Hari ini tanggal 23 Oktober 2019 bersamaan jatuh pada hari Rabu dan Safar di bulan Islam. Ada yang mengatakan bahawa hari Rabu terakhir pada bulan Safar adalah hari diturunkan bala dan ada amalan tertentu untuk menghindarinya.
Persoalan yang dibangkitkan oleh seorang warganet di laman sosial twitter Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dan beliau telah menjawab segala kemusykilan berkenaan.
Apakah benar dakwaan berkenaan dan bagaimana pula dengan amalan yang dilakukan untuk menghindari bala yang datang nanti?
Ini jawapan dari Mufti Wilayah dalam menjelaskan persoalan berkenaan.
Soalan : Adakah amalan mandi safar digalakkan kerana disebut di dalam hadis berkaitan safar?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Mandi Safar adalah satu amalan turun menurun masyarakat Melayu di mana diadakan temasya mandi-manda yang ada di adakan pada hari Rabu yang terakhir di dalam bulan Safar dengan tujuan menolak bala. Pada pagi tersebut orang ramai mandi di pantai atau sekurang-kurangnya minum air yang telah direndam kertas safar atau papan kecil yang ditulis kalimat suci. Air ini dikenal sebagai air safar.
Berdasarkan soalan dan penjelasan ringkas mengenai Mandi Safar, kami telah menerima satu pesanan ringkas melalui aplikasi whatsapp yang mengatakan bahawa amalan mandi safar disebut di dalam hadis Nabi SAW. Kami menukilkan semula terjemahan hadis yang dihantar kepada kami.Ianya berbunyi seperti berikut:
“Tidak ada penularan penyakit (dengan sendirinya),tidak ada thiyarah (sempena baik atau buruk),tidak ada kesialan (malang) kerana burung dan tidak ada kesialan (bala bencana) pada bulan safar”(Hadis riwayat Bukhari r.a, Muslim, Abu Daud dan Ahmad r.a).
Individu yang menghantar keratan terjemahan hadis ini kepada kami mendakwa bahawa inilah dalil pengharusan mandi safar yang bertujuan menolak bala dan sial.Benarkah dakwaan ini?
PENJELASAN MENGENAI HADIS
Setelah dicari dan diteliti, lafaz matan yang dimaksudkan ada asal-usulnya. Lafaz tersebut berbunyi daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لا عَدْوَى وَلاَ طِيرَةَ ولا صَفَرَ وَلاَ هَامَّةَ
Maksudnya:”Tidak ada penyaki yang berjangkit,tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.”
Riwayat al-Bukhari (5770), Muslim(2220), Abu Daud (3913) di dalam al-Sunan & Ahmad(3031) di dalam Musnad.
Di dalam lafaz yang lain menyebut: Daripada Jabir bin Abdullah r.anhuma bahawa Rasulullah bersabda:
لا عَدْوَى وَلاَ صَفَرَ وَلَا غُوْلَ
Maksudnya:”Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak ada kesialan dalam bulan safar bahkan tidak ada Ghul(Syaitan yang boleh menyerupai dalam pelbagai bentuk untuk menyesatkan manusia).”[1]
Riwayat Muslim (2222),Ibnu Hibban (6128) di dalam Sohihnya,Ahmad (15103) di dalam Musnad
Maksudnya:”Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak kesialan dalam bulan safar dan tiada ramalan bintang bulan dengan hujan.”
Riwayat Ahmad (9165) di dalam Musnad,Ibn Hibban (6133) di dalam sohihnya
Ads
Hadis ini diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat melalui jalur sanad yang berbeza antaranya:
1. Abu Hurairah
2. Ibnu ‘Abbas
3. Jabir Bin ‘Abdullah
4. Ibnu Mas’ud
Secara ringkasnya, hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sohih mereka.Bahkan ianya juga diriwayatkan juga jaguh-jaguh ahli hadis semisal Imam Ahmad, Abu Daud dan ramai lagi. Di dalam kesemua jalur sanad hadis ini, terkandung perkataan safar. Dengan wujudnya hadis ini di dalam kitab hadis yang muktabar seperti Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim tidak syak lagi bahawa hadis ini adalah hadis yang sahih. Namun yang menjadi permasalahan di sini adalah adakah hadis ini menunjukkan adanya keharusan melakukan amalan mandi safar dengan hanya berdalilkan wujudnya perkataan safar di dalam hadis ini?
MAKSUD SAFAR(صفر)
Menurut Ibnu Manzur (w.711 H) صَفَرَ bermaksud penyakit di dalam perut yang menyebabkan orang yang mengalaminya kuning mukanya. Perkataan ini juga membawa maksud ular yang suka mematuk. Ianya juga membawa maksud lapar.
Rujuk Lisan al-Arabi(8/250)
Safar juga adalah bulan kedua di dalam kalendar Hijrah selepas bulan Muharram.
Secara asasnya,untuk memahami satu perkataan yang terdapat di dalam hadis selain dari merujuk makna dari segi bahasa,perlu juga untuk merujuk pandangan para ulama yang muktabar untuk mendapatkan gambaran yang sebenar tentang apa yang disabdakan oleh Nabi SAW. Di sini kami kumpulkan pandangan dan syarahan para ulama berkenaan hadis ini:
Ibnu Hajar al-Asqalani (w.852 H) menyebut:
“Ia adalah penyakit yang menyakitkan perut.Abu ‘Ubaidah Ma’mar bin al-Muthanna menyebut di dalam kitab Gharib al-Hadith daripada Yunus bin ‘Ubaid Al-Jarami.Beliau bertanya kepada Ru’bah bin al-‘Ajjaj tentang makna safar.Beliau menjawab :”Bangsa Arab Jahiliyyah mempercayai bahawa ia adalah cacing yang berada di dalam perut manusia dan ia lebih merebak dari penyakit kulit.Kerana inilah Nabi menyebut tentang tiadanya safar di mana mereka mempercayai bahawa ia lebih berbahaya dari penyakit kulit.Inilah pandangan yang dipegang oleh Imam al-Bukhari kerana ianya dikaitkan dengan ayat tidak ada penyebaran penyakit.”
Beliau (Ibnu Hajar) menyebut lagi :Apa yang dimaksudkan dengan penafian bahawa tiadanya safar adalah menolak kepercayaan orang arab jahiliyyah yang beranggapan bahawa ianya boleh membunuh jika ia menimpa manusia.Akan tetapi,Syarak menolak kepercayaan ini kerana kematian tidak akan berlaku jika ajal belum tiba.”
Rujuk Fath al-bari Syarh Sahih al-Bukhari(3/285)
Kata Imam al-Nawawi (w.676 H) :
“Sabda Nabi SAW ‘Tidak ada safar’ ada dua tafsiran : Tafsiran yang pertama bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan berperang.Inilah yang dilakukan oleh Bangsa Arab Jahiliyyah.Ini adalah pendapat Malik dan Abu ‘Ubaidah.Tafsiran yang kedua,yang dimaksudkan dengan safar adalah binatang yang wujud di dalam perut iaitu ulat.Arab Jahiliyyah percaya bahawa di dalam perut ada satu binatang yang berlegar ketika lapar.Berkemungkinan ianya boleh membunuh tuan punya perut.Mereka mengatakan bahawa ianya lebih teruk dan berjangkit berbanding penyakit kulit.Inilah tafsiran yang betul.Pandangan ini telah dikemukakan oleh al-Mutarrif,Ibnu Wahbin,Ibnu Habib,Abu ‘Ubaid dan sebahagian besar para ulama.Pandangan ini juga disebutkan oleh Imam Muslim yang dinukilkan daripada Jabir salah seorang perawi hadis ini.”
Rujuk al-Minhaj Syarh Sohih Muslim (13/379)
Ads
Imam al-Qurtubi (w.656 H) berkata :
“Safar adalah menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan untuk berperang. Inilah yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar. Inilah pandangan Malik dan Abu ‘Ubaidah. Dikatakan bahawa maksud safar adalah ulat yang ada di dalam perut manusia yang berlegar ketika lapar. Arab jahiliyyah melihat bahawa ia lebih berjangkit berbanding penyakit kulit. Mereka mendendangkan syair yang berbunyi[2]:
لا يَتَأَرّى لمِاَ فِي القِدْرِ يَرْقُبهُ # وَلاَ يَعُضُّ على شٌرْسُوفِهِ الصَفَرُ
Maksudnya:”Dia tidak bercanggahan dengan apa yang telah ditakdirkan untuknya. Tidak pula kerana tulang sum-sumnya digigit oleh ulat.”
Inilah pandangan Mutarrif, Ibnu Wahbin, Ibnu Habib dan inilah juga pandangan yang dipilih oleh Abu‘Ubaidah.”
Rujuk al-Mufhim li ma asykala min talkhis kitabi Muslim (5/622)
Kata Imam Abdul Rauf al-Munawi (w.1031 H) :
“Tidak ada safar bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram berperang dan juga bermaksud penyakit di dalam perut yang boleh menjangkiti orang lain mengikut kepercayaan Arab Jahiliyyah. al-Baidhawi berkata: Ia ditafsirkan sebagai satu penafian kepada kepercayaan yang mengatakan bahawa bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya fitnah.”
“Bangsa Arab Jahiliyyah mendakwa bahawa di dalam perut ada satu ular yang dipanggil safar. Ianya menyakitkan ketika datangnya lapar dan ia juga boleh menjangkiti orang lain.Islam menolak kepercayaan ini. Ada pandangan yang mengatakan bahawa ia adalah an-nasi’ iaitu menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan berperang dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan untuk berperang. Ianya dilakukan ketika zaman Jahiliyyah. Perbuatan ini telah diharamkan oleh Islam.”
Kata al-Qadhi Iyadh (w.544 H) : “Ada dua pandangan berkenaan maksud perkataan Safar. Yang pertama adalah menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram untuk berperang. Dan inilah yang yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah.Pandangan ini adalah pandangan Malik dan Abu ‘Ubaidah.Perkataan yang kedua mengatakan bahawa safar adalah penyakit yang boleh berjangkit kepada orang lain.”
Rujuk Kitab al-Mu’lim syarh Sohih Muslim (7/71)
Syaraful haq ‘Azim al-Abbadi (w.1329 H) ketika beliau mensyarahkan hadis ini menyebut:
Ads
“Ketika mana Nabi SAW menyebut tidak ada safar ianya bermaksud Nabi SAW menafikan kepercayaan yang mengatakan bahawa adanya penyakit di dalam perut yang boleh menjangkiti orang lain dan adanya ular yang menyakiti manusia ketika mana dia lapar. Arab Jahiliyyah menagatakan bahawa ianya lebih berjangkit berbanding penyakit kulit. Ia juga bermaksud bulan Safar. Di mana Arab Jahiliyyah menyangka akan berlakunya perkara buruk apabila tibanya bulan Safar.”
Rujuk ‘Aun al-Ma’bud syarh Sunan Abi Daud (10/407)
Kata Nuruddin al-Sindi (w.1138):
“Ianya bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan berperang.Ianya adalah bentuk tegahan terhadap perbuatan tersebut.”
Al-Qastalani(w.923 H) ketika mensyarahkan hadis ini, beliau menyebut:
“Ianya bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram. Disebutkan di dalam Sunan Abu Daud daripada Muhammad Bin Rashid Bahawa Arab Jahiliyyah menganggap akan berlakunya perkara yang buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menyangka bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya pelbagai fitnah.”
“Ahli ilmu mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan safar adalah bulan Safar kemudian mereka berselisih dalam mentafsirkan maksud hadis tersebut.”
Pertama: Maksud hadis tersebut adalah menafikan apa yang dilakukan oleh masyarakat Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar.Ini adalah pandangan Malik.
Kedua: Masyarakat Arab Jahiliyyah menganggap bahawa akan berlaku perkara buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menggelar bulan Safar sebagai bulan sial. Maka Nabi SAW menolak kepercayaan demikian. Pandangan ini dinukilkan oleh Abu Daud daripada Muhammad Bin Rashid al-Makhuli.
Pandangan yang kedua ini adalah pandangan yang paling hampir maknanya. Kebanyakan orang-orang yang jahil menyangka bahawa akan berlakunya perkara buruk di bulan lalu mereka mencelanya. Ada di antara mereka yang melarang untuk berkelana pada bulan Safar. Dan ini adalah jenis yang sama dengan perbuatan Thiyarah yang dilarang.”
Rujuk Lataif al-Ma’arif fi ma li mawasim min al-Wazaif (m/s 135-136)
Kesemua ini adalah pandangan para ulama berkenaan sabda Nabi SAW iaitu ‘tidak ada safar’. Banyak lagi ulasan ulama berkenaan perkataan ini dan kesemuanya memberikan pandangan yang hampir sama seperti yang kami nukilkan. Dapat kita simpulkan dari pandangan-pandangan ini bahawa yang dimaksudkan oleh safar itu adalah satu kepercayaan masyarakat arab Jahiliyyah yang karut dan bertentangan dengan ajaran Islam lalu datang Nabi SAW menolak kesemua kepercayaan tersebut. Melalui tafsiran-tafsiran ini,dapat kita fahami bahawa tiada satu pun petunjuk yang menunjukkan bahawa perkataan لا صَفَرَ itu merujuk kepada amalan mandi safar bahkan ianya tiada kena mengena dengan amalan syirik tersebut. Kalaupun ianya merujuk kepada mandi safar (walaupun tafsiran ini tidak diterima dan tiada tafsiran para ulama yang menyebut sedemikian rupa) ianya didahului dengan huruf لا النافِيَة (La yang memberi makna menafikan sesuatu). Justeru ia memberi makna larangan bukan galakan.
PENUTUP
Justeru itu, dapat kita fahami bahawa safar yang dimaksudkan dalam hadis adalah kepercayaan karut yang dianuti oleh masyarakat Arab Jahiliyyah yang dilarang oleh Nabi SAW untuk mempercayainya. Antaranya adalah mereka mempercayai bahawa apabila tibanya bulan Safar,akan berlakulah perkara buruk. Kepercayaan ini hampir serupa dengan kepercayaan orang melayu di dalam amalan mandi safar di mana mereka melakukan upacara tersebut untuk menolak bala dan musibah dan ianya dilakukan hanya pada bulan Safar.
Tidakkah ia memberi isyarat bahawa adanya kepercayaan bahawa bulan itu adalah bulan sial dan musibah sepertimana yang dipercayai oleh masyarakat arab Jahiliyyah. Ini adalah satu perbuatan yang ditegah Nabi SAW. Ditambah pula dengan amalan karut marut yang mengiringi temasya mandi safar ini.
Oleh itu, kami mengesyorkan agar tolaklah bala dengan doa. Seperti mana yang dianjurkan oleh Nabi SAW di dalam kebanyakan hadis. Antaranya adalah doa yang sentiasa kita ulangi di dalam solat Subuh:
وَقِنِيْ شَرَّ مَا قَضَيتَ
Maksudnya:”lindungi dan jauhkanlah aku dari kejahatan yang telah Engkau tetapkan.”
Riwayat al-Nasaie (1725),Abu Daud (1214) di dalam al-Sunan,al-Baihaqi (427) di dalam Sunan al-Sughra,Ibnu Hibban ( 950) di dalam Sohihnya,Ahmad (1625) di dalam Musnad
Wallahu’alam
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Dalam perkahwinan suami isteri perlu bersikap telus antara satu sama lain. Buat isteri, penting untuk tahu tentang perkara-perkara seperti no pin kad atm, password handphone serta di mana letaknya dokumen-dokumen penting suami.
Bukan kita minta perkara yang tidak elok berlaku tetapi ia sebagai persediaan jika sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
Harus diingatkan bahawa mati itu pasti namun kita tidak tahu bila kita akan dijemput pencipta. Maka sebab itulah amat penting untuk isteri mengetahui semua perkara penting ini bagi memudahkan segala urusan apabila berlaku kejadian yang tidak disangka.
Yang pergi tetap pergi, yang ditinggalkan tetap perlu meneruskan kehidupan.
Baca perkongsian Wan Ammar ini.
Saya nak kongsi cerita ex client rakan. Mana yang boleh ambil pengajaran tu, ambil sebagai teladan.
Hari ni wife pada exclient saya call. Dia nak tanya pasal claim insurans polisi suami (exclient) dia.
Rupanya suami dia baru 5 hari meninggal. Accident motor besar. Meninggal kat tempat kejadian cedera tang kepala.
Apa yang wife dia cerita, wallet dan phone arwah ada dijumpa, tapi duit cash dalam wallet takda langsung. Kemungkinan ada orang ambil kesempatan mencuri dalam keadaan sibuk masa nak tolong arwah accident.
Sebab arwah suami dia meninggal accident, maka polis ambil jenazah hantar ke hospital untuk post mortem.
TAK DAPAT UNLOCK PHONE
Wife dia ralat sangat sebab tak dapat unlock phone arwah. Sebab tak tahu pincode phone arwah. Jadi dia tak dapat nak bagitau kawan-kawan arwah yang dalam contact phone.
Memburukkan keadaan si wife, bukan setakat tak tahu pincode telefon arwah. Malah wife tak tahu no pin kad-kad ATM arwah untuk keluarkan duit bagi belanja mengejut urus jenazah balik ke kampung arwah suami. Mujur bantuan sedekah keluarga yang ada dapat bantu sementara urusan kewangan.
Hari ni dah 5 hari arwah meninggal, abg arwah dah mula tanya pasal rumah dan harta peninggalan arwah (KWSP). Si wife betul-betul sangat takut kalau rumah yang dia duduk jadi rebutan adik-beradik arwah. Sebab wifenya dah takde tempat lain nak pergi kalau kena keluar dari rumah.
Berbalik pada punca asal wife arwah call saya, bertitik daripada wifenya jumpa sijil takaful dengan businesscard saya pada kulit sijil. Dia sangat berharap ada berita baik yang boleh dia dengar daripada buku sijil takaful yang dia jumpa.
TAK DAPAT CLAIM APA-APA
Pahit untuk diterima, saya terus-terang bagitau yang tak boleh claim apa-apa langsung. Sebab sijil takaful arwah dah hampir setahun lapse. Dan saya masih ingat punca lapse sijil arwah, dia nak stop sebab rasa rugi duk bayar, maka dia stop bayar sampai la jadi lapse. Saya ada remind arwah sebelum lapse pasal hilang coverage lepas lapse, tapi dia bagi saya blue tick aja.
Seperti yang saya jangkakan, wife arwah macam tak dapat terima jawapan saya. Sampaikan dia cakap
“kenapa cik tak inform saya yang dia tak bayar.”
Lepas saya cool kan dia, baru suara dia seperti pasrah. Saya bagi dia beberapa cadangan untuk bantu dia
1. Pergi kwsp buat tuntutan kwsp arwah 2. Call socso semak apa yang boleh tuntut 3. Kumpul dokumen buku simpanan pelaburan, kad bank
Dan saya dengar jawapan yang tak berapa best…
“Saya tak pandai drive kereta. Nak pergi ke sana dengan 2 anak kecil susah. Saya kalau boleh nak setelkan cepat tapi tu la…”
Saya betul-betul tak tau nak cakap ape dah lagi. Rupanya wife arwah tak bekerja, semua urusan selama ni arwah suami dia yang buat.
Hampir 15 minit cakap, call ditamatkan dengan si wife seperti pasrah dengan musibah yang menimpa.
Saya nak pesan kat korang
1. Kita semua akan mati. Cuma tak tau bila. Datangnya mengejut.
2. Pincode phone, pin ATM sepatutnya diketahui ahli keluarga terdekat.
3. Ahli keluarga perlu tahu kat mana simpanan dokumen2 penting kita.
4. Kalau ada buat takaful, bagitau ahli keluarga.
5. Kalau dah stop takaful, pun perlu bagitau ahli keluarga.
6. Ada masalah bayaran takaful, bagitau agent, kalau tinggalkan bluetick aja tak selesai masalah.
7. Para isteri perlu bersedia untuk kehilangan suami. Certain perkara isteri perlu belajar berdikari contoh driving.
Mati datang bila-bila. Apa persediaan kita?
Sumber Kredit: Wan Ammar
VIDEO KASHOORGA:
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Adik-beradik tidak boleh kongsi bilik tidur lain jantina, wajib pisahkan tempat tidur sebelum baligh.
Sebenarnya sedari awal mak, ayah harus berusaha untuk pisahkan tempat tidur anak-anak. Malah dalam Islam sendiri menitikeratkan soal menjaga batas pergaulan dan aurat, walaupun antara adik beradik kandung sendiri.
Hal ini kerana bagi mengelakkan kejadian buruk terutamanya terjadinya sumbang mahram. Justeru itu, kita perlu tahu bilakah umur sesuai untuk pisahkan tempat tidur anak-anak.
Ikuti perkongsian ini dan ketahui apakah langkah terbaik dalam memisahkan tenpat tidur anak.
Adik Beradik Tidak Boleh
SOALAN:
Assalamualaikum, saya memerlukan pandangan daripada pihak Ustaz. Saya sudah berkeluarga dan mempunyai dua anak perempuan dan seorang anak lelaki yang masih kecil.
Keadaan rumah kami yang kecil, jadi saya tidak mampu sediakan bilik berasingan antara anak lelaki dan perempuan. Soalan saya adakah boleh anak lelaki dan perempuan saya tidur sebilik dengan mengsingkan tempat tidur?
Kongsi Bilik Tidur Lain Jantina
JAWAPAN:
Memisahkan tempat tidur antara anak-anak adalah satu didikan ibu bapa kepada anak dalam menjaga batas auratnya walaupun sesama ahli keluarga.
Hal ini juga bertujuan sebagai langkah berjaga-jaga daripada fitnah atau terbangkitnya nafsu syahwat walaupun sesama adik-beradik.
“Perintahkan anak-anak kamu untuk menunaikan solat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukullah mereka ketika mereka berusia sepuluh tahun, dan pisahkan tempat tidur di antara mereka.”
Riwayat Ahmad (6689) Abu Daud (495) dan al-Albani menilainya Sahih
Majoriti fuqaha berpendapat bahawa wajib kepada bapa atau wali memisahkan tempat tidur anak-anak ketika berumur 10 tahun sama ada anak-anak tersebut sama jantina atau lelaki dan perempuan mahupun antara anak dan ibu atau bapanya.
Berkata Imam al-Subki bahawa memisahkan tempat tidur dilakukan dengan dua cara sama ada untuk setiap anak satu tilam atau kedua-duanya setilam tetapi berpisah dan tidak bersentuhan.
Wajib Pisahkan
Hal ini menunjukkan bahawa pemisahan tempat tidur berlaku apabila berpisah dan tidak bersentuhan. Oleh itu, mengasingkan terus bilik tidur adalah lebih baik dan dapat mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.
Perkara ini bukan sahaja perlu dititikberatkan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka yang belum baligh, malah lebih wajar diwajibkan sekiranya anak telah baligh dan berupaya menguruskan dirinya.
Didikan adab ini sebaiknya dilakukan ketika anak-anak masih kecil supaya mereka tidak mengalami kesan-kesan negatif dari sudut emosi anak-anak apabila dilaksanakan tanpa latihan yang berperingkat.
Gambar sekadar hiasan
Sekiranya anak berkongsi bilik dengan adik-beradiknya yang sama jantina, maka perlu diperingatkan untuk sentiasa meminta izin sebelum masuk ke bilik tidur dan menjaga batas aurat di antara mereka.
Tempat Tidur
Majoriti fuqaha berpendapat bahawa disunatkan bagi kanak-kanak meminta izin sebelum masuk ke ruang peribadi atau bilik tidur pada tiga waktu aurat iaitu sebelum subuh, ketika waktu tengahari dan selepas solat isyak.
Sebab dinamakan waktu aurat kerana pada tiga waktu tersebut merupakan waktu berseorangan untuk tidur dan rehat dan kebiasaannya dalam keadaan tidak menutup aurat, maka ditakuti akan terlihat aurat seseorang sekiranya tidak meminta keizinan sebelum masuk ke ruang tersebut.
Manakala bagi seseorang yang baligh, wajib meminta keizinan sebelum masuk pada setiap keadaan sama ada pada tiga waktu tersebut atau waktu-waktu yang lain.
Memisahkan tempat tidur antara anak-anak atau antara anak dan ibu bapanya merupakan satu didikan yang wajib ketika anak mencapai umur sepuluh tahun.
Maka ia lebih aula’ (utama) dalam kewajipan memisahkan tempat tidur sekiranya anak-anak sudah baligh terutamanya antara adik-beradik lelaki dan perempuan.
Oleh itu, berdasarkan soalan, kami menasihatkan agar memisahkan tempat tidur anak-anak ketika berumur sepuluh tahun dilakukan dengan cara berikut:
Mengasingkan bilik anak-anak lelaki dan bilik anak-anak perempuan.
Sekiranya hanya terdapat dua bilik dan salah satunya bilik ibu bapa, maka perlu diutamakan untuk menyediakan bilik anak perempuan. Manakala anak lelaki diasingkan di ruang lain seperti ruang tamu. Hal ini bertujuan sebagai langkah berjaga-jaga (saddul zari’ah) daripada timbulnya sebarang mafsadah pada masa akan datang.
Tidak dinafikan penyediaan rumah yang selesa bergantung kepada kemampuan individu masing-masing.
Namun begitu, kami menasihatkan supaya ibu bapa sentiasa berusaha mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak dalam urusan keluarga. Firman Allah SWT: فَاتَّقُوااللَّهَمَااسْتَطَعْتُمْ Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu” (Surah al-Taghaabun: 16)
Kashoorga: Sebaiknya asing tempat tidur anak sejak awal.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
‘Tak elok & tidak menepati sunnah.’ Pakai jam tangan, afdal tangan kanan atau kiri? Mana satu lebih baik terutamanya bagi lelaki.
Maklumlah pemakaian jam tangan adalah penting kerana mudah untuk mengetahui masa. Tetapi adakah dalam Islam disarankan memakai jam pada tangan-tangan tertentu.
Ikuti penerangan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, tangan kiri atau kanan yang lebih afdal pakai jam?
Soalan:
Tangan mana yang lebih baik untuk dipakai jam, tangan kanan atau kiri? Adakah memakainya pada tangan kiri dilihat tidak elok dan tidak menepati sunnah? Terima kasih.
Jawapan:
Secara umumnya seseorang lelaki dibenarkan atau diharuskan untuk memakai jam tangan dan tidak ada masalah memakainya kerana tidak syak lagi bahawa pemakaian jam tangan itu pada asalnya adalah kerana keperluan mengetahui waktu.
Begitu juga jika seorang lelaki itu memakai jam tangan bagi tujuan berhias, di samping tujuan asalnya untuk mengetahui waktu, maka dalam hal ini secara zahirnya ia dilihat menyerupai hukum seorang lelaki memakai cincin daripada besi. Ringkasnya, pemakaiannya adalah diharuskan.
Pakai Jam Tangan
Imam al-Nawawi dalam syarahannya terhadap Sahih Muslim, hadith daripada riwayat Sahl bin Sa‘ad al-Sa‘idi, yang di dalamnya ada dinyatakan:
الْتَمِسْ وَلَوْ خَاتَمًاً مِنْ حَدِيدٍ
Maksudnya:
“Carilah sesuatu walaupun jika sebentuk cincin besi.”
Riwayat al-Bukhari (5871) dan Muslim (1425)
Beliau menyebutkan, hadis ini menunjukkan keharusan untuk menggunakan cincin besi. Padanya terdapat khilaf dalam kalangan ulama salaf sebagaimana dinukilkan oleh al-Qadhi. Seterusnya bagi ashab kami (ulama mazhab Syafi‘i) berkenaan kemakruhan memakainya terdapat dua pendapat. Pendapat yang paling sahih, tidak makruh memakainya kerana hadith yang melarang daripadanya dinilai sebagai dha‘if (lemah). (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/213).
Selain itu, jam tangan juga tidak dikhususkan hanya sebagai perhiasan untuk wanita, bahkan sudah menjadi adat dan ‘uruf setempat bahawa lelaki juga memakainya sebagai perhiasan, tanpa mengenepikan tujuan asalnya itu. Jadi, ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:
Maksudnya:
“Hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah diharuskan.” (Lihat al-Qawa’id al-Nuraniyyah oleh Ibn Taimiyyah, hlm. 164; Tafsir Ibn Kathir, 3/408; Tafsir Abi Su‘ud, 3/224; al-Ifham fi Syarh ‘Umdah al-Ahkam oleh Ibn Baz, hlm. 777).
Afdal Tangan Kanan atau Kiri
Berbalik kepada soalan yang diajukan, secara umumnya, seseorang itu diharuskan untuk memakai jam pada mana-mana tangan yang dikehendakinya; kanan atau kiri. Syeikh Ibn Baz ketika ditanya berkenaan memakai jam tangan di tangan kanan, beliau menjawab dengan menyatakan, diharuskan untuk memakai jam tangan pada tangan kanan dan kiri. (Lihat Masa‘il al-Imam Ibn Baz, hlm. 220).
Namun, pada asasnya terdapat riwayat menceritakan bahawa Rasulullah SAW suka mendahulukan bahagian kanan dalam urusan Baginda. Ini sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ فِي تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ وَفِي شَأْنِهِ كُلِّهِ
Maksudnya:
“Nabi SAW selalu mendahulukan bahagian kanan dalam memakai selipar, menyikat rambut, bersuci dan dalam setiap urusan kehidupan sehariannya.”
Riwayat al-Bukhari (168)
Tajuddin al-Fakihani setelah mensyarahkan hadith di atas, beliau menyebutkan, ini adalah kaedah/prinsip yang berterusan dalam syariat; iaitu segala sesuatu yang termasuk dalam perkara yang dimuliakan dan diberi penghormatan seperti memakai pakaian, seluar dan kasut, masuk ke dalam masjid, menggunakan siwak, memakai sandal, memotong kuku, menggunting misai, menyikat rambut, mencabut bulu ketiak, mencukur kepala, memberi salam ketika dalam solat, membasuh anggota-anggota taharah (bersuci), keluar dari tandas, makan dan minum, berjabat tangan, istilam Hajarul Aswad, dan lain-lain yang memiliki makna serupa, adalah disunatkan untuk dimulakan dengan bahagian yang kanan.
Adapun hal-hal yang berlawanan dengannya, seperti masuk ke dalam tandas, keluar dari masjid, beristinja’, membuka atau melepaskan pakaian, seluar, dan kasut, dan seumpamanya, maka adalah disunatkan untuk dimulakan dengan tangan kiri. Semua ini adalah untuk menghormati dan memuliakan tangan kanan. (Lihat Riyadh al-Afham fi Syarh ‘Umdah al-Ahkam, 1/162).
Dalam menjawab soalan ini juga, terlebih dahulu kita hendaklah mengetahui bahawa jam tangan seperti mana yang dipakai pada hari ini tidak dikenali pada zaman dahulu.
Menyerupai Perbuatan Memakai Cincin
Justeru, kita hendaklah melihat perhiasan yang serupa atau mirip kepada jam tangan, dan secara zahirnya ia dilihat menyerupai perbuatan memakai cincin. Terdapat beberapa riwayat yang menceritakan mengenai cincin yang dipakai oleh Baginda SAW di jari atau tangan mana.
Di antaranya riwayat daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata:
كَانَ خَاتِمُ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فِي هَذِهِ وَأَشَارَ إِلَى الْخِنْصَرِ مِنْ يَدِهِ الْيُسْرَى
Maksudnya:
“Cincin Nabi SAW di sini, lalu beliau menunjukkan kepada jari kelingkingnya di tangannya yang kiri.”
Riwayat Muslim (2095)
Justeru hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa Baginda SAW memakai cincin di tangan kirinya. Bahkan jika dilihat dari sudut hikmahnya, Nabi SAW makan dan minum dengan tangan kanan, justeru jika Baginda memakai cincin di tangan kanan pasti ia akan menjadikan proses makan dan minum itu sedikit sukar. Al-Buhuti menyebutkan, memakai cincin di jari kelingking tangan kiri adalah lebih afdhal berbanding memakainya di jari kelingking tangan kanan, kerana ia lebih selesa dan tetap (tidak perlu diubah-ubah). (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 2/236).
Manakala Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin pula berpendapat, memakai jam tangan di tangan kanan tidak ada masalah dan tidak juga ada keutamaan (afdhaliyyah) padanya.
Tiada Sebarang Kelebihan
Seseorang itu boleh memilih untuk memakai jam tangannya pada mana-mana tangan; kanan atau kiri. Sesungguhnya telah sabit daripada Nabi SAW bahawasanya Baginda kadang-kadang memakai cincin pada tangan kanannya, dan kadang-kadang memakainya pada tangan kirinya.
Pemakaian jam tangan termasuk dalam jenis cincin (dari segi hukumnya). Justeru, berdasarkan perkara itu, beliau berpendapat, tidak mengapa seseorang itu memakai jam tangan pada tangan kirinya.
Begitu juga tidak mengapa memakainya pada tangan kanan, dan tidak ada sebarang kelebihan mahupun keutamaan dalam pemakaiannya ke atas yang lain (sama ada kanan atau kiri).
Beliau juga ada menyatakan, ramai orang pada hari ini memakainya pada sebelah tangan kiri kerana tangan kanan lebih banyak digunakan dalam kehidupan seharian berbanding tangan kiri. Jika dia memakai jam tangan pada tangan kanannya, berkemungkinan ia akan menghalang atau mengganggu aktiviti sehariannya atau kemungkinan juga akan mendedahkannya kepada kerosakan.
Oleh sebab itu, kebanyakan orang memilih untuk memakai jam tangan pada tangan kiri mereka dan tidak menjadi masalah dalam hal tersebut mahupun terdapat keutamaan bagi tangan kanan berbanding tangan kiri dalam perkara ini. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 22/2).
Namun, para ulama mazhab Syafi‘i berpandangan bahawa pemakaian cincin di tangan kanan adalah lebih afdhal dan utama. Ini seperti pendapat Imam al-Nawawi yang menyebutkan, dibolehkan bagi seorang lelaki untuk memakai cincin perak di jari kelingking tangan kanannya, dan sekiranya dia mahu dia boleh memakainya pada jari kelingking tangan kirinya.
Kedua-duanya sahih dilakukan oleh Nabi SAW. Akan tetapi pendapat yang sahih lagi masyhur adalah lebih afdhal untuk memakainya pada tangan kanan kerana ia merupakan perhiasan dan tangan kanan adalah lebih mulia. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/333).
Pemakaian Jam Adalah Diharuskan
Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak menjadi masalah memakai jam tangan pada mana-mana tangan sama ada kanan atau kiri. Kedua-duanya adalah diharuskan.
Namun, jika seseorang itu memakai jam tangan di tangan kanan dengan tujuan untuk mengikuti sunnah Nabi SAW (ittiba‘ al-Nabi) dalam hal mendahulukan anggota kanan, maka tidak syak lagi ia adalah lebih afdhal dan mendapat pahala Insya-Allah.
Lebih-lebih lagi, jika pemakaian jam di tangan kanan itu tidak menyebabkan kesukaran ke atasnya untuk melakukan aktiviti seharian seperti makan, minum dan seumpamanya sekalipun perlu membukanya.
Begitu juga jika dia memakainya pada tangan kiri kerana tangan kanannya banyak atau kerap digunakan dalam aktiviti sehariannya sehingga menimbulkan kesukaran ke atasnya untuk kerap kali membuka/menanggalkannya, maka tidak mengapa melakukannya dan tidak termasuk dalam perbuatan yang dianggap tercela.
Ini kerana dalam hal tersebut adalah luas, diharuskan untuk memakainya pada tangan kanan atau tangan kiri, tidak kira bagi lelaki mahupun perempuan kerana hukumnya adalah sebagaimana pemakaian cincin.
Cium kaki ibu atau orang alim, walaupun ada yang melihat ia sebagai berlebihan namun tak dapat dinafikan golongan ni berhaka untuk dihormati dan dimuliakan....