
Pernah tak ketika sedang menjalani rutin harian, tiba-tiba kita terasa seperti pernah berada dalam situasi yang sama sebelum ini?
Tempatnya terasa familiar, perbualannya seolah-olah pernah didengar dan keadaan di sekeliling seperti pernah berlaku, sedangkan itulah kali pertama kita mengalaminya.
Fenomena ini dikenali sebagai dejavu, istilah daripada bahasa Perancis yang membawa maksud “sudah pernah dilihat” atau “pernah melihat”.
Namun, apakah sebenarnya yang berlaku ketika seseorang mengalami déjà vu?
Adakah ia berkaitan perkara mistik, petunjuk tentang masa hadapan atau sekadar fenomena yang berlaku dalam otak manusia?
BACA JUGA: Minta Maaf Dalam Islam: Panduan Penting Bila Sukar Dimaafkan
Secara umum, dejavu merujuk kepada perasaan kuat bahawa sesuatu keadaan yang sedang berlaku pada ketika itu pernah dialami sebelum ini, walaupun seseorang sedar bahawa situasi tersebut sebenarnya baharu.
Dari sudut sains, terdapat beberapa teori yang cuba menjelaskan fenomena ini. Antaranya, dejavu dikaitkan dengan cara otak memproses dan menyimpan maklumat serta fungsi sistem memori manusia.
Dalam keadaan tertentu, otak mungkin memproses sesuatu pengalaman baharu dengan cara yang menyebabkan ia terasa seperti satu memori lama. Kesannya, kita mendapat sensasi aneh seolah-olah pernah berada dalam situasi tersebut sebelum ini.
Walau bagaimanapun, fenomena dejavu masih terus dikaji dan tidak boleh disimpulkan hanya melalui satu penjelasan sahaja.
Dari perspektif Islam pula, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri pernah menjelaskan bahawa tidak terdapat dalil khusus daripada al-Quran mahupun hadis yang menerangkan secara langsung mengenai fenomena dejavu.
Dalam masa yang sama, terdapat pandangan tertentu yang cuba mengaitkan perasaan dejavu dengan alam roh atau alam zar.
Antara ayat yang sering dikaitkan dengan persoalan alam roh ialah firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf, ayat 172:
Maksudnya: “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firman-Nya): ‘Bukankah Aku Tuhan kamu?’ Mereka semua menjawab: ‘Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi.’ Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: ‘Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.’”
Ayat ini menjelaskan mengenai pengakuan manusia terhadap ketuhanan Allah SWT. Namun, ia tidak secara khusus menerangkan bahawa pengalaman dejavu berpunca daripada ingatan manusia ketika berada di alam roh.
Justeru, kita perlu berhati-hati agar tidak membuat kesimpulan terhadap sesuatu perkara tanpa sandaran dalil yang jelas.
Mengalami dejavu bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti atau terlalu difikirkan sehingga dikaitkan dengan perkara ghaib.
Lebih-lebih lagi, elakkan daripada mempercayai bahawa dejavu merupakan bukti seseorang pernah hidup pada kehidupan terdahulu, mempunyai kebolehan meramal masa depan atau memiliki kuasa tertentu.
Dalam Islam, perkara berkaitan alam ghaib mempunyai batas yang tidak dapat diketahui manusia melainkan melalui apa yang telah Allah SWT wahyukan.
Oleh itu, pengalaman dejavu lebih baik dilihat sebagai salah satu keunikan tubuh dan minda manusia yang diciptakan oleh Allah SWT.
Walaupun dejavu tidak mempunyai kaitan khusus dengan petanda mistik atau ramalan masa depan, pengalaman tersebut boleh menjadi ruang untuk kita bermuhasabah.
Betapa kompleksnya otak manusia, cara memori disimpan dan bagaimana satu pengalaman boleh mencetuskan perasaan yang begitu kuat menunjukkan betapa hebatnya ciptaan Allah SWT.
Ia juga boleh mengingatkan kita bahawa pengetahuan manusia tetap terbatas.
Yang lebih penting, jangan sampai rasa ingin tahu terhadap fenomena seperti dejavu membawa kita kepada kepercayaan yang bercanggah dengan akidah.
Dejavu mungkin terasa pelik dan sukar dijelaskan, tetapi ia tetap merupakan sebahagian daripada keunikan fungsi minda manusia yang berlaku dengan izin Allah SWT.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok