
Kehilangan ahli keluarga merupakan satu ujian yang sangat berat untuk diterima. Lebih menyedihkan apabila yang pergi itu ialah ketua keluarga, seorang bapa dan suami yang selama ini menjadi tempat bergantung.
Bagi seorang balu, kehilangan suami bukan hanya meninggalkan luka di hati, tetapi juga kebimbangan besar tentang kelangsungan hidup. Lebih-lebih lagi jika masih mempunyai anak-anak kecil yang perlu dibesarkan, sedangkan punca pendapatan utama keluarga telah tiada.
Kehilangan itu sememangnya ujian besar daripada Allah. Namun, apa yang lebih menyakitkan ialah apabila harta yang ditinggalkan arwah lambat diproses sehingga hak waris yang sepatutnya diterima menjadi tertangguh.
BACA JUGA: Orang Tua Meninggal Anak Bergaduh Berebut Harta, Benarkah Ibu Bapa Terseksa Dalam Kubur
Melalui portal Jabatan Mufti Negeri Sembilan, sebelum harta arwah dibahagikan mengikut faraid, waris wajib menyelesaikan urusan jenazah, hutang dan pelaksanaan wasiat terlebih dahulu.
Realiti kehidupan hari ini memerlukan wang untuk hampir segala urusan. Perbelanjaan harian, keperluan anak-anak, bayaran rumah, bil utiliti dan komitmen lain tetap berjalan seperti biasa. Semua ini tidak akan terhenti hanya kerana sumber pendapatan utama dalam keluarga telah pergi buat selama-lamanya.
Oleh itu, isu kelewatan menguruskan harta pusaka bukan sekadar soal prosedur atau pembahagian harta semata-mata. Ia juga berkait rapat dengan ihsan terhadap balu dan anak-anak yatim yang kehilangan tempat bergantung.
Bukan tugas balu seorang diri untuk menguruskan semua urusan kewangan arwah suami, terutamanya jika balu tersebut tidak bekerja. Sebaliknya, pihak yang dipertanggungjawabkan seperti asabah, waris terdekat atau mana-mana waris yang lebih arif seharusnya tampil membantu memudahkan urusan ini.
Sikap suka bertangguh, tidak ambil serius atau bersikap acuh tidak acuh dalam urusan pusaka adalah sesuatu yang wajar dielakkan. Melambatkan hak orang lain, lebih-lebih lagi hak anak yatim, adalah satu bentuk kezaliman yang boleh mengundang dosa.
Kelewatan dalam menyelesaikan harta pusaka juga boleh merosakkan hubungan kekeluargaan. Sepatutnya harta yang ditinggalkan si mati menjadi asbab untuk meringankan beban ahli keluarga, namun apabila urusan ini dilambatkan, ia boleh menimbulkan rasa tidak puas hati, dendam dan akhirnya menyebabkan hubungan persaudaraan terputus.
Harta pusaka juga boleh hilang keberkatannya apabila proses penyerahannya diselubungi pertikaian, rasa tidak puas hati dan pengabaian terhadap kebajikan waris yang benar-benar memerlukan.
Justeru, sesiapa sahaja yang diberi tanggungjawab untuk menguruskan harta pusaka si mati perlu menyegerakan urusan tersebut dengan penuh amanah. Jangan biarkan balu dan anak-anak yatim terus menunggu dalam kesempitan sedangkan hak mereka sudah jelas.
Mudahkanlah urusan orang lain, mudah-mudahan urusan kita juga dipermudahkan Allah. Menyelesaikan urusan pusaka dengan segera adalah sebahagian daripada tuntutan ihsan dan bukti kasih sayang kepada arwah.
Melalui sebuah hadis yang disebut oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Jiwa (atau roh) orang beriman itu akan tergantung kerana hutangnya sehinggalah seseorang menyelesaikan bagi pihaknya.
Semoga roh si mati lebih tenang di sana, tanpa tergantung disebabkan urusan dunia yang masih belum diselesaikan oleh mereka yang masih hidup.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?







