Dalam suasana ekonomi hari ini, ramai pasangan suami isteri sama-sama keluar bekerja bagi menampung kos sara hidup dan komitmen keluarga. Tidak dinafikan, dengan pelbagai tanggungan yang perlu dipenuhi, adakalanya sukar untuk hanya satu pihak sahaja mencari rezeki.
Namun, timbul persoalan dalam rumah tangga, apabila isteri bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, adakah suami masih wajib memberikan nafkah kepadanya?
Hakikatnya, para suami perlu cakna bahawa selepas mendirikan rumah tangga, memberikan nafkah kepada isteri dan keluarga adalah tanggungjawab mutlak seorang suami. Ia bukan pilihan, bukan juga bergantung kepada sama ada isteri bekerja atau tidak.
Kewajipan ini jelas disebut dalam firman Allah SWT melalui Surah al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud:
Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.
Ayat ini menunjukkan bahawa seorang suami atau bapa bertanggungjawab menyediakan makan, pakaian dan keperluan keluarga mengikut kemampuan serta secara makruf.
Perlu difahami bahawa semua pendapatan yang diperoleh oleh isteri adalah hak sepenuhnya milik isteri. Walaupun gaji isteri lebih tinggi daripada suami, suami tetap tidak mempunyai hak ke atas pendapatan tersebut melainkan dengan keizinan isteri.
Sekiranya isteri berkemampuan dan memilih untuk membantu dalam urusan rumah tangga seperti membeli barang dapur, membayar bil rumah atau menanggung sebahagian perbelanjaan keluarga, ia dikira sebagai ihsan, sedekah dan bantuan daripada isteri untuk meringankan beban suami.
Ads
Namun begitu, ia tetap bukan kewajipan yang mesti dipikul oleh isteri.
Selagi mana suami mengizinkan isteri keluar bekerja dan mencari rezeki, kewajipan suami untuk memberi nafkah tetap tidak gugur. Status isteri sebagai wanita bekerjaya bukan alasan untuk suami melepaskan tanggungjawab tersebut.
Menurut portal Jabatan Mufti Negeri Selangor, nafkah tidak semestinya mewah atau berlebihan. Ia hendaklah diberikan mengikut kemampuan suami, mencukupi keperluan isteri dan keluarga, serta disertai dengan rasa tanggungjawab.
Ads
Antara bentuk nafkah yang menjadi tanggungjawab suami termasuklah makan minum, pakaian, tempat tinggal, keperluan asas dan perkara yang munasabah mengikut keadaan keluarga masing-masing.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa keadaan tertentu yang boleh menyebabkan nafkah isteri gugur. Antaranya apabila isteri nusyuz, iaitu ingkar terhadap ketaatan yang diwajibkan kepada suami menurut syarak.
Selain itu, nafkah juga boleh terjejas sekiranya isteri keluar bekerja tanpa izin suami. Namun, sekiranya suami sendiri telah memberikan keizinan kepada isteri untuk bekerja, maka kewajipan memberi nafkah tetap berjalan seperti biasa.
Ads
Sebab itu, dalam rumah tangga, komunikasi dan persefahaman amat penting. Suami dan isteri perlu berbincang dengan baik tentang kewangan, perbelanjaan serta tanggungjawab masing-masing.
Sikap toleransi sangat diperlukan dalam perkahwinan. Suami jangan sesekali mengambil kesempatan atas pendapatan isteri sehingga culas atau sengaja mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah.
Pada masa yang sama, isteri juga perlu memahami kemampuan suami. Jangan meminta sesuatu secara berlebihan sehingga membebankan suami di luar kemampuannya.
Perkahwinan dalam Islam dibina atas dasar tanggungjawab, kasih sayang dan saling membantu, bukan atas sikap mengambil kesempatan antara satu sama lain.
Memberi nafkah bukan sekadar menyerahkan wang belanja. Ia adalah amanah, ibadah dan tanggungjawab besar yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT kelak. Suami yang melaksanakan tanggungjawab ini dengan ikhlas bukan sahaja menjaga keharmonian rumah tangga, bahkan sedang menunaikan perintah agama yang sangat mulia.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Dakwah secara lughawi berasal daripada bahasa Arab. Ia membawa maksud seruan, panggilan dan undangan. Secara istilah, kata dakwah bererti menyeru atau mengajak manusia untuk melakukan kebaikan dan menuruti petunjuk, menyuruh berbuat kebajikan dan melarang perbuatan mungkar yang dilarang oleh Allah dan rasul-Nya agar manusia mendapatkan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Kegiatan dakwah perlu sentiasa diberi nafas baru agar kaedahnya sesuai dengan keadaan dan perkembangan semasa. Rasulullah telah menunjukkan contoh bagaimana kejayaan baginda hasil dakwah selama 23 tahun di Mekah dan Madinah. Malah baginda juga telah berpesan supaya kita mengamalkan pendekatan dakwah yang memudahkan.
Ada dua cara dakwah dijalankan. Dakwah dengan sikap lemah lembut dan dengan sikap keras dan tegas. Namun sikap yang kedua ini sering dianggap sebagai sikap yang salah dan tidak mengandungi hikmah. Bahkan cara dakwah yang keras ini seringkali menimbulkan perdebatan bagi dakwah itu sendiri sehingga muncul protes daripada berbagai pihak ketika timbul sesuatu isu.
Hati manusia akan condong kepada orang yang bersikap lemah-lembut kepadanya. Oleh kerana itulah, di antara kewajiban da’i atau mubaligh adalah memilih kalimat yang lembut dan tidak kasar, agar dakwah sampai. Jangan sampai golongan ini lari dari agama, padahal dakwah belum sampai kepada mereka.
Seorang da’i bertugas mengajak manusia kepada ketaatan. Oleh kerana itu banyak bimbingan dari Allah dan RasulNya agar da’i bersikap lembut ketika berdakwah, agar dakwah mencapai sasaran khalayak dengan baik.
DALIL LEMAH-LEMBUT DALAM DAKWAH
Banyak ayat dan hadis yang menunjukkan pentingnya sikap lembut dalam dakwah. Inilah di antaranya:
Firman Allah Ta’ala:
اُدْعُ إِلَى سَبِيْلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِيْ هِيَ أَحْسَنُ
Ajaklah (manusia) kepada jalan Rabbmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik. (QS. An-Nahl (16): 125)
Dan Firman Allah Ta’ala:
وَلاَ تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلاَّ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِلاَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا
Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim diantara mereka. (QS. Al-‘Ankabut (29): 46)
Imam Al-Alusi mengatakan: “melainkan dengan cara yang paling baik”, iaitu dengan perangai yang paling baik, seperti membalas kekasaran dengan kelembutan, kemarahan dengan kesabaran, kerusuhan dengan ketulusan, dan emosi dengan santun”. (Tafsir Ruhul Ma’ani 21/2)
Firman Allah Ta’ala:
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لاَنفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ
Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. (QS. Ali Imron (3): 159)
Sabda Rasulullah SAW:
إِنَّ الرِّفْقَ لاَ يَكُونُ فِي شَيْءٍ إِلَّا زَانَهُ وَلاَ يُنْزَعُ مِنْ شَيْءٍ إِلاَّ شَانَهُ
Sesungguhnya lemah-lembut tidak berada pada sesuatu kecuali pasti menjadikannya indah, dan tidaklah lemah-lembut dihilangkan dari sesuatu kecuali pasti menjadikannya buruk. (HR. Muslim no. 2594, dari ‘Aisyah).
Namun demikian, bukan bererti seorang da’i selalu bersikap lemah-lembut dalam segala keadaan. Bahkan pada keadaan-keadaan tertentu dia dituntut untuk bersikap tegas dan keras. Sikap lemah-lembut dan keras diletakkan pada tempatnya masing-masing, dan itulah hikmah yang perlu difahami dan dilakukan saat berdakwah.
SIKAP TEGAS DAN KERAS DALAM DAKWAH
Dari keterangan di atas telah jelas tentang kewajipan memulakan dakwah dengan lemah-lembut, demikian juga dalam menyampaikan dakwah kepada orang yang tidak berilmu, orang yang tidak meremehkan dan tidak menentang hukum Allah.
Namun demikian, dalam keadaan tertentu seseorang da’i perlu menggunakan cara tegas dan keras, jika memang dituntut oleh hikmah. Oleh kerana yang disebut hikmah adalah menempatkan sesuatu pada tempatnya, keadaan-keadaan yang diperlukan sikap tegas dan keras seorang da’i antara lain pada saat:
1. Membela larangan Allah yang dilanggar dan saat menegakkan hudud.
2. Nampak sikap meremehkan terhadap hukum Allah dan penentangan terhadap dakwah.
3. Di saat nampak penyimpangan dari syari’at daripada orang yang tidak sepantasnya muncul penyimpangan tersebut.
Akan tetapi yang perlu diketahui bahqwa sikap keras dan tegas yang dilakukan oleh da’i jangan sampai menimbulkan kemungkaran yang lebih besar atau menghilangkan kebaikan yang lebih besar.
Untuk episod kedua Kashoorga Talk minggu ini, mengupas isu panas tentang dakwah keras dan dakwah lembut.
Sumber kredit: sabiilualhaq.com
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Terdapat lima peristiwa penting di hari Jumaat, diciptakannya Adam dan diturunkannya ke bumi, pada hari Jumaat Adam dimatikan, di hari Jumaat juga terdapat waktu yang mana jika seseorang meminta kepada Allah maka akan dikabulkan selagi tidak memohon yang haram, dan di hari Jumaat juga akan berlakunya kiamat.
Tidaklah seseorang Malaikat yang dekat di sisi Allah SWT, di bumi dan di langit kecuali dia dikasihi pada hari Jumaat. (HR. Ahmad)
Banyak fadhilat hari Jumaat yang tersedia untuk dikutip. Amalan sunat pada hari jumaat sering diabaikan kerana kesibukan dalam melakukan tugasan dan aktiviti harian. Sedangkan terdapat banyak sekali kelebihan amalan sunat ini yang telah tercatit di dalam al-Quran dan hadis.
Berikut SEMBILAN amalan paling utama dan hebat keuntungannya bagi mereka yang mengamalkannya. Bergembira dan berbahagialah bagi mereka yang bersungguh-sungguh meraih keuntungan padanya dan amatlah ruginya mereka yang mengabaikannya.
MEMOTONG KOKO
Disunatkan mandi walaupun waktu solat telah hampir. Disunatkan juga mencukur kepala, memotong kuku, memendekkan misai, memakai wangi-wangian dan mengenakan pakaian yang sebaik-baiknya. Ibnu Masud berkata, “Sesiapa yang memotong kuku pada hari Jumaat, Allah akan menyembuhkannya daripada penyakit dan memberikannya keselamatan.”
MEMBACA SURAH ALI-IMRAN
Sabda Nabi s.a.w. yangb bermaksud: “Sesiapa yang membaca surah Ali Imran pada hari Jumaat, maka Allah dan malaikat mendo’akan kebaikan ke atasnya sehingga matahari terbenam pada hari itu.”
MEMBACA SURAH AL-KAHFI
Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abi Said Al-Khudri yang bermaksud: “Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah menerangi hidupnya antara dua Jumaat.”
MENGUCAPKAN SELAWAT KE ATAS NABI SAW
Berselawat sekali ke atas Nabi, Allah Taala memberi rahmat 10 kali ganda. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksid: “Perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada malam dan hari Jumaat, maka siapa yang membaca selawat untukku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali (Allah akan memberinya rahmat 10 kali)”.(HR.Al-Baihaqi) Allah Taala juga ada berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah Taala dan para malaikat telah berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, ucapkanlah selawat dan salam yang sempurna ke atasnya (Nabi)”. (QS.Al-Ahzab:56)
MEMBACA YASSIN
Sesiapa membaca surah Yassin pada malam Jumaat, Allah mengampunkan dosa kecil yang dilakukan, demikian menurut hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah
MANDI SUNAT JUMAAT
Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abi Khatadah, bermaksud: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seolah-olah dirinya bersih hingga Jumaat akan datang.” Dan sebuah hadith daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: Jika seseorang antara kalian mendatangi solat Jumaat, maka hendaklah mandi dulu. (Muttafaq alaih)
Manakala sebuah lagi hadis yang menerangkan tentang mandi sunat hari Jumaat adalah sebuah hadis daripada Samurah, diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: Sesiapa yang berwuduk pada Jumaat, maka dengan keringanan itu, bolehlah dilakukan tanpa mandi tetapi mandi itu adalah lebih utama. (HR.Imam Abu Daud dan Tarmidzi).
SOLAT JUMAAT
Mereka yang mendirikan solat Jumaat antara satu Jumaat ke satu Jumaat berikutnya, maka Allah mengkifaratkan atau mengelakkan dia daripada terbabit dosa besar. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu. Barang siapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam, dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur. Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan dalam buku kehadiran malaikat.”
BERDOA BERSUNGGUH-SUNGGUH
Sebuah hadith daripada Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan : Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. sedang membicarakan tentang hari Jumaat, dan baginda bersabda: Padanya (hari Jumaat) terdapat suatu saat yang tidak ditemui oleh seorang hamba (Allah) yang muslim dengan dia mendirikan solat sambil memohon kepada Allah akan sesuatu, melainkan apa yang dipohonkannya itu diberikannya kepadanya. Dia mengisyaratkan dengan tangannya yang diangkatkan”. (HR.Al-Bukhari dan Muslim)
BANYAK BERSEDEKAH
Sedekah pada hari Jumaat lebih utama jika dibandingkan sedekah pada hari-hari lainnya. Ibnu Qayyim berkata: Sedekah pada hari itu lebih utama dengan sedekah pada enam hari lainnya seumpama di sedekah pada bulan Ramadan dibandingkan bulan-bulan lainnya. Hadis dari Kaâab menjelaskan: Dan Sedekah pada hari itu lebih mulia dibanding hari-hari selainnya.
Sumber Kredit: Zainal Rashid
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Apakah status hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban (malam pertengahan bulan Sya’ban) dan juga amalan yang berkaitan dengannya?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Bulan Sya’ban adalah merupakan di antara bulan yang agung dalam syarak. Rasulullah SAW memperbanyakkan ibadah pada bulan ini dan disunatkan bagi kita untuk mempertingkatkan amalan dan ibadah kita sebagaimana yang disebut di dalam hadith yang sahih. Di samping itu, terdapat beberapa hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban.
Hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban telah diriwayatkan daripada Nabi SAW melalui beberapa jalur. Antaranya melalui jalur Abu Musa al-Asy’ari RA, Aisyah RA, Abu Tha’labah RA, Abdullah bin Amr RA, Mu’az bin Jabal RA, Abu Hurairah RA dan Abu Bakar RA.
Matan hadith
Di sini kami datangkan beberapa matan hadith yang berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban. Antaranya:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 1380] Imam al-Zahabi mengatakan hadith ini dhaif disebabkan terdapat pada sanadnya Ibn Lahi’ah. [Lihat: Talkhis al-‘ilal al-Mutanihiyah, 184]
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan sebanyak bilangan bulu kambing pengawal”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 670] Al-‘Aini mengatakan hukum hadith ini adalah munqathi’. [Lihat: ‘Umdah al-Qari, 11:116]
Maksudnya: “Apabila tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT melihat kepada makhluk-Nya. Kemudian Allah SWT mengampunkan orang yang beriman serta mengabaikan orang yang kufur dan membiarkan orang yang dengki dengan dengkinya sehingga mereka itu meninggalkannya”. [Syu’ab al-Iman, no. Hadith 3551] Ibn Jauzi mengatakan bahawa hukum hadith ini adalah tidak sahih. [Lihat: al-‘Ilal al-Mutanihiyah, 2:560]
Maksudnya: “Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan hamba-Nya kecuali dua (golongan) iaitu orang yang bermusuhan dan orang yang membunuh diri”. [Riwayat Ahmad, no. Hadith 6353] Ibn Hajar mengatakan sanadnya layyin (salah satu daripada ciri hadith dhaif). [Lihat: al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair, 2:43] Manakala Ahmad Syakir mengatakan sanadnya adalah sahih [Lihat: Musnad Ahmad, 10:127]
Maksudnya: “Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 5665]
Maksudnya: “Apabial tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT mengampunkan hamba-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Majma’ al-Zawaid, 8:68] Imam al-Sakhawi menyatakan bahawa perawi-perawinya tidak ada dipertikaikan. [Lihat: al-Ajwibah al-Mardhiyyah, 1:325]
Maksudnya: “Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan setiap yang bernyawa kecuali orang yang ada dalam hatinya permusuhan dan juga orang yang syirik”. Imam al-Bukhari mengatakan padanya nazhar (perlu diteliti),manakala Ibn ‘Adiy mengatakan sanadnya mungkar. [Lihat: Lisan al-Mizan, 5:269]
Tarjih hukum hadith
Setelah melihat hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban telah berlaku perselisihan antara para ulama’ dalam menyatakan hukum berkenaan hadith ini. Sebahagian mereka mengsahihkan hadith ini dan sebahagian lagi sebaliknya. Berdasarkan hadith-hadith yang kami nyatakan, ia menunjukkan akan sabitnya hadith-hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban sehinggakan Ibn Hibban mengsahihkan satu riwayat daripada Mu’az bin Jabal tanpa memerlukan sokongan daripada jalur yang lain. Untuk itu, kami cenderung untuk mengatakan bahawa hukum hadith ini sahih dengan kesemua jalur-jalurnya yang lain dan ini menunjukkan bahawa hadith ini mempunyai asal. Walaubagaimanapun, kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sabit namun amalan tertentu pada malam tersebut adalah tidak ada sama sekali melainkan amalan yang bersifat umum seperti memperbanyakkan zikir, istighfar kepada Allah SWT, solat-solat sunat, berdoa, bersedekah dan lain-lain lagi.
Antara ulama’ yang menyatakan sedemikian ialah Syeikh Syuaib al-Arnaouth ketika mentahqiqkan kitab Sahih Ibn Hibbanbahawa hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sahih berdasarkansyawahid-syawahidnya dan syawahid-syawahid ini saling menguatkan antara satu sama lain dalam bab ini (kelebihan malam pertengahan bulan Sya’ban) walaupun setiap jalur itu mempunyai perbincangan. [Lihat: Sahih Ibn Hibban, 12:481]
Feqah hadith
Antara feqah hadith yang boleh diambil dan difahami daripada hadith-hadith ini:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa syirik yang mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah SWT (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar”. [al-Nisa’:48]
Maksudnya: “Sesungguhnya pintu-pintu syurga pada hari Isnin dan Khamis maka diampunkan setiap hamba yang tidak syirik kepada Allah SWT dengan sesuatu kecuali bagi orang yang antara dia dan saudaranya saling bermusuhan. Lalu dikatakan: Tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai”. [Riwayat Muslim, 4652]
Maksudnya: “Janganlah saling memarahi, saling mendengki, saling membelakangi. Jadilah kalian hamba-hamba Allah SWT yang bersaudara”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 5612]
Maksudnya: “Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan. Para sahabat RA bertanya: Wahai Rasulullah SAW, apakah perkara-perkara tersebut? Rasulullah SAW bersabda: Syirik kepada Allah SWT, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah SWT kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri daripada peperangan dan menuduh wanita mukmin yang suci melakukan zina”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 2560]
Pendapat ulama’ berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban
Berikut adalah beberapa pendapat ulama’ berkaitan malam nisfu Sya’ban:
Telah berkata Imam al-Syafie RA: “Doa mustajab adalah pada 5 malam, iaitu malam jumat, malam al-Adha, malam al-Fitri, malam awal bulan Rejab, dan malam nisfu Sya’ban”. [Lihat: al-Um, 1:264]
Ibnu Rajab RA mengatakan: “Berkaitan malam nisfu Sya’ban, pada zaman dahulu para tabi’in daripada penduduk al-Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir, dan beberapa para tabi’in yang lain memuliakannya (malam tersebut) dan mereka bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu”. [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 247]
Pendapat ulama’ berkaitan solat sunat al-Raghaib (الرغائب)
Solat al-Raghaib adalah solat sunat yang dilakukan pada awal malam dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat dan juga ia dilakukan pada malam nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat. Selain itu, solat ini dilakukan antara waktu Maghrib dan Isyak. Antara dalil yang digunakan bagi menyatakan akan kewujudan solat ini adalah:
Maksudnya: “Wahai Ali, barangsiapa yang solat seratus rakaat pada malam nisfu Sya’ban, lalu dia membaca setiap rakaat itu surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas sebanyak sepuluh kali pasti Allah SWT akan memakbulkan setiap hajatnya”.
Hadith ini adalah palsu sebagaimana dihukum oleh Imam al-Syaukani , Imam Ibn al-Jauzi dan ramai lagi dalam kalangan ahli hadith. Selain itu, Imam Ibn al-Qayyim juga menyatakan bahawa antara hadith-hadith palsu adalah hadith berkaitan solat pada malam nisfu Sya’ban. [Lihat al-Manar al-Munif, 98]
Antara pendapat para ulama’ berkaitan solat sunat al-Raghaib adalah:
“Adapun solat sunat al-Raghaib adalah seperti solat yang biasa pada malam nisfu Sya’ban dan kedua-dua ini (solat pada awal malam dalam bulan Rejab dan malam nisfu Sya’ban ) adalah bid’ah yang buruk dan dikeji. Hadith berkaitannya pula adalah palsu maka ia dibenci kepada pelakunya samada bersendiri atau berjemaah”. [Lihat: al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1:216]
“Solat yang dikenali dengan solat al-Raghaib adalah solat yang dilakukan pada awal malam dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat antara waktu Maghrib dan Isyak dan juga solat pada malam nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat. Kedua-dua solat ini adalah bid’ah yang mungkar lagi buruk”. [Lihat: al-Majmu’, 3:548]
“Solat al-Raghaib adalah palsu (direka) di atas nama Rasulullah SAW dan pendustaan ke atas Baginda SAW. Para ulama’ telah menyebut akan bid’ah dan keburukan kedua solat ini dengan beberapa cara: Antaranya adalah bahawa sahabat, tabi’in dan generasi selepas daripada mereka daripada kalangan imam-imam yang mujtahid tidak menyatakan akan kedua solat ini. Jika kedua solat ini disyariatkan maka mereka tidak akan terlepas daripada melakukannya. Tambahan pula, ia muncul selepas 400 tahun”.
“Ini adalah solat al-Raghaib yang masyhur yang mana para huffaz telah bersepakat bahawa ianya palsu atau direka”.[Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 48]
Berdasarkan sebahagian pendapat ulama’ yang kami nyatakan ini, maka di sini kami ingin tekankan dan jelaskan bahawa solat al-Raghaib adalah tidak mempunyai asal di dalam agama dan ia merupakan satu pendustaan yang direka di atas nama Nabi SAW.
Amalan yang digalakkan pada malam nisfu Sya’ban
Islam tidak meletakkan sesuatu amalan khusus yang mungkin boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah untuk diamalkan pada malam nisfu Sya’ban tetapi dalam masa yang sama, kita hendaklah mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam tersebut dengan beramal sebanyak-banyaknya samada dengan membaca al-Quran, solat sunat, berzikir dan lain-lain lagi.
Walaubagaimanapun, kesemua amalan ini tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah yang mesti dibuat dalam bentuk tuntutan kerana kesemua amalan ini adalah bersifat umum. Oleh itu, sekali lagi kami nyatakan bahawa tiada amalan khusus yang sabit daripada Nabi SAW berkaitan malam nisfu Sya’ban.
Penutup
Kesimpulannya, kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sabit berdasarkan hadith yang kami nyatakan di awal perbahasan iaitu Allah SWT akan turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban dan mengampunkan hamba-hamba-Nya. Dalam masa yang sama, tidak ada amalan yang khusus pada malam nisfu Sya’ban melainkan amalan-amalan yang bersifat umum. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam melaksanakan ibadah serta memelihara kita daripada melakukan perkara-perkara yang tidak mempunyai asal di dalam agama. Amin.
Darah Haid pada Pakaian masih kelihatan selepas dicuci? Ketahui hukum sebenar menurut Islam, dalil hadis, serta penjelasan mengapa solat tetap sah jika hanya tinggal kesan warna yang sukar dihilangkan.