Budaya mengejutkan orang bersahur menggunakan paluan gendang dan perarakan di kawasan perumahan kini menjadi perhatian apabila ada pihak menyifatkannya sebagai tindakan yang boleh menganggu ketenteraman awam.
Perkara ini turut mengundang kritikan netizen yang berpendapat amalan tersebut tidak sesuai dilakukan dalam kalangan masyarakat majmuk.
Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) merangkap penceramah bebas, Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle menegaskan bahawa bukan semua orang di Malaysia diwajibkan bangun sahur dan berpuasa.
“Bukan semua orang di Malaysia diwajibkan bangun sahur dan berpuasa,” katanya.
Menurut beliau, terdapat golongan yang dikecualikan seperti wanita yang sedang haid dan nifas, selain kanak-kanak kecil yang belum diwajibkan berpuasa.
Justeru, jika budaya mengejut sahur secara bising ini diteruskan, ia berpotensi mengganggu orang lain terutamanya jiran bukan beragama Islam serta boleh menimbulkan rasa tidak senang dan kebencian.
Ads
Tambahnya lagi, Islam sendiri tidak mengajar umatnya untuk melakukan sesuatu yang menyebabkan gangguan kepada orang lain.
Walau bagaimanapun, Rozaimi menjelaskan beliau tidak menolak cara yang lebih baik untuk mengejutkan sahur.
Ads
“Saya tiada masalah untuk azan dua kali untuk kejutkan orang bangun sahur,” katanya menerusi hantaran di TikTok.
Dalam pada itu, beliau turut menyandarkan hujah kepada pandangan ulama terdahulu, iaitu Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi yang menyebut tentang perbuatan mencampuradukkan azan dengan peringatan dan bacaan yang kuat sehingga mengganggu tidur orang ramai:
“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat… Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar.”
Ads
(Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Jelas hujah ini menunjukkan bahawa sejak dahulu lagi, para ulama telah menegur dan melarang perbuatan membuat bising yang boleh mengganggu waktu rehat orang lain, termasuk pada waktu malam atau awal pagi. Sehubungan itu, Rozaimi berharap budaya seumpama ini tidak diteruskan di negara kita.
Terdahulu, tular di media sosial video sekumpulan komuniti setempat di Kampung Balakong, Selangor yang dikatakan berarak dan berselawat dengan paluan gendang pada waktu pagi bagi mengejutkan jiran tetangga untuk bersahur. Namun begitu, video tersebut difahamkan telah dipadam oleh pemilik asal.
Berdasarkan tinjauan ruang komen di media sosial yang memuat naik semula video tersebut,, rata-rata netizen menyifatkan aktiviti itu mengganggu orang sekeliling. Malah, ada juga yang mencadangkan agar penduduk setempat membuat laporan polis kerana dikatakan mengganggu keharmonian kawasan.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Adanya aplikasi al Quran di dalam telefon pintar ia memberi banyak kemudahan untuk umat Islam membacanya pada bila-bila masa dan di mana saja tanpa perlu membawa mushaf.
Namun timbul pula persoalan adalah pahala membaca al Quran melalui telefon bimbit ini sama dengan membaca menggunakan mushaf?
Menurut pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus, sama ada kita baca al Quran itu pada telefon bimbit, pada skrin komputer atau pada mushaf, pahalanya adalah sama.
Namun membaca al-Quran menggunakan mushaf itu adalah lebih afdal.
“Fatwa ulamak mengatakan pahalanya adalah sama cuma hukumnya berbeza.
“Ulamak sepakat dalam empat mazhab kita tidak boleh menyentuh mushaf sekiranya berhadas. Bagaimanapun jika menggunakan aplikasi al Quran dalam telefon bimbit terdapat khilaf ulamak. Sesetengah ulamak mengatakan boleh menyentuh ayat Quran di dalam aplikasi dan sesetengah ulamak menyatakan tidak boleh.
“Namun begitu jika ada mushaf dan ada handphone, dan kita membaca al-Quran dengan handhphone hukumnya harus. Jika kita memilih membaca mushaf sedangkan ada handphone hukumnya lebih afdal,” demikian penerangan beliau satu sesi kuliah.
Dalam pada itu menurut Datuk Dr Zulkifli Muhammad Al Bakri, mantan Menteri Hal Ehwal Agama dalam membaca al-Quran yang lebih utama adalah dengan melakukannya dengan kekhusyukan dan tadabbur.
“Jika seseorang itu boleh menambah kekhusukan dengan membaca al Quran melalui hafazan, maka inilah yang lebih utama. Jika seseorang itu boleh menambah kekhusukannya adalah dengan membaca al-Quran melalui mushaf atau dengan smartphone maka itulah yang lebih utama,” jelasnya
Sebagai kesimpulan katanya jika membaca al-Qur’an melalui smartphone lebih mendatangkan kekhusyukan dan tadabbur, maka ia tidak akan mengurangi pahala seseorang itu daripada membaca dengan melihat mushaf. Yang paling utama adalah dengan menghadirkan hati dan merasakan manfaatnya daripada al-Qur’an.
Ramadhan ini jika rajin membelek media sosial, kita akan terlihat banyak juadah-juadah enak dikongsikan. Malah ada mencecah jutaan tontonan dan masing-masing menyatakan keinginan untuk memasak juadah yang sama di kemudian hari. Bukan saja selebriti tapi ramai mak-mak yang akan berkongsi apa juadah berbuka mereka di media sosial untuk diperlihat oleh kawan-kawan di muka buku, Instagram dan sebagainya.
Bagi yang mampu dari sudut rezekinya, mereka akan mencari bahan dikongsikan dan kemudian memasaknya untuk juadah seisi keluarga. Tapi bagaimana dengan mereka yang diuji kesulitan rezeki namun sudah terliur melihat masakan-masakan enak di media sosial ini? Adakah kita berdosa kerana mungkin mengecewakan hatinya kerana tak mampu buat seperti dikongsikan atau apakah hukumnya yang harus kita tahu. Dipetik dari jawapan Mufti Wilayah Persekutuan, inilah hukum tularkan makanan sedap-sedap di media sosial.
Jawapan:
Alhamdulillah segala puji kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan sahabat baginda, serta golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Secara asasnya, makanan merupakan di antara rezeki dan juga nikmat yang telah Allah kurniakan kepada hamba-hamba-Nya. Ini jelas berdasarkan firman Allah S.W.T berikut:
Maksudnya: Wahai orang-orang beriman makanlah kamu semua daripada benda-benda baik yang telah kami rezekikan kepada kamu dan bersyukurlah kalian kepada Allah sekiranya kalian benar-benar mengabdikan diri kepada-Nya. Surah Al-Baqarah (172)
Menurut ayat di atas, makanan-makanan yang baik dari sudut kehalalan dan kebersihan yang terdapat di atas muka bumi ini adalah merupakan rezeki yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. Implikasi dari kurniaan dan nikmat tersebut, manusia khususnya orang-orang yang beriman dituntut untuk mensyukuri nikmat yang diperolehnya dalam kehidupan seharian.
Berkata Imam Al-Thabari Rahimahullah ketika mana menafsirkan ayat ini: Dan hendaklah kalian memuji Allah terhadap segala nikmat yang telah Allah rezekikan dan perelokkan kepada kamu. Rujuk Tafsir Al-Thabari, Ibn Jarir (3/317).
Di antara tanda mensyukuri nikmat dan rezeki yang telah Allah berikan adalah dengan mengucapkan hamdalah iaitu dengan lafaz Alhamdulillah. Sa’d bin Muaz bin Anas Al-Juhani meriwayatkan daripada bapanya bahawa Nabi S.A.W bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang memakan makanan, kemudian dia mengucapkan: Segala puji bagi Allah yang telah memberikan aku makan makanan ini dan merezekikan ia kepadaku tanpa sebarang daya dan kekuatan dariku, maka akan diampunkan dosa-dosa kecilnya yang terdahulu. Riwayat Ibn Majah (3285)
Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hamzah Anas Bin Malik R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Tidaklah Allah kurniakan nikmat ke atas seorang hamba dengan satu nikmat lalu dia berkata: Alhamdulillah (segala puji bagi Allah) melainkan pujian yang diberikannya itu lebih baik daripada apa yang dia terima. Riwayat Ibn Majah (3805)
Maka zahir daripada hadis di atas, menjadi tuntutan ke atas setiap yang mendapat rezeki dan kurniaan daripada Allah berupa makanan, minuman, kesihatan, wang ringgit, pakaian, dan seumpamanya untuk mengucapkan Alhamdulillah yang bermaksud segala puji bagi Allah sebagai tanda syukur yang diungkapkan oleh lidah.
Kita juga dituntut untuk membaca doa yang diajarkan di dalam Sunnah berdasarkan sebuah riwayat daripada Saidina Abdullah Bin Mas’ud R.anh bahawa Rasulullah bersabda:
Maksudnya: Dan jadikanlah kami golongan yang bersyukur terhadap nikmat-Mu, memuji-Mu dengan nikmat tersebut, menerimanya serta sempurnakanlah nikmat-nikmat tersebut ke atas kami. Riwayat Abu Daud (969)
Selain itu, menceritakan nikmat-nikmat yang telah Allah rezekikan kepada kita juga adalah salah satu bentuk menzahirkan kesyukuran. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:
وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ
Maksudnya: Dan nikmat Tuhan kamu, maka ceritakanlah. Surah Al-Dhuha (11)
Di antara tafsir kepada menceritakan nikmat adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Al-Hasan Rahimahullah: Apabila kamu memperoleh kebaikan atau kamu melakukan suatu perbuatan yang baik maka ceritakanlah kepada saudara-saudaramu yang kamu percayai.
Imam Abu Bakr Ibn Al-Arabi Al-Malik Rahimahullah berkata: Perbuatan menceritakan amalan soleh yang dilakukan hendaklah dilakukan dengan keikhlasan niat di hadapan orang yang terpercaya. Ini kerana, ia boleh jadi membawa kepada riyak, serta menimbulkan buruk sangka kepada pendengarnya. Rujuk Ahkam Al-Quran, Ibn Al-Arabi (4/356).
Hakikatnya, kenyataan Imam Ibn Al-Arabi tersebut bertepatan dengan sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Bantulah ke atas kejayaan tertunainya hajat keperluan dengan menyembunyikannya. Sesungguhnya setiap yang memiliki nikmat itu ada orang yang hasad kepadanya. Riwayat Al-Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Saghir (Hlm. 246)
Begitu juga terdapat tuntutan untuk menzahirkan kesyukuran dengan cara menceritakan nikmat yang diperolehi. Sebuah riwayat daripada Al-Nu’man Bin Basyir R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
التَّحَدُّثُ بِالنِّعَمِ شُكْرٌ
Maksudnya: Menceritakan nikmat-nikmat itu adalah suatu kesyukuran. Riwayat Ibn Abi Al-Dunia (No. 64)
Justeru, hadis di atas jelas menunjukkan bahawa kita diperintahkan untuk menzahirkan kesyukuran di atas segala nikmat yang kita perolehi. Dan di antara tanda tersebut adalah dengan menceritakan nikmat-nikmat tersebut. Hadis ini juga dikuatkan lagi dengan sebuah riwayat lain bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan Dia cintakan kecantikan. Dan Allah suka untuk melihat kesan-kesan nikmat-Nya ke atas hamba-Nya. Riwayat Ibn Asakir (17/200)
Maka jelaslah kepada kita, menzahirkan nikmat-nikmat Allah sama ada melalui cara menceritakannya kepada orang lain, atau memakai pakaian yang baharu lagi cantik, memakan makanan yang halal lagi bersih, dan seumpamanya adalah suatu yang dituntut.
Kesimpulan Berdasarkan kepada nas dan juga hujah-hujah di atas, kami berpandangan bahawa perbuatan menularkan gambar makanan yang sedap kepada orang lain pada asalnya adalah harus hukumnya. Walaupun begitu, hendaklah seseorang itu memuhasabah dirinya berkenaan niat melakukan perbuatan tersebut.
Sekiranya perbuatan itu bertujuan untuk bermegah-megahan, berbangga diri, dan juga riyak, maka sepatutnya ia dielakkan. Demikian juga sekiranya perbuatan menularkan makanan mewah dapat menyebabkan timbulnya perasaan hasad terhadap orang yang melihatnya, serta menimbulkan rasa dukacita kepada golongan yang tidak berkemampuan merasainya, maka kami nasihatkan supaya ianya dielakkan. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Rezeki baik harta benda dan wang adalah dambaan manusia pada masa kini. Namun adakah rezeki yang banyak ini adalah yang terbaik buat kita? Ini kerana ada satu hadis yang menyatakan rezeki yang terbaik sebenar adalah rezeki yang cukup.
Persoalan ini diajukan oleh netizen dalam soal jawab yang dirungkai jawapannya dalam Maktabah Al Bakri.
Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.” (Surah al-Zariyat: 56-58)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan ya, berdasarkan sebuah hadith di mana:
Diriwayatkan daripada Abu Wa’il bahawa seorang hamba mukatab (yang boleh menebus dirinya jika dia membayar sejumlah wang kepada tuannya) bertemu dengan Ali R.A. Hamba ini berkata kepada Ali: “Sesungguhnya aku tidak mampu untuk membayar tebusan kepada tuan aku.”
Saidina Ali R.A lalu berkata: “Mahukah aku ajarkan kepada kamu beberapa perkataan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepadaku, jika engkau sebutkannya, jika engkau mempunyai hutang sebesar bukit Sobir maka Allah SWT akan menunaikan hutang tersebut bagi kamu. Katakanlah:
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah aku dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah aku dengan kurniaan-Mu, tanpa aku mengharapkan kepada selain-Mu.” Riwayat al-Tirmizi (3563), Ahmad (1319)
Imam al-Munawi menyebut: Sesiapa yang menyebutnya dengan niat yang benar, akan mendapat kesan pengabulan dengan segera. (Lihat al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 1/809)
Kadang-kadang rezeki yang banyak tetapi masih tidak mencukupi. Tambahan pula, adanya sifat tamak yang menguasai diri manusia apatah lagi wujudnya sifat boros dalam berbelanja yang mengakibatkan kepincangan kehidupan dek kerana tidak pandai mengurus kewangan. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Ia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata.” (Surah al-Syura: 27)
Seperkara lagi, dalam doa di atas, disebut cukupkan kepadaku dengan yang halal sahaja kerana kita tidak mahu yang haram berdarah daging dalam tubuh kita.
Keduanya, kita memohon kurniaan Tuhan untuk mengkayakan kita bukan orang lain sebagaimana di hujung doa tersebut:
وَأَغْنِنِى بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Yang membawa maksud, “Kayakanlah aku dengan kurniaan-Mu, tanpa aku mengharapkan kepada selain-Mu.”
Mengiktiraf rezeki dan kurniaan itu daripada Allah SWT merupakan sifat para nabi. Lihatlah ucapan Nabi Sulaiman sebagaimana firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dia berkata, “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya.” (Surah al-Naml: 47)
Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”
Solat Jamak Takdim: Ketahui hukum bercakap antara dua solat jamak takdim menurut Mazhab Syafie, syarat muwalah serta situasi yang boleh menyebabkan jamak tidak dapat diteruskan.