Bayar Deposit Beli Barang Tapi Tak Jadi Ambil, Duit Pendahuluan Ini Hak Pembeli Atau Penjual?
Dalam urusan jual beli hari ini, bayaran pendahuluan atau deposit sering menjadi amalan biasa terutama dalam pembelian rumah, tanah atau barang bernilai besar. Namun, kadangkala berlaku situasi di mana pembeli membatalkan hasrat untuk meneruskan pembelian.
Maka timbul persoalan adakah wang pendahuluan itu boleh diambil sepenuhnya oleh penjual atau broker? Atau ia wajib dipulangkan kepada pembeli?
Dalam Islam, isu ini dikenali sebagai jual beli ‘Urbun’. Para ulama berbeza pandangan mengenainya. Ada yang mengharamkan kerana ia mirip mengambil harta tanpa hak, manakala sebahagian lain seperti Mazhab Hanbali dan ulama kontemporari membenarkannya dengan syarat-syarat tertentu.
Oleh itu penting untuk kita fahami batas dan hukum sebenar agar urusan jual beli tidak menzalimi mana-mana pihak dan kekal diberkati.
Pandangan Ulama Tentang Jual Beli Urbun
Para ulama berbeza pandangan tentang hukum jual beli jenis ini:
Ads
Jumhur ulama (Hanafi, Maliki, Syafi’e) menyatakan jual beli ini tidak sah, kerana menurut mereka terdapat larangan daripada Nabi SAW:
“Rasulullah SAW melarang jual beli secara ‘Urbun’.”
(Hadis Riwayat Malik)
Menurut mereka, ia mengandungi unsur gharar (ketidakpastian) dan boleh membawa kepada pengambilan harta secara batil.
Namun, Mazhab Hanbali membenarkan jual beli urbun dengan syarat ditetapkan tempoh pembelian yang jelas bagi mengelakkan kerugian sebelah pihak.
Ads
Dr. Wahbah al-Zuhaili, ulama kontemporari dalam kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, menyatakan bahawa jual beli urbun diharuskan, kerana hadis larangan itu tidak sahih, dan ia telah menjadi uruf semasa dalam urusan jual beli.
Keperluan Uruf Hari Ini
Dalam realiti hari ini, jual beli seperti ini sudah menjadi keperluan masyarakat, terutamanya dalam urusan hartanah. Wang pendahuluan menjadi simbol komitmen dan tanggungjawab agar tidak berlaku pembaziran masa dan kerugian.
Maka, mengambil wang deposit adalah harus, dengan syarat:
Barang yang dijual jelas dan halal di sisi syarak.
Tempoh pembelian ditentukan dengan jelas, contohnya 3 hari atau seminggu.
Wang pendahuluan dipersetujui kedua-dua pihak sebagai tanda jadi.
Jika pembeli batalkan urusan, wang itu menjadi ganti rugi yang munasabah, bukan sebagai keuntungan semata-mata. Jika jumlah deposit melebihi kerugian sebenar, baki perlu dipulangkan.
Kesimpulannya jika pembeli tidak meneruskan pembelian dan wang pendahuluan telah diambil oleh penjual atau broker hukumnya harus, dengan syarat adil dan tidak menzalimi mana-mana pihak.
Ads
Islam tidak menghalang untung, tapi mengharamkan penindasan dan pengambilan harta tanpa hak.
“Sesungguhnya Allah menyukai keadilan dalam setiap urusan, termasuk urusan harta dan jual beli.”
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat ihsan…”
(Surah an-Nahl, 16:90)
‘Elak berdua-duaan, apatah lagi bersentuhan.’ Mentua tiri tak sama dengan mentua kandung kerana mentua tiri tiada ikatan dengan suami atau isteri kita.
Oleh hal yang demikian, batas aurat dengan mentua tiri adalah sama seperti dengan yang bukan mahram kita kerana mentua kandung tak sama dengan mentua tiri.
Ikuti perkongsian Husna Ghani ini dan hadam baik-baik batasan di antara menantu dan mentua tiri.
Kalau bapa mentua kandung, maksudnya bapa kandung suami kita statusnya sudah tentu sama macam ayah kita sendiri.
Tak pakai tudung pun tidak menjadi masalah, hendak bersalaman pun dibenarkan dan sentuh pun tak batal wuduk kerana sudah jadi mahram kita.
Sebaliknya, kalau mentua tiri, dia tidak sama kerana mentua tiri tidak mempunyai ikatan mahram dengan kita bahkan bapa tiri (suami) tu dikira lelaki ajnabi.
Oleh hal demikian, sebaiknya kita perlu menjaga batas aurat serta kena tutup ‘full’ macam biasa. Berdua-dua pun kita kena elakkan apatah lagi nak bersentuhan.
Sebagai contoh, hendak bersalaman time raya atau hendak peluk dan sebagainya itu, tak boleh iya.
Sebaliknya kalau dengan mertua kandung, sah saja akad kita sebagai menantu, hukumnya jadi haram berkahwin dengan mentua kandung itu sampai bila-bila.
Sekalipun kita ni sudah bercerai ataupun pasangan kita meninggal sebab menantu dan mentua ini adalah haram muabad tapi kalau dengan mentua tiri.
Dalam kitab Mughni al-Muhtaj, karangan Syeikh Khatib Asharbini ada menyebut,
‘Kalau suami itu meninggal, tidak jadi kesalahan pun untuk isteri dia berkahwin dengan bapa tiri (suami) sebab kedudukan menantu tiri ini dia tak sama dengan menantu kandung.’
Assamualaikum WBT. Saya ada situasi yang menjadi kemusykilan.
Situasinya ada 4 orang kawan lepak minum di kedai mamak. Bila nak bayar, mereka main osom. Siapa kalah kena bayar. Soalan saya:
1) Adakah itu dikira berjudi?
2) Makanan/minuman yang kita minum itu dikira jadi haram ke?
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد Perbuatan judi ialah suatu perbuatan atau permainan yang mempunyai unsur pertaruhan wang, adu nasib serta menzalimi satu pihak dan menguntungkan satu pihak yang lain.
Berkenaan persoalan tuan, perbuatan tersebut adalah judi dan dikhuatiri makanan tersebut boleh menjadi haram.
Walaupun penyertaan dalam situasi tersebut kelihatan tiada yuran atau kos hadiah tapi hakikatnya kedua-dua pihak berpotensi mengalami untung dan rugi iaitu dibebani atau tidak dibebani dengan kos makanan yang belum diketahui jumlahnya.
Ia adalah judi walaupun ada unsur usaha dari kedua belah pihak dan bukan permainan nasib semata. Unsur judinya datang dari sudut hadiah, seolah-olah kedua-dua pihak meletakkan sejumlah wang untuk makanan tersebut, hanya yang kalah akan terkena.
Ia tetap judi walaupun kedua-dua pihak redha meredhainya. Tiada redha dalam perihal haram. Namun jika hanya salah seorang yang menjanjikan hadiah tanpa mengira kalah atau menang, orang lain tidak, hukumnya berubah menjadi harus atau halal kerana tiada kebarangkalian untuk seseorang di antara mereka untung dan rugi.
Soalan dan jawapan kemusykilan agama ini dipetik dari laman web Mufti Selangor
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
‘Pelanggan bayar harga yang sama, ambil makanan kuantiti berbeza.’ Ini hukum jual beli bufet Ramadan, adakah dibenarkan kita berjual beli makanan buffet sedangkan ada yang makannya sedikit dan ada pula diambil makanan sebanyak-banyaknya.
Setiap kali menjelang Ramadan, kelihatan restoran dan hotel-hotel mula mempromosi hidangan bufet Ramadan dengan pelbagai tawaran. Ada yang mahal dan ada yang berpatutan.
Selalunya aktiviti berbuka dengan hidangan bufet menjadi pilihan syarikat-syarikat atau orang persendirian dalam memeriahkan suasana di bulan Ramadan.
Namun di sini timbul kemusykilan yang diutarakan kepada Pejabat Mufti Wilayah Perseketuan:
Soalan:
Sebagaimana diketahui, bila tiba bulan Ramadan, kedai makan atau hotel banyak menyediakan hidangan berbentuk bufet. Persoalan di sini, apakah hukum menjual beli hidangan bufet sebegini?
Adakah jual beli secara hidangan bufet tidak dibenarkan kerana pelanggan membayar harga yang sama tetapi mengambil hidangan tersebut dengan kadar yang berbeza-beza? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.
Jual beli hidangan bufet termasuk di dalam kategori gharar yasir iaitu ketidakjelasan yang ringan dan sedikit, di mana perbezaan kuantiti makanan yang diambil tersebut masih boleh diterima secara adat.
Para ulama bersepakat dalam mengharuskan jual beli yang mempunyai unsur gharar yang sedikit dan sukar dielakkan. Justeru, hukum jual beli hidangan bufet adalah harus menurut syarak.
Jual beli hidangan bufet merupakan satu sistem penjualan menu di restoran atau kedai makan di mana pelanggan hanya membuat sekali bayaran untuk menikmati kesemua menu yang tersedia dalam tempoh waktu tertentu atau sebaliknya.
Pelanggan yang mengunjungi restoran berkonsepkan hidangan bufet dibenarkan mengambil dan memilih sendiri kesemua hidangan yang telah disediakan oleh pihak restoran.
Dalam membeli secara bufet begini sebahagian daripada pelanggan mengambil makanan dengan kuantiti yang sedikit dan sebahagian yang lain pula mengambil dengan kuantiti yang lebih banyak sedangkan bayaran yang ditetapkan adalah sama.
Adakah ia termasuk dalam kategori jual beli gharar (ketidakpastian) yang dilarang dalam Islam?
Firman Allah SWT: وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا
Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”
Surah al-Baqarah (275)
Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa lafaz jual beli ini adalah dalam bentuk umum namun pada masa yang sama ia juga khusus, iaitu terkecuali daripada riba dan selainnya yang dilarang dan ditegah syarak.
Pada dasarnya, segala bentuk jual beli adalah harus, namun ia boleh berubah menjadi makruh atau haram atas sebab wujudnya unsur-unsur yang tidak dibenarkan oleh syarak seperti al-gharar(ketidakpastian), al-maisir(perjudian) dan sebagainya pada transaksi yang dijalankan.
Oleh yang demikian, kita selaku individu Muslim wajib menjauhi transaksi yang mengandungi segala unsur yang tidak dibenarkan ini.
Abu Hurairah RA meriwayatkan sebuah hadis: نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ بَيْعِ الْغَرَرِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang jual beli al-Gharar.”
Riwayat Muslim (3881)
Ibn Taimiyah mendefinisikan gharar sebagai sesuatu yang tidak diketahui akibatnya. Beliau menjelaskan bahawa gharar dalam jual beli berlaku apabila satu pihak mendapat keuntungan sementara sebelah pihak lagi tidak menerima haknya.
Di samping itu, gharar ditakrifkan di dalam kitab Qalyubi wa Umairah sebagai:
ما انطوت عنا عاقبته أو ما تردد بين أمرين أغلبهما أخوفهما
“Sesuatu yang akibatnya tersembunyi daripada kita atau perkara di antara dua kemungkinan di mana yang paling kerap berlaku ialah yang paling ditakuti”.
Menurut Al-San’ani, gharar berlaku apabila:
Barang yang diniagakan tidak mampu diserahkan kepada pembeli,
menjual beli barang yang belum ada (ma’dum) dan tidak jelas sifatnya (majhul) atau; menjual barangan yang tidak dimiliki oleh penjual.
Ibn ‘Abidin, ulama mazhab al-Hanafi menyatakan bahawa syarat sah bagi jual beli ialah mengetahui jumlah barang dan harganya. Oleh itu, ketidakjelasan mengenai kadar dan harga barangan boleh membawa kepada gharar dalam jual beli.
Namun begitu, gharar boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu:
al-Gharar al-Yasir – ketidakjelasan yang kecil atau ringan
al-Gharar al-Fahish – ketidakjelasan yang besar
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa jual beli yang secara jelas mengandungi unsur gharar dan mampu untuk dielakkan adalah satu larangan yang besar.
Namun para ulama’ bersepakat dalam mengharuskan gharar ringan yang sukar untuk dielakkan. Sebagai contoh, melakukan akad sewaan dengan menyatakan tempoh sewaan selama satu bulan, dimana di dalam satu bulan terdapat 29 hari, 30 hari atau 31 hari.
Begitu juga memasuki tandas awam dengan bayaran yang sama walaupun terdapat perbezaan dalam penggunaan air dan tempoh para pengguna menggunakan tandas tersebut.
Berkenaan hal ini, realiti jual beli hidangan bufet yang mempunyai perbezaan dari segi kadar atau kuantiti makanan yang diambil tidak mengandungi unsur gharar yang besar.
Hal ini kerana penjual telah sedia maklum akan purata kadar untung rugi hidangan yang disediakan dan kadar perbezaan tersebut masih boleh diterima secara adat (uruf).
Adapun bagi mereka yang kadar pemakanannya melebihi adat kebiasaan, maka dia harus memaklumkannya kepada pemilik restoran untuk menghindari gharar fahisy yang menyebabkan kerugian kepada salah satu pihak.
Jual beli hidangan bufet termasuk dalam kategori gharar yasir iaitu ketidakjelasan yang ringan dan sedikit.
Para ulama’ bersepakat dalam mengharuskan jual beli yang mempunyai unsur gharar yang sedikit dan sukar dielakkan. Justeru, hukum jual beli hidangan bufet adalah harus menurut syarak.
Kashoorga: Ramadan ini lebih meriah dapat luangkan masa berbuka bersama keluarga dan kawan-kawan terdekat, tak kiralah berbuka dengan bufet Ramadan atau di rumah saja.