
Menjadi kebiasaan apabila membuka media sosial hari ini, kita melihat ramai dalam kalangan masyarakat berkongsi momen menyerahkan surat peletakan jawatan kepada majikan masing-masing.
Ada yang menjadikan detik itu sebagai simbol keberanian, tanda keluar daripada tekanan kerja, malah ada juga yang melihatnya sebagai satu bentuk motivasi kepada orang lain yang sedang melalui situasi sama.
Tidak dinafikan, keputusan berhenti kerja mungkin dibuat atas pelbagai faktor. Ada yang sudah terlalu penat secara fizikal dan mental, ada yang mahu mencuba bidang baharu dan ada juga yang merasakan tempat kerja sedia ada tidak lagi sesuai dengan hala tuju hidup mereka.
Namun, dalam keterujaan meraikan “keberanian” berhenti kerja, ada satu perkara penting yang sering dilupakan iaitu perancangan.
BACA JUGA: Prank Dan Gurauan Melampau Dalam Islam, Ini Batas Yang Perlu Dijaga
Trend sebegini seolah-olah menggambarkan bahawa berhenti kerja secara mengejut adalah satu pencapaian besar. Malangnya, tidak sedikit yang akhirnya terjerat dalam keputusan berasaskan emosi. Bagi mereka, yang penting adalah berhenti dahulu, manakala soal masa depan difikirkan kemudian.
Antara alasan yang sering digunakan ialah, “Tidak mengapa, rezeki Allah itu luas,”.
Benar, rezeki Allah SWT itu sangat luas. Namun persoalannya, adakah tindakan melepaskan mata pencarian tanpa sebarang perancangan benar-benar menepati konsep tawakal yang diajarkan dalam Islam? Atau sebenarnya ia hanyalah tindakan melulu yang berselindung di sebalik nama tawakal?
Islam tidak pernah melarang umatnya untuk bertukar kerjaya, mencuba bidang baharu atau keluar daripada suasana kerja yang tidak sihat. Namun, Islam sangat menekankan soal ikhtiar, persediaan dan pertimbangan sebelum membuat sebarang keputusan besar dalam hidup.
Dalam sebuah hadis, seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang untanya:
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, adakah perlu aku mengikat untaku lalu bertawakal, atau aku lepaskan ia begitu sahaja dan bertawakal?”
Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Ikatlah untamu dan bertawakallah.”
(Hadis Riwayat Al-Tirmidzi)
Hadis ini memberi pengajaran besar bahawa tawakal bukan bermaksud menyerahkan segala-galanya kepada Allah SWT tanpa usaha. Sebaliknya, tawakal perlu didahului dengan ikhtiar dan perancangan yang munasabah.
Dalam konteks berhenti kerja, “mengikat unta” boleh difahami sebagai membuat persediaan sebelum meletakkan jawatan.
Antaranya, adakah kita sudah mempunyai simpanan kecemasan yang mencukupi? Adakah komitmen bulanan sudah dikira dengan teliti? Adakah sudah ada tawaran kerja baharu, sumber pendapatan lain atau perancangan yang jelas selepas berhenti?
Tawakal tanpa usaha dan perancangan bukanlah tawakal yang sebenar. Ia lebih dekat kepada tindakan terburu-buru atau melulu yang boleh mengundang kesusahan kepada diri sendiri dan orang lain.
Kesan keputusan berhenti kerja secara mengejut boleh menjadi lebih besar, terutama bagi mereka yang sudah berkeluarga. Keputusan yang dibuat kerana emosi boleh memberi kesan domino kepada pasangan, anak-anak dan ahli keluarga yang bergantung kepada pendapatan tersebut.
Dalam Islam, mencari nafkah yang halal untuk menyara keluarga adalah satu tanggungjawab yang besar. Bahkan, ia juga dikira sebagai ibadah apabila dilakukan dengan niat yang betul.
Rasulullah SAW memberikan peringatan tegas dalam hal ini melalui sabda Baginda yang bermaksud:
“Cukuplah seseorang itu dianggap berdosa apabila dia mengabaikan orang yang berada di bawah tanggungannya.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Maka, memilih untuk mengejar ketenangan jiwa dengan cara mengabaikan nafkah wajib ahli keluarga bukanlah keputusan yang wajar. Ketenangan sebenar tidak akan hadir daripada tindakan yang akhirnya menyebabkan tanggungjawab terabai.
Ramai yang menyangka apabila keluar dari pejabat, semua masalah akan selesai secara automatik. Namun, realitinya tidak semudah itu.
Fasa awal selepas berhenti kerja mungkin terasa lega, seolah-olah beban besar telah hilang. Tetapi apabila pendapatan mula berkurangan, simpanan semakin susut dan komitmen bulanan tetap perlu dibayar, tekanan baharu pula muncul.
Ketika itu, hati mula gelisah. Ada yang mula menyalahkan keadaan, malah tidak kurang juga yang menyalahkan takdir. Niat asal mahu mencari ketenangan akhirnya bertukar menjadi penderitaan yang lebih panjang kerana keputusan dibuat tanpa persediaan yang kukuh.
Islam ialah agama yang sangat praktikal. Jika seseorang benar-benar sudah tidak mampu bertahan di tempat kerja sedia ada dan mahu bertukar arah, lakukanlah dengan penuh hikmah serta berpandukan pertimbangan yang betul.
Pertama, lakukan solat istikharah. Mohonlah petunjuk daripada Allah SWT agar keputusan yang dibuat membawa kebaikan kepada dunia dan akhirat. Dalam masa yang sama, lakukan juga istisyarah iaitu berbincang dengan orang yang dipercayai, matang dan berpengalaman.
Dapatkan pandangan daripada ahli keluarga, pasangan, mentor, rakan yang bijak mengurus kewangan atau individu yang pernah melalui situasi sama. Kadang-kadang, pandangan orang luar membantu kita melihat sesuatu perkara dengan lebih rasional, terutama ketika emosi sedang menguasai diri.
Kedua, ukur baju di badan sendiri. Jangan sesekali menyamakan fasa hidup kita dengan apa yang dipaparkan oleh pempengaruh di media sosial. Ada yang berani berhenti kerja kerana sudah mempunyai pendapatan pasif, simpanan besar atau sokongan kewangan keluarga yang kukuh.
Realiti hidup setiap orang tidak sama. Apa yang nampak indah di media sosial belum tentu menggambarkan keseluruhan kehidupan seseorang.
Ketiga, pastikan ada perancangan kewangan yang jelas. Sekurang-kurangnya, sediakan simpanan kecemasan untuk beberapa bulan, kurangkan hutang yang tidak perlu dan pastikan keperluan asas keluarga tidak terjejas. Jika mahu memulakan perniagaan, buat kajian terlebih dahulu dan jangan bergantung semata-mata kepada semangat.
Keempat, berhenti kerja kerana ada hala tuju, bukan sekadar mahu lari daripada masalah. Jika masalah di tempat kerja masih boleh diselesaikan melalui perbincangan, pertukaran jabatan atau penambahbaikan cara bekerja, pertimbangkan dahulu pilihan tersebut sebelum membuat keputusan muktamad.
Rezeki memang mutlak milik Allah SWT. Tiada satu pun makhluk di muka bumi ini akan mati melainkan setelah disempurnakan rezekinya. Namun, jalan untuk menjemput rezeki tetap perlu melalui lorong syariat, akal yang sihat dan strategi yang betul.
Jadilah Muslim yang bijak merancang. Berhentilah kerja kerana mempunyai destinasi dan perancangan baharu yang jelas, bukan sekadar mahu melarikan diri daripada tekanan tanpa sebarang persediaan.
Mengundurkan diri dengan persediaan yang rapi bukan sahaja dapat menyelamatkan maruah dan kestabilan kewangan, malah mencerminkan kefahaman yang lebih tepat terhadap konsep tawakal yang diredai Allah SWT.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?







