Soalan
Saya ingin bertanya beberapa persoalan berkaitan siram air jampi pada kenderaan : 1.Apakah hukum renjis/bilas kenderaan bagi memastikan tidak kena musibah seperti kemalangan, kecurian, kerosakan dan sebagainya.
2.Apakah hukum siram/renjis kereta kerana disyakki kenderaan yang digunakan terkena Ain.
3.Adakah terdapat perbezaan/persamaan perbuatan tersebut dengan amalan kaum agama lain yang mana secara zahirnya dilihat lebih kurang sama.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara;
1. Perbuatan merenjis/ membilas kenderaan bagi mengelakkan musibah adalah sesuatu yang tidak disyariatkan, hukumnya tidak harus kerana menimbulkan fitnah dan tohmah terhadap masyarakat Islam.
Jika berlaku sesuatu musibah ucaplah sebagaimana firman Allah SWT; الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ Maksud: “(iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. (al-Baqarah : 156)
2. Hukumnya juga tidak harus. Cara menghindari daripada penyakit Ain bukanlah dengan menyiram/ merenjis air ke kereta. Caranya ikutlah panduan yang telah dinyatakan dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abi Said RA; كان رسول الله ﷺ يتعوذ من عين الجان ثم أعين الانس. فلما نزل المعوذتان أخذهما. وترك ماسوى ذلك
Maksudnya : “Adalah Rasulullah SAW berlindung diri kepada Allah dari penyakit pandangan jahat jin dan juga manusia. Maka ketika turun surah al-Muawwizatan (iaitu surah al-Falaq dan surah an-Nas) baginda mengamalkannya dan meninggalkan yang lainnya” (Riwayat Ibnu Majah)
Justeru, amalkanlah bacaan surah al-Falaq dan surah an-Nas sebagai pelindung diri dari kejahatan jin, manusia dan makhluk lainnya.
3. Jika orang Islam sendiri percaya amalan tersebut, tiada bezanya dengan kaum lain. Sedangkan Islam telah memberikan panduan untuk berkenderaan dengan membaca dan mengamalkan doa sebagaimana firman Allah SWT; وَالَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَاجَ كُلَّهَا وَجَعَلَ لَكُمْ مِنَ الْفُلْكِ وَالْأَنْعَامِ مَا تَرْكَبُونَ لِتَسْتَوُوا عَلَىٰ ظُهُورِهِ ثُمَّ تَذْكُرُوا نِعْمَةَ رَبِّكُمْ إِذَا اسْتَوَيْتُمْ عَلَيْهِ وَتَقُولُوا سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَٰذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَىٰ رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ
Maksudnya : “Dan (Dia lah) yang menciptakan sekalian makhluk yang berbagai jenisnya; dan Ia mengadakan bagi kamu kapal-kapal dan binatang ternak yang kamu dapat mengenderainya, Supaya kamu duduk tetap di atasnya; kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan: “Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya -“Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!” (az-Zukhruf : 12 – 14)
Selepas semua usaha dilakukan seperti memastikan kenderaan diservis, memandu secara berhemah, mematuhi isyarat di jalanraya dan sebagainya, maka bertawakkallah kepada Allah SWT.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.
Sumber: Mufti Selangor
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Surat Terbuka Buat Syamsul Yusof & Keluarga, Hadam Baik-Baik Nasihat Dr Zulkifli Ini
Isi Kandungan
ToggleSurat terbuka buat Syamsul Yusof, Puteri Sarah dan keluarga, hadam baik-baik nasihat Dr Zulkifli ini. Ternyata apa yang berlaku kepada pasangan selebriti ini turut mendapat perhatian ramai dan tidak terkecuali Dr Zulkifli.
Mengambil kesempatan ini, Mantan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkongsi surat terbuka berupa nasihat kepada Syamsul Yusuf dan ahli keluarganya.
Artikel Berkaitan:
Surat Terbuka
Ternyata apa yang disampaikan Dr Zulkifli bukan hanya khusus buat Syamsul dan Puteri Sarah, tetapi mungkin boleh digunapakai oleh pasangan suami, isteri di luar sana. Ini isi kandungan surat terbuka Dr Zulkifli:
Kepada Syamsul Yusof, Keluarga dan Masyarakat
Semasa saya di dalam penerbangan Garuda Air menuju ke Jakarta pada tengahari ini pada 9 Januari 2023, saya sempat meneliti isu-isu semasa di media sosial.
Masih hangat dibincangkan tentang saudara Syamsul Yusof, keluarga dan juga bapanya, Datuk Yusof Haslam. Isu yang agak lama berlarutan, sehingga dinoktahkan dengan pengakuan Syamsul baru-baru ini.
Terlebih dahulu saya memohon maaf kepada semua yang terlibat dalam isu ini. Sejujurnya saya tergerak untuk mengemukakan sedikit nasihat.
Bukanlah ingin membuktikan saya lebih mengetahui, tetapi sekadar ingatan bersama berdasarkan sedikit ilmu yang saya ada. Saya lafazkan ‘أستغفرُ اللهَ وأتوبُ إليهِ’. Mudah-mudahan kita beroleh sedikit panduan dan pedoman.
Buat Syamsul Yusof & Keluarga
Saya mulakan nasihat ini seperti berikut:
Pertama: Agama itu adalah Nasihat
Ini selaras dengan firman Allah SWT:
وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ
Maksudnya: “Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran.”
(Surah al-Asr: 3)
Imam al-Tabari berkata: Maksud saling berpesan dengan kebenaran itu adalah mereka saling menasihati untuk mengerjakan amalan, sebagaimana diturunkan oleh Allah di dalam Kitab-Nya, iaitu yang diperintahkan-Nya dan menjauhi apa yang dilarang-Nya. (Lihat Tafsir al-Tabari, 24/590)
Hadam Baik-Baik Nasihat Dr Zulkifli Ini
Kita mahukan apa yang terzahir adalah satu gambaran umat atau kelompok Muslimin yang bersatu padu, satu umat yang terpilih, yang sedar dan yang tegak di bumi di atas lunas-lunas kebenaran, keadilan dan kebaikan.
Begitulah yang ditafsirkan oleh Sayyid Qutb Islam pada ayat di atas. Allah SWT mahukan mereka menjadi satu umat yang terpilih, kuat, sedar, siap siaga mengawasi kebenaran dan kebaikan dan sentiasa saling berpesan sesama mereka supaya menjunjung kebenaran dan bersabar dalam perjuangan dan hidup saling mesra.
Di samping itu, bekerjasama dengan semangat ukhuwah Islamiyah sebagaimana apa yang disarankan oleh kata-kata berpesan di dalam al-Quran. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 17/521). Begitulah besarnya peranan nasihat.
Kedua: Syabas kepada Saudara Syamsul
Tindakan saudara meletakkan noktah bagi kemelut “cakap-cakap belakang” dengan mengisytiharkan perkahwinan tersebut adalah perlakuan yang berani.
Saya katakan syabas kerana itulah kalimah yang terbaik kerana ia berakhir dengan tindakan yang selari dengan syarak. Semoga dengan ini, akan selesailah kemelut yang menjadi teka-teki yang hakikatnya menyebabkan keadaan menjadi lebih parah.
Ketiga: Syabas kepada Datuk Yusof Haslam
Sikap yang ditunjukkannya jelas amat matang. Nada suaranya memberi erti seribu satu macam makna yang hanya dirasai oleh seorang bapa yang sedaya upaya berlaku adil dengan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah SWT sebagai pencorak kepada selembar kain putih.
Keempat: Kepada keluarga semua pihak yang terlibat, wajib untuk kita beriman dengan qadha’ dan qadar.
Ingatlah firman Allah SWT:
وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu sukakan sesuatu sedangkan itu adalah keburukan bagi kamu. Allah itu lebih mengetahui dan kamu tidak mengetahui.”
Surah al-Baqarah (216)
Ibn Kathir berkata:
Hal ini berlaku untuk semua perkara. Boleh jadi manusia menyukai sesuatu, padahal tidak ada kebaikan dan maslahat sama sekali di dalamnya. Allah yang mengetahui akhir sesuatu dari perkara kita.
Allah yang mengkhabarkan dengan apa yang ada maslahat untuk dunia dan akhirat kita. Maka lakukan dan patuhlah pada perintah-Nya, nescaya kita akan beroleh petunjuk.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/573)
Ini bersyaratkan dengan redha dan patuh kepada perintah Tuhan dan Rasul, buat mengikut kehendak-Nya dan menghindarkan hanya beriman dengan emosi dan perasaan. Kenyataan ini ditegaskan oleh tokoh tasawuf, Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari:
سَوَابِقُ الهِمَمِ لَا تَخْرِقُ أَسْوَارَ الأَقْدَارِ
Maksudnya: “Segala cita-cita terdahulu itu tidak boleh mencarikkan segala kota takdir.”
Ia membawa maksud bahawa sesuatu yang ditentukan Allah SWT sejak azali tidak boleh diubah dengan apa-apa jua pun termasuk kekuatan azam hati. (Lihat Ahasin al-Kalim Syarh al-Hikam, 1/22)
Antara tindakan kita, lihatlah ke hadapan dengan penuh optimis dan keyakinan yang tinggi. Jarakkan diri dari bersifat pesimis. Justeru, kitalah yang akan mewarnai kehidupan kita untuk menuju kebahagiaan.
Kelima: Sikap kita semua
Kita akan menuju untuk menemui Tuhan. Ambillah kebaikan dalam hidup dan jadikan keburukan sebagai sempadan untuk membina semula kehidupan yang baharu. Tidak ada yang sempurna kerana kehidupan itu sendiri adalah medan ujian.
Allah SWT berfirman:
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ
Maksudnya: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.”
(Surah al-Mulk: 2)
Untuk menghasilkan ‘أَحْسَنُ عَمَلًا’ (yang lebih baik amalnya), maka sudah tentu dengan mengutip pengajaran dan pengalaman terdahulu bagi memaknai kehidupan kita di dunia. Kehidupan yang berorientasikan akhirat.
Bak kata Hamka, “Hidup ini hanya sekali, justeru biarlah bererti.” Justeru, binalah tekad untuk membina kehidupan baru yang lebih baik.
Keenam: Kehidupan yang baru hendaklah diteruskan.
Inilah realiti, di mana semua pihak perlu akur. Nasihat saya, dalam kehidupan rumah tangga, tiga perkara utama perlu dititikberatkan:
Keadilan sama ada dari nafkah zahir dan batin, termasuk juga perasaan kasih sayang.
Baca Di Sini:
‘Semoga Terus Kuat & Tabah.’ Puteri Sarah Tidak Rela Bermadu, Minta Syamsul Yusof Lepaskannya
Kashoorga : Semoga apa yang berlaku kepada pasangan selebriti ini menjadi iktibar buat kita semua.
Sumber : maktabahalbakri.com
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Dosa Bulanan Wanita, Sengaja Tangguh Mandi Wajib!
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
“Semuanya Allah Yang Beri”, Usahawan Kongsi Telekung Harga RM16,000 Untuk Jumpa Allah
Ada duit kita mampu membeli segala-galanya. Mampu membeli barangan mahal dan eksklusif dan mampu menikmati hidup apa yang kita corakkan.
Perkongsian usahawan tudung, Haliza Maysuri yang juga pengasas dan pemilik Bawal Exclusive di Tik Toknya mengenai harga telekungnya RM16,000 mengundang reaksi orang ramai.
Dalam akaunnya, usahawan ini memaklumkan telekung harga RM16,000 untuk jumpa Allah. Tulisnya lagi, barulah rasa tak bersalah pakai bag harga belasan ribu untuk jumpa kawan-kawan.
“Semuanya Allah yang beri,” katanya sambil menggayakan telekung berkenaan.
Dalam pada itu, perkongsiannya mendapat respon dari orang ramai di mana ada pro dan kontranya.
Ada menulis, ia adalah sifat riak bahkan kata mereka, harga bukan nilai ukuran bertemu Allah tapi keikhlasan.
Tapi jika dipandang dari satu sudut positif, ramai mampu membeli bag tangan atau baju mahal-mahal dan kelihatan bergaya saat bertemu kawan-kawan namun bila bertemu Allah, tidak ramai berani mengeluarkan duit yang banyak untuk membeli telekung yang sangat selesa saat mengadap Allah.
Apa pun pandangan kita, paling utama, jangan pernah tinggalkan solat kerana ia tiang agama. Jika tiang ini roboh atau runtuh, hidup kita juga roboh.
https://www.tiktok.com/@halizamaysuri/video/7104074047985667355?is_from_webapp=1&sender_device=pc&web_id=6973624686812366338
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Ketika Wanita Alami Mimpi Basah, Perlukah Mandi Junub?
Sebagaimana orang lelaki, wanita juga bermimpi basah. Dan kadang kala melakukan kerja gila dengan melakukan masturbasi untuk melepaskan puncak seksual terutama bagi pasangan yang tinggal berjauhan. Persoalannya, perlukah mandi junub kalau mimpi basah?
Mufti Wilayah berkongsi jawapan mengenai hal ini.
Saya ada satu persoalan. Wajibkah seseorang itu mandi wajib jika dia sengaja beronani tanpa keluar air mani, walaupun untuk perempuan? Dan sekiranya dia was-was terhadap air atau cecair yang keluar dan mengambil jalan untuk mandi wajib adakah memadai? Mohon pencerahan mengenai perkara ini.
Jawapan :-
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Mukadimah
Kami mulakan dengan firman Allah SWT :
وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ
Maksudnya : “(Dan golongan yang beriman itu) adalah mereka yang memelihara kemaluan mereka. Melainkan ke atas para isteri mereka atau hamba-hamba sahaya mereka, sesungguhnya mereka itu tidak tercela. Maka sesiapa yang mencari-cari di sebalik itu mereka merupakan golongan yang melampaui batas.”
(Surah al-Mukminun : 5 – 7)
Para ulama kebanyakannya menyatakan bahawa hukum beronani adalah haram. Imam Syafie ketika mengulas ayat di atas menyatakan bahawa :
فَلَا يَحِلُّ الْعَمَلُ بِالذَّكَرِ إلَّا فِي الزَّوْجَةِ أَوْ فِي مِلْكِ الْيَمِينِ وَلَا يَحِلُّ الِاسْتِمْنَاءُ
Maksudnya : “Tidak halal menggunakan zakar melainkan kepada isteri atau kepada hamba perempuan yang dimiliki. Dan tidak halal juga perbuatan istimna’ (mengeluarkan air mani).” (Lihat al-Umm, 5/102)
Kami jelaskan terlebih dahulu definisi bagi perkataan onani. Onani ialah perbuatan mengeluarkan mani dengan tangan. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, hlm. 1097) Lafaz الاستمناء atau onani itu berasal dari kata terbitan استمنى iaitu usaha mengeluarkan air mani. Manakala dari sudut istilah pula ia membawa maksud mengeluarkan air mani tanpa melalui proses persetubuhan, sama ada secara haram seperti menggunakan tangan bagi memenuhi tuntutan syahwat, ataupun secara tidak haram, seperti mengeluarkan air mani melalui tangan isteri. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 4/97)
Sebab-sebab yang mewajibkan mandi
Antara sebab yang mewajibkan seseorang itu untuk mandi ialah janabah. Makna asal janabah ialah jauh. Janabah juga bermaksud air mani yang terpancut atau persetubuhan.
Oleh itu, orang yang junub ialah orang yang tidak suci disebabkan keluarnya air mani atau bersetubuh. Ia dinamakan sebagai junub kerana orang yang berjanabah itu menjauhkan diri daripada mendirikan solat selama mana dia berkeadaan demikian. Perkataan junub digunakan untuk umum, sama ada untuk lelaki atau perempuan, dan sama ada untuk seorang atau ramai.
Dan seseorang itu dianggap sebagai telah berjunub disebabkan oleh dua perkara :
- Keluar air mani sama ada di kalangan lelaki atau perempuan dengan apa-apa sebab sekalipun sama ada dengan bermimpi, bercumbuan, melihat seseorang dengan berahi atau berkhayal.
- Bersetubuh sekalipun tidak keluar air mani.
(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, Cet. Dar al-Qalam, 1/73-74)
Beronani tetapi tidak keluar air mani
Secara umumnya, perbuatan onani yang mewajibkan pelakunya untuk mandi wajib, diikat dengan syarat keluarnya air mani. Sekiranya air mani tidak keluar disebabkan oleh zakar yang menahannya daripada keluar dan dia tidak mengetahui (atau nampak tanda-tanda) mengenai keluarnya air mani tersebut selepas itu, maka majoriti ulama termasuk mazhab Syafie mengatakan tidak perlu mandi wajib. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/140)
Begitu juga, turut dinyatakan di dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (4/99) bahawa :
يَجِبُ الْغُسْل عَلَى الْمَرْأَةِ إنْ أَنْزَلَتْ بِالاِسْتِمْنَاءِ بِأَيِّ وَسِيلَةٍ حَصَل
Maksudnya : “Wajib ke atas seorang perempuan yang beronani untuk mandi wajib, sekiranya keluar air mani kerana perbuatan onaninya itu, dengan apa cara sekalipun.”
Oleh itu, difahami daripada kenyataan di atas, sekiranya seseorang perempuan itu beronani tetapi tidak sampai mengeluarkan air mani, maka tidak wajib ke atasnya untuk mandi wajib.
Hal ini juga adalah berdasarkan kepada hadis Aisyah R.Anha, katanya :
سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الرَّجُلِ يَجِدُ الْبَلَلَ وَلاَ يَذْكُرُ احْتِلاَمًا قَالَ : يَغْتَسِلُ. وَعَنِ الرَّجُلِ يَرَى أَنَّهُ قَدِ احْتَلَمَ وَلاَ يَجِدُ الْبَلَلَ قَالَ: لاَ غُسْلَ عَلَيْهِ. فَقَالَتْ أُمُّ سُلَيْمٍ: الْمَرْأَةُ تَرَى ذَلِكَ أَعَلَيْهَا غُسْلٌ قَالَ: نَعَمْ ، النِّسَاءُ شَقَائِقُ الرِّجَالِ
Maksudnya : “Rasulullah SAW telah ditanya tentang seorang lelaki yang mendapati dirinya basah tetapi dia tidak ingat mimpinya. Rasulullah SAW menjawab: Dia hendaklah mandi. Baginda juga ditanya tentang seorang lelaki yang bermimpi tetapi mendapati dirinya tidak basah. Baginda menjawab: Dia tidak wajib mandi. Kemudian Ummu Sulaim pula bertanya: Jika perempuan bermimpi demikian, adakah dia wajib mandi? Rasulullah SAW menjawab: Ya, kerana perempuan adalah pasangan kepada lelaki.” Riwayat Abu Daud (236)
Berbalik kepada persoalan di atas, seorang perempuan yang beronani hukumnya sama seperti lelaki yang beronani iaitu diwajibkan untuk mandi sekiranya keluar air mani kerana perbuatan onaninya itu, dan sekiranya tidak keluar air mani maka tidak diwajibkan untuk mandi.
Had penentuan keluar air mani (inzal) yang mewajibkan perempuan untuk mandi
Namun, perkara yang mesti diberi perhatian oleh kaum perempuan ialah had penentuan yang menunjukan bahawa telah berlakunya inzal (keluar air mani) yang mewajibkannya untuk mandi. Mengenai perkara ini, Imam al-Nawawi telah menukilkan di dalam kitabnya bahawa :
وَلَوْ أَنْزَلَتْ الْمَرْأَةُ الْمَنِيَّ إلَى فَرْجِهَا فَإِنْ كَانَتْ بِكْرًا لَمْ يَلْزَمْهَا الْغُسْلُ حَتَّى يَخْرُجَ مِنْ فَرْجِهَا لِأَنَّ دَاخِلَ فَرْجِهَا فِي حُكْمِ الْبَاطِنِ وَلِهَذَا لَا يَلْزَمُهَا تَطْهِيرُهُ فِي الِاسْتِنْجَاءِ وَالْغُسْلِ فَأَشْبَهَ إحْلِيلَ الذَّكَرِ وَإِنْ كَانَتْ ثَيِّبًا لَزِمَهَا الْغُسْلُ لِأَنَّهُ يَلْزَمُهَا تَطْهِيرُ دَاخِلِ فَرْجِهَا فِي الِاسْتِنْجَاءِ فَأَشْبَهَ الْعُضْوَ الظَّاهِرَ
Maksudnya : “Jika seorang perempuan itu telah keluar air mani sehingga sampai ke farajnya, maka sekiranya dia seorang anak dara (belum pernah berkahwin dan disetubuhi), tidak wajib ke atasnya untuk mandi sehinggalah air mani tersebut keluar daripada farajnya kerana bahagian dalam farajnya mengambil hukum bahagian anggota dalam (bukan zahir dan nampak).
Oleh kerana itu, tidak wajib ke atasnya membersihkan bahagian dalam farajnya ketika beristinja’ dan mandi wajib sepertimana hukum urethra (saluran kencing) zakar. Manakala sekiranya dia seorang thayyib (pernah berkahwin dan disetubuhi), wajib ke atasnya untuk mandi kerana diwajibkan juga ke atasnya untuk membasuh bahagian dalam farajnya ketika beristinja’. Maka ia menyerupai hukum anggota zahir (yang nampak).” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/140)
Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff dan al-Khatib al-Syirbini menjelaskan lagi bahawa seorang perempuan itu, tidak wajib untuk mandi melainkan setelah keluar air mani. Bagi anak dara (belum pernah berkahwin dan disetubuhi), wajib ke atasnya untuk mandi sekiranya air mani telah keluar dari farajnya (melepasinya).
Manakala bagi thayyib (pernah berkahwin dan disetubuhi) pula, wajib ke atasnya untuk mandi sekiranya air mani tersebut telah sampai di tempat yang wajib untuknya basuh ketika beristinja’ (sekalipun masih belum keluar melepasi farajnya), iaitu bahagian yang terzahir (nampak) ketika duduk atas kedua kakinya (duduk bercangkung) atau sewaktu qada’ hajat (buang air). (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 114, Mughni al-Muhtaj, 1/214 dan al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 16/49) Ini juga adalah merupakan pendapat Imam al-Hattab al-Maliki. (Lihat Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar Khalil, 1/307)
Syak atau waswas pada air yang keluar sama ada air mani atau bukan
Terlebih dahulu, kami ingin sebutkan di sini beberapa tanda yang telah disebutkan oleh para ulama yang menunjukan bahawa ia adalah air mani dan wajib ke atas sesiapa yang ada salah satu daripada tanda-tanda ini untuk mandi wajib, tidak kira sama ada lelaki mahupun perempuan. Tanda-tandanya ialah :
- Ia keluar dengan rasa lazat dan kepuasan syahwat.
- Ia keluar secara memancut.
- Mempunyai bau seperti tepung yang diuli apabila ia basah atau berbau hanyir seperti bau putih telur jika ia kering.
Walau bagaimanapun, Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff juga menegaskan bahawa bukanlah tanda air mani itu mesti bewarna putih atau keluarnya dengan diiringi lembiknya zakar atau rasa lemah. Akan tetapi, ia hanyalah perkara yang menunjukan kebiasaannya begitu. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 116)
Oleh itu, sekiranya perempuan tersebut tidak pasti atau waswas terhadap air yang keluar sama ada air mani atau mazi selepas beronani. Juga tidak terdapatnya sebarang rasa atau tanda-tanda lain yang menunjukan bahawa air maninya telah pun keluar. Dalam kes ini, perempuan tersebut diberi pilihan sama ada cenderung untuk menganggapnya sebagai air mani atau air mazi.
Sekiranya dia cenderung untuk menganggapnya sebagai air mani, maka wajib ke atasnya untuk mandi. Dan sekiranya dia cenderung untuk menganggapnya sebagai air mazi, maka wuduknya telah terbatal dan perlu membasuhnya. Akan tetapi, adalah lebih baik (afdhal) untuk dia menghimpunkan kedua-duanya sekali iaitu mandi wajib dan membasuh bahagian yang terkena air tadi. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 116-117) Pilihan yang ketiga ini lebih selamat dan keluar daripada khilaf.
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :
- Pertama sekali, kami ingin menegaskan bahawa beronani adalah haram dan boleh membawa kepada kesan-kesan sampingan yang negatif sama ada dari sudut emosi, kekuatan tubuh badan, dan pelbagai kesan yang lain.
- Seorang perempuan yang beronani diwajibkan ke atasnya untuk mandi wajib sekiranya keluar air mani disebabkan oleh perbuatan onaninya itu. Dan sekiranya tidak keluar air mani maka tidak diwajibkan ke atasnya untuk mandi.
- Namun, perkara yang mesti diberi perhatian oleh kaum perempuan ialah had penentuan yang menunjukan bahawa telah berlakunya inzal (keluar air mani) yang mewajibkannya untuk mandi. Sekiranya dia seorang anak dara (belum pernah berkahwin dan disetubuhi), tidak wajib ke atasnya untuk mandi sehinggalah air mani tersebut keluar daripada farajnya (melepasinya).
Manakala jika dia seorang thayyib (pernah berkahwin dan disetubuhi), wajib ke atasnya untuk mandi sekiranya air mani tersebut telah sampai di tempat yang wajib untuknya basuh ketika beristinja’ (sekalipun masih belum keluar melepasi farajnya), iaitu bahagian yang terzahir (nampak) ketika duduk atas kedua kakinya (duduk bercangkung) atau sewaktu qada’ hajat (buang air). - Begitu juga, sekiranya perempuan tersebut tidak pasti atau waswas terhadap air yang keluar sama ada air mani atau air mazi selepas beronani. Juga tidak terdapatnya sebarang rasa atau tanda-tanda lain yang menunjukan bahawa air maninya telah pun keluar. Dalam kes ini, perempuan tersebut diberi pilihan sama ada memilih untuk menganggapnya sebagai air mani atau air mazi.
Sekiranya dia memilih untuk menganggapnya sebagai air mani, maka wajib ke atasnya untuk mandi. Dan sekiranya dia memilih untuk menganggapnya sebagai air mazi, maka wuduknya telah terbatal dan perlu membasuhnya. Akan tetapi, adalah lebih baik (afdhal) untuk dia menghimpunkan kedua-duanya sekali iaitu mandi wajib dan membasuh bahagian yang terkena cecair tadi. Pilihan yang ketiga ini lebih selamat dan keluar daripada khilaf.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam mengamalkan kehidupan beragama. Ameen.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI