Memilih seseorang untuk menjadi pendamping yang sesuai dengan kriteria peribadi masing-masing memang tidak mudah. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan untuk menentukan siapa orang yang tepat menemani sepanjang hidupnya kelak.
Namun memilih pasangan merupakan urusan perasaan, sehingga ketika bertemu dengan calon yang sesuai maka seseorang akan mengabaikan hal-hal yang seharusnya menjadi kriteria wajib.
Padahal kriteria ini dapat menentukan baik tidaknya kelangsungan serta keharmonian keluarga yang bakal ‘dibentuk’ kelak.
Ads
Dikatakan di sini bahawa seorang lelaki muslim dalam memilih seorang wanita yang baik untuk dijadikan isterinya akan ada 4 faktor yang harus diperhatikan iaitu agama, keturunan, harta, dan kecantikan. Dan ketahuilah bahawa Rasulullah SAW mengharuskan kita untuk memilih agama dan kualitinya terlebih dahulu, baru tiga faktor yang lain menyusul.
Rasulullah SAW bersabda “Wanita itu dinikahi kerana empat faktor iaitu agama keturunan, harta dan kecantikannya. Pilihlah wanita yang baik agamanya. Jika tidak, nescaya engkau akan menjadi orang yang rugi” (HR Bukhari dan Muslim).
DAHULUKAN AGAMA
Ads
Hadis ini mengisyaratkan bagaimana memilih jodoh yang baik. Meski Nabi Muhammad SAW mendahulukan harta, nasab, dan kecantikan namun junjungan alam ini dalam akhir hadisnya mengatakan bahawa sebaiknya ‘memenangkan’ mereka yang baik agamanya. Hal ini menandakan bahawa sebenarnya agama merupakan kriteria paling utama
Begitu juga dengan pihak wanita. Wanita dalam menerima pinangan lelaki atau memilih calon pemimpin keluarganya kelak juga harus memperhatikan hal diatas. Ketaqwaan calon suami yang ingin menikahinya harus menjadi pilihan utama.
Ads
Dan tentunya sebenarnya seseorang yang datang kepadamu untuk menikahi kamu atau seseorang yang akan kau nikahi merupakan cerminan daripada kamu itu sendiri.
Jadi jika kamu ingin mendapatkan seseorang yang lebih baik daripada seseorang yang telah datang kepadamu, kamu perlu berikhtiar dengan mengubah setiap akhlak untuk lebih baik dan berdoa kepada Allah agar dipertemukan dengan pasangan yang baik agamanya. Yang sanggup membimbing kita kepada syurga Allah.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
‘Jika dalam bilik air memadai niat dalam hati.’ Ini hukumnya lafaz niat wuduk dalam tandas, apa lagi menyebut kalimah Allah.
Kebanyakan daripada kita akan mengambil wuduk di dalam tandas apabila di rumah. Memang lumrahnya begitu, lainlah di masjid.
Terdapat ruangan tertentu untuk mengambil wuduk tanpa bercampur dengan bilik air. Jadi adakah dibenarkan untuk kita lafaz niat setiap kali ambil air sembahyang.
Ikuti perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan lafaz niat wuduk di dalam tandas.
Soalan:
Saya nak tanya bolehkah lafaz “basmallah” mahupun melafazkan niat wuduk di dalam tandas yang mana lafaz tersebut ada kalimah “Allah”.
Lebih-lebih lagi banyak hotel dan bangunan yang bilik air bercampur tandas. Mohon pencerahan.
Ringkasan Jawapan:
Niat wuduk merupakan salah satu rukun yang menjadikan keabsahan wuduk. Adapun melafazkan niat wuduk adalah sunat bagi membantu hati menghadirkan niat.
Namun sekiranya berada di tandas mahupun bilik air, memadai hanya berniat wuduk di dalam hati sahaja tanpa perlu melafazkan nama Allah seperti niat :
“Sahaja aku mengangkat hadas kecil”. Hal ini kerana lafaz “اللَّهِ تَعَالَى” tidak menjadi syarat keabsahan wuduk dan hukum menyebut kalimah “Allah” di dalam tandas adalah makruh.
Huraian Jawapan:
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Niat merupakan salah satu rukun wuduk berdasarkan firman Allah SWT:
‘Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”
(Surah al-Maidah : 6)
Berdasarkan dalil berikut, Imam al-Nawawi mengunakan istilah iradah (keinginan/kehendak) dalam susunan tertib wuduk. Ayat “basuhlah muka kamu” menunjukkan Allah SWT berkehendak mewajibkan wuduk dilakukan secara tertib mengikut susunan dan kehendak ini dengan maksud keinginan (bermula dengan niat).
Bermula wuduk dengan membasuh muka disertakan niat, kemudian tangan, menyapu kepala dan membasuh kaki.
Niat itu tempatnya dihati dan melafazkannya adalah sunat berdasarkan pandangan fuqaha mazhab Syafie.
Imam As-Syirazi menyatakan bahawa wajib berniat di dalam hati kerana niat adalah kehendak. Apabila dilafazkan dengan lisan dan hatinya berkehendak, maka ia lebih menguatkannya.
Oleh itu, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa niat yang diwajibkan dalam wuduk adalah berniat dengan hati sedangkan lafaz niat dengan lidah tidak wajib.
Apabila dihimpunkan niat dengan hati serta melafazkan dengan lisan, maka ia lebih kuat dan lebih baik menurut kesepakatan ulama mazhab syafi’i. Justeru, melafazkan niat hanya sunat.
Sementara itu, niat wuduk tidak disyaratkan untuk menambah “اللَّهِ تَعَالَى” (kerana Allah) bahkan memadai berniat hanya “mengangkat hadas”.
Hal ini kerana ibadah semestinya khusus semata-mata kerana Allah SWT. Seterusnya, melafazkan “basmallah” adalah sunat dan sah wuduk tanpa menyebutnya.
Seterusnya hukum berzikir menyebut nama Allah SWT di dalam tandas atau sedang menunaikan hajat adalah makruh. Perkara ini dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam karya Raudhah al-Tolibin :
“Menyebut zikirullah dalam tandas adalah makruh bukan haram. Oleh itu, disunatkan membaca doa ketika hendak masuk tandas (Ya Allah sesungguhnya aku berlindung dari-Mu daripada gangguan Syaitan jantan dan Syaitan betina).
Seterusnya, doa ketika keluar tandas (Aku memohon keampunan-Mu, Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan kekotoran daripada tubuhku dan menyihatkan diriku”.
Selain itu, apabila bersin tidak perlu menjawab “Alhamdulillah” ketika berada di dalam tandas, namun sekiranya hanya dalam hati tanpa menggerakkan lisannya, maka ia tidak haram.
Kesimpulannya, hukum melafazkan “basmallah” mahupun niat wuduk yang disertakan kalimah “اللَّهِ تَعَالَى” (kerana Allah) ketika berada di dalam tandas adalah makruh.
Justeru itu, ketika berada di tandas, memadai niat wuduk di dalam hati tanpa menyebut nama Allah, sebagai contoh “sahaja aku mengangkat hadas kecil”.
Hal ini kerana lafaz “اللَّهِ تَعَالَى” tidak menjadi syarat keabsahan wuduk dan hukum melafazkan kalimah “Allah” di dalam bilik air adalah makruh.
Persediaan awal dan rapi dalam merencanakan majlis perkahwinan buat pasangan merupakan perkara penting yang perlu dititikberatkan sebelum majlis berlangsung. Ramai bakal pengantin lebih mengutamakan persiapan perkahwinan berbanding persiapan dalaman.
Sepatutnya persiapan pertama dan paling utama bagi sesiapa pun yang akan berkahwin ialah niat. Adanya di dalam hati. Ia berkait rapat dengan motif dan tujuan. Dalam bahasa umum, niat ini sering disamakan dengan komitmen.
Niat yang betul banyak mempengaruhi sesebuah rumah tangga. Dalam kehidupan kita sebagai Muslim, niat berkahwin harus ‘ditujukan’ kepada Allah Ta’ala dan Rasulullah yang mulia. Berkahwin merupakan perintah Allah Ta’ala di dalam Al-Quran. Berkahwin juga adalah sunnah Nabi Muhammad yang mulia.
TAK SEMUDAH SEPERTI YANG DIUCAP
Bahkan ditegaskan oleh Nabi Muhammad SAW, siapa yang menolak sunnahku (termasuk berkahwin), ia bukan termasuk umatku. Jika bukan umatnya, kepada siapa lagi akan meminta syafa’at di hari akhirat kelak?
Menyatakan ‘berkahwin kerana Allah dan RasulNya memang amat mudah. Tapi tidak demikian dengan melakukannya. Ia bukanlah semudah seperti mengungkapkan kata-kata.
Jika anda berkahwin kerana Allah Ta’ala maka semuanya akan mudah. Ini kerana tiada satu pun aturanNya yang menzalimi manusia. Semua aturan yang disyari’atkanNya, pasti akan melahirkan kebaikan yang berlipat-ganda, melebihi dari yang kita harapkan.
Jika anda berkahwin kerana Allah, maka alasan-alasan duniawi tidak lagi menjadi keutamaan. Berkahwin bukan kerana soal harta, rupa, dan sejenisnya. Tetapi tentang ibadah yang muaranya adalah kedekatan seorang hamba kepada Allah Ta’ala hingga bermuara kepada syurga dan pertemuan denganNya.
BUKAKAN PINTU HATI
Jika berkahwin kerana Allah, segala urusan dipermudahkan. Ini kerana semua aturanNya mudah kerana Dia Maha Memudahkan. Jika berkahwin kerana Allah kemudian banyak rintangan yang ‘menghiasi’ di sepanjang perjalanan perkahwinan-sebelum atau setelah akad nikah maka hal itu hanya akan menjadikan anda semakin kuat dan terus mempertahankan perkahwinan yang dibina.
Memang tidak mudah berkahwin kerana Allah apatah lagi jika seseorang itu belum terbiasa atau baru berjinak-jinak untuk taat kepada perintah Allah. Apa yang boleh dilakukan ialah bukakan pintu hati sepenuhnya untuk mengikuti segala perintah Allah dan sunnah Nabi. Dengan cara ini perkahwinan itu akan menjadi mudah untuk dijalani.
Agak merugikan jika persiapan ini diabaikan kerana ia menjadi penentu kebahagiaan sesebuah rumah tangga. Moga niat berkahwin ini menjadikan rumah tangga yang dibina mendapat rahmat dan barakah daripada Allah SWT.
VIDEO KASHOORGA:
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Perniagaan mencakupi 9/10 sumber rezeki. Satu-satunya cara padu jadikan perniagaan sukses ialah dengan meniru cara Rasulullah.
Rasulullah kita sendiri telah mula berniaga dari zaman kanan-kanak lagi apabila baginda membantu pakciknya iaitu Abu Talib berniaga barang dagangan ke Syam. Sepanjang mengikuti rombongan berdagang milik Saidatina r.a Khadijah, Rasulullah seringkali meraih kejayaan dalam misi dagangnya. Apakah rahsia baginda? Justeru itu, elok sangat kita melihat dan mempraktikkan apa sahaja cara yang dilakukan oleh Baginda untuk berjaya dalam perniagaan. Ia terbukti berkesan sehingga hari ini.
Percaya tak bahawa Rasulullah tidak akan dan tidak sesekali menyakiti hati ahli perniagaan lain. Cara ini diakui oleh mereka yang pernah berurusan dengan Baginda SAW sebelum diangkat menjadi rasul lagi.
Dalam satu peristiwa, seorang peniaga bernama Saib bin Ali Saib datang menemui Rasulullah SAW. Melihat Saib datang, Rasulullah berkata, “Mari, mari. Selamat datang saudara saya, dan rakan niaga saya yang tidak pernah bertengkar,” kata Rasulullah. Saib membalas dengan berkata, “Kita tidak pernah bertengkar sebab tuan peniaga yang sentiasa lurus dan tepat dengan kiraan.”
Pada zaman itu, semua peniaga Arab meletakkan harga paling maksimum kepada pembeli. Apa yang menakjubkan, baginda tidak amalkan cara tersebut. Baginda mempraktikkan cara jualan yang unik; lain daripada kebiasaan yang diamalkan peniaga Arab atau pun bukan Arab.
Rasulullah SAW menjual barang dagangan dengan menawarkan harga pokok dan meminta para pelanggan membayar ikut kemampuan. Jelas sekali Baginda sangat bertimbang rasa dan mengasihani sesama manusia. Cara ini menyebabkan ramai pelanggan gembira, berpuas hati dan tidak berasa tertipu sebagaimana biasa. Kesannya, barang dagangan Baginda sangat laris dan seringkali habis awal.
Berniaga wajah perlu manis. Tidak semestinya tampan bergaya, memadai dengan sentiasa mengukirkan senyuman kepada pelanggan. Amalan rajin memberi senyuman ini menyebabkan ramai pelanggan selesa apabila berurusan dengan baginda.
Apatah lagi Allah SWT mengurniakan baginda wajah kacak dan tampan.Namun begitu, ketampanan adalah sebagai satu bonus. Jika kita suka sedekahkan senyuman kepada pelanggan, pastinya mereka berasa selesa berurusan kerana terserlah keindahan dan akhlak yang baik seorang peniaga.
Sikap jujur adalah akhlak yang terpuji dan ia amat penting dalam perniagaan.Baginda bersabda, “Peniaga yang dapat dipercayai dan beramanah, akan bersama para Nabi, orang-orang yang dapat dipercayai dan orang-orang yang mati syahid” (Riwayat Al-Imam At-Tarmizi).
Pada suatu hari, Rasulullah berjalan-jalan di kawasan pasar bandar Madinah. Baginda lalu di hadapan seorang peniaga yang menjual buah-buahan yang dilonggok-longgokkan.
Rasulullah memeriksa buah-buahan itu dengan memasukkan tangannya ke dalam satu longgokan. Kemudian Rasulullah menarik tangannya keluar dan menunjukkan jarinya yang basah kepada peniaga itu.
Rasulullah SAW sangat mengecam sebarang amalan perniagaan yang ada unsur penipuan atau tipu helah ditambah pula sanggup bersumpah palsu.
Baginda Rasulullah SAW sentiasa mengamalkan sikap baik hati dan lemah lembut ketika menjalankan perniagaan.
Jabir telah meriwayatkan bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: “Allah SWT mencucuri rahmat kepada orang yang berbuat baik ketika ia berjual, ketika ia membeli dan ketika ia membuat tuntutan.”
Rasulullah SAW bekerja keras mencari penghidupan yang halal. Selain untuk menyara kehidupan, Baginda sangat bekerja keras bagi menunjukkan komitmen tingginya kepada mana-mana orang kaya agar mereka yakin dan ingin mengeluarkan modal mereka untuk digunakan oleh Baginda sebagai modal membesarkan perniagaan.
Rasulullah SAW merupakan seorang yang mempunyai kebolehan dalam menyusun tutur kata. Tutur katanya lembut, lunak didengar, tidak pernah berbohong dan sentiasa jujur. Oleh itu, tidak hairanlah apabila Baginda mengendalikan perniagaan harta Khadijah, Baginda memperoleh keuntungan yang banyak.
Terdapat sebuah hadis yang menceritakan kefasihan Baginda yang telah diriwayatkan oleh Al-Tarmizi dari Syaidatina Aishah, bermaksud:
“Adalah Rasulullah berkata-kata dengan perkataan yang terang serta jelas lagi tegas, dapat difahami oleh setiap orang yang mendengarnya (duduk bersama Baginda)
Ada pendapat sebahagian ulama mengatakan untung hanya boleh diambil sekitar 30% sahaja, namun kata-kata Rasulullah SAW lebih utama untuk kita jadikan pegangan.
Terdapat satu hadis sahih yang menceritakan, seorang sahabat Nabi membeli dua ekor kambing dengan 1 dinar. Kemudian, sahabat itu tadi menjual salah seekor kambing itu dengan harga 1 dinar.
Bermaksud, di tangannya ada seekor lagi kambing dan wang sejumlah 1 dinar. Sahabat itu datang kepada Rasulullah dan kemudian menyatakan apa yang telah beliau lakukan (menjual dengan cara begitu).
Rasulullah tidak berkata apa-apa melainkan mendoakan agar sahabatnya itu mendapat keberkatan dalam perniagaan yang dilakukannya.
Abu Daud meriwayatkan, Rasulullah ditanya mengapa tidak ditetapkan keuntungan maksimum (kawal kadar keuntungan). Lantas Rasulullah menyatakan, itu adalah satu ‘kezaliman’ untuk para pelanggan.
Daripada dua contoh di atas berasaskan dalil yang sahih, kita dapati tidak mengapa kita menaikkan keuntungan sesuatu jualan produk sehingga 100%.
Cuma yang dilarang adalah menyorokkan barangan keperluan asasi manusia pada ketika permintaan mendadak, dan dijual kembali apabila harganya dinaikkan.
Setelah membaca cara Rasulullah berniaga dan mengamalkannya, sudah tentu bukan sahaja usahawan tersebut beroleh pahala, tetapi juga mencipta kitaran niaga yang sihat dan berdaya saing.Peniaga sudah tentu tidak mahu dikecam dan didoakan yang buruk-buruk oleh pelanggan. Semoga berkat rezeki kita nanti.