--:--
--
--

Imsak

--:--

Subuh

--:--

Zohor

--:--

Asar

--:--

Maghrib

--:--

Isyak

--:--
Waktu Solat di:
--

WAKTU IFTAR MALAYSIA

Ramadan - Ramadan 1446 H
Imsak

Imsak -

--:--
Berbuka

Berbuka -

--:--
* "Allow" lokasi untuk ketepatan
Ads

Jangan Abaikan Emosi Anak Remaja, Ibu Bapa Perlu Wujudkan Safe Space Di Rumah

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan satu insiden tular membabitkan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun di Banting.

Insiden tersebut membuka mata ramai pihak tentang pentingnya peranan ibu bapa, keluarga, guru dan masyarakat dalam memahami keadaan emosi anak-anak, khususnya remaja yang sedang melalui fasa perubahan diri.

BACA JUGA: Trend Berhenti Kerja Di Media Sosial, Berani Atau Terjerat Emosi?

Tidak dinafikan, membesarkan anak pada zaman ini bukanlah sesuatu yang mudah. Cabarannya jauh berbeza berbanding zaman dahulu. 

Anak-anak hari ini bukan sahaja berdepan tekanan pelajaran, malah turut terdedah kepada pengaruh media sosial, persekitaran, emosi yang tidak stabil serta cabaran kesihatan mental yang kadangkala sukar dilihat dengan mata kasar.

Namun, insiden seperti ini bukanlah ruang untuk kita menuding jari atau mencari siapa yang salah. Sebaliknya, ia perlu dijadikan peringatan bersama agar ibu bapa dan masyarakat lebih peka terhadap perubahan emosi anak-anak.

Berdasarkan kisah yang dilaporkan, remaja yang terlibat dalam insiden agresif itu difahamkan sedang bercuti beberapa bulan daripada sekolah bagi merawat masalah kesihatannya.

Kita bukanlah sesiapa untuk menghakimi apa yang berlaku dalam kehidupannya. Apa yang lebih penting, ibu bapa perlu mengambil iktibar bahawa anak-anak remaja memerlukan perhatian, sokongan emosi dan ruang selamat untuk meluahkan apa yang terbuku di hati.

Dalam Islam, pendekatan mendidik anak juga perlu disesuaikan mengikut peringkat usia. Antara nasihat yang sering dikaitkan dengan Saidina Ali RA ialah fasa mendidik anak berusia 15 tahun ke atas merupakan fasa melayan mereka sebagai sahabat.

Ini bermaksud, ibu bapa tidak lagi hanya menggunakan pendekatan arahan semata-mata, tetapi perlu lebih banyak mendengar, memahami dan membimbing dengan penuh hikmah.

Ads

Rasulullah SAW sendiri menunjukkan contoh terbaik dalam melayani golongan muda. Baginda melayan anak-anak muda dengan hormat, mendengar luahan mereka dan tidak memperkecilkan perasaan mereka. Antara contoh golongan muda yang dekat dengan Rasulullah SAW ialah Anas bin Malik RA dan Ibn Abbas RA.

Rumah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak kembali, bukan tempat yang membuatkan mereka takut untuk bersuara.

Sebagai ibu bapa, cuba wujudkan ruang selamat atau “safe space” di rumah. Anak-anak perlu tahu bahawa mereka boleh bercerita tanpa terus dimarahi, dihukum atau dihakimi.

Kadangkala, cara kita bertanya juga boleh memberi kesan kepada emosi anak. Daripada menggunakan soalan berbentuk interogasi seperti, “Kenapa tak pergi sekolah hari ini?” mungkin ibu bapa boleh menukar pendekatan kepada soalan yang lebih empati seperti, “Ada apa-apa yang mengganggu fikiran hari ini? Boleh ibu tolong jika ada masalah,”.

Soalan yang lembut dan penuh empati boleh membuka ruang untuk anak mula bercerita. Mungkin pada awalnya mereka diam, tetapi apabila mereka yakin ibu bapa benar-benar mahu mendengar, sedikit demi sedikit mereka akan mula berkongsi.

Ibu bapa juga perlu peka terhadap sebarang perubahan drastik yang berlaku pada anak-anak. Jangan terlalu mudah menganggap perubahan itu hanya sebagai “fasa remaja” atau sekadar perubahan emosi biasa.

Ads

Antara tanda awal yang boleh diberi perhatian ialah apabila anak mula memencilkan diri. Jika mereka sering mengurung diri di dalam bilik, enggan bergaul dengan ahli keluarga atau tidak lagi berminat melakukan aktiviti yang biasa disukai, ia mungkin petanda ada sesuatu yang sedang mengganggu fikiran mereka.

Selain itu, perubahan tabiat harian juga perlu diperhatikan. Contohnya, anak yang sebelum ini aktif tiba-tiba menjadi terlalu banyak tidur, tidak mahu bercakap dengan sesiapa, hilang selera makan atau menunjukkan perubahan emosi yang ketara.

Paling penting, jangan sesekali memandang ringan apabila anak mula mengeluarkan kata-kata seperti mahu berputus asa, tidak mahu hidup, penat dengan kehidupan atau rasa dirinya tidak berguna.

Kata-kata sebegini perlu diambil serius. Ia mungkin tanda anak sedang bergelut dengan tekanan emosi yang berat dan memerlukan bantuan segera daripada orang dewasa yang dipercayai atau pihak profesional.

Walaupun ibu bapa memainkan peranan utama, masyarakat sekeliling juga tidak boleh lepas tangan. Dalam Islam, konsep saling menjaga dan mengambil berat terhadap orang lain adalah sebahagian daripada tanggungjawab bersama.

Ads

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap daripada kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang dipimpinnya.”

Hadis ini mengingatkan bahawa setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab dalam lingkungan masing-masing. Ibu bapa bertanggungjawab terhadap anak-anak, guru terhadap murid, rakan terhadap sahabat dan masyarakat terhadap komuniti sekeliling.

Kejiranan dan warga sekolah juga perlu berperanan sebagai satu tubuh yang saling mengambil berat. Jika seorang pelajar sudah lama tidak hadir ke sekolah tanpa sebab yang jelas, guru atau rakan sebaya wajar bertanya khabar dan memaklumkan perkara tersebut kepada pihak keluarga.

Kadangkala, satu pertanyaan ringkas seperti “awak okay?” atau “ada apa-apa yang boleh kami bantu?” mampu memberi makna besar kepada seseorang yang sedang bergelut secara diam.

Berkemungkinan remaja yang bertindak agresif itu menyimpan seribu satu perasaan dalam hati yang sukar diluahkan. Mungkin jiwanya sedang bercelaru, mungkin emosinya tertekan dan mungkin dia sebenarnya sangat memerlukan bantuan daripada orang sekeliling.

Selain mendoakan mangsa yang tercedera, marilah kita sama-sama melihat semula anak-anak, rakan-rakan dan orang muda di sekeliling kita. Adakah mereka benar-benar baik-baik sahaja, atau sebenarnya sedang menyembunyikan luka yang tidak mampu diluahkan?

Walau apa pun yang berlaku, jangan cepat menghukum. Jadilah manusia yang lebih peka, lebih mendengar dan lebih berempati.

Anak-anak remaja bukan sekadar perlu ditegur apabila melakukan kesilapan. Mereka juga perlu didengar, difahami dan dipimpin dengan kasih sayang. Dalam setiap ujian, Allah SWT tetap bersama hamba-Nya yang sabar dan mencari jalan kebaikan.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok.

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download sekarang ya?

KLIK DI SEENI
Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi
Ads

Inspirasi Lain

Trend Berhenti Kerja Di Media Sosial, Berani Atau Terjerat Emosi?

Trend berhenti kerja semakin popular di media sosial, namun adakah keputusan itu dibuat dengan perancangan atau sekadar emosi? Ketahui pandangan Islam mengenai tawakal, ikhtiar dan tanggungjawab sebelum meletakkan jawatan.Trend Berhenti Kerja, Tawakal, Kerjaya, Kewangan Islam, Media Sosial