Kecantikan

Di Sebalik Label ‘Mesra-Wuduk’, Apa Yang Pengguna Perlu Tahu?

Share

Dalam dunia kecantikan, alat solek merupakan salah satu industri yang cukup besar menyasarkan wanita sebagai pengguna utama. 

Kini muncul pula konsep alat solek mesra-wuduk atau ‘wuduk-friendly’ yang menyasarkan muslimah. Bagaimanapun terma ini boleh menimbulkan kekeliruan terhadap pengguna mengenai ketelusan wuduk dan adakah ia sah dibawa solat?

Tidak dinafikan, kemunculan produk-produk ini telah memudahkan para wanita untuk berhias di samping menunaikan kewajiban menunaikan solat dalam Islam. 

Menurut Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, segelintir pengeluar produk ini mendakwa kosmetik mesra-wuduk bermaksud produk yang mudah ditanggalkan yang mana, kita tidak memerlukan sabun atau bahan khusus untuk menanggalkan solekan di wajah. Sebaliknya, hanya menggunakan air untuk membuangnya. 

Oleh itu, wanita yang bersolek menggunakan produk ini tetap perlu membuang solekannya sebelum mengambil air wuduk supaya air tersebut sentuh ke bahagian kulit. 

BACA JUGA: Uyaina Arshad, Raja Syahiran Pilih Nama Berinspirasikan Cucu Rasulullah Untuk Anak Ketiga

Walaupun begitu, menurut pengasas produk kecantikan dan kosmetik, Nurraysa, Nur Aini Zolkepeli dalam temu bualnya bersama Malaysia Gazette, produk mesra-wuduk tidaklah menjamin ketelapan air wuduk untuk sampai ke kulit kerana ini memerlukan perbincangan yang khusus.

Produk jenamanya itu dikatakan mesra-wuduk kerana tidak menggunakan silikon sebagai bahannya.

Silikon merupakan bahan polimer sintetik yang digunakan dalam barangan penjagaan kulit, alat solek dan juga syampu. 

Salah satu fungsi silikon dalam barangan penjagaan kulit termasuklah sebagai pelembap serta antiperspirant yang bertindak sama seperti deodorant iaitu tidak melekit dan cepat kering di kulit.

Zarah silikon juga membentuk lapisan nipis pada kulit yang memantulkan cahaya, jadi kedutan halus dan bayang-bayang pada wajah nampak lebih samar dan kurang jelas.

Ini yang membuatkan solekan kita tahan lama, kerana silikon membuatkan solekan susah ditanggalkan serta memerangkap kotoran dan minyak yang boleh menyebabkan jerawat. 

Lain pula ceritanya apabila seseorang tidak membuang solekan (dalam keadaan berwuduk) ketika menunaikan solat.

Menurut Ustazah Asma’ Harun melalui salah satu kuliahnya, solat seseorang itu sah walaupun dia memakai solekan ketika solat.

“Hal ini kerana wanita tersebut telah mangambil wuduk terlebih dahulu, lalu memakai alat solek dan menjaga wuduknya sebelum menunaikan solat,” katanya lagi. 

Tambah beliau, “Yang penting bahan-bahan alat solek itu suci, tidak mengandungi bahan-bahan yang haram dan najis.” 

Pun begitu, wanita di luar sana seharusnya berpada-pada ketika memakai alat solek agar ia tidak keterlaluan dan mendatangkan Tabarruj.

Kesimpulannya, walaupun anda menggunakan produk solekan yang dilabel sebagai mesra wuduk, jangan ambil mudah soal menanggalkan solekan sebelum berwuduk. Pembersihan harus dilakukan dengan teliti agar tiada bahan yang menghalang air daripada terkena kulit.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok.

Related Post
Published by
Balqis Qadisah