58837812 - old muslim woman selling fresh vegetables in traditional asian market.

Oleh: Ustaz Abd Razak Muthalib
Penulis ialah Jurulatih Kanan & Motivator di Akademi Magnet Sukses. Graduan Ijazah Sarjana Kuliyah Ilmu Wahyu, UIAM

Antara keunikan Malaysia ialah pasar malam. Setiap malam pasti ada pasar malam di merata tempat. Beraneka jenis produk yang boleh didapati di sini. Makanan, minuman, kuih muih, buah-buahan, ikan, ayam, daging, sayur-sayuran, pakaian dan seribu satu produk yang lain. Ada yang berniaga produk sendiri. Ada yang mengambil produk orang lain untuk dijual. Ada yang berniaga seorang diri. Tidak kurang juga pasangan suami isteri yang bergabung tenaga demi mencari sesuap rezeki. Ada pula yang terpaksa membawa anak-anak kecil bersama kerana tiada siapa di rumah yang boleh menjaga mereka. Rezeki tidak menentu Bermula seawal jam dua petang, sudah ada peniaga yang sampai ke tapak pasar malam bagi membuat persiapan. Penyediaan barang-barang mungkin telah dibuat sejak pagi lagi. Setiap hari mereka bekerja dalam keadaan yang tidak pasti bagaimana situasinya. Ada kala berpanas terik. Ada kala basah ditimpa hujan. Begitu tidak pastinya keadaan cuaca yang mereka tempuhi, begitu jugalah hasil keuntungan yang bakal mereka peroleh.

Keluar dari rumah dalam keadaan tidak ada jaminan berapakah jumlah hasil jualan. Ada hari jualan tinggi. Ada hari jualan boleh dibilangi dengan jari. Mungkin juga ada ketika mereka pulang hanya dengan tangan kosong, yang ada hanyalah seukir senyuman penawar lelah diri sendiri dan buat anak-anak yang setia menanti.

Rintangan berniaga

Itu belum lagi diambil kira cabaran, rintangan dan susah payah lain yang sebahagian mereka perlu tempuhi dalam menjalankan perniagaan. Kadang-kadang ada persaingan yang tidak sihat, dengki mendengki, karenah pihak penguasa, peningkatan harga barang mentah dan lain-lain. Peniaga-peniaga pasar malam mungkin boleh menyenaraikannya banyak lagi. Pasti tidak sama pengetahuan dan perasaan orang yang hanya memerhati dan melihat dari luaran sahaja berbanding mereka yang mengalami dan menempuhnya sendiri. Apa pun kisahnya, peniaga-peniaga pasar malam adalah sebahagian daripada watak-watak yang menceriakan hidup kita. Mereka memudahkan sesetengah urusan hidup. Mereka membantu memenuhi sebahagian hajat dan keinginan diri kita. Mereka telah menambahkan warna-warni di dalam babak-babak hidup ini. Terima kasih wahai peniaga!

Cabaran iman

IKLAN

Di samping itu, ada lagi satu cabaran berat yang dihadapi oleh peniaga pasar malam yang Muslim iaitu cabaran iman. Cabaran dalam mengekalkan jati diri seorang hamba ALLAH SWT yang beriman. Misalnya, bagaimana dalam keadaan sibuk dengan urusan perniagaan, tetapi masih mampu menjadi seorang Muslim yang menjaga solat lima waktu. Rezeki yang kita cari bukan sahaja mahukan ia bertambah banyak tetapi kita juga percaya kepada faktor keberkatan. Inilah yang membezakan antara peniaga Muslim dan bukan Muslim. Kita memburu rezeki yang halal lagi berkat kerana perniagaan ini bukan hanya berkaitan urusan di dunia, tetapi ia akan dibawa juga hingga ke perbicaraan di mahsyar nanti. Sumber keberkatan adalah hak mutlak ALLAH. Tidak ada makhluk lain yang berupaya mengurniakannya. Apakah yang akan membuka pintu keberkatan? Tunaikan hak ALLAH terlebih dahulu, kemudian mohonlah keberkatan daripada-Nya. Jika peniaga yang mengharapkan keberkatan rezeki, tetapi dalam masa yang sama mengabaikan hak-hak ALLAH yang wajib ditunaikan, bagaimana mungkin keberkatan akan turun?

Sibuk berniaga mencari rezeki sehingga meninggalkan solat, ini tidak sepatutnya berlaku. Namun inilah cabaran berat yang mungkin dihadapi oleh sebahagian peniaga pasar malam dan peniaga-peniaga lain. Waktu pelanggan datang berpusu-pusu, ada yang terlalai atau pun sayang untuk tinggalkan perniagaan untuk solat, takut pelanggan lari dan rugi. Justeru, syabas dan tahniah kepada peniaga yang berusaha menjaga solat mereka. Ada yang solat bergilir-gilir. Ada yang solat di celah-celah kerancakan pasar malam. Ada juga pengurus tapak pasar malam yang menyediakan surau khas untuk kemudahan peniaga dan pengunjung menunaikan solat. Mudah-mudahan peniaga yang perniagaannya tidak melalaikannya daripada mengingati ALLAH, mereka inilah yang akan dicurahkan keberkatan yang melimpah ruah.

Yakin dan pegang erat dengan janji ALLAH dalam firman-Nya:

“(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati ALLAH, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya ALLAH membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurnia-Nya; dan sememangnya ALLAH memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terhitung.” (Surah An-Nuur: 37-38)

IKLAN

Dalam ayat ini, ALLAH menyebutkan secara khusus antara yang menjadikan manusia lalai ialah perniagaan. Perniagaan boleh menjadikan seseorang lupakan ALLAH, abaikan solat dan perintah zakat, melainkan mereka yang sentiasa takutkan hari akhirat.

Syaikh ‘Abdurrahman bin Nasir al-Sa’di Rahimahullah menerangkan:

“Dia adalah lelaki yang dunianya tidak membuatnya jauh dari Tuhannya. Sama sekali kesibukan perniagaan dan mencari nafkah tidaklah mempengaruhinya. Perniagaan (tijarah) di sini mencakupi segala bentuk perniagaan untuk meraih upah. Sedangkan jual beli (bai’) adalah bentuk lebih khusus daripada perniagaan. Kerana dalam perniagaan lebih banyak ditemukan transaksi jual beli. Pujian pada lelaki di sini bagi mereka yang berniaga dan melakukan jual beli dan asalnya perbuatan tersebut tidaklah terlarang.

Meskipun tidak terlarang, akan tetapi hal-hal tadi tidaklah mempengaruhi mereka daripada mengingat ALLAH, mendirikan solat dan menunaikan zakat. Bahkan mereka menjadikan ibadah dan ketaatan pada ALLAH sebahagian tujuan hidup mereka. Jadi perniagaan tadi tidaklah sama sekali menghalangi mereka menggapai reda ALLAH.

IKLAN

Amaran kepada peniaga

Namun hati kebanyakan orang adalah sangat menaruh perhatian pada dunia. Mereka mencintai kehidupan mereka. Dan sulit mereka–pada umumnya meninggalkan dunia mereka. Bahkan mereka pun bersusah payah hingga meninggalkan kewajipan kepada ALLAH. Berbeza dengan yang disebutkan dalam ayat ini, mereka begitu takut kepada suatu hari yang (pada hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang. Kerana mengingat kegoncangan hari kiamat tersebut, akhirnya mereka pun semakin mudah beramal dan meninggalkan hal yang melalaikan mereka daripada ALLAH.” (Al-Sa’di, Abdul Rahman, Taisir Al- Karim Al-Rahman, Muassasah Al-Risalah, hal.569)

Peniaga akan berhadapan dengan pelbagai cabaran keimanan dan ketakwaan. Mereka yang berniaga dan tidak kaitkan perniagaan mereka dengan hari akhirat, akan terjebak dengan dosa. Dosa yang mungkin disengajakan atau pun tidak disedari. Rasuah, tipu, khianat, dengki dan sebagainya. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW mengingatkan: “Sesungguhnya golongan peniaga adalah orang yang fajir (pelaku maksiat).” Baginda SAW pun ditanya: “Bukankah ALLAH telah menghalalkan jual beli?” Baginda SAW berkata: “Ya, tetapi mereka berbicara kemudian berdusta, dan mereka bersumpah dan berdosa.” (Riwayat Ahmad, disahihkan oleh Syuiab Al-Arnaut)

Di dalam hadis lain, Baginda SAW mengingatkan: “Sesungguhnya peniaga akan dikumpulkan pada hari kiamat sebagai orang yang melakukan dosa. Kecuali orang yang bertakwa, berbuat kebajikan dan jujur.” (Riwayat Al-Tabrani, disahihkan Al-Albani)

Perniagaan boleh membawa kita menuju ke syurga dan ia juga boleh mengheret kita ke jurang neraka. Keinginan mengaut untung yang banyak, jangan sampai menjadikan kita hamba yang tidak kenal erti dosa pahala. Berniagalah dan jadikan syariat sebagai pagar yang mengawal tingkah laku kita. Berniaga dengan jujur dan amanah. Tidak lokek untuk bersedekah. Hindari tipu dan rasuah. Insya-ALLAH, balasannya jannah.

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI