
Menjadi kebiasaan bagi pencinta haiwan, khususnya kucing untuk bercakap dengan haiwan kesayangan mereka setiap kali memberi makan atau membantu haiwan jalanan.
Kadangkala kita terdengar ungkapan seperti, “Makan banyak-banyak, nanti doakan kakak masuk syurga ya,” atau “Doakan abang dimurahkan rezeki.”
Mungkin ia sekadar gurauan atau luahan kasih sayang terhadap haiwan. Namun dari sudut agama, timbul juga persoalan adakah haiwan benar-benar boleh mendoakan manusia?
Setiap Makhluk Bertasbih Ke Allah SWT
Haiwan merupakan makhluk ciptaan Allah SWT yang mempunyai keupayaan dan fitrah tersendiri. Walaupun manusia tidak memahami bahasa atau tasbih mereka, Allah SWT menjelaskan bahawa setiap makhluk sentiasa bertasbih memuji-Nya.
BACA JUGA: Jangan Zalim Pada Haiwan, Islam Tuntut Manusia Berlaku Ihsan Kepada Semua Makhluk
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Isra’, ayat 44:
Maksudnya: “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, akan tetapi kamu tidak memahami tasbih mereka. Sesungguhnya Dia Maha Penyabar lagi Maha Pengampun.”
Ayat ini menunjukkan bahawa seluruh makhluk mempunyai cara tersendiri dalam mengagungkan Allah SWT, meskipun manusia tidak dapat memahami bagaimana tasbih tersebut dilakukan.
Buat Baik Pada Haiwan Ada Pahalanya
Islam sangat menitikberatkan ihsan terhadap haiwan.
Daripada Abu Hurairah RA, para sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, adakah kami mendapat pahala apabila berbuat baik kepada haiwan?” Baginda bersabda: “Pada setiap yang bernyawa itu ada pahala.”
Riwayat al-Bukhari (2363) dan Muslim (2244)
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa memberi makan kepada kucing jalanan, menyediakan air kepada haiwan atau berbuat baik kepada mana-mana makhluk bernyawa merupakan amalan yang diberi ganjaran oleh Allah SWT.
Justeru, apabila seseorang berbuat baik kepada haiwan, kebaikan itu sendiri boleh menjadi sebab turunnya rahmat dan ganjaran daripada Allah.
Rezeki yang dipermudahkan, urusan yang dilancarkan atau ketenangan yang diperoleh selepas melakukan kebaikan bukanlah semestinya kerana haiwan tersebut “mendoakan” kita, sebaliknya berlaku dengan izin dan rahmat Allah SWT.
Jika ungkapan seperti “Doakan saya murah rezeki” disebut sekadar sebagai gurauan atau tanda kasih kepada haiwan, ia tidak sewajarnya terus dianggap sebagai suatu pegangan akidah.
Namun, seseorang Muslim perlu menjaga keyakinan agar tidak mempercayai bahawa haiwan mempunyai kuasa tersendiri untuk menentukan rezeki, menolak bala atau memakbulkan sesuatu hajat.
Segala doa, permintaan dan pergantungan hendaklah ditujukan kepada Allah SWT.
Cara yang lebih tepat ialah berbuat baik kepada haiwan dengan ikhlas kerana Allah, kemudian berdoa terus kepada-Nya.
Contohnya:
“Ya Allah, dengan sebab kebaikan yang aku lakukan ini, permudahkanlah urusanku, luaskanlah rezekiku dan terimalah amal ini sebagai ibadah kepada-Mu.”
Dengan cara ini, hati tetap bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT, manakala perbuatan memberi makan kepada haiwan menjadi salah satu amal soleh yang dilakukan dengan penuh keikhlasan.
Menurut penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Islam sememangnya menuntut umatnya supaya berbuat ihsan terhadap haiwan dan seluruh makhluk Allah.
Walaupun terdapat perkara berkaitan haiwan dan kehidupan akhirat yang tidak dihuraikan secara terperinci melalui dalil khusus, tuntutan supaya tidak menyakiti serta berbuat baik kepada haiwan adalah jelas dalam ajaran Islam.
Jadi, tidak perlu berhenti memberi makan kepada kucing jalanan atau membantu haiwan yang memerlukan.
Teruskan berbuat baik kerana Allah SWT.
Mungkin semangkuk makanan yang kita hulurkan kepada seekor kucing kelihatan kecil pada pandangan manusia, tetapi di sisi Allah, kebaikan itu boleh menjadi amal yang sangat besar nilainya.
Yang penting, jangan sandarkan harapan kepada haiwan. Sandarkanlah segala doa, rezeki dan rahmat hanya kepada Allah SWT.
Kerana haiwan hanyalah asbab kita melakukan kebaikan, sedangkan pemberi segala nikmat tetap Allah SWT.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok

sekarang ya?

