
”Berani melangkah ke laluan yang asing memang bukan satu perkara yang mudah, apatah lagi apabila kita perlu mengejar rakan-rakan lain yang sudah lama ‘celik’ di garisan permulaan.” Bukannya mudah bagi seseorang untuk memperoleh kejayaan dalam ACCA.
Begitulah coretan perjalanan penuh inspirasi buat seorang graduan muda, Julea Qiestyna.
Diusia baru mencecah 22 tahun, anak sulung daripada empat beradik yang berasal dari Johor ini melakar nama di persada antarabangsa apabila berjaya meraih tempat kedua dunia dan Malaysia bagi kertas Advanced Performance Management (APM) dalam peperiksaan profesional berprestij, Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).
BACA JUGA: Menteri Agama Puji Jep Sepahtu, Teladan Mulia Bayar Zakat RM1.935 Juta Buat Inspirasi Asnaf
Lebih mengagumkan, pencapaian luar biasa ini diraih biarpun bidang perakaunan bukanlah latar belakang asalnya sewaktu di bangku sekolah menengah. Beliau sebenarnya merupakan seorang pelajar aliran sains.
Dari Aliran Sains ke Dunia Angka ACCA
Mengimbas kembali detik-detik awal pengajiannya menerusi laporan Sinar Plus bersempena Istiadat Konvokesyen UiTM, Julia mengakui peralihan haluan itu menuntut pengorbanan dan usaha yang berlipat kali ganda.
Selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau mengambil risiko meneruskan pengajian menerusi program Foundation in Accountancy (FIA) sebelum menyambung ACCA secara laluan pantas.
Tanpa asas akaun yang kukuh, hari-hari awal pengajiannya dipenuhi dengan debaran. Namun, berkat keazaman dan doa yang tidak pernah putus, dalam masa hanya enam bulan beliau berjaya mencorak keyakinan untuk menguasai konsep asas perakaunan dan berdiri setanding rakan sepengajian yang lain.
Doa Ibu dan Berkat ‘Sistem Sokongan’
Di sebalik kejayaan manis menggenggam pelbagai anugerah termasuk Prize Winner Award di peringkat global, Julia menyingkap satu rahsia terbesar yang menjadi nadi kekuatannya iaitu ibu tersayang.
Ibu beliau yang juga pernah berkhidmat sebagai seorang akauntan menjadi sumber inspirasi terbesarnya. Setiap doa, restu dan dorongan moral daripada ibulah yang meniupkan semangat membara dalam diri Julia untuk tidak pernah kenal erti mengalah, terutamanya ketika berdepan cabaran peperiksaan yang sengit.
Bagi Julia, keberkatan mentaati ibu bapa serta memiliki sistem sokongan yang positif adalah kunci utama ketenangan hati dalam menuntut ilmu.
Rezeki Tak Salah Alamat, Usaha Tidak Menghianati Hasil
Menyentuh soal persediaan, Julia menasihatkan agar anak-anak muda di luar sana tidak hanya bergantung pada hafalan semata-mata.
Penguasaan teknik menjawab yang betul untuk ACCA , rajin membuat latihan mendalam serta memahami kehendak soalan adalah formula penting untuk berjaya dalam silibus profesional bertaraf antarabangsa ini.
Beliau turut meluahkan kesyukuran di atas rezeki tajaannya di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang amat membantu menyumbang ketenangan minda dari sudut kewangan sepanjang pengajian.
Kini, selepas penat lelah bergelut dengan angka dan buku rujukan, Julia melangkah setapak lagi dalam kerjayanya sebagai Audit Associate.
Pesan Bermakna Buat Anak Muda
Buat para pelajar yang sedang berjuang menempuhi liku-liku pengajian yang sukar, Julia menitipkan pesanan bermakna,
“Setiap orang mempunyai garis masa (timeline) hidup yang berbeza. Tidak mengapa jika anda mengambil masa sedikit lama untuk sampai ke puncak.
Apa yang paling penting, jangan pernah berputus asa, jaga hubungan dengan ibu bapa dan sentiasa kelilingi diri dengan sistem sokongan yang positif,”.
Semoga kisah Julia Qiestyna yang memperoleh tempat kedua dunia ACCA ini menjadi obor semangat buat anak-anak muda kita di luar sana untuk terus berani bermimpi besar dan membanggakan keluarga tercinta.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok

sekarang ya?

