Solat hajat dikerjakan apabila ada hajat yang penting atau mustahak seperti meminta selamat perjalanan atau meminta diberikan kesembuhan dari sakit atau meminta zuriat atau meminta lepas dari musibah dan yang seumpamanya.
Tidak disunatkan solat hajat untuk perkara remeh temeh seperti kerana mahu pakai baju atau mahu duduk bangun. Tidak boleh solat hajat kerana perkara yang haram seperti meminta perkara syirik dan dosa dan seumpamanya.
Solat hajat ini termasuk solat-solat yang sunat dan harus dikerjakan solat sunat hajat ini samada pada waktu siang atau malam.
Ertinya : “Sungguhnya seorang lelaki yang hilang penglihatannya telah mendatangi Nabi sollallahu alaihi wasallam maka berkata ia : Doakan aku wahai Nabi agar Allah sembuhkan aku ini.
Ads
Maka jawab baginda : Jika kamu mahu aku akan tundakan bagi kamu permintaan kamu ini. Ia lebih baik. Dan jika kamu mahu juga aku akan doakan untuk kamu.
Kata lelaki itu : Doakanlah untuk aku.
Maka Nabi sollallahu alaihi wasalllam menyuruhnya mengambil wuduk dan mengelokkan wuduknya itu dan bersolat dua rakaat dan berdoa dengan doa ini : ” Ya Allah sungguhnya aku meminta kepada Mu dan aku hadapkan wajahku kepada Mu dengan berkat Nabi Muhammad pembawa rahmat. Wahai Nabi Muhammad sungguhnya aku telah hadapkan wajahku dengan berkatmu kepada Tuhanku pada hajatku ini supaya ditunaikan ia. Ya Allah terimalah syafaatnya untuk aku.” (Hadith riwayat Ahmad dan Tirmizi dan Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)
Cara solat hajat ringkas
Solat sunat hajat sama caranya seperti solat sunat yang lain sama ada pada syarat dan adabnya.
Ads
Niat solat hajat ketika bertakbir ialah hadirkan di dalam hati :
“Sahaja aku sembahyang sunat hajat dua rakaat kerana Allah Taala.”
atau niat-niat yang mempunyai pengertian yang sama.
Ads
Selepas membaca surah Fatihah sunat dibaca surah mana yang mudah untuk dibaca tidak ada ditetapkan surah atau ayat tertentu dalam solat hajat ini. Jika dia hanya membaca fatihah sahaja tanpa membaca surah selepasnya maka solatnya itu sah cuma sunat dia membaca surah.
Begitu juga pada rakaat yang kedua. Selepas memberi salam hendaklah berdoa meminta kepada Allah agar hajatnya tercapai.
Antara doa yang elok dibaca ialah doa lelaki yang tersebut pada hadith di atas tadi atau doa berikut :
Ertinya : “Tiada Tuhan yang sebenar-benar melainkan Allah yang maha lemah lembut dan maha mulia. Maha suci Allah yang memiliki Arasy yang sangat besar. Segala pujian itu adalah milik Allah. Aku mohon kepada Mu semua yang mengundang rahmat Mu. Yang mendapatkan keampunan Mu. Dan kekayaan dari segala kebaikkan dan selamat dari segala dosa. Janganlah Engkau tinggalkan aku dalam keadaan berdosa melainkan Engkau ampunkan. Dan tidak juga dalam kegundahan melainkan Engkau berikan jalan kelepasan. Dan tiada ada sebarang hajat yang Engkau redha melainkan Engkau tunaikannya. Wahai Tuhan yang amat menyayangi dari semua yang menyayangi.”
Boleh juga berdoa ketika di dalam sujud solat sebelum memberi salam.
Solat sunat hajat afdal dikerjakan seorang diri tetapi jika dikerjakan berjemaah hukumnya adalah harus dan sah.
“Andai kakimu tidak pernah membawamu kepada solat, bagaimana mungkin kau harapkan kaki yang sama akan membawamu ke Syurga?”
Apa lagi nikmat yang mahu didustakan? Lengkap anggota fizikal namun masih lagi enggan solat. Nikmat yang diterima terus-terusan tidak digunakan untuk mengingati Allah. Langsung tiada sekelumit perasaan untuk ‘berterima kasih’ kepada Allah ke atas nikmat yang telah diberikan.
KAGUM, SEDIH, HIBA.
Allahuakbar…
Kekurangannya tidak membuatnya surut dalam beribadah menunaikan kewajipan solat 5 waktu.
KAGUM – dia kurang upaya, namun jiwanya bersungguh mencari cinta Tuhannya.
SEDIH – Kita yang kelihatan lebih sempurna dari segi fizikal namun tidak setabah dia dalam mengejar rahmat Allah.
HIBA – Mungkin berkat doa insan-insan seperti dia, kita semua umat islam masih mampu menunaikan solat dan ibadah kepada Allah.
Hari ini tanggal 23 Oktober 2019 bersamaan jatuh pada hari Rabu dan Safar di bulan Islam. Ada yang mengatakan bahawa hari Rabu terakhir pada bulan Safar adalah hari diturunkan bala dan ada amalan tertentu untuk menghindarinya.
Persoalan yang dibangkitkan oleh seorang warganet di laman sosial twitter Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dan beliau telah menjawab segala kemusykilan berkenaan.
Apakah benar dakwaan berkenaan dan bagaimana pula dengan amalan yang dilakukan untuk menghindari bala yang datang nanti?
Ini jawapan dari Mufti Wilayah dalam menjelaskan persoalan berkenaan.
Soalan : Adakah amalan mandi safar digalakkan kerana disebut di dalam hadis berkaitan safar?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Mandi Safar adalah satu amalan turun menurun masyarakat Melayu di mana diadakan temasya mandi-manda yang ada di adakan pada hari Rabu yang terakhir di dalam bulan Safar dengan tujuan menolak bala. Pada pagi tersebut orang ramai mandi di pantai atau sekurang-kurangnya minum air yang telah direndam kertas safar atau papan kecil yang ditulis kalimat suci. Air ini dikenal sebagai air safar.
Berdasarkan soalan dan penjelasan ringkas mengenai Mandi Safar, kami telah menerima satu pesanan ringkas melalui aplikasi whatsapp yang mengatakan bahawa amalan mandi safar disebut di dalam hadis Nabi SAW. Kami menukilkan semula terjemahan hadis yang dihantar kepada kami.Ianya berbunyi seperti berikut:
“Tidak ada penularan penyakit (dengan sendirinya),tidak ada thiyarah (sempena baik atau buruk),tidak ada kesialan (malang) kerana burung dan tidak ada kesialan (bala bencana) pada bulan safar”(Hadis riwayat Bukhari r.a, Muslim, Abu Daud dan Ahmad r.a).
Individu yang menghantar keratan terjemahan hadis ini kepada kami mendakwa bahawa inilah dalil pengharusan mandi safar yang bertujuan menolak bala dan sial.Benarkah dakwaan ini?
PENJELASAN MENGENAI HADIS
Setelah dicari dan diteliti, lafaz matan yang dimaksudkan ada asal-usulnya. Lafaz tersebut berbunyi daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لا عَدْوَى وَلاَ طِيرَةَ ولا صَفَرَ وَلاَ هَامَّةَ
Maksudnya:”Tidak ada penyaki yang berjangkit,tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.”
Riwayat al-Bukhari (5770), Muslim(2220), Abu Daud (3913) di dalam al-Sunan & Ahmad(3031) di dalam Musnad.
Di dalam lafaz yang lain menyebut: Daripada Jabir bin Abdullah r.anhuma bahawa Rasulullah bersabda:
لا عَدْوَى وَلاَ صَفَرَ وَلَا غُوْلَ
Maksudnya:”Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak ada kesialan dalam bulan safar bahkan tidak ada Ghul(Syaitan yang boleh menyerupai dalam pelbagai bentuk untuk menyesatkan manusia).”[1]
Riwayat Muslim (2222),Ibnu Hibban (6128) di dalam Sohihnya,Ahmad (15103) di dalam Musnad
Maksudnya:”Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak kesialan dalam bulan safar dan tiada ramalan bintang bulan dengan hujan.”
Riwayat Ahmad (9165) di dalam Musnad,Ibn Hibban (6133) di dalam sohihnya
Hadis ini diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat melalui jalur sanad yang berbeza antaranya:
1. Abu Hurairah
2. Ibnu ‘Abbas
3. Jabir Bin ‘Abdullah
4. Ibnu Mas’ud
Secara ringkasnya, hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sohih mereka.Bahkan ianya juga diriwayatkan juga jaguh-jaguh ahli hadis semisal Imam Ahmad, Abu Daud dan ramai lagi. Di dalam kesemua jalur sanad hadis ini, terkandung perkataan safar. Dengan wujudnya hadis ini di dalam kitab hadis yang muktabar seperti Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim tidak syak lagi bahawa hadis ini adalah hadis yang sahih. Namun yang menjadi permasalahan di sini adalah adakah hadis ini menunjukkan adanya keharusan melakukan amalan mandi safar dengan hanya berdalilkan wujudnya perkataan safar di dalam hadis ini?
MAKSUD SAFAR(صفر)
Menurut Ibnu Manzur (w.711 H) صَفَرَ bermaksud penyakit di dalam perut yang menyebabkan orang yang mengalaminya kuning mukanya. Perkataan ini juga membawa maksud ular yang suka mematuk. Ianya juga membawa maksud lapar.
Rujuk Lisan al-Arabi(8/250)
Safar juga adalah bulan kedua di dalam kalendar Hijrah selepas bulan Muharram.
Secara asasnya,untuk memahami satu perkataan yang terdapat di dalam hadis selain dari merujuk makna dari segi bahasa,perlu juga untuk merujuk pandangan para ulama yang muktabar untuk mendapatkan gambaran yang sebenar tentang apa yang disabdakan oleh Nabi SAW. Di sini kami kumpulkan pandangan dan syarahan para ulama berkenaan hadis ini:
Ibnu Hajar al-Asqalani (w.852 H) menyebut:
“Ia adalah penyakit yang menyakitkan perut.Abu ‘Ubaidah Ma’mar bin al-Muthanna menyebut di dalam kitab Gharib al-Hadith daripada Yunus bin ‘Ubaid Al-Jarami.Beliau bertanya kepada Ru’bah bin al-‘Ajjaj tentang makna safar.Beliau menjawab :”Bangsa Arab Jahiliyyah mempercayai bahawa ia adalah cacing yang berada di dalam perut manusia dan ia lebih merebak dari penyakit kulit.Kerana inilah Nabi menyebut tentang tiadanya safar di mana mereka mempercayai bahawa ia lebih berbahaya dari penyakit kulit.Inilah pandangan yang dipegang oleh Imam al-Bukhari kerana ianya dikaitkan dengan ayat tidak ada penyebaran penyakit.”
Beliau (Ibnu Hajar) menyebut lagi :Apa yang dimaksudkan dengan penafian bahawa tiadanya safar adalah menolak kepercayaan orang arab jahiliyyah yang beranggapan bahawa ianya boleh membunuh jika ia menimpa manusia.Akan tetapi,Syarak menolak kepercayaan ini kerana kematian tidak akan berlaku jika ajal belum tiba.”
Rujuk Fath al-bari Syarh Sahih al-Bukhari(3/285)
Kata Imam al-Nawawi (w.676 H) :
“Sabda Nabi SAW ‘Tidak ada safar’ ada dua tafsiran : Tafsiran yang pertama bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan berperang.Inilah yang dilakukan oleh Bangsa Arab Jahiliyyah.Ini adalah pendapat Malik dan Abu ‘Ubaidah.Tafsiran yang kedua,yang dimaksudkan dengan safar adalah binatang yang wujud di dalam perut iaitu ulat.Arab Jahiliyyah percaya bahawa di dalam perut ada satu binatang yang berlegar ketika lapar.Berkemungkinan ianya boleh membunuh tuan punya perut.Mereka mengatakan bahawa ianya lebih teruk dan berjangkit berbanding penyakit kulit.Inilah tafsiran yang betul.Pandangan ini telah dikemukakan oleh al-Mutarrif,Ibnu Wahbin,Ibnu Habib,Abu ‘Ubaid dan sebahagian besar para ulama.Pandangan ini juga disebutkan oleh Imam Muslim yang dinukilkan daripada Jabir salah seorang perawi hadis ini.”
Rujuk al-Minhaj Syarh Sohih Muslim (13/379)
Imam al-Qurtubi (w.656 H) berkata :
“Safar adalah menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan untuk berperang. Inilah yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar. Inilah pandangan Malik dan Abu ‘Ubaidah. Dikatakan bahawa maksud safar adalah ulat yang ada di dalam perut manusia yang berlegar ketika lapar. Arab jahiliyyah melihat bahawa ia lebih berjangkit berbanding penyakit kulit. Mereka mendendangkan syair yang berbunyi[2]:
لا يَتَأَرّى لمِاَ فِي القِدْرِ يَرْقُبهُ # وَلاَ يَعُضُّ على شٌرْسُوفِهِ الصَفَرُ
Maksudnya:”Dia tidak bercanggahan dengan apa yang telah ditakdirkan untuknya. Tidak pula kerana tulang sum-sumnya digigit oleh ulat.”
Inilah pandangan Mutarrif, Ibnu Wahbin, Ibnu Habib dan inilah juga pandangan yang dipilih oleh Abu‘Ubaidah.”
Rujuk al-Mufhim li ma asykala min talkhis kitabi Muslim (5/622)
Kata Imam Abdul Rauf al-Munawi (w.1031 H) :
“Tidak ada safar bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram berperang dan juga bermaksud penyakit di dalam perut yang boleh menjangkiti orang lain mengikut kepercayaan Arab Jahiliyyah. al-Baidhawi berkata: Ia ditafsirkan sebagai satu penafian kepada kepercayaan yang mengatakan bahawa bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya fitnah.”
“Bangsa Arab Jahiliyyah mendakwa bahawa di dalam perut ada satu ular yang dipanggil safar. Ianya menyakitkan ketika datangnya lapar dan ia juga boleh menjangkiti orang lain.Islam menolak kepercayaan ini. Ada pandangan yang mengatakan bahawa ia adalah an-nasi’ iaitu menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan berperang dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan untuk berperang. Ianya dilakukan ketika zaman Jahiliyyah. Perbuatan ini telah diharamkan oleh Islam.”
Kata al-Qadhi Iyadh (w.544 H) : “Ada dua pandangan berkenaan maksud perkataan Safar. Yang pertama adalah menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram untuk berperang. Dan inilah yang yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah.Pandangan ini adalah pandangan Malik dan Abu ‘Ubaidah.Perkataan yang kedua mengatakan bahawa safar adalah penyakit yang boleh berjangkit kepada orang lain.”
Rujuk Kitab al-Mu’lim syarh Sohih Muslim (7/71)
Syaraful haq ‘Azim al-Abbadi (w.1329 H) ketika beliau mensyarahkan hadis ini menyebut:
“Ketika mana Nabi SAW menyebut tidak ada safar ianya bermaksud Nabi SAW menafikan kepercayaan yang mengatakan bahawa adanya penyakit di dalam perut yang boleh menjangkiti orang lain dan adanya ular yang menyakiti manusia ketika mana dia lapar. Arab Jahiliyyah menagatakan bahawa ianya lebih berjangkit berbanding penyakit kulit. Ia juga bermaksud bulan Safar. Di mana Arab Jahiliyyah menyangka akan berlakunya perkara buruk apabila tibanya bulan Safar.”
Rujuk ‘Aun al-Ma’bud syarh Sunan Abi Daud (10/407)
Kata Nuruddin al-Sindi (w.1138):
“Ianya bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan berperang.Ianya adalah bentuk tegahan terhadap perbuatan tersebut.”
Al-Qastalani(w.923 H) ketika mensyarahkan hadis ini, beliau menyebut:
“Ianya bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram. Disebutkan di dalam Sunan Abu Daud daripada Muhammad Bin Rashid Bahawa Arab Jahiliyyah menganggap akan berlakunya perkara yang buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menyangka bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya pelbagai fitnah.”
“Ahli ilmu mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan safar adalah bulan Safar kemudian mereka berselisih dalam mentafsirkan maksud hadis tersebut.”
Pertama: Maksud hadis tersebut adalah menafikan apa yang dilakukan oleh masyarakat Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar.Ini adalah pandangan Malik.
Kedua: Masyarakat Arab Jahiliyyah menganggap bahawa akan berlaku perkara buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menggelar bulan Safar sebagai bulan sial. Maka Nabi SAW menolak kepercayaan demikian. Pandangan ini dinukilkan oleh Abu Daud daripada Muhammad Bin Rashid al-Makhuli.
Pandangan yang kedua ini adalah pandangan yang paling hampir maknanya. Kebanyakan orang-orang yang jahil menyangka bahawa akan berlakunya perkara buruk di bulan lalu mereka mencelanya. Ada di antara mereka yang melarang untuk berkelana pada bulan Safar. Dan ini adalah jenis yang sama dengan perbuatan Thiyarah yang dilarang.”
Rujuk Lataif al-Ma’arif fi ma li mawasim min al-Wazaif (m/s 135-136)
Kesemua ini adalah pandangan para ulama berkenaan sabda Nabi SAW iaitu ‘tidak ada safar’. Banyak lagi ulasan ulama berkenaan perkataan ini dan kesemuanya memberikan pandangan yang hampir sama seperti yang kami nukilkan. Dapat kita simpulkan dari pandangan-pandangan ini bahawa yang dimaksudkan oleh safar itu adalah satu kepercayaan masyarakat arab Jahiliyyah yang karut dan bertentangan dengan ajaran Islam lalu datang Nabi SAW menolak kesemua kepercayaan tersebut. Melalui tafsiran-tafsiran ini,dapat kita fahami bahawa tiada satu pun petunjuk yang menunjukkan bahawa perkataan لا صَفَرَ itu merujuk kepada amalan mandi safar bahkan ianya tiada kena mengena dengan amalan syirik tersebut. Kalaupun ianya merujuk kepada mandi safar (walaupun tafsiran ini tidak diterima dan tiada tafsiran para ulama yang menyebut sedemikian rupa) ianya didahului dengan huruf لا النافِيَة (La yang memberi makna menafikan sesuatu). Justeru ia memberi makna larangan bukan galakan.
PENUTUP
Justeru itu, dapat kita fahami bahawa safar yang dimaksudkan dalam hadis adalah kepercayaan karut yang dianuti oleh masyarakat Arab Jahiliyyah yang dilarang oleh Nabi SAW untuk mempercayainya. Antaranya adalah mereka mempercayai bahawa apabila tibanya bulan Safar,akan berlakulah perkara buruk. Kepercayaan ini hampir serupa dengan kepercayaan orang melayu di dalam amalan mandi safar di mana mereka melakukan upacara tersebut untuk menolak bala dan musibah dan ianya dilakukan hanya pada bulan Safar.
Tidakkah ia memberi isyarat bahawa adanya kepercayaan bahawa bulan itu adalah bulan sial dan musibah sepertimana yang dipercayai oleh masyarakat arab Jahiliyyah. Ini adalah satu perbuatan yang ditegah Nabi SAW. Ditambah pula dengan amalan karut marut yang mengiringi temasya mandi safar ini.
Oleh itu, kami mengesyorkan agar tolaklah bala dengan doa. Seperti mana yang dianjurkan oleh Nabi SAW di dalam kebanyakan hadis. Antaranya adalah doa yang sentiasa kita ulangi di dalam solat Subuh:
وَقِنِيْ شَرَّ مَا قَضَيتَ
Maksudnya:”lindungi dan jauhkanlah aku dari kejahatan yang telah Engkau tetapkan.”
Riwayat al-Nasaie (1725),Abu Daud (1214) di dalam al-Sunan,al-Baihaqi (427) di dalam Sunan al-Sughra,Ibnu Hibban ( 950) di dalam Sohihnya,Ahmad (1625) di dalam Musnad
Wallahu’alam
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Dalam Islam seorang isteri memang wajib taat pada suami. Namun begitu ada kala isteri berdepan dengan situasi yang membuatkan mereka dalam keadaan serba salah.
Antaranya dalam keadaan suami tidak mengizinkan isteri berhubung atau menziarahi orang tuanya sendiri. Ia sudah tentu menyebabkan isteri dalam dilema, isteri pasti tidak mahu menderhaka pada suami tapi dalam masa yang sama perlu menjaga hubungan dengan ibu bapa sendiri.
Dalam hal ini adakah isteri perlu patuh dengan larangan suami? Penjelasan daripada Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri yang juga bekas mufti ini boleh dijadikan panduan buat isteri yang berada dalam situasi ini.
Ulama bersepakat bahawa di antara perkara yang menjadi kewajipan isteri untuk mentaati suaminya ialah melayani suaminya dan sentiasa tinggal di rumah suaminya.
Pada asalnya isteri tidak boleh keluar dari rumah suaminya iaitu bait al-zaujiyah (rumah kehidupan suami dan isteri) tanpa sebab yang syar’ie melainkan dengan keizinan suaminya. Hal ini sebagaimana hadis Nabi SAW yang menyebutkan:
Maksudnya: “Apabila isteri-isteri kamu meminta keizinan kamu untuk ke masjid pada waktu malam maka izinkanlah mereka.” Riwayat al-Bukhari (865) dan Muslim (442)
Justeru, isteri hendaklah memohon keizinan suaminya untuk keluar daripada rumah suaminya sekalipun dengan tujuan untuk menziarahi kedua ibubapanya.
Hal ini sebagaimana yang terdapat di dalam hadis Nabi SAW dalam peristiwa hadis al-ifk (peristiwa fitnah kepada ‘Aisyah) iaitu ketika ‘Aisyah R.anha meminta izin kepada baginda untuk pulang ke rumah ibubapanya.‘Aisyah berkata kepada Nabi SAW:
Maksudnya: “Adakah engkau mengizinkanku untuk mendatangi kedua ibubapaku? Lalu berkata ‘Aisyah ketika meriwayatkan peristiwa itu: Hal ini disebabkan aku ingin mendapatkan kepastian berita tersebut daripada kedua mereka”. Maka Rasulullah SAW mengizinkan daku.
Pada asasnya, para ulamak menyatakan wajib bagi isteri untuk mentaati perintah suaminya selagi mana perintah tersebut tidak bercanggah dengan syarak.
Begitu juga ketika mana suami menghalangnya untuk menziarahi kedua ibu bapanya kerana kedudukan suami lebih tinggi daripada kedua ibu bapa.
Namun begitu, sekiranya larangan tersebut boleh menyebabkan hubungan kekeluargaan terputus, atau ibu bapa yang uzur dan memerlukan khidmat anak, maka sesetengah ulama’ menyatakan ia diharuskan bagi isteri untuk keluar sekalipun tanpa keizinan suaminya.
Menjawab persoalan di atas, disimpulkan masalah ini kepada beberapa perkara:
-Diharuskan bagi isteri untuk keluar menziarahi keluarganya sekalipun tanpa izin suaminya sekiranya ada hajat yang penting seperti menziarahi ibu bapanya yang sakit atau memberi khidmat kepada mereka sekiranya mereka sangat memerlukan dengan tujuan untuk menyelesaikan hajatnya sahaja.
Namun pada keadaan yang lain maka ia tidak diharuskan kerana kewajipan isteri kepada suami adalah lebih besar daripada kedua orang tuanya.
-Diharamkan bagi para suami melarang isteri mereka untuk menziarahi ahli keluarganya tanpa sebab-sebab yang munasabah di sisi syarak kerana hal tersebut boleh membawa kepada terputusnya hubungan kekeluargaan.
Namun sekiranya larangan tersebut adalah kerana khuatir akan mudarat ke atas isteri atau perkahwinan mereka maka hal tersebut diharuskan.
Dalam keheningan Ramadan yang sarat dengan rahmat dan keberkatan, inisiatif “Pot of Hope” oleh Nu Ideaktiv bersama Rasa tampil sebagai satu gerakan yang bukan...