Berita

Budaya Kejut Sahur Dengan Paluan Gendang Undang Kecaman

Share

Budaya mengejutkan orang bersahur menggunakan paluan gendang dan perarakan di kawasan perumahan kini menjadi perhatian apabila ada pihak menyifatkannya sebagai tindakan yang boleh menganggu ketenteraman awam.

Perkara ini turut mengundang kritikan netizen yang berpendapat amalan tersebut tidak sesuai dilakukan dalam kalangan masyarakat majmuk.

Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) merangkap penceramah bebas, Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle menegaskan bahawa bukan semua orang di Malaysia diwajibkan bangun sahur dan berpuasa.

“Bukan semua orang di Malaysia diwajibkan bangun sahur dan berpuasa,” katanya.

Menurut beliau, terdapat golongan yang dikecualikan seperti wanita yang sedang haid dan nifas, selain kanak-kanak kecil yang belum diwajibkan berpuasa. 

Justeru, jika budaya mengejut sahur secara bising ini diteruskan, ia berpotensi mengganggu orang lain terutamanya jiran bukan beragama Islam serta boleh menimbulkan rasa tidak senang dan kebencian.

Tambahnya lagi, Islam sendiri tidak mengajar umatnya untuk melakukan sesuatu yang menyebabkan gangguan kepada orang lain.

BACA JUGA: Lima Waktu Afdhal Berdoa Sepanjang Ramadan

Walau bagaimanapun, Rozaimi menjelaskan beliau tidak menolak cara yang lebih baik untuk mengejutkan sahur.

“Saya tiada masalah untuk azan dua kali untuk kejutkan orang bangun sahur,” katanya menerusi hantaran di TikTok.

Dalam pada itu, beliau turut menyandarkan hujah kepada pandangan ulama terdahulu, iaitu Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi yang menyebut tentang perbuatan mencampuradukkan azan dengan peringatan dan bacaan yang kuat sehingga mengganggu tidur orang ramai:

“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat… Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar.”

(Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Jelas hujah ini menunjukkan bahawa sejak dahulu lagi, para ulama telah menegur dan melarang perbuatan membuat bising yang boleh mengganggu waktu rehat orang lain, termasuk pada waktu malam atau awal pagi. Sehubungan itu, Rozaimi berharap budaya seumpama ini tidak diteruskan di negara kita.

Terdahulu, tular di media sosial video sekumpulan komuniti setempat di Kampung Balakong, Selangor yang dikatakan berarak dan berselawat dengan paluan gendang pada waktu pagi bagi mengejutkan jiran tetangga untuk bersahur. Namun begitu, video tersebut difahamkan telah dipadam oleh pemilik asal.

Berdasarkan tinjauan ruang komen di media sosial yang memuat naik semula video tersebut,, rata-rata netizen menyifatkan aktiviti itu mengganggu orang sekeliling. Malah, ada juga yang mencadangkan agar penduduk setempat membuat laporan polis kerana dikatakan mengganggu keharmonian kawasan.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok.

Related Post
Published by
Balqis Qadisah