
Dalam perkembangan masa kini, banyak berlaku perubahan dalam gaya hidup termasuklah isu jemputan ke majlis perkahwinan. Justeru kami menyatakan beberapa kaedah asas yang berkaitan dengan isu ini.
Antaranya:
العادة محكَّمة
Maksudnya: Adat itu menjadi penentu hukum.
Ini bermakna, adat itu boleh menjadi penentu atau pemutus hukum dalam permasalahan-permasalahan yang berlaku. Yang mana permasalahan tersebut tidak terdapat padanya dalil-dalil yang jelas dalam menjelaskan hukumnya.
Justeru secara umumnya, hukum bagi perbuatan ini adalah harus. Ini juga bertepatan dengan sebuah kaedah fiqh yang menyebut:
الوَسَائِلُ لَهَا أَحْكَام المَقَاصِد
Maksudnya: Wasilah-wasilah mengambil pakai hukum maqasid.
Justeru, sekiranya tujuan seseorang itu benar-benar ingin menjemput orang ramai hadir ke majlis perkahwinannya, adalah dibolehkan untuk dia menggunakan apa sahaja wasilah menjemput yang harus sama ada melalui lisan, kad jemputan, atau aplikasi media sosial seperti facebook, twitter, dan seumpamanya.
KESIMPULAN
Secara kebiasaannya jemputan yang datang dalam bentuk facebook event ini sekadar proses pemudah cara dalam menentukan jumlah bilangan individu yang akan hadir ke majlis perkahwinan tersebut dari kalangan rakan-rakan facebook pengantin. Bahkan kebiasaannya mereka akan menyebut bahawa kad jemputan akan menyusul sekiranya kita menekan pilihan going (akan hadir).
Meskipun begitu, sekiranya jemputan itu datang dalam bentuk yang umum seperti jemputan perkahwinan di majlis yang terdapat di dalamnya ramai orang, dan kita berada dalam majlis tersebut, maka tidak menjadi tuntutan (kewajipan) untuk kita menghadirinya di sisi majoriti ulama. Demikian juga kita katakan kepada isu jemputan yang datang melalui facebook event, kumpulan whats app (whats app group), dan sebagainya yang datang dalam bentuk jemputan umum.
Oleh yang demikian, secara asasnya wajib bagi anda untuk memenuhi undangan perkahwinan yang ditujukan khas kepada anda meskipun ia dijemput melalui facebook. Tambahan pula ia turut disertakan pula dengan jemputan yang sama melalui medium-medium lain seperti jemputan secara berhadapan, kad jemputan, dan selainnya.
Hukum wajib ini sekiranya anda tidak ada sebarang keuzuran yang menghalang. Namun jika anda tidak dapat menghadirinya disebabkan terdapatnya keuzuran-keuzuran seperti yang telah kami nyatakan, maka ia tidaklah dianggap sebagai berdosa. Sebaiknya, sampaikanlah permohonan maaf kepada mereka yang menjemput serta perbanyakkanlah berdoa kepada pasangan yang melangsungkan perkahwinan agar mendapat rahmat dan berkat dari Allah S.W.T.
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan
VIDEO KASHOORGA:
https://www.youtube.com/watch?v=3RHRDSTj3ks&t=5s
Berkat Beri Duit Pada Mak Ayah Walaupun Sedikit, Rezeki Memang Tak Disangka & Jadi Berganda-Ganda

Kedua ibu bapa kita adalah insan paling mulia yang perlu kita hormati tanpa ada batasannya. Merekalah insan yang mendidik kita dari kecil hingga dewasa dan menjadi insan berguna. Lebih-lebih lagi hormati ibu kerana syurga terletak di bawah telapak kaki mereka.
Dan sekiranya kita sudah dewasa nanti dikurniakan rezeki yang murah, jangan sesekali bersifat kedekut dengan kedua ibu bapa.
Kalau tak banyak, sedikit pemberian duit juga sudah memadai kerana tanda kita membalas jasa mereka.
Memang mereka tidak minta wang ringgit, tetapi tidak salah membalas kasih sayang dicurahkan selama ini dengan wang ringgit.
Seperti perkongsian seorang pengguna di laman sosial Facebook, Mohd Fadli Salleh yang bercerita mengenai sifat seorang teman baiknya berkenaan keberkataan duit dan hidup.
Menurutnya biarpun kawannya itu bekerja dan mempunyai pendapatan tetap, tetapi tidak pernah sekalipun dia lupa untuk memberi duit kepada kedua ibu bapanya.
Dia sudah asing siap-siap berapa wang saku untuk diberikan kepada keduanya. Tetapi itu cerita sebelum dia berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri.
Namun apabila diduga dengan keperitan hidup walaupun gaji mencukupi, kawannya itu sentiasa resah dan memikirkan kenapa duit bulanan asyik tidak mencukupi.
Setelah berfikir barulah dia teringat sudah lama tidak memberi wang belanja kepada kedua ibu bapanya seperti yang dilakukan sebelum berkahwin dulu.
Dan sejak itu walaupun kehidupannya cukup terdesak sekalipun, kawannya itu tetap akan memberikan duit kepada ibu dan ayahnya.
Berkat berkat tak putus memberi duit kepada orang tuanya, rezeki kawannya itu mula berubah sentiasa murah dan masuk berganda-ganda.
– Seratus untuk ibu, seratus untuk ayah. –
Pagi Jumaat penuh barakah ini aku nak berkongsi satu kisah benar. Kisah yang seorang kawan baik aku sampaikan sendiri pada aku. Tentang keberkatan duit dan hidup.
Aku namakan kawan aku ini Alang saja.
Hanya bekerja biasa sahaja, tetapi tidak pernah lupa untuk beri duit pada mak ayah. Duit diasingkan siap-siap.
Alang kerja kerajaan. Namun bukanlah gred besar. Bukan tahap degree, master atau yang lebih tinggi. Lulusan diploma sahaja.
Tahun pertama dia kerja, sedikit duit gaji disisihkan untuk mak dan ayahnya. Padahal masa tu, gajinya tak sampai pun seribu. Dia hantar rm100 sebulan. Rm50 untuk ibu, rm50 untuk ayah.
Begitulah rutinnya setiap bulan. Walau mak ayah dia bukan orang miskin, namun tetap dia hantar juga. Malah, pencen ayah dia sendiri 4x ganda lebih mahal dari gaji dia.
Tak beri banyak tetapi tetap akan kirim juga. Mahu mak ayah merasa hasil titik peluh bekerja selama ini.
“Aku tak mampu beri banyak. Sedikit pun aku tetap kirim juga. Bukan sebab mereka nak duit aku. Mereka tak minta pun.
Tapi aku nak mereka rasa juga hasil titik peluh aku. Selama ini, mereka tanggung aku. Sekarang, aku dah kerja. Aku nak mereka rasa juga. Lagi pun, kalau ikut adat, umur mereka berapa lama sahaja lagi. Berapa lama sahaja lagi mampu aku berbakti dan menghargai.”
Itu yang Alang sering ucap bila orang tanya kenapa dia masih kirim duit setiap bulan pada ibu dan ayahnya kerana ayahnya boleh dikatakan seorang yang berada juga.
Namun semuanya berubah selepas berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Walaupun isterinya bekerja tetapi kehidupan agak sukar kerana kos sara hidup yang tinggi.
Sampai satu masa, Alang kahwin. Bebanan hidup berkeluarga mula dia rasa. Sewa rumah tidak lagi dikongai dengan rakan bujang, semua atas bahu dia. Segala bil-bil, ansuran kereta, bebanan pinjaman peribadi dan sebagainya; dia kena fikir dan lunaskan.
Meski pun isteri Alang pun bekerja, namun kehidupan memang agak sukar memandangkan kos sara hidup yang tinggi.
Sejak itu, Alang mula berhenti kirim duit pada ibu dan ayahnya. Dia mula fikir tentang keluarga sendiri, tambah-tambah isterinya mula mengandung. Makin banyak nak guna duit.
Hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun berlalu. Walau gajinya dan isteri sentiasa meningkat setiap tahun, namun bebanan kewangan makin lama makin berat. Anak-anak makin bertambah, bebanan hutang pun begitu juga.
Dia bukan lupa untuk kirim duit pada mak ayahnya, tetapi tunggu kewangan jadi stabil. Namun tidak stabil sebaliknya makin merosot.
Alang bukan lupa nak kirim duit pada mak ayahnya, dia nak tunggu kewangan dia stabil dulu. Namun tak pernah stabil, makin merosot adalah.
Gaji bersih dia hanya tinggal 3 angka sahaja selepas tolak semua bebanan. Sedangkan gaji kasar dia masa tu dah melebihi RM3000.
Dengan baki tiga angka itulah dia nak survive sebulan di kota raya. Memang tenat la kan?
Sehinggalah suatu hari, dia renung dalam diri. Bermonolog sendirian.
‘Kenapa hidup aku sukar. Makan cukup-cukup sahaja. Baru ada lebih sikit, banyak pula benda perlu guna duit.
Jika difikir dulu gainya juga kecil tetapi tidak pernah rasa sesesak ini. Hidup jadi lebih berkat kerana istiqamah kirim duit pada orang tua.
Aku dulu, walau gaji kecil tetapi tidak rasa setenat ini. Tidak rasa sesesak ini walau masa tu gaji tak sampai seribu.
Agaknya dulu hidup aku lebih berkat. Agaknya berkat aku istiqomah kirim duit pada orang tua.’
Alang nekad, biar dia makan nasi lauk kicap sekali pun, dia akan kirim duit belanja pada ibu dan ayahnya di kampung. Walau ibu dan ayahnya tidak meminta-minta, walau kehidupan ibu dan ayahnya jauh lebih senang dari dia.
Dia nekad untuk kirim semula duit pada mak ayahnya. Walaupun gajinya setelah ditolak tinggal beberapa ratus, tetapi tetap bagi duit pada mereka.
Alang nekad kirim duit seratus untuk ibu, dan seratus untuk ayahnya setiap bulan.
Gaji bersih dia selepas kirim duit belanja pada orang tuanya hanya sekitar RM700 sahaja.
Awalnya, si ayah menolak. Dia tahu anaknya sesak. Lagipun, pencen dia sendiri tak habis nak makan. Anak-anak lain lagi kirim duit belanja.
Tapi Alang mendesak.
“Ayah. Ibu. Terimalah duit Alang. Biarlah sedikit, biar pun duit ayah ibu jauh lebih banyak dari duit Alang, namun Alang nakkan keberkatan hidup. Rasa dan gunalah duit hasil titik peluh Alang,” katanya pada kedua orang tua.
Bertahun-tahun lamanya dia tidak mengirim duit. Semenjak dia kahwin dan punya keluarga.
Kononnya sebab untuk kegunaan diri sendiri dan keluarga pun semput-semput. Namun kali ini dia tekad, semput pun dia nak juga kirim.
Walaupun duit tidak banyak, tetapi hidup rasa lebih tenang. Keberkatan hidup mula muncul sebaik dia kirim semula duit pada orang tua.
Walau duitnya tidak banyak, malah terkadang terpaksa berhutang sementara tunggu gaji masuk, hidup Alang terasa makin tenang. Terasa keberkatan hidup mula muncul sebaik mengirim semula duit belanja kepada orang tua.
Apa-apa masalah yang tidak dijangka, yang tidak mampu dia selesaikan memandangkan duit poket pun tidak cukup, Allah hantar orang lain bantu.
Motornya rosak orang lain bagi pinjam tanpa diminta. Masalah tempat kerja, ada sahaja datang bantu selesaikan.
Beberapa bulan selepas istiqomah kirim duit belanja pada ibu ayah, rezeki Alang mula mencurah. Satu demi satu idea dan lubang buat duit seolah terhampar di depan mata.
Ternyata Allah buka lubang rezeki lain sebaik beri duit pada orang tua. Malah rezeki jadi berganda-ganda.
Allah buka lubang rezeki lain sebaik sebahagian duit gajinya diberi pada ayah dan ibu. Rezeki yang berganda-ganda mula masuk.
Di situ Alang dapat rasa dengan jelas betapa berkatnya mengirim duit belanja pada ibu dan ayah.
“Cikgu. Aku dulu selalu sangka bila kirim duit pada ibu ayah aku akan makin sempit. Maklumlah gaji kecik.
Namun jika kita ikhlas, jika terus menyantuni orang tua, sebenarnya hidup kita lebih berkat. Yang sempit itu Allah lapangkan. Yang sukar itu Allah mudahkan.
Rezeki yang jauh itu Allah dekatkan.
Jadi, kita kena ingat, jangan sesekali fikir sedikit duit kiriman pada orang tua itu akan menjadi beban pada kita.
Janganlah sesekali terlintas lagi difikiran bahawa sedikit kiriman duit belanja untuk ibu dan ayah itu menjadi beban pada kita. Jangan!
Kira-kira Matematik pasti menunjukkan duit kita makin berkurangan, namun kira-kira Tuhan melalui keberkatan dan rezeki yang datang tidak disangka-sangka itu rupanya berbeza.
Jika masih ada orang tua, kirimlah duit belanja buat mereka walau mereka itu jutawan sekalipun.
Bagi mereka rasa walau RM10 duit dari hasil titik peluh kita.
Nescaya hidup makin berkat, rezeki makin dekat.”
Aku hanya mampu mengangguk kepala tanda setuju. Sesungguhnya apa yang Alang kata dan cerita itu benar belaka.
Ingatlah doa mereka sahaja tidak ternilai harganya.
Ibu dan bapa ini, doanya mereka sahaja tidak ternilai harganya.
Jika masih ada ibu bapa, jangan berkira untuk mengirim duit belanja. Seringgit kita kirim untuk gembirakan mereka, Tuhan pasti balas beribu-ribu kali ganda.
Malah, melalui rezeki dan keberkatan hidup yang tidak dijangka-jangka. Sungguh!
#MFS
– Renungan pagi Jumaat.
Beruntungnya Wanita, Kedudukanmu Amat Dimuliakan Di sisi Islam

Agama Islam sebenarnya telah memberikan wanita satu kedudukan yang paling mulia berbanding bangsa atau agama lain. Hakikat ini boleh dilihat menerusi surah An-Nisa’ yang terkandung di dalam al-Quran. Berbanding surah-surah lain, surah ini lebih banyak menyebut tentang hukum hakam yang berkaitan tentang wanita. Bahkan terlalu banyak bukti yang dapat mengukuhkan kenyataan ini.
Inginkan penjelasan lanjut? Beberapa ayat yang terkandung di dalam surah ini ada jawapannya.
1. Wanita diciptakan dari tulang rusuk lelaki
“Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Rabb kalian yang telah menciptakan kalian dari jiwa yang satu dan dari jiwa yang satu itu. Dia menciptakan pasangannya, dan dari keduanya Dia memperkembangbiakkan laki-laki dan perempuan yang banyak.” (Surah An-Nisa`: 1)
Dalam ayat ini dinyatakan bahawa daripada jiwa yang satu, Allah SWT menciptakan pasangannya. Qatadah dan Mujahid mengatakan bahawa yang dimaksud jiwa yang satu adalah Nabi Adam. Sedangkan pasangannya adalah Hawa. Qatadah mengatakan Hawa diciptakan dari tulang rusuk Adam. (Tafsir Ath-Thabari, 3/565, 566)
Dalam hadis sahih pula menyebut: “Sesungguhnya wanita diciptakan dari tulang rusuk. Dan sungguh bahagian yang paling bengkok dari tulang rusuk adalah yang paling atasnya. Apabila engkau ingin meluruskannya, engkau akan mematahkannya. Dan jika engkau ingin bersenang-senang dengannya, engkau boleh bersenang- senang namun padanya ada kebengkokan.” (Riwayat Al-Bukhari no. 3331 dan Muslim no. 3632)
2. Hak perempuan yatim dipelihara
Allah SWT berfirman: “Dan jika kalian khuatir tidak akan dapat berlaku adil terhadap hak-hak perempuan yatim (bila mana kalian menikahinya), maka nikahilah wanita-wanita lain yang kalian senangi: dua, tiga, atau empat. Kemudian jika kalian khuatir tidak dapat berlaku adil maka nikahilah seorang wanita sahaja atau budak-budak perempuan yang kalian miliki. Yang demikian itu lebih dekat untuk kalian dan tidak berlaku aniaya.” (Surah An-Nisa`: 3)
Urwah bin Az-Zubair pernah bertanya kepada Aisyah tentang firman Allah SWT: maka Aisyah menjawab, “Wahai anak saudariku. Perempuan yatim tersebut berada dalam asuhan walinya yang turut bersyarikat dalam harta walinya, dan pihak wali ini ternyata tertarik dengan kecantikan anak yatim kerana berikut hartanya. Maka wali ingin menikahinya tanpa berlaku adil dalam pemberian mahar sebagaimana mahar yang diberikannya kepada wanita lain yang ingin dinikahinya. Para wali pun dilarang menikahi perempuan-perempuan yatim kecuali jika mereka mahu berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim serta memberinya mahar yang sesuai dengan yang biasa diberikan kepada wanita lain. Para wali kemudian diperintah untuk menikahi wanita-wanita lain yang mereka senangi.”
3. Cukup berkahwin seorang wanita sahaja jika khuatir tidak dapat berlaku adil
Allah SWT telah berfirman: “Kemudian jika kalian khuatir tidak dapat berlaku adil maka nikahilah seorang wanita sahaja atau budak-budak perempuan yang kalian miliki.” (Surah An-Nisa`: 3)
Apa yang dimaksudkan dengan adil di sini adalah perkara-perkara lahiriah seperti adil dalam pemberian nafkah, tempat tinggal, dan giliran. Walau bagaimanapun, perkara-perkara batin seperti rasa cinta dan kecenderungan hati tidaklah dituntut untuk adil kerana ia berada di luar kesanggupan seorang hamba.
Dalam al-Quran ada dinyatakan:
“Dan kalian sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kalian, walaupun kalian sangat ingin berbuat demikian. Kerana itu janganlah kalian terlalu cenderung kepada isteri yang kalian cintai sehingga kalian biarkan yang lain telantar.”(An-Nisa`: 129)
Al-Hafizh Ibnu Katsir mengatakan ketika mentafsirkan ayat di atas, “Kalian tidak akan mampu untuk berlaku adil di antara isteri-isteri kalian dari segala sisi. Walaupun kalian berjaya berlaku adil dari segi pembahagian giliran malam. Namun masih lagi wujud perbezaan dalam soal cinta, syahwat, dan jima’. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibnu ‘Abbas, ‘Abidah As-Salmani, Mujahid, Al-Hasan Al-Bashri, dan Adh-Dhahhak bin Muzahim .”
4. Hak memperoleh mahar dalam pernikahan
Allah SWT telah berfirman:
“Berikanlah mahar kepada wanita-wanita yang kalian nikahi sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kalian sebahagian daripada mahar tersebut dengan rela hati maka makanlah (ambillah) pemberian itu sebagai makanan yang sedap lagi baik.” (An-Nisa`: 4)
5. Wanita diberikan bagian dari harta warisan
Allah SWT berfirman: “Bagi laki-laki terdapat hak bahagian dari harta peninggalan ayah, ibu dan kerabatnya, dan bagi wanita terdapat hak bahagian dari harta peninggalan ayah, ibu dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan.” (An-Nisa`: 7)
Sementara ketika di zaman jahiliah, hanya lelaki sahaja yang diberikan hak untuk harta pusaka sementara wanita tidak mendapat sebarang bahagian. Malah wanita dianggap sebagai sebahagian daripada barang yang diwarisi sebagaimana dalam ayat:
“Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kalian mewarisi wanita dengan jalan paksa.” (An-Nisa`: 19)
6. Suami diperintah untuk berlaku baik pada isterinya
Allah SWT telah berfirman:
“Dan bergaullah kalian (para suami) dengan mereka (para isteri) secara patut.” (An-Nisa`: 19)
Al-Hafizh Ibnu Katsir ketika mentafsirkan ayat di atas menyatakan: “Halusi ucapan kalian terhadap mereka (para isteri) dan perbaiki perbuatan serta penampilan kalian sesuai kemampuan. Sebagaimana engkau menyukai bila dia (isteri) berbuat demikian, maka engkau (semestinya) juga berbuat yang sama. Allah SWT berfirman dalam hal ini:
“Dan para isteri memiliki hak yang seimbang dengan kewajibannya menurut cara yang ma’ruf.”(Surah Al-Baqarah: 228)
Sementara itu Rasulullah s.a.w sendiri telah bersabda:
“Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap keluarga (isteri)nya. Dan aku adalah orang yang paling baik di antara kalian terhadap keluarga (isteri)ku.”(Tafsir Al-Qur`anil ‘Azhim, 2/173)
7. Suami tidak boleh membenci isterinya dan perlu melayannya dengan baik sekalipun tidak menyukainya
Allah SWT berfirman: “Kemudian apabila kalian tidak menyukai mereka maka bersabarlah kerana mungkin kalian tidak menyukai sesuatu padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (Surah An-Nisa`: 19).
8. Jika sudah bercerai, tidak boleh meminta kembali mahar yang pernah diberikannya
Allah SWT berfirman: “Dan jika kalian ingin menggantikan isteri kalian dengan isteri yang lain sedang kalian telah memberikan kepada seseorang di antara mereka harta yang banyak, maka janganlah kalian mengambil kembali walau sedikit pun dari harta tersebut. Apakah kalian akan mengambilnya kembali dengan jalan tuduhan yang dusta dan dengan menanggung dosa yang nyata? Bagaimana kamu akan mengambilnya kembali, padahal sebahagian kamu telah bergaul (bercampur) dengan yang lain sebagai suami-isteri. Dan mereka (isteri-isterimu) telah mengambil daripada kamu perjanjian yang kuat.” (Surah An-Nisa`: 20-21)
9. Termasuk pemuliaan terhadap wanita adalah diharamkan bagi mahram si wanita kerana nasab ataupun kerana penyusuan untuk mengahwininya
Allah SWT berfirman: “Diharamkan atas kalian menikahi ibu-ibu kalian, puteri-puteri kalian, saudara-saudara perempuan kalian, ‘ammah kalian (mak cik/ saudara perempuan ayah), khalah kalian (ibu saudara), puteri-puteri dari saudara laki-laki kalian (anak saudara perempuan), puteri-puteri dari saudara perempuan kalian, ibu-ibu susu kalian, saudara-saudara perempuan kalian sesusuan, ibu mertua kalian, puteri-puteri dari isteri kalian yang berada dalam pemeliharaan kalian dari isteri yang telah kalian campuri. Tetapi jika kalian belum mencampuri istri tersebut (dan sudah berpisah dengan kalian) maka tidak berdosa kalian menikahi puterinya. Diharamkan pula bagi kalian menikahi isteri-isteri anak kandung kalian (menantu)…” (Surah An-Nisa`: 23)
Menerusi ayat ini, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:
“(Diharamkan atas kalian) menghimpunkan dalam pernikahan dua wanita yang bersaudara kecuali apa yang telah terjadi di masa lampau. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah An-Nisa`: 23)
Ayat ini menetapkan bahawa seorang lelaki tidak boleh menemukan dua wanita yang bersaudara dalam ikatan pernikahan kerana ia boleh mengakibatkan permusuhan dan perpecahan dalam hubungan di antara keduanya.
5 Perkara Ini Kena Buat Bantu ‘Suburkan’ Alam Rumah Tangga

Ibarat pokok yang memerlukan baja untuk terus hidup begitu jugalah dengan alam rumah tangga. Perlu dijaga agar terus hidup dan ‘berkembang.’ Kata pepatah, sedangkan lidah lagi terigigit, inikan pula suami isteri. Pepatah ini ada benarnya kerana tiada hubungan yang sentiasa sempurna. Tak dapat tidak, pasti ada gelora yang melanda.
Tidak perlu tunggu hari-hari istimewa kerana dalam alam rumah tangga, setiap hari adalah hari istimewa. Berusahalah untuk ‘meremajakan’ hubungan suami isteri agar ikatan yang dibina mampu kekal hingga ke Jannah.
Ada banyak perkara yang boleh dilakukan bersama bagi menyuburkan kasih sayang suami isteri. Jadikan ia amalan dalam kehidupan seharian.
Solat subuh berjemaah
Usahakan untuk solat subuh bersama-sama sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.
Jika tidak sempat pada hari bekerja, lakukan amalan solat berjemaah ini pada waktu hujung minggu di mana masing-masing tidak dihambat dengan waktu lantaran masing-masing sibuk bersiap ke tempat kerja.
Mengaji al-quran bersama-sama
Suami boleh mengajar isteri mengaji jika isteri belum lancar bacaannya. Dengan cara ini anda berdua akan lebih rapat lagi. Lagi pun sememangnya tugas seorang suami untuk mendidik dan membentuk isteri ke arah yang lebih baik. Jika suami tidak pandai mengaji, isteri boleh ajar suami. Tak ada salah pun isteri mengajar suami mengaji.
Suami bantu isteri buat kerja rumah
Kerja-kerja rumah bukanlah tugas hakiki seorang isteri. Oleh itu para suami, ‘ringan-ringankanlah tulang’ untuk membantu isteri membuat kerja-kerja rumah seperti membasuh pakaian, mengemas rumah, memasak dan sebagainya. Dengan cara membantu meringankan kerja-kerja rumah, isteri akan rasa lebih disayangi oleh suami. Secara tidak langsung ia turut membantu menyuburkan kasih sayang suami isteri.
Ungkapkan dengan kata-kata
Jangan malu ucap tanda sayang pada pasangan. Katakan betapa berharga dan istimewanya pasangan anda di atas semua yang dilakukannya untuk anda dan anak-anak. Ungkapan tulus sama ada daripada suami mahupun isteri menjadi ‘muzik’ yang menyejukkan jiwa. Jadi ekspresikan kebahagiaan anda terhadap pasangan masing-masing dengan ungkapan kata-kata yang indah.
Sentuhan ikhlas
Selalu-selalulah sentuh pasangan masing-masing. Contohnya seperti ciuman, pelukan atau sekadar membelai lembut rambut pasangan. Perhatian amat diperlukan oleh setiap insan agar diri rasa dihargai. Para suami dan isteri, rajin-rajinlah mengurut lembut belakang pasangan masing-masing.. Pastinya anda akan rasa cukup disayangi dan dihargai. Dalam masa yang sama, masing-masing pun dapat pahala.