Pasti ramai dalam kalangan kita yang selalu memberi makan kepada kucing jalanan yang mundar-mandir di kawasan rumah. Apatah lagi jika seseorang itu pencinta haiwan, tak sampai hati melihat kucing kelaparan. Malah ada yang sanggup melakukannya setiap hari tanpa mengira kos yang dihabiskan.
Sesungguhnya ia perbuatan yang cukup mulia tapi bagaimana pula jika perbuatan memberi makan kepada kucing jalanan tersebut mengganggu jiran-jiran. Ini kerana mungkin disebabkan kucing jalanan tersebut membuang najisnya merata-rata hingga ke rumah jiran.
Dalam hal ini adakah perbuatan ini mendatangkan pahala atau sebaliknya kerana mengguris hati jiran. Berikut adalah penjelasan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tentang persoalan ini.
Hukum asal, sunat memberi makan kucing jalanan
Pada asalnya sunat untuk memberi makanan kepada kucing jalanan selagi mana tidak mengganggu ketenteraman awam.
Dalam hal ini, keharmonian jiran tetangga merupakan perkara yang sangat penting dan perlu diberi perhatian oleh setiap umat Islam. Baginda Nabi SAW memberi amaran kepada umatnya bahawa tidak akan dimasukkan ke dalam syurga kepada sesiapa yang melakukan sesuatu perkara sehingga mengganggu jiran tetangganya.
Ini jelas seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Tidak akan masuk syurga bagi seseorang itu apabila jirannya tidak merasa aman dengan gangguannya. Riwayat Muslim (46)
Nabi SAW menasihatkan para sahabatnya supaya berbuat baik kepada jirannya kerana sikap dan keperibadian seorang muslim yang sejati itu adalah mereka yang sentiasa berbuat baik kepada jiran tetangganya. Ini sepertimana sabda Nabi SAW, hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
Maksudnya: Dan jadilah jiran yang baik kepada jiran kamu, maka kamu akan menjadi Muslim sejati Riwayat Ibnu Majah (4357)
Tidak digalakkan jika menggangu jiran
Sebagai kesimpulan, berdasarkan kepada persoalan yang diajukan di atas serta nas yang diberikan, pada asalnya sunat untuk memberi makanan kepada kucing jalanan selagi mana tidak mengganggu ketenteraman awam.
Ads
Justeru, keutamaan wajib diberi dengan berpandukan keadaan di tempatnya, sekiranya dengan memberi makanan tersebut akan mengganggu dan menyusahkan jiran tetangga disebabkan najis atau bau yang tidak menyenangkan, maka perbuatan memberi makan itu adalah tidak digalakkan bagi menjamin keharmonian hubungan antara jiran.
Sebaiknya kebijaksanaan dalam mempertimbangkan kaedah yang terbaik bagi mendapat dua kebaikan, iaitu kebaikan dalam menjaga hubungan di antara jiran dan juga kebaikan dengan memberi makan kepada kucing jalanan
Hukum makan ikan yang tak dibuang isi perut. Kebiasaan sebelum memasak ikan bahagian isi perut ikan dan darahnya akan kita buang dan bersihkan sebaiknya.
Tapi boleh jadi juga perkara ini tidak dilakukan terutama jika makan di luar. Malah ada juga produk makan berasaskan ikan seperti ikan masin dan ikan pekasam yang tidak mengasingkan isi perut terlebih dahulu dalam penyediaan makanan ini.
Dalam hal ini, adakah ikan sebegini halal untuk kita makan? Ikuti penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tentang hukum memakan ikan yang diproses tanpa dibuang isi perut.
Setiap haiwan yang terdapat di dalam lautan halal dimakan berdasarkan firman Allah SWT:
أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut (air), dan makanannya.”
Surah Al-Maidah (96)
Seterusnya, makanan halal mestilah suci berdasarkan kalimah tayyiban dalam firman Allah SWT:
Maksudnya : “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik” Surah al-Baqarah (168)
Sementara itu, fuqaha mazhab Syafi’i membahaskan hukum memakan ikan masin yang tidak dibersihkan bahagian isi perutya berdasarkan nukilan dalam Al-Jawahir :
Maksudnya: “Semua ikan masin yang tidak dikeluarkan segala isi perutnya, maka ia dianggap najis”.
Oleh itu, ikan yang belum dibersihkan daripada isi-isi perutnya dianggap bernajis dan tidak halal dimakan.
Menurut zahir pendapat ini, sama sahaja ikan besar mahupun ikan kecil. Namun al-Rafi’i dan al-Nawawi mengatakan ikan kecil yang masih terdapat isi perut halal dimakan atas sebab kesukaran untuk membersihkannya.
Oleh yang demikian, ikan bersaiz besar yang tidak dibuang isi perutnya tidak halal dimakan kerana bercampur dengan najis dalam perutnya.
Sementara telur ikan adalah suci kerana terdapat penghalang antara najis dan telur yang tidak mungkin bercampur dengan telur ikan.
Sementara ikan kecil yang tidak dibuang isi perut adalah dimaafkan. Begitu juga, ia tidak menajiskan minyak apabila menggoreng ikan kecil tersebut .
Kesimpulannya, ikan yang tidak dibuang dan dibersihkan tahi, darah serta segala isi perutnya adalah tidak halal dimakan disebabkan najis kecuali telur ikan. Namun ikan kecil yang sukar dibuang segala isi perutnya adalah dimaafkan dan halal dimakan.
Isteri baik tapi sayangnya tak menutup aurat, masih mengenakan pakaian menampakkan bentuk badan ataupun enggan bertudung mengikut syariat. Walau sudah dinasihat suami tapi isteri masih jua dengan imej yang sama.
Dilema ini mungkin dihadapi oleh ramai para suami di luar sana. Dalam hal ini adakah suami menanggung dosa isteri yang tidak menutup aurat?
Menjawab permasalahan ramai suami ini, menurut pendakwah bebas Ustazah Asma’ Harun seorang suami yang sudah menasihati isteri sehabis baik untuk menutup aurat TIDAK menanggung dosa isterinya.
Hal ini kerana, beliau sudah menunaikan tanggungjawabnya sebaik mungkin dalam menegur isteri.
Firman Allah SWT:
وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٞ وِزۡرَ أُخۡرَىٰۚ وَإِن تَدۡعُ مُثۡقَلَةٌ إِلَىٰ حِمۡلِهَا لَا يُحۡمَلۡ مِنۡهُ شَيۡءٞ وَلَوۡ كَانَ ذَا قُرۡبَىٰٓۗ
Maksudnya: “Dan (ketahuilah) bahawa seorang itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika berat tanggungannya (dengan dosa), lalu memanggil (orang lain) untuk menolong agar dipikul sama bebanan tersebut, maka tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya walaupun orang yang meminta pertolongannya itu daripada kaum kerabatnya sendiri.” (Surah Fatir ayat 18)
Dalam pada itu katanya, perihal enggan menutup aurat ini hendaklah ditangani dengan tegas dan mengikut kuasa yang ada pada seorang suami.
Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Maksudnya: “Barangsiapa di antara kalian melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya, jika dia tidak mampu maka dengan lisannya, jika dia tidak mampu maka dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemah iman.” (HR Muslim, hadis sahih)
Merujuk kepada hadis di atas, maka suami adalah golongan yang mempunyai kuasa untuk bertindak mencegah isterinya. Untuk hal ini, boleh kita lihat firman Allah di bawah.
Firman Allah SWT:
وَٱلَّٰتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَٱهۡجُرُوهُنَّ فِي ٱلۡمَضَاجِعِ وَٱضۡرِبُوهُنَّۖ
Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).” [An-Nisa’:34]
Ustazah Asma’ juga turut memberikan beberapa tip untuk para suami menasihati isteri untuk menutup aurat:
1. Menasihati atau memujuk isteri dalam situasi yang tenang, emosinya stabil. Pilih waktu yang sesuai.
2. Membelikan isteri pakaian yang menepati syariah.
3. Memuji isteri yang sedang mencuba menutup aurat dengan pujian yang menyenangkan hatinya.
4. Berterusan memberi sokongan dan kata-kata semangat pada isteri yang mahu berhijrah dalam penutupan aurat.
5. Membelikan buku-buku mengenai wanita solehah.
6. Sekiranya isteri masih tidak mahu berubah dengan nasihat dan usaha-usaha di atas, maka bolehlah melakukan kaedah yang kedua iaitu memisahkan tempat tidur. Jika tidak juga berhasil, maka dibolehkan memukul isteri (dengan pukulan ringan bagi tujuan mengajarnya).
Masa kini, ada sebahagian lelaki memilih menjadi suri rumah untuk tidak bekerja dan membantu isteri menguruskan rumah tangga kerana pelbagai tuntutan termasuk gaji isteri lebih besar dan isu diberhentikan kerja akibat masalah kewangan syarikat.
Bolehkah lelaki tidak bekerja kerana tanggungjawab memberi nafkah adalah kewajipannya dan apa hukumnya. Datuk Dr Zulkilfi Mohamad Al Bakri mengulas isu ini.
Assalamualaikum ustaz. Apa hukum seorang suami yang tidak bekerja dan menjadi suri rumah? Seorang suami diberhentikan kerja kerana masalah kewangan syarikat, lalu kemudian menjadi ‘house husband’. Isterinya yang menanggung perbelanjaan keluarga. Hal ini menyebabkan berlaku sedikit ketegangan dalam rumah tangga. Namun, suami tersebut adalah seorang yang baik dan bertanggungjawab, serta membantu urusan kerja rumah dan menguruskan anak-anak ke sekolah. Mohon pandangan dan nasihat ustaz.
Jawapan:-
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Perkahwinan bertujuan untuk membangunkan institusi kekeluargaan dan ia sangatlah digalakkan di dalam Islam. Ia juga bertujuan untuk memenuhi keperluan fitrah manusia, mengembangkan masyarakat Islam serta mewujudkan ketenangan dan ketenteraman jiwa. Galakan Islam terhadap perkahwinan agar mendapat banyak kebaikan dan faedah daripadanya.
Begitu juga, suami isteri merupakan pasangan yang saling melindungi di antara satu sama lain dan saling perlu memerlukan. Ini diperumpamakan di dalam al-Quran, firman Allah SWT:
هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ
Maksudnya: “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.”[1]
Ibn Kathir menukilkan pandangan Ibn Abbas R.Anhuma, Mujahid, Sa’id bin Jubair, al-Hasan, Qatadah, al-Suddi dan Muqatil bin Hayyan bahawa maksud yang dikehendaki dari ayat di atas “Mereka adalah ketenangan bagi kalian dan kalian pun adalah ketenangan bagi mereka.”[2]
Syeikh Dr. Mustafa al-Khin di dalam kitab beliau telah menyatakan beberapa hikmah perkahwinan, antaranya:
Takrif Nafkah
Nafkah dari segi bahasa mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia dinamakan nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu.[4]
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut, nafaqah bermaksud semua keperluan asas manusia, seperti makanan, minuman, pakaian dan juga tempat tinggal. Ia dinamakan nafaqah kerana ia dikeluarkan atau dihabiskan untuk tujuan keperluan asas tersebut.[5]
Nafkah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah wang atau makanan dan lain-lain yang diperlukan untuk hidup dan sara hidup dan juga perbelanjaan dan lain-lain yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya.[6]
Terdapat pelbagai nas al-Quran dan Sunnah berkenaan nafkah di antaranya, firman Allah SWT:
Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”[7]
Tanggungjawab Suami Memberi Nafkah kepada Keluarga
Di dalam Sunnah, terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Mu’awiyah al-Qusyairi RA, bahawa beliau telah bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Maka Rasulullah SAW menjawab:
Maksudnya: “Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah.” [8] Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara iaitu:
Para ulama bersepakat (Ijma’) suami wajib memberi nafkah kepada isterinya. Malah, ianya termasuk juga sekiranya isteri mempunyai pendapatan, harta atau pekerjaan. Kewajipan nafkah tetap dipikul oleh suami. Hal ini bersandarkan kepada firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.”[10]
Ibn Kathir menyatakan di dalam tafsirnya bahawa wajib ke atas ayah untuk memberi nafkah dari sudut pakaiannya dengan cara yang sepatutnya iaitu apa-apa pakaian yang diterima oleh adat atau seumpama dengannya di negara tersebut tanpa berlaku pembaziran dan tidak menyusahkan. Ia sekadar apa yang termampu ketika dia (ayah atau suami) dalam keadaan senang dan bersederhana serta apa yang melaziminya.[11]
Berdasarkan ayat di atas, para ulama mengatakan bahawa wajib ke atas seorang suami untuk memberikan nafkah kepada isterinya. Imam al-Haramain Abdul Malik al-Juwaini berkata:
وَالأَمْرُ بِالشَّيْء نَهْيٌ عَنْ ضِدِّهِ
Maksudnya: “Perintah melakukan sesuatu itu merupakan suatu larangan terhadap meninggalkannya.”[12]
Justeru, perintah untuk seorang suami memberikan nafkah kepada isteri apabila ianya ditinggalkan maka ia termasuk dalam perkara yang dilarang.
Dalam permasalahan nafkah, ianya perlu difahami dengan baik. Hal ini kerana, nafkah adalah suatu elemen yang penting dalam perkahwinan yang dimasukkan di bawah tanggungjawab suami ke atas isteri dan tanggungannya.
Bahkan meninggalkan pemberian nafkah kepada isteri dan anak-anak dianggap sebagai satu dosa berdalilkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-As, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas sesiapa yang berada di bawah penjagaannya.”[13]
Isu Suami Tidak Bekerja dan Menjadi Suri Rumah
Berbalik kepada persoalan di atas – seperti yang kami telah jelaskan di atas – bahawa pada asalnya, wajib suami menafkahi isteri dan anak-anaknya. Namun jika isteri menafkahi suami dan anak-anaknya, maka itu adalah ihsan dan pahala yang besar ke atasnya. Tanggungjawab suami menafkahi isteri ini disebut dalam al-Quran.
Selain itu, diriwayatkan daripada Jabir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya:“Mulakan nafaqah dengan dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi, berikanlah kepada mereka dan seterusnya.”[14]
Berkata para pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (4/170-179), seorang suami wajib menafkahkan isteri dan anak-anak kandungnya yang tidak mampu mencari nafkah sendiri atas faktor masih kecil, sakit, cacat atau gila.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ
Maksudnya: “Kemudian, jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya.”[15]
Ayat ini menjelaskan bahawa perempuan yang menyusukan anak orang lain wajib diberi upah oleh bapa kepada anak tersebut. Ini bermakna kewajipan memberi nafaqah kepada anak lebih utama dilaksanakan oleh bapa. Allah SWT berfirman:
Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu, dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.”[16]
Dalam ayat ini, menisbahkan anak kepada bapanya yang menggunakan huruf lam ikhtisas membawa makna bapa dikhususkan bertanggungjawab memberi nafaqah kepada anak-anaknya. Oleh itu, kewajipan bapa memberi nafaqah kepada ibu yang menyusukan anaknya menunjukkan bahawa kewajipannya memberi nafaqah kepada anak-anak adalah lebih utama.
Hal ini berdasarkan hadith, daripada Aisyah R.Anha, katanya:
Maksudnya: “Hindun binti ‘Utbah berkata: “Wahai Rasulullah! Abu Sufyan ialah seorang lelaki yang bakhil dan tidak pernah memberi aku belanja yang mencukupi untukku dan anakku melainkan yang aku ambil daripadanya tanpa pengetahuannya.” Rasulullah SAW bersabda: “Ambillah perbelanjaan untukmu dan anakmu secukupnya.”[17] Manakala nafkah kepada isteri lebih utama berbanding anak-anak. Dalil firman Allah SWT:
Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) ke atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafaqah) sebahagian dari harta mereka.”[18]
Maksudnya: “Bertaqwalah kepada Allah dalam mengendalikan urusan kaum wanita. Kamu mengambil mereka dengan amanah Allah…Kewajipan kamu pula ialah memberikan nafaqah dan pakaian yang sepatutnya kepada mereka. Sesungguhnya, aku tinggalkan satu perkara yang kamu tidak akan sesat selama-lamanya, selagi kamu berpegang dengannya, iaitu kitab Allah.”[19]
Berkata pengarang al-Fiqh al-Manhaji (4/181-182) dengan fenomena wanita bekerja untuk menafkahi keluarga:
Beberapa perkara akan berlaku kesan daripada tindakan tersebut, iaitu:
Nafaqah kepada isteri mempunyai kadar tertentu. Walau bagaimanapun, jumlah dan jenisnya berbeza berdasarkan kemampuan suami. Kedudukan isteri dari segi kekayaan, kemiskinan, keturunan dan lain-lain tidak mempengaruhi kadar tersebut kerana faktor yang diambil kira ialah kemampuan suami. Perkara ini merujuk kepada pemberi nafaqah yang bukan penerimanya. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafaqah menurut kemampuannya, dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafaqah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu), Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”[20]
Penutup
Melihat kepada dalil-dalil di atas, kami menyatakan bahawa wajib bagi suami untuk berusaha sebaik mungkin menafkahkan keluarganya dengan segala upaya tanpa berharap kepada pendapatan isteri.
Sekurang-kurangnya hendaklah lelaki itu berusaha menyediakan atau menyumbang tempat tinggal yang selamat dengan peralatan-peralatan asas seperti tempat tidur, duduk dan memasak, makanan dan minuman, pakaian yang sesuai dan menutup aurat, dan alat dan bahan kebersihan, untuk isteri dan anak-anaknya.
Kegagalan menyediakan atau berusaha membantu keluarga akan merendahkan martabat seorang lelaki yang dipertanggungjawabkan dalam Syarak untuk menjaga keluarganya.
Sekiranya seorang lelaki itu enggan dan tidak mahu berusaha menafkahi keluarga dalam keperluan asas, maka isteri memiliki hak untuk menfasakhkan perkahwinan dan itu tidak termasuk perkara dosa. Hal ini berdasarkan hadith daripada Abi Hurairah RA, katanya:
Maksudnya: “Nabi bersabda tentang seorang lelaki yang tidak mempunyai sesuatu untuk diberi nafaqah kepada isterinya: “Pisahkan mereka berdua.”[21] Justeru, kami cenderung menyatakan bahawa hukum suami menjadi suri rumah adalah tidak digalakkan jika tidak diredhai oleh isteri. Namun jika isteri meredhainya, maka itu dibenarkan seperti mana diharuskan untuk suami memakan mahar isteri sekiranya dibenarkan.[22]
Kami mengambil kesempatan di sini untuk menyatakan beberapa perkara:
Saya berdoa kepada Allah agar penanya dan keluarganya dapat hidup dengan penuh ketenangan. Semoga rumahtangga yang dibina menjadi seperti yang diharapkan iaitu Baiti Jannati. Jangan lupa membaca doa seperti:
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”[23]
Wallahu a’lam. [1] Surah al-Baqarah: 187 [2] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/510 [3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji 4/13-16 [4] Lihat Hasyiyah al-Bajuri ala Ibn Qasim, 2/185, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/274 [5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/101 [6] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=nafkah [7] Surah al-Talaq: 7 [8] Riwayat Abu Daud (2142), Ibn Majah (1850) dan Ahmad (20013) [9] Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, 10/7349 [10] Surah al-Baqarah: 233 [11] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/634 [12] Lihat Syarh al-Waraqat fi Usul al-Fiqh, hlm. 115 [13] Riwayat Abu Daud (1692) [14] Riwayat al-Bukhari (6763) dan Muslim (997) [15] Surah al-Talaq: 6 [16] Surah al-Baqarah: 233 [17] Riwayat al-Bukhari (5049) dan Muslim (1714) [18] Surah al-Nisa’:34 [19] Riwayat Muslim (1218) [20] Surah al-Talaq: 7 [21] Riwayat al-Daraqutni (3/297) [22] Dalam isu suami menggunakan mahar yang telah diberikannya kepada isteri: