Soalan: Apa hukum membasuh kain dengan menggunakan mesin basuh?
Jawapan:
Asal sesuatu pakaian yang bersih dimasukkan oleh seseorang ke dalam mesin basuh tidak dikira bernajis melainkan terbukti kenajisannya.
Pakaian dicuci dengan menggunakan air yang bersih dan bahan-bahan yang boleh membersihkan. Setelah sesuatu pakaian itu dicuci dengan satu proses penyucian sehingga tiada lagi kesan najis sama ada bau, rasa dan warna, maka dikira pakaian itu bersih. Tidak diperintahkan oleh syara’ untuk kita membebani diri meneliti sesuatu proses pembersihan jika sudah terbukti cucian yang berlaku menghilangkan segala kesan najis.
Jika terbukti masih terdapat kesan najis selepas proses pembersihan menggunakan mesin basuh maka pakaian terbabit dikira masih bernajis. Namun jika kesan itu terlalu sukar untuk dihilangkan dan hanya sedikit seperti kesan warna darah atau warna najis yang tidak dapat dihilangkan maka dimaafkan.
Ads
Bagi mengelakkan kesan najis di dalam penggunaan mesin basuh maka digalakkan seseorang memastikan pakaian yang dimasukkan itu dihilangkan najis yang jelas yang akan menyebabkan pakaian lain terkena najis tersebut dan memberi kesan kepada bau, warna dan rasa.
Ada beza antara halal, pork free, alkohol free dan muslim friendly. Sebaiknya makanlah di kedai yang ada sijil halal. Bukankah lebih baik dan tidak menimbulkan was-was.
Sebenarnya zaman sekarang terutamanya golongan muda mengambil ringan bab status halal ini apatah lagi kalau makanan atau restoren tersebut viral.
Dalam Islam sendiri ada garis panduannya terutamanya dalam bab halal ini. No pork dan no alcohol tak semestinya halal. Oleh itu berhati-hatilah iya. Ikuti perkongsian Puan Farizal Radzali ini dan hadam baik-baik pesanannya.
Dulu kawan berbangsa Cina ajak saya makan dekat 1 kedai western, betul-betul depan pejabat saya saja. Saya tanya dia halal ke? Sebab saya tak nampak staff muslim di sana. Katanya ramai Melayu makan dekat sana. Maka, saya pun akur.
Dipintu masuk tertulis besar, “Pork Free, Alcohol Free”.
Sebaik melangkah masuk ke dalam kedai itu, perkara pertama saya nampak ialah hiasan di dindingnya. Banyak botol arak pelbagai bentuk, didekorasikan di sana. Cantik mmg cantik tapi hati saya sudah tak best.
Saya pandang beberapa meja, betul ada pelanggan Melayu sedang makan. Kawan saya ajak duduk di satu meja. Saya pula terus ke kaunter. Ada seorang staf cina lalu, dia tanya saya kalau saya perlukan apa-apa bantuan.
Saya tanya dia, berapa staf Melayu dekat sini? Dia jawab tiada. Lepas itu saya tanya, ada sijil halal ke? Masa itu dia panggil orang lain untuk jawab soalan saya.
Datang seorang lain yang agak berusia. Katanya mereka sudah mohon sijil halal tapi belum dapat. Masa ni saya sudah rasa lain macam. Setahu saya, syarat permohonan sijil halal ialah mesti ada staf muslim sekurang-kurangnya seorang.
Kawan saya datang dekat saya. Dia tanya kenapa. Saya beritahu dia bahawa mereka tiada sijil halal. Kawan saya cakap dalam bahasa cina dengan orang itu. Orang itu cakap “Sini tak ada arak & tak ada pork”. Dan katanya ramai melayu makan dekat situ, tak ada isu pun.
Saya tunjuk dia botol arak yang jadi hiasan dinding. Katanya itu hanya dekorasi sebab botol itu cantik. Saya katakan padanya bahawa botol perfume pun banyak yang cantik, kenapa pilih botol arak? Dia diam. Mungkin tak sangka saya bertanya tentang hal remeh macam itu.
Saya cakap dekat kawan saya, saya was-was. Saya tak nak makan dekat situ. Dan kawan saya akur. Lalu kami keluar. Itu cerita puluhan tahun lepas, dan sehingga kini kedai tu masih belum dapat sijil halal yang katanya dulu sudah mohon.
1 hari tu, bos nak belanja makan dekat 1 kedai india yang agak terkenal. Saya tahu ada ramai pegawai-pegawai kerajaan muslim makan dekat situ, sebab itu kedai tu terkenal. Lalu saya tanya, halal ke? Bos saya kata, menteri pun ada makan dekat sana.
Lalu saya call kedai tu, tanya psl sijil halal. Katanya tiada. Memang tak mohon, sebab proses mohon susah. Katanya kedai mereka tiada daging lembu, tiada pork, tiada alkohol. Ramai melayu makan di kedai mereka.
Lalu saya tolak ajakan bos saya. Dan sejak itu juga bos saya peka dgn bab halal walaupun dia bukan muslim. Setiap kali nak belanja makan, dia akan suruh kami cari kedai yang ada sijil halal. Kadang tu dia lebih peka dari saya sendiri.
Contohnya baru² ni, buffet Ramadhan oleh sebuah hotel terkemuka. Hotel tu mmg halal. Kat banner ada tulis ‘Muslim Friendly’. Dan tgk review ramai melayu makan, katanya sedap & berbaloi walau bayar RM60 seorang. Tgk makanan pun terliur.
Bos saya kata, call dulu tanya. Masa ni saya tersentak, dia lebih peka dari saya. Biasalah, perempuan kan, bila nampak makanan, tak toleh dah. Tapi yang membuatkan saya yakin halal ialah kerana hotel tu memang menyediakan makanan halal.
Lalu saya call juga supaya tak was-was. Sebab terasa malu pula bila bos yang bukan muslim pula yangg suruh tanya. Rupanya buffet tu bukan di bawah kelolaan hotel itu. Buffet tu menyewa di dalam hotel hanya untuk Ramadhan.
Hotel tu sdiri ada dewan makan lain. Saya tanya samada buffet tu halal, jawapannya dah apply, belum dpt sijil je. Sijil on the way katanya.
Nahhh…. Tersentak saya. Saya kata kenapa letak muslim friendly? Katanya sebab no pork, no alcohol, ada surau untuk solat.
Saya pelik dengan jawapan ‘Dah mohon, tapi belum dapat sijil’. Rata-rata kedai yang tiada sijil halal akan cakap sama macam ni. Kenapa tak cakap saja belum ada sijil halal. Nampak tak begitu mudah kita diperdaya.
Sedangkan untuk orang bisnes makanan besar-besaran macam ini, mestilah mereka tahu masa yang tepat untuk mereka memohon.
Contohnya nak buat buffet Ramadan bulan 3, mestilah permohonan perlu dibuat dalam tempoh 3 hingga 6 bulan sebelum tarikh beroperasi. Kan? Ke saya salah?
Kita sebagai muslim yang sepatutnya lebih peka tentang apa yang kita boleh dan tak boleh. Bukan terus yakin dengan apa yang tuan kedai itu cakap dan tulis. Sebab mereka tak tahu tentang apa yang boleh dan tak boleh dalam agama kita.
Mungkin pada mereka, pork free, alcohol free, sudah cukup untuk muslim makan di kedai mereka. Mereka mungkin tak tahu tentang percampuran perkakasan yang digunakan, bahan yang digunakan, kebersihan dan kenapa sijil halal itu susah untuk diperolehi.
Mungkin ada yang kata, alaaa… Kedai makan Melayu pun ada juga yang tak jaga kebersihan. Betul itu tapi cuma ingat satu perkara.
Kalau kita yang muslim makan di kedai tak halal yang dikelolakan oleh orang bukan muslim, kita yang berdosa sebab yang menjual itu tak faham tentang agama kita.
Tapi kalau kita membeli dari muslim sendiri tapi makanannya tak menepati piawaian halal, maka peniaga itulah yg berdosa kerana dia tahu hukum agama tapi meremehkannya.
Mohon maaf andai tulisan saya ada khilaf. Ini sekadar pendapat saya.
Perselisihan keluarga antara anak dan ibu bapa memang biasa terjadi lantaran masing-masing mempunyai pandangan berbeza terhadap sesuatu perkara.
Akibatnya, kerana tidak mahu memperpanjangkan cerita, anak nekad untuk tidak mahu berbicara atau bersua muka kerana takut akan berlaku lagi perselisihan.
Mungkin dalam hal tertentu anak tidak bersalah dan terasa hati dengan tindakan ibu bapa. Perasaan susah memaafkan mula bersarang dan seterusnya mengambil keputusan tidak mahu menziarahi mereka. Bagi anak cukuplah dengan memberikan wang belanja bulanan dengan tanggapan telah tunaikan tanggungjawab sebagai anak.
Justeru sampai berapa lama mahu keadaan ini berlarutan? Enggan memaafkan dan tidak menzarahi mereka?
Allah berfirman dalam al-Quran surah al-Isra’ : Ayat 23
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan janganlah kamu semua menyembah melainkan Dia dan berbuat baiklah kepada dua ibu bapa.”
Allah SWT telah menegaskan bahawa semua hambaNya wajib berbuat baik kepada ibu bapa setelah mereka melaksanakan tanggungjawab menyembah Allah. Ini bermakna berbuat baik kepada orang tua adalah satu tanggungjawab besar dan berat, melihatkan kedudukannya setelah kewajipan menyembah Allah.
Jika orang tua kita sudah tiba pada usia tua atau emas, janganlah kita bersikap kasar terhadap mereka . Jangalah berkata “Ah!’ sekalipun. Jangan kita mengherdik mereka. Sedangkan mengeluarkan perkataan ‘Ah!’ pun tidak dibolehkan apatah lagi dengan memaki, apatah lagi dengan tidak menziarahi, jauh sekali ada rasa geram dan rasa nak marah.
Nak tunjuk muka kurang senang atau tidak suka kepada orang tua pun tak dibolehkan, apatah lagi kalau kita tak mahu memaafkan mereka.
Andai mereka bersalah sekali pun, kita WAJIB memaafkan mereka. Apa sebabnya? Sebabnya ialah kalau bukan kerana mereka, kita tidak akan lahir ke dunia ini dengan izin Allah. Apa yang kita dapat hari ini, semuanya adalah kerana orang tua kita. Bagaimana kita nak mengecap nikmat hidup kalau bukan dari redha mereka?
Apabila berlarutan rasa ego seperti ini, maka anak mengambil keputusan enggan menziarahi ibu bapa, Jika dahulu kerap, kini boleh dibilang setahun berapa kali sahaja berjumpa malah ada yang bertahun tidak menziarahi orang tua.
Jadi, apakah hukumnya jika anak sekadar memberi wang belanja tanpa datang menziarahi ibu bapa?
Ketahuilah oleh kita bahawa, memberi wang belanja yang ditanggung oleh anak, hukumnya WAJIB. Berbuat ihsan kepada orang tua, hukumnya WAJIB. Bila mana anak tidak menziarahi ibu bapa kerana geram dan marah akan mereka, di sini, si anak telah DERHAKA kepada orang tuanya. Sejahat-jahat orang tua, mereka tetap mempunyai hak untuk kita hormati.
Dalam kemelut seperti ini, sejauh mana batasan anak untuk tidak perlu taat kepada mereka? Jika ibu dan ayah kita menyuruh anak berbuat mungkar dan maksiat, maka anak tidak perlu mentaatinya.
Jika orang tua suruh berbuat maksiat, jangan ditaati, tetapi tetaplah berbuat baik kepada mereka. Walaupun tidak taat kepada orang tua yang menyuruh berbuat maksiat, kita tetap perlu hormati mereka. Kedudukan orang tua adalah pintu kepada anak untuk menuju ke syurga atau neraka.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Sekiranya ada orang mengalami koma selama berbulan-bulan. Apabila sedar, adakah dia perlu qada semula solatnya?
Jawapan:
Istilah koma membawa maksud keadaan tidak sedarkan diri untuk beberapa lama (biasanya akibat kemalangan atau sesuatu penyakit). (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)
Berdasarkan isu itu, kami mulakan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)
Syeikh al-Maraghi berkata: Allah SWT tidak membebankan hamba-hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu mereka kerjakan. Bahkan sifat kemurahan-Nya memberikan kemudahan kepada mereka. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/672)
Orang yang koma dalam tempoh lama tidak perlu qada solatnya kerana dalam tempoh itu, akalnya dikira tiada.
Ini kerana salah satu daripada perkara yang mewajibkan solat adalah berakal. Maka, tidak wajib solat bagi orang gila, pengsan, mabuk dan seumpamanya kerana pada waktu itu akal mereka sudah hilang.
Ini dinyatakan di dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Diangkat pena daripada tiga golongan: Orang yang tidur sehingga dia bangun, daripada bayi sehingga dia remaja (baligh) dan daripada orang yang cacat mental sehingga dia berakal.” (Riwayat al-Tirmizi – 1423 dan Ahmad 956)
Menurut Syeikh al-Mubarakfuri, ungkapan ‘al-Ma’tuh’ membawa maksud gila atau yang seumpama dengannya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/570)
Ulama mengqiyaskan bagi setiap orang yang hilang akal mereka dengan orang gila sama ada dalam tempoh masa sekejap atau lama.
Jika dia sembuh dan berbaki masa untuknya solat (bertakbir), maka wajib baginya solat. Bagaimanapun, dia tidak wajib qada solat dalam tempoh berkenaan (hilang akal).
Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitabnya al-Majmu’: “Sesiapa yang hilang akalnya dengan sebab yang tidak diharamkan (syarak) seperti menjadi gila, koma, pengsan atau hilang akal dengan sebab sakit atau meminum ubat kerana keperluan atau dipaksa meminum minuman yang memabukkan hingga hilang akalnya, tidak wajib solat atasnya dan apabila dia tersedar, tidak diwajibkan qada solat atasnya sama ada singkat atau lama tempoh gila dan pengsannya itu. Inilah yang menjadi mazhab kami (mazhab Syafi’ie).” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/6)
Secara umumnya, kami nukilkan pelbagai pandangan fuqaha dan mazhab bagi memberikan lebih pencerahan dan kefahaman.
Ulama khilaf dalam beberapa pendapat:
• Mazhab Maliki dan Syafi’ie berpendapat, tidak perlu qada kerana ia tidak termasuk dalam mukallaf, dalam keadaan pengsan atau koma.
• Mazhab Hanbali berpendapat, perlu qada.
• Mazhab Hanafi berpendapat, perlu qada jika tidak melebihi enam waktu solat. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 11/110)
Sekiranya keadaan itu bukan dalam tempoh panjang, maka dia perlu qada. Ini berdasarkan apa yang diriwayatkan yang bermaksud: Bahawa ‘Ammar pernah pengsan selama tiga malam. Apabila terjaga, beliau bertanya: Adakah aku sudah solat?
Mereka menjawab: “Kamu tidak solat sejak tiga malam.” Kemudian beliau berwuduk dan sembahyang qada tiga malam tersebut.” (Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf – 2/268)
Daripada Imran bin Husain dan Samurah bin Jundub R.Anhuma juga diriwayatkan seumpamanya. Tiada sebarang khilaf, maka ia seolah-olah ijmak. (Lihat al-Mughni, 1/240 dan al-Majmu’, 3/8)
Setelah meneliti hujahan dan pendapat ulama dan fuqaha, kami lebih cenderung kepada qada solat jika sekiranya tempoh pengsan pendek seperti kurang tiga hari dan tidak perlu qada jika tempoh koma atau pengsan dalam tempoh lama, yang lebih dari tiga hari. Itulah amalan sahabat Rasulullah SAW.
SUMBER: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Via Harian Metro
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Anak berlainan jantina memandikan jenazah ibu bapa sering menjadi persoalan. Ketahui hukum sebenar menurut Islam, pandangan ulama mazhab al-Syafi'i serta peranan anak dalam menguruskan jenazah.