Ada berbagai kisah menarik dari Tanah Suci Makkah. Walau tempat ini suci dan menjadi kiblat pertama umat Islam namun tidak dinafikan ada berbagai ragam manusia yang pergi. Ada mencari keredhaan Allah, tak kurang juga awalnya dari kampung niat sudah baik namun kemudian terpesong kerana mempercayai perkara-perkara ajaib.
Dalam satu perkongsian Tetamu Haramain Kashoorga bersama Dato Ustaz Daud Che Ngah yang sangat berpengalaman luas dalam bidang pengurusan haji dan umrah, pasti dirinya menyimpan pelbagai kisah-kisah menarik termasuk aneh dalam kalangan jemaah diuruskannya.
Berpengalaman lebih 40 tahun, Dato Ustaz Daud Che Ngah mengakui ada satu kisah menarik untuk dirinya kongsikan sebagai panduan pada masa depan.
Ia berkaitan jemaah yang mempercayai batu cincin yang jika dibeli boleh menjadikannya kaya.
Ads
Kisahnya begini, sautu hari dirinya menguruskan sekumpulan jemaah. Masing-masing ada ragamnya. Dalam kumpulan jemaah diuruskannya, ada seorang lelaki yang merupakan pengamal perubatan di kampungnya.
“Dalam orang lain sibuk buat ibadah tawaf, saie dan sebagainya, dia bertanya mana dia boleh beli batu-batu cincin. Saya minta dia menumpukan perhatian pada ibadahnya dan dia lakukan tapi niatnya tak terhenti di situ.
Ads
“Bila selesai umrah, jemaah akan buat lawatan dan ziarah. Masa inilah dia ambil peluang mencari batu-batu cincin. Memang pelik sebab dia borong kesemuanya atas alasan boleh jadi kaya. Walau kami semua dah beri nasihat tapi diri borong juga tanpa sedar dia sebenarnya turut membawa balik juga toyol dari tanah suci.
Ads
“Ikutkan jemaah ini ada macam-macam ragam. Ada kutip batu nak bawa balik ke tanahair sampai meracau jadinya. Memang kita tak dibenarkan bawa balik tanah atau batu dari Tanah Suci sebab ia tanah haram. Tapi sebab percaya cakap bomoh, maka orang ini ikut dan bawa balik,” katanya mengakui masih ada lagi amalan-amalan khurafat dilakukan.
Jelas Dato Ustaz Daud Che Ngah, untuk ke tanah suci kita perlukan guru untuk belajar ilmu.
“Carilah yang betul-betul kerana ada banyak ujian di sini. Kata orang apa yang kita sebut terus menjadi. Memang kena jaga lisan kalau ke Tanah Suci,” katanya menasihati sesiapa yang ingin ke Makkah, perbanyakkan membaca dan mencari guru yang betul agar tak sesat pemikiran di sini.
Saksikan video Tetamu Haramain Kashoorga di sini.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Malam ini akan bermulalah solat sunat tarawih. Bagi pasangan suami isteri yang ada kekangan untuk menunaikan di masjid, boleh lakukan ini di rumah.
Jadi tanggungjawab suami ketika ini sangat penting dalam menjadi contoh sebagai seorang ketua yang baik dalam sesebuah keluarga.
Tidak payah untuk menjadi Imam kepada keluarga walaupun anda baru pertama kali melakukannya (terutama solat tarawih) kerana ada cara mudah untuk tujuan itu.
Sedikit perkongsian dari Ustaz Shahrizan Daud bagaimana tip dan cara menjadi Imam sewaktu Ramadan nanti.
Jadikanlah Ramadan tahun ini paling bermakna kerana anda berjaya membawa ahli keluarga menambah pahala dan menjadi contoh terbaik dalam keluarga.
Pada tahun ini, kita akan beribadah dan menghidupkan Ramadhan di rumah. Solat wajib, solat sunat tarawih dan ibadat-ibadat lain di rumah bersama ahli keluarga sebaik-baiknya perlu dilaksanakan sepanjang tempoh ini.
Solat Fardhu 5 waktu dan Solat Sunat Terawih sempena Ramadhan kali ni ini mudah untuk dilaksanakan jika kena pada caranya. Saya kongsikan beberapa cara mudah untuk dilakukan seperti berikut :
1. Merasa teruja dan gembira dapat menghadapi Ramadhan kali ini walaupun terpaksa berada dirumah tanpa peluang ke masjid atau surau. Gembira dalam terharu dan sayu mendapat Ramadhan.
2. Menanamkan niat dan azam yang tinggi untuk memperbanyakkan semua jenis amalan-amalan wajib dan sunat bagi mendapatkan keampunan disamping meraih gandaan kelebihan pahala
3. Mengukuhkan perasaan dan emosi untuk memikirkan ibadah-ibadah lebih banyak berbanding memikirkan menu-menu utk berbuka dan sahur, rancangan di tv atau prog di media, melayari internet media sosial apatah lagi banyak tidur
4. Menginsafi dan mengenal semula diri sendiri sepanjang tempoh menyendiri di rumah ini agar lebih dekat pada Sang Pencipta Allah SWT.
1. Cari sudut atau ruang khas yang dikhususkan untuk aktiviti Ibadat dilaksanakan. Hias dan buatlah dekorasi khas untuk menaikkan mood dan semangat Ibadat seperti letak sejadah, rehal, quran, tasbih, telekung di kawasan tersebut jika boleh dan ruang tersebut tidak diganggu untuk aktiviti harian yang lain ( Bilik Khas Ibadah ) , Jika tiada ruang bilik yang khas, carilah ruang2 yang tiada gangguan laluan di depan, gambar2 atau perhiasan yang boleh mengganggu tumpuan di hadapan tempat solat
2. Gunakan sejadah yang elok dan baik atau pakaian khas solat seperti telekung baru dan bersih, kain sarung dan baju melayu/jubah serta wangian yang indah bagi menaikkan lagi semangat dan memberikan suasana ibadah yang tenang
3. Al Quran stand atau Rehal yang tinggi diperlukan bagi kegunaan bacaan Imam ketika solat yang ingin pembacaan yang agak Panjang. Boleh juga digunakan set audio dalam rumah (karaoke system) sebagai penambah keseronokan bagi bunyi yang lebih baik ketika bacaan yang boleh menambahkan semangat Ibadah jika sesuai.
4. Pilih dan dapatkan alatan kelengkapan Ibadah yang baik dan elok agar mampu menambah keseronokan dan mood ketika perlaksanaan seperti pakaian yg elok, al quran yang besar, cantik dan jelas tulisannya, tasbih yang cantik, sejadah yang agak tebal dan terurus tidak kusut dan tidak mudah tercabut rendanya sebagai contoh.
5. Kesihatan tubuh badan ahli ibadah juga perlu diambil penting bagi mendapatkan tumpuan dan khusyuk dalam solat dan ibadat-ibadat lain. Jika tidak larat berdiri untuk solat tarawih yang lama, boleh duduk sahaja . Jika perlukan kerusi untuk duduk ketika solat, gunalah kerusi yang minimum saiznya tanpa penyandar dan tidak mengganggu ahli keluarga yang turut berjemaah
6. Alihkan gangguan bunyi atau gangguan bayi kecil dgn persiapan mainan atau kelengkapan makanan bersama ketika ibadah
Seorang suami atau ayah wajib mendalami selok belok hukum hakam dan ilmu berkaitan semua ibadah terutama ibadah di dalam Ramadhan. Fahami tentang keutamaan antara ibadah-ibadah yang dilakukan. Solat adalah tunggak dan tunjang Ibadah dalam semua ibadah Ramadhan termasuk puasa. Berapa ramai ibu ayah yang mengutamakan anak-anak utk sahur dan puasa tetapi mengabaikan kepentingan solat subuh dan solat-solat fardhu fardhu lain malah ada yang mengutamakan tarawih berbanding solat fardhu.
Ulangkaji pelbagai soal jawab persoalan ibadah Ramadhan seperti perkara yang membatalkan puasa dan perkara yang membatalkan pahala puasa yang sebenarnya lebih banyak dan utama untuk dijaga berbanding perkara yang membatalkan puasa. Dalami juga ilmu tentang Al Quran , zikir , sedekah dan semua ibadat-ibadat yang ingin dilaksanakan sepanjang Ramadhan supaya matlamat
ibadat itu benar-benar tercapai dan diterima oleh Allah swt.
Berikut adalah tips menjadi Imam solat fardhu atau tarawih bagi Ramadhan dalam tempoh PKP kali ini :
1. Imam WAJIB membaca Surah Al-Fatihah dan SUNAT membaca surah-surah lain selepas Al Fatihah.
Langkah paling asas dan mudah adalah membaca surah lazim daripada Surah Al-Dhuha hingga Surah
Al-Nas selepas Al Fatihah dan hendaklah mengikut turutan susunan surah dari awal hingg akhir. Jika tersilap susunan, solat masih sah tetapi hukumnya makruh. Jika tersilap rakaat pertama membaca surah An Nas maka ulangi surah yg sama pd rakaat kedua bg mengelakkan salah turutan surah.
2. Tidak menjadi masalah jika imam mahu membaca Surah Al-Kafirun dan Surah Al-Ikhlas sahaja sepanjang Solat Fardhu atau tarawih, tetapi digalakkan utk mempelbagaikan surah-surah yang dihafal dan dilazimi. Ketua keluarga ambillah peluang ketika PKP ni utk menghafal surah-surah baru sebagai koleksi surah lazim yang dihafal dan menambahkan kredibiliti sebagai seorang Imam yang baik.
3. Tidak menjadi masalah jika imam mahu membaca satu atau dua ayat Al-Quran bagi setiap rakaat namun lebih panjang lebih baik.
4. Jika ada imam yang mahu membaca surah atau ayat panjang untuk mengambil kelebihan tilawah al quran sepanjang ramadhan tetapi dia tidak hafal maka dia letakkan mashaf al quran di stand quran atau meja yang tinggi di hadapan Imam yang mudah untuk dibaca ketika solat. Boleh guna telefon bimbit untuk membaca bacaan surah dalam solat jika tidak mengganggu tumpuan dan pergerakan ketika solat namun digalakkan gunalah mashaf al quran dan diletakkan di hadapan untuk mengelakkan pergerakan dan menambah keselesaan dan tumpuan.
5. Pastikan ayat Al-Quran dibaca dengan tajwid yang betul dan solat dilakukan dengan tenang dan penuh tertib.
6. Berselawat di antara 2 rakaat tarawih dibenarkan sebagai rehat antara 2 rakaat namun ianya tidak wajib dan tiada masalah sebab ia bukan rukun Solat Terawih.Boleh juga diganti dengan zikir-zikir yang lain.
7. Pastikan rehat sebentar antara 4 rakaat Solat Terawih. Kalau agak sukar membaca selawat maka boleh baca Surah Al-Ikhlas sebanyak 3 kali. Boleh dilaksanakan tadabbur ayat-ayat yg telah dibaca sepanjang 4 rakaat awal tadi sebagai mengisi masa rehat antara 4 rakaat solat tarawih.
9. Apabila memasuki malam 16 Ramadhan dan seterusnya, maka disunatkan membaca Doa Qunut pada rakaat akhir Solat Witir.
10. Latih anak-anak terutamanya anak lelaki untuk menjadi bilal di rumah samaada azan atau iqomah sebagai latihan awal untuk mereka.
11. Pastikan susunan saf di atur dengan baik mengikut sususan yang betul jika keadaan ruang muat dan sesuai, jika tidak, memadai imam di depan, lelaki di belakang sedikit daripada imam dan wanita di belakang jemaah lelaki walaupun sususan agak jadi berat sebelah, kurang tepat teratur dan seumpamanya
12. Jika Imam dan makmum adalah semuanya wanita, seperti contoh hanya ada Ibu dan anak-anak perempuan, maka memadai dimulakan solat dengan Iqomah sahaja tanpa meninggi suara terlalu kuat ketika bacaan dalam solat. Manakala susunan saf solat perempuan berada dalam satu saf dan Ibu hanya perlu terkehadapan sedikit sahaja daripada anak-anak perempuan dalam solat tersebut
13. Jika ada anak lelaki yang sudah mumayyiz walaupun belum cukup umur baligh, dibolehkan untuk menjadi Imam bagi ibu atau ayah serta ahli keluarga lain yang mungkin tidak berkeupayaan sebab sakit dan seumpamanya dengan syarat, dia memahami semua hukum hakam solat, syarat sah dan rukun solat serta mempunya bacaan yang baik dan lancar. Sebaik-baiknya pilihlah yang telah balighdan jika tiada, anak yg mumayyiz dibenarkan dengan syarat-syarat tadi.
Semoga Allah menerima Ibadah-ibadah Ramadhan kita semua dengan sebanyak-banyaknya gandaan pahala, keampunan daripada segala dosa serta dimasukkan dikalangan golongan yang bertaqwa di sisi Allah SWT.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Walaupun tahun ini kerajaan mengambil keputusan untuk tidak menghantar jemaah haji ke tanah suci kerana masalah wabak COVID-19, namun tidak mematahkan semangat untuk setiap dari kita menanam niat pergi ke sana.
Berkongsi pengalaman jemaah haji yang pernah mengerjakan Rukun Islam kelima ini juga menjadi satu pengalaman terindah untuk kita jadikan panduan satu hari nanti.
Semoga dengan perkongsian jemaah haji ini dapat memberi info berguna dan jadi pengajaran sekiranya dijemput menjadi tetamuNya nanti, InsyaAllah.
Menurut Puan Nurul Ashikin, peluang dapat menunaikan haji dalam usia sangat muda memberi pengalaman cukup berguna padanya.
Dia dan suaminya dapat tawaran menunaikan Haji melalui surat pada bulan November 2017. Kemudian, surat rayuan dibuat dan dihantar terus ke Tabung Haji Jalan Tun Razak. Alhamdulillah beliau turut mendapat tawaran pada bulan Februari 2018.
Ayuh Ikuti perkongsiannya…
Alhamdulillah selesai sudah 6 hari perjalanan ibadah haji kami berdua. Memang rasa adventure sangat! Best experience selama saya hidup 29 tahun ini. Post ini tentang pengalaman haji kami, yang pasti akan berbeza dengan pengalaman jemaah haji yang lain.
Saya cuba untuk menceritakan secara ringkas pengalaman dan perjalanan kami menerusi gambar dari hari pertama sehingga ke hari keenam. Harap boleh memberi gambaran suasana sebenar masyair kepada bakal jemaah haji.
Boleh share post ini. Post ini bukan untuk dijadikan sebagai panduan, tetapi boleh diambil sebagai manfaat dan pengajaran kepada bakal jemaah haji nanti. InsyaAllah.
#shhajj1439
Hari pertama. 8 Zulhijjah; Ahad. Semua jemaah haji Malaysia akan ke Arafah sehari sebelum wuquf iaitu pada 9 Zulhijjah. Jemaah haji di tingkat 1 akan berkumpul terlebih dahulu di lobby pada 6.30am. Sahabat maktab diberi tugas untuk mengawal dan membantu jemaah haji di setiap tingkat. Saya dan suami membantu jemaah haji di tingkat 4 dan bas no 21.
Sebelum menaiki bas, semua jemaah haji yang membuat haji tamattuk akan berniat haji di lobby hotel.
Bas datang lewat 2 jam. 830pagi baru bas pertama sampai. Walaupun lewat, tapi bas tak henti datang dan dalam masa sejam je, jemaah dari tingkat 1 hingga 4 dah bertolak ke Arafah.
Ni bas kami, boleh muat sampai 62 orang. Yang muda muda memang kena berdiri. Beg kena letak atas peha masing masing. Sebab tu Tabung Haji dah nasihat awal awal jangan bawa beg banyak dan besar. Ada juga jemaah yang bawa beg tarik besar. Akan makan space dan menyusahkan jemaah lain. Bawa sahaja beg tarik Tabung Haji 5kg. Saya dan suami backpack je. Bawa 1-2 set pakaian dah cukup.
Ujian kami, bas sesat. Sepatutnya perjalanan setengah jam tapi jadi sampai 1jam 40min. Alhamdulillah semasa ziarah seminggu ke Masyair, saya dah save location Arafah maktab 84. Cuma banyak jalan di tutup. Jadi bas kami terpaksa u-turn banyak kali dan cari jalan lain.
Blok P Maktab 84. Dari awal kena susun kedudukan mengikut arah kiblat. Saya mintak semua jemaah keluarkan tikar Tabung Haji dan susun rapat2. Beg pun saya mintak letak atas tikar, bukan luar tikar sebab taknak makan ruang jemaah lain. Ada 315 jemaah perempuan, lega sangat banyak kakak kakak jemaah yang tolong membantu susun atur kedudukan jemaah. Thank you semua! Hehe
Untuk tahun 2018, pertama kali pihak muassasah sediakan blower/aircond. Tapi bila dah ramai memang tak rasa sejuk. Ramai mengadu kat saya yang mereka panas dan mengadu jemaah di depan conquer blower. Kesian yang duduk di tengah2. Bersabarlah. Saya sendiri keluarkan kipas bateri RM10. Tidur pun mengadap kipas kecik saya.
Malam tu kami diuji dengan ribut petir. Bergoyang goyang khemah. Blackout dan gelap khemah masa kami solat maghrib. Kami berzikir, bertalbiah. Ramai berteriak Allahuakbar. Saya mengaku memang saya takut. Kami berdoa beramai ramai. Alhamdulillah jam 9malam ribut berhenti dan kami semua selamat.
Waktu pagi di Arafah. Beratur untuk ambil air panas. Sepatutnya ada partition zink antara tandas dan dapur, tapi dah hilang ditiup angin masa ribut malam arafah.
Teringat saya jam 3 pagi saya beratur selama sejam untuk ke tandas. Memang dah pesan awal awal; “Semua Hajah tolong jangan mandi yer. Nak masuk subuh dah. Buang air jer sekarang. Nak mandi selepas subuh yer”.
Breakfast kami dengan maggi. Bila kat Arafah, jadi sedap pula maggi cup ni. — with Hazlee Abu Bakar.
Makcik makcik duduk di belakang saya. Memang peramah sangat. Hari pertama di Arafah saya tak sempat lunch, mereka ni lah yang bagi saya buah, roti buat alas perut. Terharu
9 Zulhijjah; Isnin. Hari Arafah ini saya boleh bahagikan kepada 3 fasa. Fasa pertama adalah khutbah sebelum waktu zuhur. Waktu ni memang ngantuk sangat. Jadi better tidur sekejap diantara jam 9-10pagi. 11 pagi dah siap2 untuk khutbah dan solat zohor.
Fasa kedua di mana selepas zohor. Cop awal2 tempat di luar khemah untuk berdoa. Kalau suami isteri tu lebih baik doa bersama2. Saya keluarkan buku doa kiriman kawan dan doa hajat saya. Semangat nak berdoa. Ada 5 jam masa berdoa sebelum masuk waktu maghrib. 5 jam inilah Allah dan para malaikat paling dekat dengan kita. Langit terbuka luas. Jangan sia siakan waktu ini.
Cuaca memang panas. Rasa haba jer. Saya dan suami berdoa sambil ais letak di kepala. Cepat jer ais cair. Ada masa saya ambil air mineral sejuk terus tuang atas kepala. Basah telekung tapi sekejap je dah kering.
Time ni memang banyakkan minum air. Walaupun tak haus, saya keep minum supaya badan sentiasa sejuk.
Fasa ketiga dimana sejam sebelum Maghrib. Ujian kat sini kita akan rasa lapar. Jangan di layan sangat perut yang lapar. Continue berdoa dan ulang2 doa kita. Menangis dan merayu2 pada Allah. Menangis dan mengaku atas kesalahan dan dosa kita selama ini. Time ni semua orang tak malu menangis mengadap ke langit. Memang takkan lupa saat wukuf di Arafah.
Masuk je waktu Maghrib, semua jemaah dah kena ready ke Muzdalifah.
Jam 8malam bas no 21 dah tiba di Muzdalifah. Padat. Siap ada yang tidur berhampiran dengan tandas. Nak baring pun susah. Sempit. Saya tidur2 ayam jer. Duduk pun rasa panas pasir. Sakit juga belakang sebab banyak batu batu. Walaupun malam, memang saya berpeluh. Rasa udara dan haba panas. Kipas bateri memang penyelamat.
Jam dah 2 pagi, masih bas no 10. Saya dan suami dah rasa cacing kepanasan sebab bas 21 kami tak sampai lagi. Ada juga kami berfikir macam nak berjalan kaki ke Kompleks Jamrah terus. Sabar shikin sabar. Sekejap je lagi tu.
Terfikir saya macam mana agaknya keadaan kita semua di masyar, menanti untuk dihisab. Muhasabah diri saya ketika itu. Allahuakbar.
Akhirnya bas 21 tiba selepas subuh. 9jam kami di Muzdalifah.
Pakcik ni bas no 42. Masa bas no 21 beratur jam 5pagi untuk ke Mina, pakcik ni sorang2 je duduk. Saya minta pakcik baring berehat.
“Pakcik baring la, jangan duduk sangat. Sakit badan. Bas pakcik lambat lagi ni”.
Pakcik angguk jer dan terus baring. Sedih jer time ni. Pakcik tak merungut pun. Kesabaran pakcik tinggi sungguh. Semoga Allah membalas kesabaran pakcik dengan haji mabrur.
Ujian kepada kami apabila bas no21 kami berhenti selama sejam kerana jalan ditutup untuk diberi ruang kepada penjalan kaki ke Kompleks jamrah. Allahuakbar. Dah jam 6 pagi, sedangkan baru sahaja 2km bergerak.
Suami terus decide “sayang jom jalan kaki ke Kompleks Jamrah”.
Mengikut nasihat Tabung Haji, jemaah Malaysia akan melontar jamrah Kubra pada sebelah malam selepas Maghrib. Waktu afdhal iaitu waktu dhuha terlalu ramai orang dan sesak di kompleks. Saya dan suami dah target dari Malaysia untuk melontar semasa waktu afdhal dan Tabung Haji dah pesan boleh pergi tapi atas tanggungan sendiri. Dari Malaysia lagi kami tak henti henti berdoa supaya Allah memberi laluan dan lorongan kepada kami.
Dari tempat bas berhenti, kami berdua berjalan kaki ke kompleks jamrah sejauh 5km. Ikut laluan jemaah dari Nigeria. Saya dah pesan kepada jemaah haji bas no 21 mintak bersabar dan bas akan terus membawa mereka ke Kem Maktab 84
Rehat sekejap. Walaupun dari Malaysia saya dan suami dah praktis jogging sebulan sebelum ke Mekah. Tapi memang letih bila berada di sini. Basah jubah dengan peluh. Tak cukup tidur dan rehat sejak dari Arafah. Bertabah la shikin.
Kami ikut pesanan Ustaz Rahman untuk melontar ke level 3. Ramai tapi tak padat. Berdebar pulak rasa sebab pertama kali melontar. Alhamdulillah kami dapat melontar pada waktu afdhal. BismillahiAllahuakbar.
Ni Jamrah Sughra. Pada 10 Zulhijjah jemaah hanya melontar di jamrah Kubra sahaja. Askar ada juga mengepung jamrah Sughra dan Wusta supaya jemaah haji tak tersilap melontar pada 10zulhijjah.
Alhamdulillah selesai lontaran Jamrah Kubra kami. Kami bertahalul awal dan bebas daripada 10 daripada 13 larangan ihram. Comot betul sebab tak mandi selama 3 hari.
Kami diberitahu bas terakhir no 49 jemaah haji maktab 84 sampai di Mina pada jam 10pagi. Dan keadaan dalam khemah Mina sangat2 padat. Jadi saya dan suami decide untuk kembali ke Mekah supaya jemaah di khemah Mina ada ruang sedikit untuk berehat. Kami akan kembali semula ke Mina untuk bermabit pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah. — with Hazlee Abu Bakar.
Ni perjalanan dari Mekah ke Mina. Ramai orang berjalan kaki ke Kompleks Jamrah untuk bermabit. Saya dan suami ambil teksi dari hotel dan driver teksi hanya hantar kami separuh perjalanan sahaja. Jadi kami terpaksa berjalan kaki bersama jemaah lain.
Paling best abang spray air. Ramai je abang2 yang spray air di kepala dan muka kita. Setiap kali ada abang ni, saya dan suami sua muka dan kepala. Sejuk je badan.
Kami perlu bermabit di Mina lebih daripada separuh malam. Lebih 5 jam. Kami bentang tikar duduk di tepi jalan berhampiran kompleks. Selepas 10min ada je askar akan halau kami dan jemaah lain. Lepas tu kami cari ‘port’ baru dan akan dihalau lagi. Begitu la seterusnya sehingga 6jam. Tabah betul.
Ada masa kami berjalan jalan ke kem vvip yang sangat berhampiran dengan kompleks. Memang mewah sangat. Beruntung sangat jemaah yang dapat kem vvip ini. Sedap kan hati, saya tak dapat keselesaan macam ni di dunia, mengharapkan Allah bagi saya rasa di akhirat nanti.
Pandangan dari tingkat 4 kompleks jamrah. Ramai jemaah yang berehat dan bermabit di tepi jalan. Tapi askar arab memang betul2 tegas. Siap ada bawa kereta polis menghalau jemaah haji untuk kosongkan kawasan.
Sebelum kami ke Mina untuk bermabit pada 12 zulhijjah, saya dan suami tawaf haji dan saie untuk menjalankan rukun haji kami. Dataran tak ramai tapi disebabkan cuaca sangat panas, kami tawaf di level 2.
Kami saie dari safa ke marwah di level 2. Level 1 penuh dengan jemaah haji. Selesai ibadah tawaf haji dan saie, kami bebas daripada 13 larangan ihram dan bertahalul thani. Alhamdulillah.
Perjalanan bermabit kami pada 12 zulhijjah diteruskan. Seperti biasa, teksi akan menghentikan separuh sahaja perjalanan dan kami berjalan kaki 4km ke kompleks jamrah.
Kali ni kami dapat ‘port’ best. Kawasan ni askar arab tak halau dan saya siap boleh tidur 2jam. Memang ramai orang, tapi berangin. Jemaah haji lain siap sedekahkan kami makanan Al-baik (macam kfc). Mulia yer hati. Sejak kami sampai Mekah memang saya dan suami kuat makan. Semua benda nampak sedap. Risau juga nak timbang berat lepas balik malaysia nanti.
Tiba untuk melontar hari pertama tasyrik 11 zulhijjah. Masa ni rasa semangat sangat dan masa melontar pun rasa geram dengan syaitan. Hehe. Ibadah melontar ni ibarat simbolik kepada kisah nabi ibrahim yang melontar batu kepada syaitan.
Tips untuk jemaah haji; sebelum melontar susun 7 anak batu di corridor depan jamrah. Senang nanti nak melontar. Susun elok elok. Jangan risau tentang ramai orang. Sebab jemaah haji lain sekejap sahaja melontar dan keadaan akan lengang kembali. Setiap kali melontar saya dan suami melontar di hadapan sekali.
Hari terakhir bermabit di Mina. Allah sangat permudahkan perjalanan kami. Dari hotel di Mekah kami dapat driver teksi yang baik hati hantar kami betul betul berdekatan dengan Jamrah. Tak perlu berjalan banyak Saya dan suami bermabit di Level 4 kompleks jamrah dan askar pun tiba2 baik hati bagi kami duduk betul betul berhadapan Jamrah Sughra. Tak kena halau dah. Mungkin disebabkan ramai jemaah yang buat nafar awal, jadi jemaah di Mina semakin berkurangan.
Sebaik subuh pagi ini kami membuat ibadah lontaran dan ibadah terakhir haji kami pada 13 zulhijjah. Syukur ke hadrat Ilahi kami diberi kesihatan yang baik sepanjang tempoh ibadah haji ini. Memang tak dinafikan ada ujian dan kesusahan sepanjang 6 hari ini, bersyukur kami tempuh semua dengan baik. Memang benar ujian paling penting adalah kesabaran yang sangat tinggi di sini. Kunci mulut dan berkatalah dengan yang baik baik.
“Bukan lah dinamakan Haji jika tiada ujian dan kesusahan”
Kepada bakal haji, buatlah persediaan sebaik mungkin. Perjalanan haji saya berulang alik dan setiap hari perjalanan saya lebih 10km, jadi tidak dinasihatkan kepada bakal jemaah haji yang uzur dan tidak yakin untuk berulang alik Mina Mekah. Follow saja apa yang telah ditetapkan oleh Tabung Haji.
Once dah cukup RM9980 di dalam akaun Tabung Haji, cepat2 lah buatlah rayuan kepada Tabung Haji setiap tahun dan berdoa, insyaAllah dijemput menjadi tetamu istimewa Allah. Jika ada duit lebih, tak salah investkan sikit duit ambil pakej private haji yang ada di Malaysia. Tapi bagi saya, pakej Muasassah yang disediakan oleh Tabung Haji sudah terbaik.
Segala persoalan boleh PM atau bertanya di ruang comment. InsyaAllah saya dan suami akan menjawab soalan anda. Terima kasih — with Hazlee Abu Bakar.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
‘Duda, dahulukan nafkah anak sebelum kahwin lain.’ Lepas bercerai, ramai lelaki tak kisah pasal anak lebih-lebih lagi bekas isteri yang menjaga anak-anak.
Ingat ya wahai suami, yang bercerainya awak dan bekas isteri. Anak-anak tetap anak dan darah daging kalian sampai mati. Kongsi peguam syarie ini, Fahmi Ramli, isu nafkah anak ini memang tak akan selesai.
Setiap tahun akan ada isu yang sama. Ada bapa yang tak mahu bagi nafkah anak dan ada pula yang bagi, tapi tak cukup.
Ramai lelaki yang selepas bercerai dengan bekas isteri, tak kisah kalau anak duduk bersama dengan bekas isteri. Cuma masalah yang sering berlaku, kadang-kadang ibu yang terpaksa tanggung banyak perbelanjaan anak.
Yang biasa berlaku dalam mahkamah adalah duda yang bercerai, hanya tawarkan nafkah anak seorang RM100 sahaja sebulan. Kononnya itu sahaja takat kemampuan.
Tapi, yang tak betulnya, bila sudah tahu tak mampu nak bagi nafkah anak lebih, boleh pulak kahwin baru. Hinggakan anak tiri pun jadi tanggungan baru sedangkan anak tiri bukan tanggungan wajib.
Sebenarnya, banyak isu sebegini berlaku. Ada duda yang bercerai fikirkan, dia telah kembali bujang. Hinggakan rasa sudah bebas dan tak ada apa-apa tangungan. Walhal, anak masih ada. Bahkan mungkin ada 5 orang anak bersama dengan bekas isteri.
Apa nafkah anak yang wajib lagi ditanggung oleh seorang duda?
1. Makan dan minum
Zaman sekarang ini, sangat tidak logik kalau belanja harian makan minum anak hanya RM100 sebulan. Kalau dikira, seorang manusia yang makan biasa sekalipun minimumnya RM5 sekali makan. Sehari sekurang-kurangnya 3 kali makan. Jadi bersamaan dengan RM15.
Sepatutnya untuk makan minum sahaja seorang anak yang makan minum seperti biasa adalah RM450 seorang sebulan. Ini kiraan kasar sahaja. Jangan kata ini tak rasional. Kadang-kadang barang dapur rumah pun lebih daripada itu setiap bulan.
2. Lampin pakai buang
Bagi duda yang mempunyai anak kecil, jangan abaikan bab ini. Pampers adalah satu keperluan yang tak boleh ditinggalkan. Ada pelbagai jenis jenama. Cuma yang pasti setiap jenama mungkin berbeza harga. Dan beza juga harga bagi saiznya.
Sekarang ini, harga pampers anggaran harganya sekitar RM25 hingga 30. Dan seorang bapa perlu ambil peduli tentang berapa jumlah pampers yang digunakan oleh anaknya.
Kadang-kadang satu beg pampers tak cukup. Ada bayi yang kerap buang air. Anggaran sebulan untuk belanja pampers mininum adalah RM100 sebulan.
3. Susu
Susu adalah makanan bagi bayi dan minuman bagi anak kecil. Bagi sesetengah lelaki, mereka tidak tahu yang susu ini ada pelbagai jenis. Harga juga beza bagi setiap jenis. Yang penting bukan isu harga, tapi isu kesesuaian susu formula itu dengan anak.
Ada anak yang tidak sesuai dengan susu formula lembu. Malah, ada yang sesuai dengan susu kambing. Ada juga bayi yang alahan perlukan kepada susu formula soya.
Ada bapa yang pertikaikan kenapa diajar anak minum susu mahal. Lelaki yang sebegini, nampak sangat tak pernah ambil peduli tentang kesihatan anak.
4. Belanja sekolah
Bagi anak yang bersekolah, adalah satu kebiasaan untuk diberi duit belanja. Kadang duit ini mungkin boleh diambil daripada belanja bulanan. Tapi, duit belanja ini juga sangat penting untuk anak-anak gunakan di sekolah.
5. Pakaian
Bila sebut tentang pakaian, jangan fikir tentang baju semata-mata. Fikirkan juga tentang keperluan anak seperti ubat gigi, sabun, lotion dan lain-lain. Tambah-tambah bila ada anak bayi.
Pakaian hari raya juga perlu disediakan asing setahun sekali. Sekurang-kurangnya dua pasang untuk seorang anak. Ini kewajipan seorang bapa.
6. Yuran dan persediaan awal sekolah
Untuk perbelanjaan awal persekolahan, adalah satu kewajipan yang tak boleh dielakkan. Bapa wajib sediakan pakaian kelengkapan sekolah sekurang-kurangnya dua pasang bagi seorang anak.
Jangan sekadar bayar yuran sahaja. Kadang ada bapa yang tak ambil peduli bab ini atau diberitahu kepada si ibu untuk gunakan sahaja duit bulanan yang diberi. Kalau guna duit bulanan beli pakaian sekolah, jadi mana duit makan?
7. Perubatan
Jangan ambil mudah bab ini. Perubatan adalah satu tanggungjawab wajib bapa. Tak boleh serahkan kepada ibu untuk tanggung kos perubatan anak walaupun anak berada dengan si ibu.
Kalau tak percaya untuk bagi duit ubat kepada ibu, bapa perlu sediakan kemudahan perubatan untuk anak sekiranya anak perlu. Contohnya beli insuran kesihatan untuk anak atau akses guna kemudahan klinik panel jika ada.
Kesimpulannya, bukan saya kata tak boleh untuk duda yang cerai dengan isteri untuk kahwin lain. Tapi, anda perlu ingat, tanggungjawab nafkah anak ini sangat penting. Zalim kalau bapa tak bagi nafkah yang cukup, tapi boleh pulak kahwin lain.
Kalau ada yang tak kahwin lain pun, tapi mampu pulak beli benda yang merugikan atau melebihkan kehendak diri. Contohnya, beli motosikal mahal, beli kereta yang bulan tinggi, beli baju mahal setiap bulan dan lain-lain.
Nak kahwin juga boleh, cukupkan nafkah belanja seorang anak setiap bulan. Jangan kedekut. Kalau tak mampu bagi nafkah lebih, tak payah mimpi nak kahwin lain.
Tambah dosa sahaja. Puasa kalau nak tahan nafsu.
Kashoorga : Memang besar dan berat tanggungjawab serta amanah seorang lelaki di dunia ini. Namun masih ramai yang belum sedar serta culas bila berdepan dengan bab nafkah anak ini.
Kirim doa kepada jemaah umrah atau haji merupakan amalan yang harus dalam Islam. Ketahui hukum, dalil hadis serta adab mengirim doa tanpa membebankan para jemaah.