Saya ada mendengar seorang sahabat bagi tahu jika berlaku perceraian sebelum lagi suami isteri duduk bersama maka suami akan mendapat semula mas kahwin yang telah diberikan kepada isteri. Betul atau tidak?
Gambar sekadar hiasan.
JAWAPAN :
Jika pasangan suami isteri bercerai sebelum berlaku persetubuhan dalam pernikahan tersebut dan telah ditetapkan jumlah mas kahwinnya maka suami mendapat kembali separuh dari maskawin yang telah diberikan dan separuh lagi milik isterinya.
Ertinya : “Dan jika kamu sekelian menceraikan isteri-isteri sebelum dari bahawa kamu menyentuh akan mereka dan kamu sekelian telah menetapkan maskawin bagi mereka maka hendaklah kamu bayar separuh dari maskawin yang telah kamu tetapkan itu.” (Al-Baqarah : 237)
Berkata Imam Ibnu Kathir :
عن ابن عباس أنه قال في الرجل يتزوج المرأة، فيخلو بها، ولا يمسها، ثم يطلقها ليس لها إلا نصف الصداق لأن الله يقول { وَإِن طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ وَقَدْ فَرَضْتُمْ لَهُنَّ فَرِيضَةً فَنِصْفُ مَا فَرَضْتُمْ } قال الشافعي بهذا أقول، وهو ظاهر الكتاب.
Ertinya : “Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. sungguhnya beliau telah berkata pada masalah seorang lelaki yang menikahi seorang wanita dan tidak duduk bersamanya dan tidak menyentuhnya kemudian dia menceraikannya maka tiada bagi wanita itu melainkan separuh dari maskawinnya dari kerana sungguhnya Allah telah berfirman : Dan jika kamu sekelian menceraikan isteri-isteri sebelum dari bahawa kamu menyentuh akan mereka dan kamu sekelian telah menetapkan maskawin bagi mereka maka hendaklah kamu bayar separuh dari maskawin yang telah kamu tetapkan itu.”
Berkata Imam Syafie : Dengan inilah aku berkata dan ialah yang zahir dari Al-Quran.” (Tafsir Ibnu Kathir)
والمراد بالمس المذكور في الآية : الجماع واختلف أهل العلم فيما لو خلا الرجل بامرأته ثم طلقها قبل أن يدخل بها فذهب قوم إلى أنه لا يجب لها إلا نصف الصداق ولا عدة عليها لأن الله تعالى أوجب بالطلاق قبل المسيس نصف المهر ولم يوجب العدة وهو قول ابن عباس رضي الله عنه وابن مسعود وبه قال الشافعي رحمه الله
IKLAN
Ertinya : “Dan yang dikehendaki dengan menyentuh pada ayat ini ialah bersetubuh. Dan bersalahan ulamak pada masalah jikalau suami tidak bersama dengan isterinya kemudian diceraikannya sebelum dari bersetubuh dengannya maka telah berjalan oleh satu golongan kepada bahawa tidak wajib bagi perempuan tersebut melainkan separuh sahaja dari maskawinnya dan tidak ada bagi perempuan itu eddah kerana sungguhnya Allah telah mewajibkan dengan talak sebelum bersetubuh itu separuh maskawin dan tidak mewajibkan eddah. Dan ialah pendapat Ibnu Abbas r.a. dan Ibnu Mas’ud r.a. dan dengannyalah berpendapat oleh Imam Syafie r.a.’ (Kitab Ma’alim At-Tanzil)
Kesimpulannya suami yang belum bersetubuh sekurangnya sekali dengan isteri yang dinikahinya apabila berlaku perceraiannya hanya wajib membayar separuh dari nilai mas kahwin yang telah ditetapkan.
Hukum mak ayah menghina anak-anaknya, wujudkah ibu bapa derhaka? Selalunya kita dengar istilah anak derhaka atau si tanggang.
Namun bagaimana pula dengan ibu bapa derhaka? Sebenarnya bolehkah sewenang-wenangnya, mak ayah menghina anak-anaknya. Biarpun anak, rasanya bukanlah sesuatu yang mudah diterima apabila mak dan ayahnya suka menghina.
Ikuti perkongsian Adnin Roslan di akaun TikToknya:
Berdosa dan dilarang sama sekali dalam Islam. Perbuatan ibu bapa menyakiti hati anak adalah dilarang sama sekali. Kita dilarang menyakiti semua orang, apatah lagi jika darah daging kita sendiri.
Tetapi menyakiti hati anak secara tidak sengaja seperti terlepas cakap, tercerita tentang anak kepada orang lain dan lain-lain lagi memerlukan ibu bapa meminta maaf daripada anak.
Sebagai anak tak dinafikan wajib berbuat baik kepada ibu bapa. Begitu juga mak, ayah wajib berbuat baik kepada anak-anaknya.
Jangan disebabkan mulut-mulut kita membuatkan anak-anak terseksa. Sepatutnya rumah menjadi syurga buat anak-anak. Tapi terdapat segelintir ibu dan ayah yang mulutnya…
Ya Allah, sangat menyakitkan, suka menghima mengherdik, perli, membandingkan anak-anaknya dengan anak orang lain.
Dalam masa yang sama, menghukum, tak memahami anak, bash sana, sini serta semuanya tak kena di mata dia. Hanya nampak kesilapan dan kesalahan, kebaikan anak tak nampak. Lebih teruk kesalahan yang kecil diperbesarkan.
Nasihat Ustaz Adnin, janganlah menjadi mak ayah yang sebegitu. Sebaiknya jadi ibu bapa yang menyanyangi anak-anak hingga mereka terasa disayangi. Jaga tutur kata, semoga Allah SWT menjadikan rumah kita sebagai syurga buat kita sekeluarga.
Saya nak tahu apa hukum dan fadilat puasa sunat 27 Rejab sempena Isra’ Mi’raj?
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya.
Sebarang bentuk, puasa sunat tidak dianggap sunat melainkan terdapatnya nas sama ada daripada al-Quran atau hadis yang menggalakkan puasa sunat tersebut. Kami kemukakan di sini dari kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/114-117) berkenaan dengan puasa sunat yang terdapat dalam Islam.
Antara jenis puasa sunat ialah:
Puasa pada Hari Arafah
Sunat berpuasa pada 9 Zulhijjah bagi orang yang tidak mengerjakan ibadat haji.
Ini berdasarkan hadith, daripada Abu Qatadah RA katanya: “Rasulullah SAW ditanya tentang puasa pada hari Arafah. Baginda bersabda:
يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ
Maksudnya: “Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.”
Riwayat Muslim (1162)
Hari Arafah adalah hari yang afdhal antara hari yang lainnya. Ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Tiada hari lain yang lebih banyak Allah membebaskan hamba-hamba-Nya daripada api neraka selain hari Arafah.”
Riwayat Muslim (1338)
Adapun orang yang sedang mengerjakan ibadat haji, tidak sunat berpuasa pada hari tersebut, bahkan dia sunat berbuka mengikut perbuatan Nabi SAW, di samping menguatkan tenaga untuk berdoa pada hari tersebut.
Puasa pada Hari Asyura’ dan Tasu’aa’
Asyura’ adalah hari yang kesepuluh bulan Muharam, manakala Tasu’aa’ pula adalah hari yang kesembilan pada bulan tersebut. Ini berdasarkan hadith, daripada Ibn Abbas RA, katanya:
Maksudnya: “Jika aku masih hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada hari yang kesembilan Muharram.”
Riwayat Muslim (1134)
Namun, Rasulullah SAW telah wafat sebelum tiba masa tersebut.
Hikmah berpuasa hari Tasu’aa’ dan hari Asyura’ adalah untuk berhati-hati daripada kemungkinan berlaku kesilapan awal bulan. Begitu juga halnya supaya tidak menyamai perbuatan orang Yahudi. Mereka juga berpuasa pada hari kesepuluh bulan Muharam. Justeru, sesiapa yang tidak berpuasa pada hari Tasu’aa’ dan hari Asyura’, dia sunat berpuasa pada hari yang kesebelas bulan tersebut.
Gambar sekadar hiasan.
Puasa pada Hari Isnin dan Khamis
Dalil sunat berpuasa pada kedua-dua hari tersebut ialah hadith, daripada Aisyah R.Anha, katanya:
Maksudnya: “Semua amalan dipersembahkan pada hari Isnin dan Khamis. Justeru, aku ingin amalanku dipersembahkan ketika aku sedang berpuasa.”
Riwayat al-Tirmizi (747)
Puasa Selama Tiga Hari pada Setiap Bulan
Hari yang afdhal untuk melakukan puasa tersebut ialah pada malam bulan mengambang, iaitu pada hari yang ke-13, 14 dan 15 setiap bulan Islam yang dikenali juga sebagai hari-hari putih (الأيام البيض). Ini kerana malam hari tersebut terang benderang kerana cahaya bulan. Ini berdasarkan hadith, daripada Abu Hurairah RA, katanya:
Maksudnya: “Rasulullah SAW meminta aku melakukan tiga perkara, iaitu puasa selama tiga hari pada setiap bulan, solat Dhuha dua rakaat dan solat Witir sebelum tidur.”
Riwayat al-Bukhari (1124) dan Muslim (721)
Hadith seterusnya, daripada Abu Qatadah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Rasulullah SAW menyuruh kami berpuasa pada hari-hari putih, iaitu 13, 14, dan 15 haribulan. Baginda juga bersabda: Puasa tiga hari tersebut seolah-olah puasa sepanjang tahun.”
Riwayat Abu Daud (2449)
Walau bagaimanapun, puasa pada 13 Zulhijjah dikecualikan kerana haram berpuasa pada hari tersebut.
Puasa Selama Enam Hari pada Bulan Syawal
Cara yang afdhal adalah puasa berturut-turut sebaik sahaja selepas Hari Raya Aidilfitri. Namun, cara demikian tidaklah menjadi syarat. Malah, sunatnya tetap didapati, sekalipun dilakukan secara berselang-selang hari. Ini berdasarkan hadith, daripada Abu Ayub RA, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, dia seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.”
Riwayat Muslim (1164)
Berdasarkan kitab ini, dan juga dalil-dalil yang dikemukakan jelas menunjukkan kepada kita bahawa puasa 27 Rejab tidak dianggap termasuk dalam puasa-puasa sunat yang dituntut kecuali ia berlaku pada hari Isnin atau hari Khamis. begitu juga sebagaimana yang kami bahaskan bahawa penentuan Isra’ Mi’raj pada 27 Rejab juga menjadi khilaf di kalangan ulama’ tarikh.
Marilah sama-sama kita beramal dengan apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya dan inilah yang diajar oleh Islam kepada kita. Semoga kita sentiasa mendapat taufiq dan hidayah daripada-Nya.
Siapa sangka setelah dua bulan mengikuti kelas agama di Kelantan, Mawar Rashid akhirnya beroleh kekuatan untuk mula berhijab ketika umat Islam memyambut Maal Hijrah.
Sebenarnya sejak Ramadan lalu lagi Mawar Rashid sudah membiasakan diri untuk bertudung, namun begitu hatinya masih berbolak balik dan tidak bersedia.
Menceritakan pengalaman dilalui, Mawar yang mengumumkan dirinya berhijab melalui entri di Instagram (IG) memberitahu, keputusan yang dibuat pada tahun baharu kalendar Islam itu, cukup simbolik dan bermakna.
“Hendak dijadikan cerita, Allah lorongkan saya menyertai kelas agama. Setiap bulan saya pulang ke Kelantan untuk menimba ilmu agama. Saya belajar dengan salah seorang guru di sana.
“Sekembalinya ke Kuala Lumpur pada 17 Ogos lalu, tanpa berfikir panjang, saya mencapai tudung dan memakainya. Alhamdulillah, pada sambutan Maal Hijrah (Khamis lalu), saya berniat betul-betul untuk terus istiqamah bertudung,” katanya.
Mawar atau nama penuhnya, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid berkata, dengan pengumuman itu, bermulalah pengembaraan baharu dalam hidupnya.
“Keputusan ini bagai episod permulaan di mana saya memulakan kembara baharu sebagai manusia biasa yang tidak pernah sempurna.
“Saya juga mahu mendapatkan keredaan Allah. Saya cintakan Allah dan Rasulullah SAW. Niat menutup aurat sudah lama. Impian saya hendak menjadi muslimah sejati.
“Namun, saya sedar terlalu banyak kekurangan dan kelemahan diri selama ini, saya terlalu hina di mata-Nya,” tambahnya lagi.
Menceritakan penghijrahannya itu, Mawar mengaku menangis setiap kali bersolat.
“Saya menangis kerana Allah sudah beri terlalu banyak nikmat dalam hidup. Namun, saya masih tidak menutup aurat dan beri pelbagai alasan,” ujar Mawar yang memberitahu suaminya sangat bahagia dengan keputusan dilakukan.
Menurutnya lagi suaminya itu tidak memaksa dia bertudug tetapi sering memberi ‘hint’ untuknya berhijab.
Namun dia tidak mahu keputusan didorong kerana paksaan atau sebab orang lain, sebaliknya datang dari dalam diri.
Ayuh, kita doakan semoga Mawar Rashid kekal istiqamah dengan berhijab dan doakan hatinya terus tetap dan tidak berbolak baik lagi dengan keputusan dibuat.