Badan Dah Balik Rumah, Tapi Otak Masih Di Pejabat? Ini Cara Hentikan Overthinking Kerja

Share

Pulang ke rumah selepas seharian bekerja sepatutnya menjadi waktu untuk berehat. Badan sudah penat, kaki mahu diluruskan dan katil terasa seperti tempat paling membahagiakan selepas melalui hari yang panjang menyebabkan kita overthinking kerja. 

Namun bagi sesetengah orang, tubuh sahaja yang berada di rumah. Fikiran masih tertinggal di pejabat.

Jam menunjukkan 11.30 malam. Lampu bilik sudah dipadamkan, badan sudah berbaring, tetapi minda masih ‘berlari’. Tiba-tiba teringat tugasan yang belum selesai, emel yang belum dibalas, mesyuarat pagi esok atau kesilapan kecil yang berlaku sepanjang hari.

Lebih berat apabila tekanan kerja itu mula terbawa-bawa hingga ke waktu beribadah. Tubuh berdiri di atas sejadah tetapi fikiran masih memikirkan kerja. Solat terasa mahu diselesaikan dengan cepat kerana kepala masih sibuk memikirkan perkara lain.

Situasi seperti ini semakin biasa dalam kehidupan pekerja hari ini. Tekanan di tempat kerja, persaingan kerjaya, ekspektasi tinggi daripada majikan atau rakan sekerja serta budaya kerja yang sentiasa menuntut kita untuk ‘sentiasa ada’ boleh menyebabkan seseorang sukar benar-benar berehat.

Persoalannya, adakah terlalu memikirkan pekerjaan bermaksud seseorang itu kurang bertawakal? Atau sebenarnya kita perlu belajar mengurus fikiran dan tekanan dengan lebih baik?

BACA JUGA: Kesan Sumpah Palsu Terhadap Rohani & Psikologi: Jangan Jadikan ‘Demi Allah’ Pertahanan Diri

Mengapa Kita Mudah Overthinking Kerja?

Dari sudut psikologi, terlalu banyak berfikir atau overthinking biasanya berlaku apabila otak cuba mencari kepastian terhadap sesuatu yang sebenarnya belum tentu dapat dikawal.

Kita takut melakukan kesilapan. Kita bimbang mengecewakan orang lain. Ada yang takut kehilangan pekerjaan, takut tidak mencapai sasaran atau berasa diri tidak cukup bagus berbanding orang lain.

Disebabkan rasa takut itu, fikiran mula mengulang perkara sama berkali-kali seolah-olah dengan berfikir lebih lama, kita mampu mengawal apa yang bakal berlaku.

Sedangkan dalam Islam, kita diajar untuk membezakan antara ikhtiar dan tawakal.

Ikhtiar bermaksud melakukan apa yang berada dalam kemampuan kita. Datang bekerja dengan jujur, menyiapkan tanggungjawab sebaik mungkin, memperbaiki kesilapan dan berusaha meningkatkan kualiti kerja.

Tawakal pula bermaksud menyerahkan hasil akhirnya kepada Allah SWT setelah kita melakukan usaha yang terbaik.

Rasulullah SAW pernah mengajar tentang keseimbangan usaha dan tawakal menerusi sabdanya:

Maksudnya: “Ikatlah unta itu terlebih dahulu, kemudian bertawakallah.”

(Hadis Riwayat al-Tirmidzi)

Pesannya jelas. Kita tetap perlu berusaha dan mengambil langkah yang sepatutnya, tetapi selepas itu janganlah hati terus dibelenggu oleh perkara yang belum berlaku.

Ada perkara dalam hidup yang memang berada di luar kawalan kita. Apa tanggapan majikan terhadap kita, bagaimana keputusan sesuatu projek atau apa yang bakal berlaku esok semuanya tidak mampu dikawal sepenuhnya oleh fikiran manusia.

Bila Kerja Mula Mengganggu Hubungan Dengan Allah

Salah satu tanda tekanan kerja sudah terlalu memenuhi fikiran ialah apabila ia mula mengganggu ketenangan ketika beribadah.

Solat yang sepatutnya menjadi ruang untuk kita berhenti seketika daripada urusan dunia akhirnya terasa seperti satu lagi tugasan dalam jadual harian.

Badan berada di atas sejadah, tetapi fikiran masih berada di pejabat.

Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”

(Surah ar-Ra’d: 28)

Ayat ini mengingatkan kita bahawa hati manusia memang akan mudah gelisah apabila terlalu bergantung kepada perkara dunia yang sifatnya sentiasa berubah.

Pekerjaan boleh berubah. Jawatan boleh berubah. Pandangan manusia juga boleh berubah.

Namun Allah tetap menjadi tempat kita kembali.

4 Cara Urus Fikiran Yang Masih ‘Bekerja’ Selepas Waktu Pejabat

Tekanan pekerjaan tidak semestinya boleh hilang dalam sehari. Namun kita boleh belajar meletakkan sempadan supaya pekerjaan tidak menguasai seluruh kehidupan.

1. Keluarkan Semua Perkara Dari Kepala Sebelum Tamat Kerja

Sebelum menutup komputer atau meninggalkan tempat kerja, luangkan sekitar lima hingga 10 minit untuk menulis perkara yang perlu dilakukan pada keesokan hari.

Catat tugasan yang belum selesai, perkara yang perlu diingat dan apa sahaja yang sedang bermain dalam fikiran.

Teknik ini sering dipanggil brain dump.

Apabila semuanya sudah ditulis, kita tidak lagi perlu memaksa otak untuk mengingat setiap perkara sepanjang malam.

Anggap sahaja senarai itu sebagai tempat ‘menyimpan’ urusan kerja sehingga esok.

2. Wujudkan Sempadan Antara Kerja Dan Waktu Rehat

Tidak semua mesej kerja perlu dibalas pada waktu malam.

Tidak semua emel perlu diperiksa sebelum tidur.

Jika pekerjaan anda tidak memerlukan tindakan kecemasan selepas waktu bekerja, beri peluang kepada tubuh dan fikiran untuk benar-benar berehat.

Mempunyai sempadan bukan bermaksud kita malas atau tidak berdedikasi.

Sebaliknya, tubuh juga mempunyai hak untuk berehat.

Kita bekerja untuk meneruskan kehidupan, bukan hidup semata-mata untuk bekerja.

3. Gantikan Kerisauan Dengan Doa Dan Zikir

Apabila fikiran mula dipenuhi dengan kerisauan, cuba alihkan perhatian daripada perkara yang tidak mampu dikawal kepada Allah SWT.

Antara doa yang diajarkan Rasulullah SAW ialah:

اللَّهُمَّ رَحْمَتَكَ أَرْجُو فَلاَ تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ وَأَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, rahmat-Mu aku harapkan. Maka janganlah Engkau serahkan aku kepada diriku sendiri walau sekelip mata, dan perbaikilah seluruh urusanku. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau.”

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Kita juga boleh membiasakan diri membaca:

Hasbunallahu wa ni’mal wakil.

Maksudnya: “Cukuplah Allah bagi kami dan Dia sebaik-baik tempat berserah.”

Bacalah sambil mengingatkan diri bahawa kita tidak perlu memikul semua perkara seorang diri.

4. Jadikan Solat Tempat Berhenti, Bukan Tugasan Untuk Dihabiskan

Selepas hari yang panjang, cuba ubah cara kita melihat solat.

Jangan jadikan solat sebagai perkara yang perlu segera diselesaikan supaya kita boleh kembali kepada urusan lain. Sebaliknya, anggap solat sebagai tempat kita berhenti.

Sebelum mengangkat takbir, ambil sedikit masa untuk menenangkan diri. Tarik nafas perlahan dan ingatkan diri bahawa segala urusan yang sedang kita risaukan berada dalam pengetahuan Allah.

Ingat, apabila kita berdiri di hadapan Allah, kita kembali sedar bahawa kehidupan ini jauh lebih luas daripada laporan, mesyuarat, sasaran dan penilaian manusia.

Kerja Itu Sebahagian Daripada Hidup, Bukan Seluruh Hidup

Mencari rezeki yang halal adalah satu tanggungjawab yang mulia. Kita memang perlu bekerja dengan amanah, bersungguh-sungguh dan memberikan yang terbaik.

Related Post

Tetapi pekerjaan tidak sepatutnya menjadi satu-satunya ukuran nilai diri kita.

Kita bukan sekadar jawatan yang tertera pada kad nama.

Kita bukan sekadar KPI, angka prestasi atau pandangan rakan sekerja.

Ada masanya selepas melakukan segala usaha yang termampu, perkara terbaik yang boleh kita lakukan ialah berhenti memikirkan perkara yang sama berulang kali dan belajar menyerahkannya kepada Allah.

Apabila fikiran mula kembali kepada urusan kerja ketika mahu tidur, cuba bisikkan kepada diri:

“Hari ini aku sudah berusaha sebaik mungkin. Apa yang berada di luar kemampuan aku, aku serahkan kepada Allah.”

Esok masih ada ruang untuk memperbaiki apa yang belum selesai.

Malam ini pula adalah ruang untuk tubuh berehat, hati bertenang dan jiwa kembali kepada-Nya.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok.

 

Published by
Balqis Qadisah