Menjelang hari raya korban bulan hadapan, sudah tentunya ramai yang ingin berhasrat melaksanakan ibadah korban.
Ibadah korban ini adalah usaha memenuhi anjuran syarak di samping menuruti sunnah Nabi Muhammad SAW.
Perintah untuk mengerjakan ibadah korban ini merupakan sunat muakkad dan ia amat digalakkan ke atas mereka yang berkemampuan agar melaksanakannya.
Maksud berkemampuan di sini ialah seseorang yang mempunyai harta atau wang melebihi perbelanjaan untuk dirinya sendiri dan mereka di bawah tanggungannya, sama ada makan, pakaian dan tempat tinggal pada sepanjang hari raya dan hari tasyrik.
Namun timbul persoalan bagi mereka yang tidak mampu melaksanakannya, adakah dibolehkan bagi mereka untuk berhutang bagi tujuan mengerjakan ibadah korban tersebut? Sama ada dengan cara meminjam wang dari orang lain atau pun dengan cara menggunakan kad kredit.
Ibadah bukan untuk menyusahkan
Memetik penjelasaan dalam laman web Mufti Wilayah Persekutuan, pada dasarnya tuntutan beribadat di dalam agama Islam bukanlah bertujuan untuk menyusahkan manusia. Allah SWT berfirman:
Maksudnya: “Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.”
Selain daripada itu, berhutang akan membebankan diri seseorang. Terdapat ancaman yang menunjukkan bahawa roh orang yang tidak melangsaikan hutang akan tergantung daripada tempat yang sepatutnya seperti mana yang dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Roh seorang mukmin itu tergantung-gantung dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan.”
Ads
Hukum berhutang untuk melaksanakan korban
Walau bagaimanapun, melaksanakan korban dengan cara berhutang tetaplah sah disisi syarak. Hal ini kerana, berkemampuan bukanlah syarat sah ibadah korban sebaliknya ia merupakan syarat taklif.
Cuma tidak digalakkan untuk berhutang bagi tujuan melakukan ibadah korban kerana tuntutan untuk melakukannya adalah pada orang yang mampu melakukannya menggunakan wang sendiri.
Ia juga kerana Islam tidak pernah membebankan umatnya untuk melakukan sesuatu di luar kemampuan dirinya. Namun begitu, sekiranya seseorang yakin bahawa dia mampu membayar hutang tersebut dan tidak akan terbeban dengannya, maka dibolehkan untuk dia menggunakan pakej akikah secara ansuran yang ditawarkan.
‘Tak elok & tidak menepati sunnah.’ Pakai jam tangan, afdal tangan kanan atau kiri? Mana satu lebih baik terutamanya bagi lelaki.
Maklumlah pemakaian jam tangan adalah penting kerana mudah untuk mengetahui masa. Tetapi adakah dalam Islam disarankan memakai jam pada tangan-tangan tertentu.
Ikuti penerangan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, tangan kiri atau kanan yang lebih afdal pakai jam?
Soalan:
Tangan mana yang lebih baik untuk dipakai jam, tangan kanan atau kiri? Adakah memakainya pada tangan kiri dilihat tidak elok dan tidak menepati sunnah? Terima kasih.
Jawapan:
Secara umumnya seseorang lelaki dibenarkan atau diharuskan untuk memakai jam tangan dan tidak ada masalah memakainya kerana tidak syak lagi bahawa pemakaian jam tangan itu pada asalnya adalah kerana keperluan mengetahui waktu.
Begitu juga jika seorang lelaki itu memakai jam tangan bagi tujuan berhias, di samping tujuan asalnya untuk mengetahui waktu, maka dalam hal ini secara zahirnya ia dilihat menyerupai hukum seorang lelaki memakai cincin daripada besi. Ringkasnya, pemakaiannya adalah diharuskan.
Imam al-Nawawi dalam syarahannya terhadap Sahih Muslim, hadith daripada riwayat Sahl bin Sa‘ad al-Sa‘idi, yang di dalamnya ada dinyatakan:
الْتَمِسْ وَلَوْ خَاتَمًاً مِنْ حَدِيدٍ
Maksudnya:
“Carilah sesuatu walaupun jika sebentuk cincin besi.”
Riwayat al-Bukhari (5871) dan Muslim (1425)
Beliau menyebutkan, hadis ini menunjukkan keharusan untuk menggunakan cincin besi. Padanya terdapat khilaf dalam kalangan ulama salaf sebagaimana dinukilkan oleh al-Qadhi. Seterusnya bagi ashab kami (ulama mazhab Syafi‘i) berkenaan kemakruhan memakainya terdapat dua pendapat. Pendapat yang paling sahih, tidak makruh memakainya kerana hadith yang melarang daripadanya dinilai sebagai dha‘if (lemah). (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/213).
Selain itu, jam tangan juga tidak dikhususkan hanya sebagai perhiasan untuk wanita, bahkan sudah menjadi adat dan ‘uruf setempat bahawa lelaki juga memakainya sebagai perhiasan, tanpa mengenepikan tujuan asalnya itu. Jadi, ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:
Maksudnya:
“Hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah diharuskan.” (Lihat al-Qawa’id al-Nuraniyyah oleh Ibn Taimiyyah, hlm. 164; Tafsir Ibn Kathir, 3/408; Tafsir Abi Su‘ud, 3/224; al-Ifham fi Syarh ‘Umdah al-Ahkam oleh Ibn Baz, hlm. 777).
Berbalik kepada soalan yang diajukan, secara umumnya, seseorang itu diharuskan untuk memakai jam pada mana-mana tangan yang dikehendakinya; kanan atau kiri. Syeikh Ibn Baz ketika ditanya berkenaan memakai jam tangan di tangan kanan, beliau menjawab dengan menyatakan, diharuskan untuk memakai jam tangan pada tangan kanan dan kiri. (Lihat Masa‘il al-Imam Ibn Baz, hlm. 220).
Namun, pada asasnya terdapat riwayat menceritakan bahawa Rasulullah SAW suka mendahulukan bahagian kanan dalam urusan Baginda. Ini sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ فِي تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ وَفِي شَأْنِهِ كُلِّهِ
Maksudnya:
“Nabi SAW selalu mendahulukan bahagian kanan dalam memakai selipar, menyikat rambut, bersuci dan dalam setiap urusan kehidupan sehariannya.”
Riwayat al-Bukhari (168)
Tajuddin al-Fakihani setelah mensyarahkan hadith di atas, beliau menyebutkan, ini adalah kaedah/prinsip yang berterusan dalam syariat; iaitu segala sesuatu yang termasuk dalam perkara yang dimuliakan dan diberi penghormatan seperti memakai pakaian, seluar dan kasut, masuk ke dalam masjid, menggunakan siwak, memakai sandal, memotong kuku, menggunting misai, menyikat rambut, mencabut bulu ketiak, mencukur kepala, memberi salam ketika dalam solat, membasuh anggota-anggota taharah (bersuci), keluar dari tandas, makan dan minum, berjabat tangan, istilam Hajarul Aswad, dan lain-lain yang memiliki makna serupa, adalah disunatkan untuk dimulakan dengan bahagian yang kanan.
Adapun hal-hal yang berlawanan dengannya, seperti masuk ke dalam tandas, keluar dari masjid, beristinja’, membuka atau melepaskan pakaian, seluar, dan kasut, dan seumpamanya, maka adalah disunatkan untuk dimulakan dengan tangan kiri. Semua ini adalah untuk menghormati dan memuliakan tangan kanan. (Lihat Riyadh al-Afham fi Syarh ‘Umdah al-Ahkam, 1/162).
Dalam menjawab soalan ini juga, terlebih dahulu kita hendaklah mengetahui bahawa jam tangan seperti mana yang dipakai pada hari ini tidak dikenali pada zaman dahulu.
Justeru, kita hendaklah melihat perhiasan yang serupa atau mirip kepada jam tangan, dan secara zahirnya ia dilihat menyerupai perbuatan memakai cincin. Terdapat beberapa riwayat yang menceritakan mengenai cincin yang dipakai oleh Baginda SAW di jari atau tangan mana.
Di antaranya riwayat daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata:
كَانَ خَاتِمُ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فِي هَذِهِ وَأَشَارَ إِلَى الْخِنْصَرِ مِنْ يَدِهِ الْيُسْرَى
Maksudnya:
“Cincin Nabi SAW di sini, lalu beliau menunjukkan kepada jari kelingkingnya di tangannya yang kiri.”
Riwayat Muslim (2095)
Justeru hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa Baginda SAW memakai cincin di tangan kirinya. Bahkan jika dilihat dari sudut hikmahnya, Nabi SAW makan dan minum dengan tangan kanan, justeru jika Baginda memakai cincin di tangan kanan pasti ia akan menjadikan proses makan dan minum itu sedikit sukar. Al-Buhuti menyebutkan, memakai cincin di jari kelingking tangan kiri adalah lebih afdhal berbanding memakainya di jari kelingking tangan kanan, kerana ia lebih selesa dan tetap (tidak perlu diubah-ubah). (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 2/236).
Manakala Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin pula berpendapat, memakai jam tangan di tangan kanan tidak ada masalah dan tidak juga ada keutamaan (afdhaliyyah) padanya.
Seseorang itu boleh memilih untuk memakai jam tangannya pada mana-mana tangan; kanan atau kiri. Sesungguhnya telah sabit daripada Nabi SAW bahawasanya Baginda kadang-kadang memakai cincin pada tangan kanannya, dan kadang-kadang memakainya pada tangan kirinya.
Pemakaian jam tangan termasuk dalam jenis cincin (dari segi hukumnya). Justeru, berdasarkan perkara itu, beliau berpendapat, tidak mengapa seseorang itu memakai jam tangan pada tangan kirinya.
Begitu juga tidak mengapa memakainya pada tangan kanan, dan tidak ada sebarang kelebihan mahupun keutamaan dalam pemakaiannya ke atas yang lain (sama ada kanan atau kiri).
Beliau juga ada menyatakan, ramai orang pada hari ini memakainya pada sebelah tangan kiri kerana tangan kanan lebih banyak digunakan dalam kehidupan seharian berbanding tangan kiri. Jika dia memakai jam tangan pada tangan kanannya, berkemungkinan ia akan menghalang atau mengganggu aktiviti sehariannya atau kemungkinan juga akan mendedahkannya kepada kerosakan.
Oleh sebab itu, kebanyakan orang memilih untuk memakai jam tangan pada tangan kiri mereka dan tidak menjadi masalah dalam hal tersebut mahupun terdapat keutamaan bagi tangan kanan berbanding tangan kiri dalam perkara ini. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 22/2).
Namun, para ulama mazhab Syafi‘i berpandangan bahawa pemakaian cincin di tangan kanan adalah lebih afdhal dan utama. Ini seperti pendapat Imam al-Nawawi yang menyebutkan, dibolehkan bagi seorang lelaki untuk memakai cincin perak di jari kelingking tangan kanannya, dan sekiranya dia mahu dia boleh memakainya pada jari kelingking tangan kirinya.
Kedua-duanya sahih dilakukan oleh Nabi SAW. Akan tetapi pendapat yang sahih lagi masyhur adalah lebih afdhal untuk memakainya pada tangan kanan kerana ia merupakan perhiasan dan tangan kanan adalah lebih mulia. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/333).
Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak menjadi masalah memakai jam tangan pada mana-mana tangan sama ada kanan atau kiri. Kedua-duanya adalah diharuskan.
Namun, jika seseorang itu memakai jam tangan di tangan kanan dengan tujuan untuk mengikuti sunnah Nabi SAW (ittiba‘ al-Nabi) dalam hal mendahulukan anggota kanan, maka tidak syak lagi ia adalah lebih afdhal dan mendapat pahala Insya-Allah.
Lebih-lebih lagi, jika pemakaian jam di tangan kanan itu tidak menyebabkan kesukaran ke atasnya untuk melakukan aktiviti seharian seperti makan, minum dan seumpamanya sekalipun perlu membukanya.
Begitu juga jika dia memakainya pada tangan kiri kerana tangan kanannya banyak atau kerap digunakan dalam aktiviti sehariannya sehingga menimbulkan kesukaran ke atasnya untuk kerap kali membuka/menanggalkannya, maka tidak mengapa melakukannya dan tidak termasuk dalam perbuatan yang dianggap tercela.
Ini kerana dalam hal tersebut adalah luas, diharuskan untuk memakainya pada tangan kanan atau tangan kiri, tidak kira bagi lelaki mahupun perempuan kerana hukumnya adalah sebagaimana pemakaian cincin.
‘Berbuka ikut azan tv atau masjid?’ Jangan sambil lewa, berbuka awal perlu qada atau ganti puasa selepas bulan Ramadan nanti.
Selalunya bagi mereka yang gemar berbuka puasa di rumah, radio dan televisyen menjadi medium utama untuk kita mengetahui sama ada sudah masuk waktu Maghrib atau belum.
Namun, kita kena ingat. Azan itu menandakan waktu Maghrib di Kuala Lumpur yang tidak semestinya sama di sesetengah kawasan. Kebiasaannya bila waktu berbuka, anda ikut azan tv atau masjid?
Ikuti perkongsian Ustaz Akhil Hayy dalam Tazkirah Kashoorga berkaitan isu ini:
Soalan:
Sebaiknya adalah lebih afdal kita berbuka bila kita dengar azan di tv atau pun dari masjid. Sebenarnya mana lebih baik?
Jawapan:
Sebenarnya soalan sebegini agak subjektif. Suka saya kongsikan kisah yang berlaku di Sabah iaitu di Tawau jika tak silap saya terjadi beberapa tahun yang lalu dan telah menjadi viral mengenai radio yang telah terpasang azan empat minit lebih awal daripada waktu iftar.
Jadi apabila perkara ini dikemukakan kepada Jabatan Mufti, mufti menjelaskan bahawa puasa umat Islam yang mendengar atau berbuka mengikut azan radio tersebut terbatal dan perlu qada balik selepas sambutan hari raya.
Bermakna setiap orang yang ditugaskan untuk melaungkan azan atau memutarkan azan seperti muazzin atau bilal mahupun deejay radio merupakan orang paling penting atau paling glamor di bulan Ramadan di media eletronik atau media sosial.
Ketika bulan Ramadan bila orang hendak berbuka, rata-ratanya akan memberi perhatian kepada laungan azan Maghrib sebab nak makan tak kiralah daripada mana-mana sumber sama ada tv, waima masjid berdekatan tempat kediaman.
Oleh itu, orang yang bertanggungjawab untuk melaungkan azan atau memutarkan laungan azan haruslah mengetahui waktu yang tepat dan pastikan waktu atau jam konsisten agar tidak timbulkan masalah di kemudian hari.
Bagi Ustaz Akhil Hayy, jika amanah diberikan kepada anda dijalankan dengan baik, maka tidak akan timbul masalah yang berlaku beberapa tahun lalu itu dulu.
Sebagai contoh apabila kita duduk satu qariah dan rumah Kita berhampiran dengan masjid, jadi apa salahnya kita dengar saja azan dari masjid sebelum iftar.
Sebenarnya tidak timbul isu ikut azan mana, jika masing-masing menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab tidak akan berlaku khilaf. Lagi satu kena ingat, keyakinan nenolak was-was.
Sebenarnya bila kita ikut takwim yang telah ditetapkan, insyallah waktu berbuka kita akan tepat dan mengikut waktu sepatutnya bagi sepanjang bulan Ramadan.
Orang lelaki, kalau bercerita berkahwin lebih dari satu, masing-masing “hidup”. Begitu bersemangat apatah lagi jika melihat ada kawan-kawan melakukannya. Kata mereka, hati kena kental dan semangat kena kuat. Tapi dalam bersemangatnya lelaki nak menambah cawangan, ramai yang takutkan bini. Kata orang 3T (teringin tapi takut bini). Masa yang sama, bolehkah isteri melarang suami untuk berpoligami? Dengarkan penjelasan Mufti Wilayah mengenai isu larangan ini.
Jawapan:-
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.
Tidak berdosa hukum ke atas seorang isteri untuk melarang suaminya untuk berpoligami apabila terdapat keperluan untuk membantahnya. Hanya sanya perkara yang dilarang oleh Hukum Syarak adalah mengharamkan apa yang Allah Taala telah halalkan dan menghalang suami daripada berkahwin lain dengan tindak tanduk yang tidak mematuhi Syarak seperti mengugut mencederakan diri sendiri atau orang lain.
Adapun jika melarang dengan menjustifikasikan dengan perkara-perkara yang disyariatkan maka adalah dibenarkan dan dianjurkan. Misalnya, jika berpoligami akan menyebabkan kezaliman pada nafkah dan qismah (pembahagian hari antara isteri) isteri-isteri, atau nafkah anak-anak dan ibu bapa, maka perbuatan melarang serta menghalang itu adalah adalah suatu nasihat yang terpuji dalam agama.
Ini termasuklah untuk mencegah daripada menyakiti hati isteri dan mengakibatkan gangguan berlebihan apabila isteri itu ditimpa penyakit cemburu. Ini berdalilkan sebuah hadis daripada al-Miswar bin Makhramah RA bahawa Rasulullah ﷺ berkhutbah di atas minbar:
Maksudnya: “Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta izin kepadaku agar aku menikahkan anak wanita mereka dengan Ali bin Abu Thalib, namun aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka! Kecuali jika Ali bin Abu Tolib menceraikan anakku lalu menikahi anak wanita mereka. Sesungguhnya anakku (Fatimah) adalah bahagian dariku, aku merasa senang dengan apa sagaja yang menyenangkannya dan aku merasa sakit atas semua yang menyakitinya.” Riwayat al-Bukhari (5320) dan Muslim (2449)
Berkata Imam Ibn Hajar al-Asqalani: “Dan sebab padanya (larangan ke atas Ali untuk berpoligami semasa pernikahan dengan Fatimah) seperti mana yang telah disebut dahulunya dalam (bab) manaqib (Fatimah) bahawa beliau telah ditimpa (ujian) kehilangan ibunya (Khadijah) kemudian saudari-saudari perempuannya, seorang demi seorang, sehingga tiada siapa yang tinggal untuk beliau mengadukan isu-isu kerahsiaan (rumah tangga) supaya melegakan perasaan akibat cemburu.”
Ibn Hajar juga membawa riwayat al-Zuhri yang menyebut sabda Rasulullah ﷺ:
Maksudnya: “Dan aku risau bahawa agamanya (yakni Fatimah) akan ditimpa ujian fitnah,” yakni Fatimah menjadi tidak sabar kerana cemburu lalu berlaku sesuatu yang tidak layak pada darjat beliau pada agama daripada beliau semasa marah.”Rujuk Fath al-Bari (9/329)
Dalam hadis riwayat Muslim menyebut bahawa Ali bin Talib telah meminang anak Abu Jahal (yang sudah Islam), sedangkan beliau telah bernikah dengan Fatimah, anak perempuan Rasulullah ﷺ. Apabila Fatimah mendengar hal itu, beliau berjumpa Nabi ﷺ dan berkata kepada beliau: “Sesungguhnya kaummu telah mengatakan bahawa engkau tidak marah demi anakmu, apabila Ali bernikah dengan anak Abu Jahal.” Berkata Miswar (perawi hadis): Lalu Nabi ﷺ bangkit dan aku mendengar baginda bersyahadah kemudian berkhutbah:
Maksudnya: “Amma ba’du, sesungguhnya aku telah menikahkan Abu al-`Aas bin al-Rabi’ (suami Zainab) lalu memberitahuku dan membenarkanku. Sesungguhnya Fatimah binti Muhammad adalah segumpal daging dariku, dan sesungguhnya aku benci apa sahaja yang membawa fitnah kepadanya. Demi Allah, tidak akan berhimpun anak Rasulullah dengan anak musuh Allah di sisi seorang lelaki selama-lamanya.” Berkata al-Miswar: lalu Ali meninggalkan pinangannya. Riwayat Muslim (2449)
Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak mengharamkan apa yang halal dan tidak menghalalkan apa yang haram, tetapi demi Allah, tidak akan berhimpun anak Rasulullah dengan anak musuh Allah di sisi seorang lelaki selama-lamanya.” Riwayat al-Bukhari (no. 3110)
Berkata Imam al-Nawawi: “Ertinya aku tidak ada berkata suatu perkara yang bertentangan dengan hukum Allah, maka apabila Allah hukumkan perkara itu adalah halal maka aku tidak akan mengharamkannya, dan jika perkara itu Allah haramkan aku aku tidak akan menghalalkan dan aku tidak akan diam daripada mengharamkannya kerana diamnya aku adalah penghalalan baginya. Dan menjadilah daripada kalangan wanita yang diharamkan berkahwin ialah menghimpunkan antara anak Nabi Allah dan musuh Allah.” Rujuk al-Minhaj Syarh al-Nawawi `ala Muslim (4/15-16)
Jika kita melihat daripada sudut fiqh, ternyata poligami pada hukum asalnya adalah diharuskan sahaja. Namun begitu dalam beberapa hal yang mendatang, hukumnya boleh berubah kepada tiga (Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/25-26;
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh mendatangkan mudarat dan membalas mudarat dengan mudarat yang lain.” Riwayat Malik (31) dalam al-Muwatto’
Maksudnya: “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (Surah al-Nisa’: 3)
Maksud “keadilan” yang dijadikan kriteria di atas ini adalah tanggungjawab ke atas lelaki dalam keadilan dan sama rata dalam pemberian nafkah, tempat tinggal, kehidupan bersama yang berkualiti, dan menunaikan hak-hak isteri. Manakala soal hati dan perasaan adalah perkara yang relatif dan sukar dikawal. Oleh itu, perbezaan dalam hal emosi tidak membawa kepada dosa, sekiranya dijaga aspek zahir dan tidak membawa kepada kezaliman dan penganiayaan. Ini yang dimaksudkan dalam firman Allah ﷻ:
Maksudnya: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Nisa’: 129)
Oleh sebab itu, Rasulullah ﷺ sendiri adalah seorang yang paling adil terhadap isteri-isteri baginda pada memberi mereka pembahagian hari dan muamalat yang baik, namun baginda lebih menyayangi Aisyah R.Anha. Baginda berdoa:
اللَّهُمَّ هَذَا قَسْمِي فِيمَا أَمْلِكُ، فَلَا تَلُمْنِي فِيمَا تَمْلِكُ وَلَا أَمْلِكُ Maksudnya: “Ya Allah, inilah pembagianku yang aku mampu, maka janganlah Engkau cela aku pada sesuatu yang Engkau mampu dan tidak aku mampu.” Riwayat Abu Daud (1822). Beliau berkata; “yaitu hati.”
Kembali kepada perbincangan asal, apabila hukum berpoligami itu sendiri boleh jadi mubah, sunat dan haram, maka tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan. Justeru, ia bukan sahaja masuk dalam bab nasihat yang baik antara Muslim, tetapi juga adalah sebahagian perlaksanaan konsep Syura yang dituntut oleh Syarak. Ini kerana seorang wanita apabila mengetahui suaminya ingin memadukannya, perlu memastikan hak-hak dirinya seperti nafkah yang telah ditentukan mengikut uruf dan persetujuan bersama, tidak dilanggar atau ditindas apabila berlakunya poligami. Dalam erti kata lain, seorang isteri ada hak menyuara pendapat yang berbeza dalam sesi syura bersama suami untuk berkahwin lain. Hak kebebasan berpendapat dalam sistem Syura ini dinaskan dalam al-Quran. Firman Allah ﷺ:
Maksudnya: “Bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” (Surah Ali Imran: 159)
Berkata Syeikh Muhammad Tohir Ibn Asyur: “Maka telah jelaslah bahawa musyawarah yang disuruh oleh ayat ini di sini adalah musyawarah pada hal ehwal umat dan maslahat-maslahatnya. Allah telah mengarahkan perlaksanaannya di sini dan telah memujinya ketika menceritakan tentang kaum Ansar dalam firman-Nya Ta’la yang lain:
وَأَمْرُهُمْ شُورى بَيْنَهُمْ
Maksudnya: “dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka;” (Surah al-Syura: 38) dan Allah telah mensyaratkannya dalam urusan keluarga seperti mana firman-Nya:
Maksudnya: “Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya);” (Surah al-Baqarah: 233)
Maka Allah telah mensyariatkan dengan ayat-ayat yang telah disebutkan tadi perlaksanaan musyawarah pada pelbagai lapisan maslahat; iaitu maslahat keluarga, kabilah, negeri dan maslahat umat keseluruhan.” Rujuk Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir (4/147-148)
Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, jelas kepada kita bahawa hukum isteri melarang suaminya untuk berpoligami tidak berdosa, sekiranya dibuat atas dasar nasihat, Syura demi untuk mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap haknya. Kami mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan masyarakat agar sentiasa mendidik wanita dengan keperibadian Muslimah dan menjaga hak-hak mereka daripada ditindas atau dilanggar. Inilah pesanan Rasulullah ﷺ dalam khutbah terakhir beliau yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA:
Maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah tentang urusan wanita, sesungguhnya kalian telah mengambil mereka dengan amanah Allah, dan telah halal bermesraan secara seksual bagi kaum dengan kalimah Allah… dan ke menjadi tanggungjawab kamu untuk memberikan nafkah rezeki kepada mereka dan pakaian dengan ukuran yang makruf.”Riwayat al-Nasaie (no. 9135)
Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Hutang dalam Islam bukan perkara kecil dan wajib diselesaikan walaupun selepas kematian. Ketahui tanggungjawab penghutang, waris dan pemiutang menurut Islam.