Kita dituntut bersikap ihsan kepada semua termasuk termasuk manusia dan binatang. Jika menganiaya manusia itu berdosa, melakukan penganiayaan kepada binatang juga perbuatan zalim dan berdosa besar.
Bersikap ihsan ini sangat dituntut biarpun ada sebahagian binatang menjadi makanan kita. Malah saat ingin menyembelihnya disarankan bersikap menggunakan pisau tajam, makruh mengasah pisau di depan binatang dan binatang lain di depannya.
Ini dinyatakan dalam satu hadis,
Allah SWT telah menetapkan prinsip ihsan dalam setiap perkara. Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan ‘al-Ihsan’ ke atas setiap perkata, maka apabila kamu membunuh, bunuhlah dengan sebaik-baiknya, dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan sebaik-baiknya. Hendaklah kalian tajamkan pisau supaya binatang disembelih mati dengan lebih cepat dan mudah. Sahih Muslim (1955)
Ads
Hal yang sama turut dinyatakan dalam satu hadis Rasulullah SAW bersabda, seorang wanita di azab di neraka lantaran tidak memiliki sikap belas ihsan terhadap seekor kucing: دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ
Maksudnya: “Seorang wanita masuk ke dalam neraka kerana seekor kucing yang ditambatnya tanpa diberikan makan, dan dia tidak melepaskan kucing tersebut untuk makan sendiri binatang yang berkeliaran di atas muka bumi.” (Riwayat al-Bukhari (3318) dan Muslim (2619)
Nyawa setiap binatang juga perlu dipelihara dan tidak boleh dibunuh sesuka hati secara sewenang-wenangnya. Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa yang membunuh burung kecil tanpa sebab, ia akan mengadu kepada Allah SWT pada hari kiamat dan berkata: Wahai Tuhan, sesungguhnya si fulan telah membunuhku dnegan sia-sia tanpa sebab dan tidak membunuhku kerana sebarang manfaat. (Sunan an-Nasa’ie (4446) (sumber Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan). Perbuatan menyeksa atau menganiaya binatang adalah jelas haramnya. Al-Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah mengkategorikan menyeksa binatang itu termasuk dalam dosa-dosa besar. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:
Ads
“Sesiapa yang menyeksa sesuatu yang bernyawa, lalu tidak bertaubat, nescaya Allah menyeksanya pada Hari Kiamat.” (Hadits riwayat Ahmad)
Hal menganiayai binatang ini turut pernah diulas oleh Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad menjelaskan bahawa berdosa menganiaya haiwan sama ada binatang haram atau yang halal dimakan atau disentuh bagi orang Islam di dalam akhbar Sinar Harian.
Menurutnya, semua haiwan perlu dikasihani melainkan yang membahayakan nyawa maka dibolehkan untuk membunuhnya.
“Tidak kira haiwan itu halal atau haram bagi umat Islam, asalkan ia tidak mengancam kita maka tidak boleh diseksa atau dicederakan.
“Hukum jika melakukan perkara tidak perikemanusiaan itu adalah berdosa kerana menganiaya binatang. Jika binatang berbahaya yang mengganas sehingga mengancam nyawa, lebih baik terus dibunuh tanpa mencederakan sehingga boleh menyiksanya,”
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Dalam proses kejadian manusia, Allah sudah menetapkan empat perkara dalam kehidupan kita.
Nabi SAW bersabda :
ثم يبعث الله ملَكًا فيؤمر بأربع كلماتٍ، ويقال له: اكتُبْ عمله ورزقه وأجله، وشقي أو سعيد، ثم ينفخ فيه الروح
Maksudnya : “…Kemudian Allah mengutuskan malaikat, lalu diperintahkan agar ditulis empat kalimah. Dikatakan kepada Malaikat : Tulislah amalannya, rezekinya, ajalnya dan (pengakhirannya) sama ada duka atau gembira. Kemudian ditiupkan roh ke dalamnya…”.
Rezeki ini pelbagai. Ada dikurniakan rezeki sikit tapi berkat. Ada melimpah ruah tapi hasil curi dan rumahtangga sentiasa tidak tenang. Ada diberikan rezeki anak tapi anak-anak sukar dibentuk dan ada pula diuji dengan sukarnya mendapat cahaya mata namun masih redha. Pendek kata, apa saja ujian, jika yang tidak baik kita diminta menjauhinya tapi kalau yang baik dan halal kita diminta mensyukurinya.
Dalam satu perkongsian di fb, atas nama Raihanah Abdullah, wanita ini berkongsi suka dan dukanya dalam perkahwinan. Sudah mendirikan rumahtangga 8 tahun namun hingga ke hari ini dirinya dan suami masih berdua menyambut ulangtahun perkahwinan mereka.
Semoga Allah mengurniakan mereka rezeki anak yang menjadi penyeri rumahtangga.
Baca perkongsiannya. Agak sebak dan memahami apa dirasainya.
8 tahun bergambar berdua je…tak bosan ke tak sedih ke ? tidak sama sekali alhamdulillah, makin mengenal Allah swt, bersyukur dan ikhlas dengan apa yang ditakdirkan. Memahami bahawa tak semua keinginan kita akan dapat, mungkin masanya belum tiba.
Bukan tak berikhtiar, ikhtiar sudah sesungguh nya ikhtiar. IUI, IVF semua dah cuba. Badan penat, pantang makan makanan favourite, tahan sakit. Tengok embrio pun dah gembira. Nangis sama-sama bila period datang. Dulu lah, sekarang sama-sama redha.
Kenapa hanya kerana satu keinginan yang belum termakbul, kita nak lupakan jutaan nikmat lain yang Allah berikan?
Bukan nangis sebab xde anak, tapi nangis kenapa Allah baik sangat pada kita? dalam kebanyakan dari sekelian orang yg baik2, tapi kita yg pendosa ni yg dipilih Allah swt untuk ujian besar ini. Allahuakbar…sudah pasti ujian ini untuk buat kan kita lebih dekat denganNya. Supaya kita tak henti2 terus berdoa padaNya.
Kerana terkadang dengan tidak memiliki itu lah sebesar2 nikmat yang kita dapat.
Selamat ulangtahun ke-8, sayang.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Bila musim harga emas murah, kita dapat lihat orang ramai beratur membeli emas. Mungkin ramai beranggapan, ini masa terbaik untuk membeli emas memandangkan harganya yang jatuh.
Namun di sebalik keghairahan orang ramai membeli emas, sedikit perkongsian dari pelabur hartanah, Dr Azizul Azli Ahmad berkongsi apa perbezaan di antara emas hiasan dan emas pelaburan mungkin boleh membuka minda kita perbezaan keduanya. Ini kerana kita mungkin beranggapan tetap sama tetapi sebenarnya ia berbeza.
Baca perkongsiannya:-
Semalam waktu ada urusan diluar rumah, saya lewat beberapa kawasan dan dapati penuh manusia di kedai emas.
Apakah kita semua sedang ada duit lebihan sekarang?
Atau kita yakin membeli barang kemas pelaburan yang baik demi masa depan?
Sama seperti hartanah,
Kita selalu tanya, tujuan beli untuk pelaburan atau nak duduk sendiri.
Emas juga begitu kawan, kita akan tanya. Beli emas untuk melabur atau nak bergaya waktu kenduri kendara.
Harga emas sedang turun sekarang, ramai ambil manfaat sekarang.
Walau emosi kita berbunga bunga nak beli emas bergaya macam jiran tetangga.
.
.
Belilah emas yang bagus untuk pelaburan masa depan. Bukan sebab harga emas murah sekarang.
Beli emas sebab kita ada matlamat ingin menyimpan emas yang baik.
Kelemahan emas hiasan ini kawan.
1. Susut Nilai Lebih Tinggi. Berbanding kita beli emas pelaburan, emas hiasan ada susut nilai dari harga kita beli antara 25%-40% pun ada! Dah macam beli kereta.
2. Kos Upah Tinggi. Semakin pelik bunga bunga cinta pada barang kemas kita, makin tinggi upahnya. Malah ada kedai manipulasi upah untuk dapat keuntungan lebih tinggi. 3. Harga Lebih Tinggi. Harga barang kemas ditentukan oleh Persatuan Pekedai Emas (FGJAM). Mereka biasanya tetapkan harga yang lebih tinggi dari harga pasaran emas semasa selalunya.
4. Lambat Naik Harga! Harga barang kemas ini bila naik harga, kedai akan cepat update harga baru. Bila harga turun, mereka akan lambat turunkan harga dan kekal beberapa bulan pada harga lama biasanya. Kena rajin semak harga semasa.
5. Mudah Rosak. Bila kerja tangan semakin halus, terputus, patah, kemek, bengkok dan hilang boleh berlaku. Semakin kita selalu guna peluang rosak dan hilang tetap ada.
Maka kita faham sekarang mengapa emas jongkong dan dinar lebih baik buat simpanan dan pelaburan masa depan.
Kawan kawan,
Walau saya mengajak ramai orang menyimpan emas, saya tetap galakkan orang ramai simpan emas pelaburan bukannya emas hiasan.
Jika ada duit lebih dan teringin nak merasa barang kemas ditangan. Silakan sahaja kawan, masing masing ada keinginan berbeza janji bahagia.
Jangan ghairah ikut orang sebab ada lebihan duit i sinar ditangan.
Pandemik ini akan jadi panjang, belilah emas pelaburan bukannya emas hiasan untuk masa depan.
Sumber :- Azizul Azli Ahmad Simpan Emas Jangan Sampai Lemas.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Malam Nisfu Sya’ban adalah hari di mana buku catatan amalan orang-orang Muslimin selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru.
Nisfu bermaksud separuh (Nisf). Oleh itu Nisfu Sya’ban bermaksud separuh daripada bulan Sya’ban, iaitu pada malam ke-15. Malam Nisfu Sya’ban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar. Malam Nisfu Sya’ban tahun ini jatuh pada hari ini, 28 Mac membawa ke 29 Mac 2021.
Dalam pada itu tiada amalan khusus perlu dibuat di malam Nisfu Sya’ban sebagaimana yang tular dalam masyarakat tapi kita digalakkan berdoa, berzikir dan mengaji di malam Nisfu Sya’ban. Bahkan kita disunatkan berpuasa sunat Sya’ban pada esok harinya.
Dipetik dari pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan status hadis beberapa amalan yang perlu dibuat di malam Nisfu Sya’ban, ini panduan yang boleh kita fahami mengenainya.
Jawapan :-
Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Bulan Sya’ban adalah merupakan di antara bulan yang agung dalam syarak. Rasulullah SAW memperbanyakkan ibadah pada bulan ini dan disunatkan bagi kita untuk mempertingkatkan amalan dan ibadah kita sebagaimana yang disebut di dalam hadith yang sahih. Di samping itu, terdapat beberapa hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban.
Hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban telah diriwayatkan daripada Nabi SAW melalui beberapa jalur. Antaranya melalui jalur Abu Musa al-Asy’ari RA, Aisyah RA, Abu Tha’labah RA, Abdullah bin Amr RA, Mu’az bin Jabal RA, Abu Hurairah RA dan Abu Bakar RA.
Matan hadith
Di sini kami datangkan beberapa matan hadith yang berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban. Antaranya:
إِنَّ اللَّهَ لَيَطَّلِعُ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 1380] Imam al-Zahabi mengatakan hadith ini dhaif disebabkan terdapat pada sanadnya Ibn Lahi’ah. [Lihat: Talkhis al-‘ilal al-Mutanihiyah, 184]
إنَّ اللهَ تعالى يَنْزِلُ ليلةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا ، فيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعْرِ غَنَمِ كلبٍ Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan sebanyak bilangan bulu kambing pengawal”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 670] Al-‘Aini mengatakan hukum hadith ini adalah munqathi’. [Lihat: ‘Umdah al-Qari, 11:116]
إِذَا كَانَ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ اطَّلَعَ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فَيَغْفِرُ لِلْمُؤْمِنِ، وَيُمْلِي لِلْكَافِرِينَ، وَيَدَعُ أَهْلَ الْحِقْدِ بِحِقْدِهِمْ حَتَّى يَدَعُوهُ Maksudnya: “Apabila tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT melihat kepada makhluk-Nya. Kemudian Allah SWT mengampunkan orang yang beriman serta mengabaikan orang yang kufur dan membiarkan orang yang dengki dengan dengkinya sehingga mereka itu meninggalkannya”. [Syu’ab al-Iman, no. Hadith 3551] Ibn Jauzi mengatakan bahawa hukum hadith ini adalah tidak sahih. [Lihat: al-‘Ilal al-Mutanihiyah, 2:560]
يَطَّلِعُ اللهُ عزَّ وجلَّ إلى خَلْقِهِ ليلَةَ النِّصفِ مِنْ شَعْبَانَ ، فيَغْفِرُ لِعبادِهِ إِلَّا لِاثْنَيْنِ مُشَاحِنٍ ، وقَاتِلِ نَفْسٍ Maksudnya: “Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan hamba-Nya kecuali dua (golongan) iaitu orang yang bermusuhan dan orang yang membunuh diri”. [Riwayat Ahmad, no. Hadith 6353] Ibn Hajar mengatakan sanadnya layyin (salah satu daripada ciri hadith dhaif). [Lihat: al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair, 2:43] Manakala Ahmad Syakir mengatakan sanadnya adalah sahih [Lihat: Musnad Ahmad, 10:127]
يَطَّلِعُ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فِيْ لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعِ خَلْقِه إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ Maksudnya: “Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 5665]
إِذَا كَانَ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ يَغْفِرُ اللهُ لِعِبَادِهِ إِلَّا لمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ Maksudnya: “Apabial tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT mengampunkan hamba-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Majma’ al-Zawaid, 8:68] Imam al-Sakhawi menyatakan bahawa perawi-perawinya tidak ada dipertikaikan. [Lihat: al-Ajwibah al-Mardhiyyah, 1:325]
يَنْزِلُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِكُلِّ نَفْسٍ إِلَّا إِنْسَانًا فِيْ قَلْبِهِ شَحْنَاء أَوِ المُشْرِكَ بِاللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ Maksudnya: “Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan setiap yang bernyawa kecuali orang yang ada dalam hatinya permusuhan dan juga orang yang syirik”. Imam al-Bukhari mengatakan padanya nazhar (perlu diteliti),manakala Ibn ‘Adiy mengatakan sanadnya mungkar. [Lihat: Lisan al-Mizan, 5:269]
Tarjih hukum hadith
Setelah melihat hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban telah berlaku perselisihan antara para ulama’ dalam menyatakan hukum berkenaan hadith ini.
Sebahagian mereka mengsahihkan hadith ini dan sebahagian lagi sebaliknya. Berdasarkan hadith-hadith yang kami nyatakan, ia menunjukkan akan sabitnya hadith-hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban sehinggakan Ibn Hibban mengsahihkan satu riwayat daripada Mu’az bin Jabal tanpa memerlukan sokongan daripada jalur yang lain. Untuk itu, kami cenderung untuk mengatakan bahawa hukum hadith ini sahih dengan kesemua jalur-jalurnya yang lain dan ini menunjukkan bahawa hadith ini mempunyai asal. Walaubagaimanapun, kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sabit namun amalan tertentu pada malam tersebut adalah tidak ada sama sekali melainkan amalan yang bersifat umum seperti memperbanyakkan zikir, istighfar kepada Allah SWT, solat-solat sunat, berdoa, bersedekah dan lain-lain lagi.
Antara ulama’ yang menyatakan sedemikian ialah Syeikh Syuaib al-Arnaouth ketika mentahqiqkan kitab Sahih Ibn Hibban bahawa hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sahih berdasarkansyawahid-syawahidnya dan syawahid-syawahid ini saling menguatkan antara satu sama lain dalam bab ini (kelebihan malam pertengahan bulan Sya’ban) walaupun setiap jalur itu mempunyai perbincangan. [Lihat: Sahih Ibn Hibban, 12:481]
Feqah hadith
Antara feqah hadith yang boleh diambil dan difahami daripada hadith-hadith ini:
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun”. [Nuh:10]
إِنَّ اللَّـهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّـهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa syirik yang mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah SWT (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar”. [al-Nisa’:48]
تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ، فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لَا يُشْرِكُ بِالله شَيْئًا إِلَّا رَجُلًا كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ، فَيُقَالُ: أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا، أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا، أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا Maksudnya: “Sesungguhnya pintu-pintu syurga pada hari Isnin dan Khamis maka diampunkan setiap hamba yang tidak syirik kepada Allah SWT dengan sesuatu kecuali bagi orang yang antara dia dan saudaranya saling bermusuhan. Lalu dikatakan: Tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai”. [Riwayat Muslim, 4652]
لاَ تَبَاغَضُوا ، وَلاَ تَحَاسَدُوا ، وَلاَ تَدَابَرُوا ، وَكُونُوا عِبَادَ اللهِ إِخْوَانًا Maksudnya: “Janganlah saling memarahi, saling mendengki, saling membelakangi. Jadilah kalian hamba-hamba Allah SWT yang bersaudara”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 5612]
Maksudnya: “Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan. Para sahabat RA bertanya: Wahai Rasulullah SAW, apakah perkara-perkara tersebut? Rasulullah SAW bersabda: Syirik kepada Allah SWT, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah SWT kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri daripada peperangan dan menuduh wanita mukmin yang suci melakukan zina”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 2560]
Pendapat ulama’ berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban
Berikut adalah beberapa pendapat ulama’ berkaitan malam nisfu Sya’ban:
Telah berkata Imam al-Syafie RA: “Doa mustajab adalah pada 5 malam, iaitu malam jumat, malam al-Adha, malam al-Fitri, malam awal bulan Rejab, dan malam nisfu Sya’ban”. [Lihat: al-Um, 1:264]
Ibnu Rajab RA mengatakan: “Berkaitan malam nisfu Sya’ban, pada zaman dahulu para tabi’in daripada penduduk al-Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir, dan beberapa para tabi’in yang lain memuliakannya (malam tersebut) dan mereka bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu”. [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 247]
Pendapat ulama’ berkaitan solat sunat al-Raghaib (الرغائب)
Solat al-Raghaib adalah solat sunat yang dilakukan pada awal malam dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat dan juga ia dilakukan pada malam nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat. Selain itu, solat ini dilakukan antara waktu Maghrib dan Isyak. Antara dalil yang digunakan bagi menyatakan akan kewujudan solat ini adalah:
Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda: يَا عَلِي, مَنْ صَلَّى مِائَة رَكْعَة لَيْلَة النِّصْفِ مِنْ شَعْبَان، يَقْرَأ فِي كُلِّ رَكْعَة بِفَاتِحَةِ الكِتَاب, وَقُلْ هُوَ اللهُ أَحَدْ عَشرَ مَرَّات, إِلَّا قَضَى اللهُ لَهُ كُلّ حَاجَة Maksudnya: “Wahai Ali, barangsiapa yang solat seratus rakaat pada malam nisfu Sya’ban, lalu dia membaca setiap rakaat itu surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas sebanyak sepuluh kali pasti Allah SWT akan memakbulkan setiap hajatnya”.
Hadith ini adalah palsu sebagaimana dihukum oleh Imam al-Syaukani , Imam Ibn al-Jauzi dan ramai lagi dalam kalangan ahli hadith. Selain itu, Imam Ibn al-Qayyim juga menyatakan bahawa antara hadith-hadith palsu adalah hadith berkaitan solat pada malam nisfu Sya’ban. [Lihat al-Manar al-Munif, 98] Antara pendapat para ulama’ berkaitan solat sunat al-Raghaib adalah:
“Adapun solat sunat al-Raghaib adalah seperti solat yang biasa pada malam nisfu Sya’ban dan kedua-dua ini (solat pada awal malam dalam bulan Rejab dan malam nisfu Sya’ban ) adalah bid’ah yang buruk dan dikeji. Hadith berkaitannya pula adalah palsu maka ia dibenci kepada pelakunya samada bersendiri atau berjemaah”. [Lihat: al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1:216]
“Solat yang dikenali dengan solat al-Raghaib adalah solat yang dilakukan pada awal malam dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat antara waktu Maghrib dan Isyak dan juga solat pada malam nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat. Kedua-dua solat ini adalah bid’ah yang mungkar lagi buruk”. [Lihat: al-Majmu’, 3:548]
“Solat al-Raghaib adalah palsu (direka) di atas nama Rasulullah SAW dan pendustaan ke atas Baginda SAW. Para ulama’ telah menyebut akan bid’ah dan keburukan kedua solat ini dengan beberapa cara: Antaranya adalah bahawa sahabat, tabi’in dan generasi selepas daripada mereka daripada kalangan imam-imam yang mujtahid tidak menyatakan akan kedua solat ini. Jika kedua solat ini disyariatkan maka mereka tidak akan terlepas daripada melakukannya. Tambahan pula, ia muncul selepas 400 tahun”.
“Ini adalah solat al-Raghaib yang masyhur yang mana para huffaz telah bersepakat bahawa ianya palsu atau direka”. [Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 48] Berdasarkan sebahagian pendapat ulama’ yang kami nyatakan ini, maka di sini kami ingin tekankan dan jelaskan bahawa solat al-Raghaib adalah tidak mempunyai asal di dalam agama dan ia merupakan satu pendustaan yang direka di atas nama Nabi SAW.
Amalan yang digalakkan pada malam nisfu Sya’ban
Islam tidak meletakkan sesuatu amalan khusus yang mungkin boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah untuk diamalkan pada malam nisfu Sya’ban tetapi dalam masa yang sama, kita hendaklah mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam tersebut dengan beramal sebanyak-banyaknya samada dengan membaca al-Quran, solat sunat, berzikir dan lain-lain lagi. Walaubagaimanapun, kesemua amalan ini tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah yang mesti dibuat dalam bentuk tuntutan kerana kesemua amalan ini adalah bersifat umum. Oleh itu, sekali lagi kami nyatakan bahawa tiada amalan khusus yang sabit daripada Nabi SAW berkaitan malam nisfu Sya’ban.
Penutup
Kesimpulannya, kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sabit berdasarkan hadith yang kami nyatakan di awal perbahasan iaitu Allah SWT akan turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban dan mengampunkan hamba-hamba-Nya. Dalam masa yang sama, tidak ada amalan yang khusus pada malam nisfu Sya’ban melainkan amalan-amalan yang bersifat umum. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam melaksanakan ibadah serta memelihara kita daripada melakukan perkara-perkara yang tidak mempunyai asal di dalam agama. Amin.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Kekayaan bukan sekadar harta dunia, tetapi amanah daripada Allah yang perlu diurus dengan adil, penuh kasih sayang dan berlandaskan iman. Demikian antara perkara bakal...