
Orang tua-tua selalu berpesan kepada anak-anak perempuan untuk mencuci tuala wanita bersih-bersih sebelum membuangnya kerana dikhuatiri diganggu makhluk halus.
Mitos dan kepercayaan ini sudah lama bertapak dalam masyarakat kita sehingga ramai wanita rasa bersalah atau waswas sekiranya tidak membasuh tuala wanita terpakai (pad) sehingga betul-betul bersih sebelum dibuang.
Persoalannya, adakah Islam wjibkan kita basuh pad sebelum buang? Dan bagaimana pula cara pengurusan tuala wanita yang paling bersih serta bertolak ansur dengan orang lain?
Hukum Sebenar Dalam Islam: Wajib Ke Basuh?
Berdasarkan penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tiada sebarang hadis sahih mahupun athar sahabat yang mewajibkan atau mengarahkan wanita membasuh tuala wanita (pad) sebelum membuangnya.
1. Bukti Daripada Hadis
Perintah Nabi SAW mengenai darah haid adalah khusus untuk pakaian yang hendak digunakan semula untuk solat. Sebagaimana hadis diriwayatkan oleh Asma’ binti Abu Bakar RA, Nabi SAW mengarahkan agar pakaian yang terkena darah haid dibasuh, digosok dengan air, dan disiram sebelum digunakan untuk solat.
BACA JUGA: Hak Wanita Selepas Perceraian: Panduan Penting & Lengkap Mahkamah Syariah
Manakala bagi bahan alas atau kain yang dibuang, para sahabat wanita pada zaman Rasulullah SAW tidak membasuhnya sebelum dibuang. Hadis berkaitan Perigi Buka’ah (Hadis Riwayat Abu Said al-Khudri) juga secara zahirnya menunjukkan kain alas haid (al-hiyadh) dibuang tanpa dibasuh terlebih dahulu.
2. Isu ‘Darah Dimakan Jin/Syaitan’
Dakwaan bahawa darah haid yang tidak dibasuh akan dimakan oleh jin atau syaitan adalah kepercayaan berlegar dalam masyarakat tanpa sandaran nas yang sahih. Walaupun syaitan menyukai tempat yang kotor dan najis (sesebab itu kita diajar membaca doa masuk tandas), tiada kewajipan syarak untuk membasuh bahan buangan najis yang hendak dibuang.
Jadi, Boleh Ke Kalau Nak Basuh Juga?
Hukumnya adalah HARUS.
Jika anda rasa lebih selesa dan bersih untuk membilasnya terlebih dahulu sebelum dibuang, ia dibolehkan.
Namun, jika berada di tandas awam atau keadaan tidak mengizinkan, tidak wajib untuk membasuhnya. Cukup sekadar dibungkus rapi dan dibuang ke dalam tong sampah khas.
Langkah & Adab Membuang Pad Yang Sepatutnya
Agama Islam amat mementingkan kebersihan (Thaharah) dan adab sesama manusia. Jika cara kita menguruskan pad menimbulkan bau hanyir atau pandangan yang menggelikan kepada orang lain, di sinilah terletaknya keperluan menjaga adab.
Berikut adalah panduan menguruskan tuala wanita mengikut saranan kebersihan:
1. Gulung Kemas
Selepas digunakan, gulung pad dengan rapat dari hujung ke hujung menggunakan pelekat yang sedia ada pada pad tersebut supaya bahagian berdarah berada di sebelah dalam.
2. Balut Dengan Rapi
Gunakan kertas surat khabar, tisu, atau plastik pad yang baharu untuk membalut pad terpakai tadi. Ini penting untuk menjaga pandangan (aib) serta mengelakkan bau hanyir tersebar.
3. Buang Dalam Tong Khas / Tong Bertutup
Di rumah, pastikan pad dibuang ke dalam tong sampah bertutup. Di tandas awam, gunakan tong sampah khas sanitari (sanitary bin) yang disediakan.
AMARAN: Jangan sekali-kali membuang pad ke dalam mangkuk tandas (flush) kerana ia boleh menyebabkan saluran paip tersumbat dan mencemarkan kemudahan awam!
4. Jika Memilih Untuk Membasuh, Bilas Kawasan Tandas
Sekiranya anda memilih untuk membasuh pad, pastikan percikan air darah tidak tertinggal pada lantai, dinding, atau mangkuk tandas. Siram dan bersihkan kawasan sekitar dengan teliti supaya tidak meninggalkan bau yang mengganggu pengguna seterusnya.
5. Basuh Tangan Dengan Sabun
Selepas selesai menguruskan pembuangan pad, cuci tangan dengan sabun dan air mengalir untuk mematikan kuman serta bakteria.
Islam adalah agama yang memudahkan dan tidak membebankan umatnya. Membasuh pad bukan satu kewajipan agama, sebaliknya yang wajib adalah memastikan persekitaran kekal bersih, tidak mencemarkan tempat awam, dan menjaga adab sesama manusia.
Selepas ini, tak perlu ragu-ragu atau takut lagi. Urus tuala wanita dengan cermat, bertimbang rasa, dan utamakan kebersihan diri serta persekitaran!
Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok

sekarang ya?

