Gosip melampau boleh menyebabkan sesebuah rumahtangga goyah. Berita yang disampaikan dari mulut ke mulut, yang belum tentu benarnya, boleh menjadi barah sehingga membuatkan suami isteri bergaduh sesama sendiri.
Sikap suka suka bercerita mengenai orang lain atau jaga tepi kain orang boleh mengundang padah. Bercerita dan kemudian menyampaikan cerita kepada orang lain. Lalu akhirnya semua orang bercerita mengenai rumahtangga kita tanpa tahu sama ada betul atau tidak kesahihan cerita itu.
Ditambah pula sikap cemburu buta. Hal ini boleh menyebabkan rumahtangga goyah apabila sudah tiada sikap saling mempercayai antara satu sama lain. Inilah bahayanya gosip yang disampaikan tanpa usul periksa.
Lakukan tip di bawah untuk meredakan keadaan.
TENANG
IKLAN
Sikap tenang disarankan apabila anda mendengar gosip mengenai pasangan anda. Jangan terus menerjah pasangan anda dengan soalan-soalan yang boleh membangkitkan kemarahan. Ada kala gosip hanya menyebabkan rumahtangga jadi huru-hara.
Menyerang pasangan yang digosip sebenarnya menyebabkan ketenangan hidup anda terganggu. Sikap tenang bukan sahaja boleh menyelamatkan rumahtangga anda. Namun ketenangan anda itu mungkin boleh menjadikan pasangan anda berubah menjadi baik jika gosip dia curang itu sebenarnya memang betul-betul berlaku.
Ketenangan seorang pasangan boleh membuatkan pasangannya mampu berfikir secara rasional. Justeru usah terus menyerang pasangan anda kerana ianya boleh merosakkan hubungan rumahtangga.
IKLAN
JANGAN MUDAH PERCAYA
Apabila mendengar gosip mengenai pasangan, cuba selidik dahulu. Memang agak menyakitkan hati jika kita dengar gosip mengenai kecurangan pasangan. Terasa terus mahu menerjahnya dengan soalan demi soalan.
IKLAN
Lebih buruk lagi jika soalan itu ditanya menggunakan mesej di telefon bimbit. Anda dinasihatkan supaya jangan sesekali berkomunikasi hal-hal penting di telefon bimbit. Ini hanya menjadikan hubungan anda lebih teruk.
Mempercayai gosip samalah seperti anda mempercayai surat layang. Walaupun ada kalanya berita gosip itu betul, namun pokok pangkalnya ialah cara anda menangani gosip yang disampaikan. Jangan terus mempercayai namun gunakan kebijaksanaan anda.
JANGAN HILANG HORMAT
Mempercayai gosip boleh membuatkan anda hilang hormat kepada pasangan. Jangan sampai hal tersebut berlaku. Rasa hormat perlu dipertahankan di samping perasaan kasih sayang dan cinta. Segala hal buruk boleh dielakkan daripada berlaku dalam rumahtangga selagi masih wujud rasa hormat, sayang dan cinta.
Justeru jangan sesekali hilang perasaan tersebut kerana kesannya sangat besar. Jangan biarkan gosip menyebabkan rumahtangga anda runtuh. Gosip hanyalah khabar angin yang berpunca daripada orang sekeliling yang membuat telahan semata-mata.
Gosip yang disampaikan boleh menjadikan anda dan pasangan berperang sesama sendiri lalu membawa kepada kesan lebih besar. Kekalkan rasa hormat, bertutur dengan baik, berkomunikasi secara bersemuka, elakkan bermesej di telefon bimbit membincangkan hal penting; In Sha Allah rumahtangga akan selamat.
Kanser…mendengarnya sahaja sudah mengerunkan. Seperti yang kita ketahui, kanser payudara merupakan kanser yang menjadi pembunuh ramai kaum wanita. Dunia seakan-akan terhenti dan si penghidapnya mula memikirkan keluarga terutama anak-anak.
Menghidap kanser payudara tahap empat memang dugaan yang maha hebat. Namun begitu bagi Aimi Yusoff, 34, wanita ini cukup kuat dan tabah. Mula didiagnos menghidap kanser payudara sejak 2015, semangat wanita ini tidak pernah padam untuk melawan penyakit yang dihidapinya.
ANGGAP SEBAGAI ‘RAHMAT’ DARIPADA ALLAH
Menganggap penyakit yang dihidapinya itu sebagai satu ujian buat dirinya, dia sentiasa berfikiran positif. Jika orang lain menganggap sesuatu penyakit itu sebagai suatu musibah namun tidak bagi Aimi sebaliknya penyakit yang dialaminya dianggap sebagai satu rahmat yang bukan semua orang mampu ‘melaluinya.’
Ya! Kanser tahap empat. Ramai yang beranggapan bahawa ia adalah tahap terakhir untuk pesakit kanser. Namun bagi Aimi, dia benar-benar seorang yang positif. Tiada riak putus asa pada wajahnya malah dia kelihatan cukup bersemangat.
“Jika dahulu saya dan suami menjalani kehidupan biasa-biasa namun selepas saya disahkan menghidap kanser, hubungan kami sangat rapat. Kami jadi lebih menghargai momen perhubungan kami dan menikmati setiap detik dalam kehidupan secara berkualiti.
“Saya juga lebih menghargai hubungan dengan kawan-kawan. Ada yang datang dari jauh untuk bertemu dengan saya. Jika bukan kerana kanser mungkin sampai bila-bila pun saya tak jumpa mereka,”ungkap Aimi.
Tambah Aimi lagi, belajarlah untuk terima kenyataan. Memang sukar untuk menerima kenyataan namun siapalah kita untuk menidakkan takdir yang telah ditentukan oleh Allah. Buat mereka yang belum mampu menerima kenyataan bahawa mereka menghidap penyakit yang amat digeruni ramai ini, istighfar banyak-banyak.
DEKATKAN DIRI DENGAN ALLAH
Hanya dengan cara ini sahajalah dapat membuatkan diri kita lebih tenang. Selepas istighfar, jika sesuai dengan tempat (ketika anda berada) bawa-bawalah untuk solat. Jika belum solat fardhu, tunaikanlah solat fardhu dahulu. Kemudian lanjutkan dengan solat sunat.
“Jika pada waktu siang, saya juga akan melakukan solat sunat Dhuha. Kadang-kadang dua rakaat dan adakalanya lebih daripada itu bergantung kepada keadaan dan suasana. Solat sunat Dhuha jangan sesekali tinggal. Dengan cara mendekatkan diri kepada Allah jiwa akan terasa lebih tenang dan kita jadi lebih positif.
“Jika susah hendak tidur, banyakkan melakukan solat sunat. Solat sunat sebenarnya lebih fleksibel. Seelok-eloknya, perbaiki dahulu solat fardhu. Selain itu juga saya turut amalkan puasa sunat setiap hari Isnin dan Khamis. Banyak manfaatnya bila kita puasa sunat ni. Bila kita puasa sunat, secara tidak langsung ia mengajar kita untuk lebih bersabar. Jiwa pun rasa lebih tenang,”ungkap Aimi.
JANGAN FIKIR PERKARA BURUK
Ungkap Aimi lagi, salah satu sebab mengapa sukar untuk menerima kenyataan yang sudah tersurat pada diri kita ialah apabila kita hanya memikirkan hanya perkara buruk sahaja.
“Jangan hanya fikirkan yang buruk sahaja sebaliknya fikirkan tentang hikmah di sebalik ujian yang didatangkan itu kepada kita. Anggap ia satu perkara yang positif yang berlaku dalam hidup kita. Jika kita hanya fokus dugaan itu sahaja memang susahlah untuk kita terima kenyataan sebaliknya jika kita fikirkan daripada sudut lain/sudut positif maka secara automatik kita akan terima kenyataan itu dengan hati yang terbuka.
“Contohnya jika kita tidak sakit, kita tiada inisiatif untuk jalani gaya hidup sihat. Bila dah sakit begini, kita akan lebih menghargai kesihatan selain lebih menjaga hubungan dan kualiti masa bersama keluarga. Saya tak nak fikir tentang penyakit yang saya hidapi.
“Anak-anak memang tahu saya sakit. Saya terangkan kepada mereka jika saya di dalam bilik, itu bermakna saya sedang sakit, jangan diganggu. Alhamdulillah mereka boleh faham dengan keadaan saya,” kata Aimi.
MASA UNTUK BERSAMA INSAN TERSAYANG
Masih dalam ‘mood’ bercuti selepas rawatan kemoterapi yang dijalaninya, Aimi menggunakan baki cuti untuk menghabiskan masa bersama suami, anak-anak, keluarga dan rakan-rakan dengan sebaik mungkin.
Sebenarnya sel kanser yang dihidapi oleh Aimi sudah merebak ke tulang belakang, tulang pinggul dan paru-paru. Malah pada usia awal 30, Aimi sudah pun menopaus. Aimi perlu ke hospital untuk mendapatkan suntikan hormon setiap bulan.
Dalam keadaan begini, tipulah jika Aimi tidak pernah rasa ‘down.’ Salah satu cara yang dipraktikkan oleh Aimi ialah dengan menggunakan rawatan alternatif untuk menenangkan jiwa. Aimi akan menggunakan rawatan minyak terapi yang disapukan pada tubuhnya agar dia berasa tenang, rilekskan minda dan memperbaiki mood. Selain itu setiap kali selepas rawatan kemoterapi, Aimi akan pastikan yang dia mendapat rehat yang cukup.
MUNGKINKAH ADA KEAJAIBAN YANG AKAN BERLAKU
Ditanya tentang keajaiban yang diharapkan dalam hidupnya, tenang Aimi memberi jawapan.
“Tiada perkara lain yang menjadi impian saya selain mengharapkan keajaiban daripada Allah agar sembuh dan bebas daripada penyakit kanser. Malah setiap malam, sebelum melelapkan mata, pernah terlintas difikiran saya, masihkah ada hari esok untuk saya.
“Oleh itu, saya akan pastikan sebelum saya masuk tidur, saya akan solat dahulu. Saya akan ‘shut down’ semuanya selepas solat malam. Maafkan semua orang dan mohon maaf dengan semua orang sebelum tidur.
“Saya elakkan fikiran menerawang mengenang nasib kerana jika saya buat begitu, macam-macamlah perkara akan datang dalam fikiran. Saya juga berdoa agar Allah memanjangkan umur saya kerana saya ingin menikmati hidup bahagia dengan suami dan anak-anak,” kata Aimi yang cukup aktif berkongsi pengalamannya di majlis ilmu dan juga sesi sharing.
Bagi menghindari stres secara semula jadi, selain amalan kerohanian seperti sentiasa berada dalam keadaan wuduk, banyakkan solat sunat dan Dhuha, dia juga sering berbincang apabila ada masalah serta mengelakkan diri daripada memendam perasaan.
PESANAN BUAT RAKAN SENASIB
Pesanan Aimi kepada pesakit-pesakit kanser sepertinya:
“Jika kita rasa tertekan dan tak boleh nak handle rasa kecewa itu, kalau rasa nak menangis, menangislah dengan sepuas-puasnya. Lepaskan semuanya. Jangan ditahan-tahan. Sambil itu, mulut jangan putus-putus untuk beristighfar. Jangan salahkan apa yang telah berlaku. Percayalah dengan cara itu kita akan lebih tenang dan reda dengan apa yang telah ditakdirkan,” akhiri Aimi.
Menerusi Instagram, Mawar memuat naik sekeping gambar bermain bersama anaknya di pusat beli belah. Gambar berkenaan merupakan gambar pertama Mawar berada di luar rumah selepas bercerai dengan Fizo Omar.
Namun kelibat Mawar keluar di pusat membeli belah bersama anaknya, Wan Maryam mengundang kritikan apabila dia keluar dalam tempoh masih iddah serta bersolek cantik.
Dakwa netizen, Mawar sepatutnya menjaga tempoh iddah, tidak boleh keluar rumah selama tiga bulan serta tidak dibenarkan tampil cantik dengan solekan di depan khalayak ramai.
Ternyata gambar Mawar itu telah menimbulkan perbalahan dikalangan netizen yang mempunyai berbeza pandangan mengenai edah. Bagaimanapun sesetengah mereka pula berpendapat iddah bercerai hidup berbeza dengan iddah bercerai mati. Menurut mereka, iddah bercerai hidup tidak perlu berkabung selama tiga bulan dan boleh bersolek.
Apapun sebaiknya kita rujuk pada yang pakar agar ia tidak jatuh fitnah pula.
PENGERTIAN IDDAH
Iddah ialah suatu tempoh masa yang dilalui oleh seseorang perempuan selepas perceraian atau kematian suami di mana dia tidak boleh menikah semula. Tujuannya untuk memastikan kekosongan rahimnya dari mengandung dan tempohnya bergantung kepada berapa kali dia mengalami haid. Biasanya, tempoh iddah bagi wanita sesudah cerainya dengan bekas suaminya yang dahulu adalah tiga kali suci kitaran haid dan wanita yang telah kamatian suaminya, tempoh iddah adalah selama 4 bulan dan 10 hari (dikira mengikut tahun Hijrah) .
Dalam tempoh iddah ini, bekas isteri diharamkan berkahwin dengan orang lain. Tujuan dikenakan iddah ialah bagi memastikan rahim wanita tersebut suci daripada sebarang janin bagi mengelakkan ketidakpastian nasab sebenar anak jika perkahwinan baru dengan lelaki lain berlaku. Dalam tempoh iddah, suami boleh rujuk kembali dengan syarat isteri adalah dalam iddah raj’ie.
Dalil Berkaitan Dengan Iddah
Iddah wanita yang masih didatangi haid, diceraikan semasa suami hidup:
Maksudnya: “Dan orang-orang yang mati di antara kamu serta meninggalkan isteri-isterinya hendaklah mereka (isteri-isteri) menunggu empat bulan sepuluh hari.” (Surah al-Baqarah: 234)
Iddah bagi wanita hamil yang dicerai semasa suami hidup atau kematian suami:
Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh iddahnya ialah sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya.” (Surah at-Talaq: 4)
Berdasarkan kepada nas al-Quran di atas, ia jelas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menetapkan kepada iddah bagi wanita sesuai dengan keadaannya selepas penceraian.
BATASAN HUKUM SEMASA DALAM TEMPOH IDDAH TALAK RAJ’IE
Wanita yang sedang menjalani `iddah talak raj`ie mempunyai batas hukum yang perlu dipatuhi sepanjang berada dalam tempoh tersebut. Ini kerana hubungan atau pertalian perkahwinan antara suami isteri yang bercerai secara talak raj`ie masih wujud.
Antara perkara-perkara yang perlu dipatuhi ialah:
i. Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.
ii. Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Jika perkahwinan dilangsungkan semasa dalam tempoh tersebut, pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan.
iii. Tidak dibenarkan keluar rumah kecuali dengan keizinan suami.
iv. Tidak dibenarkan berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal semasa masih dalam ikatan perkahwinan. Dalam hal ini, suami dilarang menghalau keluar isteri yang diceraikan, bahkan mereka wajib menanggung seluruh nafkahnya termasuk nafkah tempat tinggal. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Talak ayat 1 yang bermaksud:
…Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai `iddahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata…
Namun, mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda.
v. Tidak boleh berkabung. Bahkan mereka dituntut untuk bersolek dan berhias kepada suaminya sebagai dorongan bagi membangkitkan keinginannya untuk rujuk semula.
KESIMPULAN
Islam bukan hanya menjaga dan memelihara kebajikan dan hak-hak wanita semasa mereka masih berada dalam tempoh perkahwinan, malah berterusan sehingga terbubarnya perkahwinan tersebut sama ada kerana perceraian hidup mahupun perceraian mati. Sudah pasti terdapat hikmah yang besar di sebalik setiap perkara yang disyariatkan oleh Islam yang mungkin tidak mampu dijangkau oleh akal manusia. Begitu juga dengan pensyariatan `iddah dan berkabung oleh Allah SWT ke atas kaum wanita. Justeru, sebagai hamba-Nya yang beriman, kita wajib patuh dan taat serta mengambil berat terhadap tuntutan tersebut tanpa sebarang persoalan atau menghadapinya dengan perasaan dan jiwa yang berkeluh-kesah. Bahkan kepatuhan kepada perintah Allah SWT itu merupakan satu tanda pengabdian diri dan kepatuhan hamba-Nya terhadap Pencipta Yang Maha Agung.
Dalam era wanita Malaysia yang berkerjaya, peranan ahli keluarga dan anggota masyarakat juga tidak kurang pentingnya. Mereka perlu sentiasa dididik dan diberi kesedaran supaya dapat menghayati dan menghormati situasi wanita yang sedang ber`iddah dan berkabung serta membantu mereka agar dapat menjalani tempoh tersebut mengikut landasan syarak. Ini penting kerana dengan pemahaman yang jelas berhubung hal ini, perkara-perkara yang ditegah oleh Islam dapat dihindari seterusnya mengelakkan berlakunya fitnah, tohmahan dan unsur-unsur yang kurang menyenangkan terhadap wanita yang sedang ber`iddah dan berkabung.
Ketika Allah rindukan hambaNya, maka Dia hadirkan hadiah berupa ujian. Saat itu, bersabarlah dan bersyukurlah. Ujian itu hadir dalam berbagai bentuk. Ia menguji sesjauh mana kita sabar dan reda dengan ketentuan Allah.
Tidaklah Allah jadikan sesuatu kejadian itu dengan sia-sia tanpa apa-apa rahsia tersendiri. Seperti yang berlaku pada Pencetus Ummah (PU) yang tertinggal dompet. Semua itu berlaku atas ketentuan dari Allah. Ikuti perkongsian pendakwah bebas, PU Amin.
Allah uji kita sebab Allah sayang kita. Dalam dompet itu, ada duit RM3000, duit yuran master sem ini, duit belanja untuk anak dan isteri, juga duit sumbangan orang awam untuk sedekah fakir miskin di Mekah kini, berada di tangan orang lain. Saya jarang keluar duit banyak tapi sebab nak jalan jauh saya kena tinggal belanja untuk anak isteri.
Pada awalnya saya juga kumpul sedikit demi sedikit juga untuk belanja di Mekah. Tapi Allah maha kuasa, Allah berkehendak atas segalanya. Dokumen lain yang hilang juga penting, tapi Allah dah tentukan segalanya..
HARAPKAN KEAJAIBAN
Saya ucap terima kasih pada yang membantu. Terlalu ramai, beratus yang call saya nak bantu carikan. Saya keletihan. Saya harapkan keajaiban dari Allah untuk kembalikan barang ini..
Buat Aisyah dan Umar jangan nakal-nakal. Hari ini kita di uji sedikit, kad pengenalan kita anak beranak pun dah tak ada, tak apa janji kasih sayang kita kekal selamanya..?Terima kasih buat suri hati tercinta sebab bersama sama menenangkan jiwa..
Walaupun tak mampu tersenyum namun segala kedukacitaan dan kekecewaan ini akan diluahkan dihadapan Kaabah kejap lagi. Allah nak bagi sesuatu, Allah akan ambil sesuatu..
MOHON PULANGKAN DOKUMEN PENTING
Buat yang ambil dompet saya, ambil duit itu untuk belanja anda kalau perlu dan pulangkan lah kad kad yang lain. Itu saja permintaan saya. Ada banyak nyawa dan makna dalam dompet tersebut. Saya jenis payah hilang barang, dompet saya 15 ringgit je pasar malam tapi cukup istimewa. Kembalikanlah dengan baik ya ?..
Ujian itu mendekatkan kita dengan Tuhan. Menghela nafas panjang. Allah mahu tunjukkan sesuatu..
Saya dalam perjalanan melaksanakan Umrah. Doakan saya. Ada doa, tuliskan, kerja saya juga membaca doa anda semua. ?❤️
Dalam perkongsian terdahulu, PU Amin ada berkongsi tentang kejadian kehilangan dompet di laman Facebooknya. Kejadian itu berlaku pada 17 Februari 2019.
Pagi hari merupakan waktu yang sangat tepat untuk memperoleh banyak amalan dalam kehidupan. Sebenarnya banyak perkara yang berkaitan dengan amalan sunnah di pagi hari ini....