
Masalah keputihan sering menjadi kebimbangan buat ramai wanita, terutama apabila ia berlaku ketika sedang menunaikan solat.
Ada kalanya ketika sedang khusyuk beribadah, terasa seperti ada cecair keluar daripada faraj lalu timbul rasa waswas, sama ada solat yang dilakukan masih sah atau perlu diulang semula.
Hakikatnya, keputihan adalah salah satu keadaan biologi normal yang dialami oleh wanita. Namun dalam bab ibadah, wanita perlu mengetahui hukum asas berkaitan cecair yang keluar daripada faraj supaya tidak mudah stres, ragu-ragu atau terlalu terbeban ketika menunaikan solat lima waktu.
BACA JUGA: Kesan Darah Haid Masih Ada Pada Pakaian Selepas Dicuci, Sahkah Dibawa Solat?
Secara umumnya, terdapat dua jenis cecair yang keluar daripada tubuh wanita yang perlu difahami, iaitu cecair yang dianggap suci dan cecair yang dikira najis.
Menurut pandangan dalam Mazhab Syafie dan perbincangan ulama kontemporari, antara cecair yang dianggap suci ialah rutubah al-faraj, iaitu cecair jernih atau putih yang keluar daripada bahagian faraj yang zahir, iaitu kawasan yang wajib dicuci ketika istinjak.
Walaupun cecair ini dianggap suci, ia tetap membatalkan wuduk apabila keluar dari kawasan dalam ke bahagian luar. Maka, sekiranya wuduk telah terbatal, seseorang itu perlu mengambil wuduk semula sebelum menunaikan solat fardu.
Manakala cecair yang dianggap najis pula ialah cecair yang keluar daripada bahagian dalam rahim atau keputihan yang telah berubah warna seperti kekuningan, kehijauan, berbau kuat, bercampur darah atau berpunca daripada jangkitan. Cecair seperti ini dikira najis dan turut membatalkan wuduk.
Bagi membantu wanita kekal bersih dan lebih tenang ketika beribadah, berikut panduan yang boleh diamalkan.
1. Periksa Dan Bersihkan Terlebih Dahulu
Sebelum mengambil wuduk, bersihkan kawasan luar faraj dengan baik. Jika didapati keputihan itu berwarna, berbau atau dianggap najis, basuh kawasan tersebut sehingga hilang bau, warna dan kesannya.
Langkah ini penting supaya tubuh dan pakaian berada dalam keadaan bersih sebelum menunaikan solat.
2. Gunakan Perlindungan Yang Sesuai
Jika anda tahu keputihan kerap keluar atau keluar dalam jumlah yang banyak, gunakan panty liner sebagai langkah berjaga-jaga. Anda juga boleh menyediakan seluar dalam tambahan untuk ditukar apabila perlu.
Cara ini dapat membantu menjaga kebersihan pakaian dan mengurangkan rasa waswas ketika ingin solat, terutama ketika berada di tempat kerja, masjid atau dalam perjalanan.
3. Ambil Wuduk Selepas Yakin Bersih
Selepas memastikan kawasan tersebut bersih, barulah ambil wuduk dan tunaikan solat. Bagi wanita yang mengalami keputihan yang kerap atau berterusan, sebaiknya jangan mengambil wuduk terlalu awal.
Tunggu sehingga masuk waktu solat, bersihkan diri, ambil wuduk dan segerakan solat. Ini lebih membantu mengurangkan rasa ragu-ragu dan memudahkan urusan ibadah.
Jika ketika solat tiba-tiba terasa seperti ada sesuatu keluar daripada faraj, jangan terus membatalkan solat hanya kerana rasa waswas semata-mata.
Sekiranya tiada bukti yang jelas, seperti pakaian dalam benar-benar basah atau terdapat kesan yang nyata, abaikan perasaan tersebut dan teruskan solat.
Dalam ibadah, rasa waswas tidak sepatutnya dijadikan asas untuk membatalkan solat tanpa keyakinan yang jelas.
Namun, jika selepas itu anda benar-benar yakin terdapat cecair keluar dalam jumlah yang ketara, atau pakaian dalam menjadi basah dan jelas terkena najis, maka sebaiknya hentikan solat, bersihkan diri, tukar pakaian jika perlu, ambil wuduk semula dan ulang solat tersebut.
Apa yang penting, jangan terlalu membebankan diri sehingga rasa takut untuk beribadah.
Islam adalah agama yang mudah dan tidak bertujuan menyusahkan umatnya. Selagi seseorang itu berusaha menjaga kebersihan dan menunaikan solat mengikut kemampuan serta panduan yang betul, jangan biarkan isu keputihan menjadi punca hilang ketenangan dalam beribadah.
Jika keputihan berlaku secara luar biasa, terlalu banyak, berbau kuat, berubah warna atau menyebabkan rasa gatal dan sakit, sebaiknya dapatkan pemeriksaan daripada doktor atau pakar kesihatan wanita. Ia mungkin petanda jangkitan atau masalah kesihatan yang memerlukan rawatan.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?







