
Ujian kehilangan ibu bapa pada usia yang muda bukanlah satu perkara yang mudah untuk ditelan. Namun, bagi keluarga ini, ujian berat tersebut menjadi pemangkin untuk mereka saling menggenggam erat tali silaturahim dan menyokong antara satu sama lain dan membuktikan meraih Anugerah Pengetua MRSM bukanlah suatu yang mustahil.
Inilah kisah yang menyentuh hati ribuan warga netizen apabila tiga orang kakak sanggup melangkah jauh merentas negeri demi meraikan kejayaan adik bongsu mereka yang diraikan dalam Majlis Graduasi MRSM Terendak, Melaka baru-baru ini.
BACA JUGA: 3 Jam Sehari Menyulam, Nadzirah Buktikan Kekurangan Diri Bukan Penghalang Cari Rezeki
Pengorbanan Kakak Menggantikan Tempat Ibu Bapa
Kejayaan Muhammad Nor Azzim Nordin, anak jati Kuantan, Pahang, yang meraih Anugerah Pengetua MRSM terbukti amat bermakna apabila melihat tiga orang kakaknya Siti Nur Atiqah (27), Siti Norsafia (26) dan Siti Norazlina (23) hadir memberi sokongan padu.
Melalui perkongsian di laman TikTok, Siti Norsafia meluahkan rasa syukur dan bangga atas pencapaian adik bongsunya.
Mereka yang telah kehilangan ibu dan ayah yang telah dipanggil Ilahi pada 25 Mac 2022 dan 14 Disember 2023 enggan membiarkan adik kesayangan berada sendirian tanpa sorakan keluarga pada hari bahagia tersebut.
“Kakak terfikir, kalau kami tak datang, takkan adik nak naik pentas tanpa tepukan daripada ahli keluarga sendiri?
Montaj yang disiar takkan adik nak tengok dengan kawan je?
Bukan semua orang faham liku kisah hidup kita, tapi hari ini, terubat rasa bila dapat tengok riak gembira yang luar biasa pada wajah adik bila kakak-kakak ada di depan mata” luah Siti Norsafia penuh sebak.
Kasih dan Pesan Nasihat

Bagi kakak-kakak ini, perjalanan membesar dan memberi semangat kepada adik bongsu adalah satu amanah yang dipikul dengan penuh keikhlasan.
Titipan doa dan nasihat yang dititipkan buat Azzim sehingga dia mampu meraih Anugerah Pengetua MRSM juga mempamerkan betapa indahnya didikan kasih sayang terhadap adik bongsu mereka.
“Adik, tahniah atas anugerah ini. Kakak saksi setiap langkah perjalanan hidup adik. Cukup segala kepahitan yang pernah kita telan dan adik lalui. Terima kasih sebab sentiasa jadi anak dan adik yang menyenangkan serta sentiasa berbuat baik dengan orang sekeliling.
Hari ini, kakak bangga dengan kejayaan adik. Semoga terus cemerlang dunia dan akhirat. Jangan sesekali rasa diri dekat atas ya”
Impian Menjadi Guru & Menyebar Manfaat
Azzim menyimpan cita-cita murni untuk bergelar seorang pendidik. Atas sokongan dan doa tanpa henti daripada kakak-kakaknya menjadi kekuatan untuk dia terus memacu kejayaan dalam akademik, terutamanya menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bagi mereka, cukuplah sekiranya Azzim yang meraih Anugerah Pengetua MRSM membesar menjadi insan yang berdikari, bertanggungjawab, berakhlak mulia dan sentiasa memberi manfaat kepada masyarakat di sekelilingnya.
Kisah adik-beradik ini membuktikan bahawa kasih sayang yang dibina tidak akan pernah luntur walaupun tanpa ibu bapa di sisi.
Pengorbanan kakak-kakak ini juga menjadi peringatan buat kita semua tentang betapa tingginya nilai ikatan silaturahim sesama adik-beradik.
Sumber: Eytisafiaa / TikTok
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?


