
Darah haid yang bocor pada pakaian antara perkara yang sering merisaukan kaum wanita. Apatah lagi apabila pakaian tersebut sudah dicuci dan disental, namun kesannya masih kelihatan samar-samar pada kain.
Situasi ini boleh menimbulkan rasa waswas, terutama apabila mahu menunaikan solat. Timbul persoalan, adakah pakaian tersebut masih najis? Sahkah solat jika masih ada kesan warna darah yang tidak hilang sepenuhnya?
Secara umum, darah haid termasuk dalam kategori najis yang wajib dibersihkan sebelum solat.
BACA JUGA: Wanita Dalam Haid Adakah Dilarang Duduk Di Beranda Masjid
Cara membersihkannya adalah dengan mengalirkan air mutlak pada bahagian yang terkena najis sehingga hilang bau, warna dan rasa.
Namun, persoalan yang sering berlaku ialah apabila pakaian telah dicuci dengan bersungguh-sungguh, bau dan rasa darah sudah hilang, tetapi warna atau kesan samar masih melekat pada kain.
Menurut pandangan Islam, keadaan ini termasuk dalam perkara yang dimaafkan atau disebut sebagai ma‘fu ‘anhu.
Ini kerana seseorang itu telah berusaha membersihkan pakaian tersebut sebaik mungkin. Jika yang tinggal hanyalah kesan warna yang sukar dihilangkan, maka ia tidak memudaratkan dan pakaian tersebut boleh digunakan untuk solat.
Hal ini kerana warna darah yang meresap ke dalam serat kain kadangkala sangat kuat. Ada masanya ia bertukar menjadi kesan kekal yang sukar dihilangkan tanpa merosakkan kain itu sendiri. Islam tidak membebankan umatnya dengan sesuatu yang berada di luar kemampuan.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata bahawa Khaulah binti Yasar pernah datang bertemu Rasulullah SAW lalu bertanya:
Maksudnya:“Khaulah Binti Yasar datang bertemu dengan Nabi SAW. Beliau berkata: Wahai Rasulullah aku tiada pakaian melainkan satu helai sahaja dan ada kesan haid pada pakaian tersebut. Bagaimana perlu aku lakukan?, Baginda SAW menjawab : Jika engkau telah suci, bersihkanlah pakaian tersebut kemudian solatlah menggunakan pakaian itu. Khaulah berkata lagi : Jika tiada darah yang keluar?. Nabi SAW menjawab: Cukuplah sekadar basuh darah haid dan kesannya tidak memudaratkan engkau (boleh digunakan untuk solat dan sebagainya).”
(Riwayat Abu Daud)
Hadis ini menunjukkan bahawa Islam memberi keringanan dalam keadaan sebegini. Apa yang penting ialah usaha untuk membersihkan najis tersebut telah dilakukan dengan betul dan bersungguh-sungguh.
Bagi pakaian yang terkena darah haid, sebaiknya cuci menggunakan air sejuk terlebih dahulu. Elakkan menggunakan air panas pada peringkat awal kerana ia boleh menyebabkan darah lebih kuat melekat pada serat kain.
Selepas itu, barulah boleh gunakan sabun dan sental perlahan-lahan pada bahagian yang terkena darah.
Jika kesan darah sudah lama atau masih tinggal tompokan selepas dicuci, boleh cuba gunakan bahan seperti hidrogen peroksida, soda bikarbonat atau garam untuk membantu menanggalkan kesan tersebut. Namun pastikan bahan yang digunakan sesuai dengan jenis kain supaya pakaian tidak rosak.
Kesimpulannya, jangan terlalu dibelenggu rasa waswas jika pakaian sudah dicuci sebaik mungkin. Jika bau dan rasa darah telah hilang, tetapi masih tinggal kesan warna yang sukar ditanggalkan, maka ia dimaafkan.
Solat tetap sah, selagi kita telah berusaha membersihkan pakaian tersebut mengikut kemampuan. Sesungguhnya Islam adalah agama yang mudah, indah dan tidak menyusahkan umatnya.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?







