainya. Ada yang mengharamkan kerana ia mirip mengambil harta tanpa hak, manakala sebahagian lain seperti Mazhab Hanbali dan ulama kontemporari membenarkannya dengan syarat-syarat tertentu.

Oleh itu penting untuk kita fahami batas dan hukum sebenar agar urusan jual beli tidak menzalimi mana-mana pihak dan kekal diberkati.

Pandangan Ulama Tentang Jual Beli Urbun

Para ulama berbeza pandangan tentang hukum jual beli jenis ini:

Jumhur ulama (Hanafi, Maliki, Syafi’e) menyatakan jual beli ini tidak sah, kerana menurut mereka terdapat larangan daripada Nabi SAW:

“Rasulullah SAW melarang jual beli secara ‘Urbun’.”
(Hadis Riwayat Malik)

Menurut mereka, ia mengandungi unsur gharar (ketidakpastian) dan boleh membawa kepada pengambilan harta secara batil.

Namun, Mazhab Hanbali membenarkan jual beli urbun dengan syarat ditetapkan tempoh pembelian yang jelas bagi mengelakkan kerugian sebelah pihak.

Dr. Wahbah al-Zuhaili, ulama kontemporari dalam kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, menyatakan bahawa jual beli urbun diharuskan, kerana hadis larangan itu tidak sahih, dan ia telah menjadi uruf semasa dalam urusan jual beli.

Keperluan Uruf Hari Ini

Dalam realiti hari ini, jual beli seperti ini sudah menjadi keperluan masyarakat, terutamanya dalam urusan hartanah. Wang pendahuluan menjadi simbol komitmen dan tanggungjawab agar tidak berlaku pembaziran masa dan kerugian.

Maka, mengambil wang deposit adalah harus, dengan syarat:

  1. Barang yang dijual jelas dan halal di sisi syarak.
  2. Tempoh pembelian ditentukan dengan jelas, contohnya 3 hari atau seminggu.
  3. Wang pendahuluan dipersetujui kedua-dua pihak sebagai tanda jadi.
  4. Jika pembeli batalkan urusan, wang itu menjadi ganti rugi yang munasabah, bukan sebagai keuntungan semata-mata. Jika jumlah deposit melebihi kerugian sebenar, baki perlu dipulangkan.

Kesimpulannya jika pembeli tidak meneruskan pembelian dan wang pendahuluan telah diambil oleh penjual atau broker hukumnya harus, dengan syarat adil dan tidak menzalimi mana-mana pihak.

Islam tidak menghalang untung, tapi mengharamkan penindasan dan pengambilan harta tanpa hak.

“Sesungguhnya Allah menyukai keadilan dalam setiap urusan, termasuk urusan harta dan jual beli.”

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat ihsan…”
(Surah an-Nahl, 16:90)

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

 

Related Post
Published by
Team Kashoorga