Kita tidak pernah lari daripada melakukan dosa, 24 jam,7 hari. Tetapi apakah usaha kita untuk membersihkan semua dosa itu?
Sebagai hamba Allah, kita sangat beruntung kerana sesungguhnya Allah Maha Pengasih, Pemurah, Pengampun dan Penyayang.
Pelbagai amalan baik dan mudah boleh kita lakukan dan senang-senang sahaja Allah berikan pahala dan terhapus dosa.
Satu amalan yang sangat mudah dan murah malah boleh terhapus dosa-dosa kita sebanyak 80 tahun ialah dengan membaca selawat 80 kali pada setiap hari Jumaat! Bukan itu sahaja, Allah akan kurniakan pahala sebanyak 80 tahun juga mengiringi amalan kita berselawat pada hari Jumaat.
Subhanallah, mudah sungguh menghapuskan dosa dan mengumpul pahala. Maka dengan nikmat Tuhan mu yang mana ingin kita dustai?
Kita baca beberapa sabda Rasulullah yang menekankan perkara amalan selawat 80 kali ini pada setiap Jumaat, Allah menjanjikan dosa sebanyak 80 tahun terhapus dan dikurniakan 80 tahun pahala.
Ads
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah (SAW) bersabda,
“Sesiapa yang membaca selawat seperti ini sebanyak 80 kali sejurus selepas sembahyang Asar pada hari Jumaat, sebelum bangun dari tempat sembahyangnya, akan diampunkan dosanya sebanyak 80 tahun dan diberikan pahala 80 tahun ibadah”
Dari Aus bin Aus r.a.katanya, Rasulullah s.a.w bersabda,
“Sesungguhnya di antara hari-harimu yang paling utama sekali ialah hari Jumaat, maka perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada hari itu, sebab sesungguhnya bacaan selawatmu itu ditunjukkan kepadaku.
Para sahabat berkata: Ya Rasulullah, bagaimanakah selawat kita semua itu dapat ditunjukkan kepada tuan, sedangkan tuan sudah hancur tubuhnya?
Ads
Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya Allah mengharamkan pada tanah untuk makan tubuh sekalian Nabi. (Riwayat Abu Dawud dengan isnad sahih)
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda,
“Perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada malam dan hari Jumaat, sesiapa yang membaca selawat untuk ku sekali, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali (Allah akan memberikannya rahmat 10 kali)” (Riwayat Al Baihaqi)
Hari jumaat merupakan hari yang paling digalakkan kepada kita supaya memperbanyakkan beramal, kerana itu penuh dengan keberkatan dan kebaikan seperti yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW.
Untuk mengerjakan amal kebajikan janganlah ditangguh-tangguh dan mengira masa, kerana setiap amal yang baik akan dibalas dengan ganjaran pahala.
Orang yang paling banyak berselawat kepada Rasulullah SAW akan mendapat syafaat Baginda pada hari akhirat nanti dan paling hampir dengan Baginda.
Bagi yang rajin berselawat, nama kita akan disebut malaikat di hadapan nabi.
Kashoorga: Sudah terang lagi bersuluh, apa lagi yang kita tunggu dan mengapa perlu bertangguh. Amalkan selawat sebanyak mungkin setiap hari dan digandakan pada hari Jumaat. Semoga kita dikurniakan syafa’atnya di hari kiamat nanti.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Orang kata kalau sudah sayang, kita akan tetap bersama cintanya hingga ke nafas terakhir seseorang itu.
Tiada apa yang dapat memisahkan cinta dan kasih sayang kecuali hanya kematian saja. Kalau boleh kita mengharapkan mahu bersama sehidup semati hingga ke hujung nyawa.
Tetapi kita hanya merancang, tetapi Tuhan juga yang menentukan. Seperti perkongsian seorang pengguna di laman sosial Facebook Nur Hafizah yang menceritakan kisah cinta antara ayah dan ibunya sehingga ibu menghembuskan nafas terakhir.
Malah layanan yang diberikan oleh si ayah kepada si ibu tidak pernah berkurangan sejak dari mereka mula bercinta.
Ayuh, ikuti perkongsian yang sangat menyentuh jiwa.
“Orang lain tak melihat tapi aku yg menyaksikan bertapa dia cintakan isteri dia..Ya memang kami adik beradik yg jaga Mak tapi kami xkan lupa pada Ayah yg slalu ambil berat pasal Mak walupun dia sibuk kerja kalau dia ada masa dia yg akan uruskan Mak,
“Makan pkai Mak dia yg siapkan mcm mna Mak menjaga Ayah selama Mak sihat mcm tu laa Ayah jaga Mak masa Mak sakit.Sungguh dia terlalu sygkan isteri dia walaupun isteri dia dah xsempurna dia tetap syg jaga dan ambil berat xpeduli pun apa org kata pasal dia sebab dia tahu siapa yg ada ketika susah dan senang..
“Tiap kali pegi kerja mesti tnya Mak nk makan apa,cium pipi Mak smpai Mak malu dah tua2 pun nk manja2 lagi tapi dia xpernah peduli sbb itu cara dia tunjukkan kasih syg pada isteri dia..
“Mungkin orang melihat aku org pertama yg sedih bila Mak dah xde tapi mereka lupa pd suami yg bersama dia lebih 35 tahun susah dn senang membesarkan 11orang anak..
“Aku tak pernah melihat dia menangis tapi haritu pertama kali dalam hidup aku,aku melihat dia menangis teresak-esak kerana Mak..Dia bacakan yassin dia yg ajar Mak mengucap dia pegang tangan isteri dia smpai akhir hayat..
“Masa dalam van jenazah pun mcam tu dia peluk je keranda Mak xlepas sambil bacakan yassin untuk Mak..Lepas Mak dikebumikan Ayah pesan pd kami adik beradik
“Nanti bila Ayah dah xde kebumikan Ayah sebelah Mak ,Ayah nk duduk dekat dgn Mak” …Sungguh kasih seorng suami pd isteri dari isteri dia sihat sakit smpailah isteri dia dah xde tetap dia sayang..Semoga Syurga menyatukan kalian kembali..Aamiin ..
“Mak pesan: “bila sygkan seseorng syglah dgn sepenuh hati terimalah sdikit keburukkan dia kerana seribu kebaikkan yg pernah dia lakukan”
“Jangan salah faham Cikjah bukan nk menagih simpati Cikjah cuma nak menceritakan apa yg orang xnampak tapi kami adik bradik nampak kasih syg mereka selama ini..
“Doa Suami serta Anak2 sentiasa ada untuk Mak..Terima kasih kerana menjadi Isteri serta Mak yg terbaik untuk kami
Hari ini terlalu banyak berita dipaparkan di media sosial tanpa batasan. Kata orang, semua boleh menjadi wartawan sedangkan untuk menjadi wartawan , mereka diajar setiap berita yang ditulis harus mempunyai krediliti, telah diteliti dan faktanya disahihkan sebelum disiarkan di majalah atau akhbar.
Tapi hari ini, media sosial menjadi pusat berkumpulnya “berita”, sahih atau tak sebaliknya sudah disebarkan lebih awal tanpa diselidiki kesahihannya. Akibatnya banyak pihak dikecam dan bila disiasat ianya tidak benar. Benarlah di akhir zaman ini, zaman fitnah.
Dipetik dari perkongsian pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memaklumkan, di akhir zaman ini menyaksikan begitu banyak fitnah dan penipuan berleluasa. Ada pihak yang tuduh menuduh tanpa bukti yang kukuh dan ada pihak yang begitu dangkal mempercayai berita yang tiada pucuk pangkalnya. Nabi SAW pernah memberikan amaran kepada sesiapa yang suka bercakap tentang perkara yang tidak diketahui kebenarannya. Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda :
Maksudnya: “Seorang hamba apabila dia bercakap tentang satu perkataan yang dia sendiri tidak selidiki (akan kebenarannya), maka dia akan tergelincir ke dalam neraka yang jauhnya adalah sejauh arah timur.” Riwayat Al-Bukhari (6477)
Al-Qastalani berkata: Iaitu kalimah atau ucapan tanpa berfikir keburukan natijah hasil cakapan tersebut. (Lihat Irsyad al-Sari, 9/274)
Di dalam riwayat yang lain menyebut bahawa Nabi SAW bersabda :
Maksudnya: “Seorang hamba yang bercakap tentang satu perkataan yang diredhai Allah yang mana dia terlintas (untuk bercakap tentangnya) maka Allah akan mengangkat darjatnya. Manakala seorang hamba yang bercakap tentang satu perkataan yang dimurkai Allah yang dia sendiri dia terlintas (untuk bercakap tentangnya dan tidak dipastikan kebenarannya) maka dia akan terjatuh ke dalam neraka Jahannam.” Riwayat Al-Bukhari (6478)
Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani menukilkan pandangan Ibnu Battal ketika mensyarahkan hadis ini. Ibnu Battal menyatakan hadis ini memberikan isyarat bahawa di antara ujian yang paling besar ke atas manusia adalah lidah dan kemaluannya. Sesiapa yang menjaga dari dua perkara tersebut maka dia telah menjaga dirinya daripada ditimpa kejahatan yang paling besar. (Rujuk Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, 11/308)
Oleh itu, amat penting untuk mendepani fitnah-fitnah yang berlaku sesuai dengan cara yang telah ditunjukkan dan diajarkan oleh Nabi SAW. Ini supaya fitnah-fitnah tersebut dapat dihadapi dengan penuh tertib, berhati-hati serta tidak melampaui batas sehingga tidak membelakangi panduan yang telah digariskan di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah.
Lembaga Zakat Negeri Kedah buat penjelasan
Dalam pada itu, susulan satu berita bahawa seorang makcik hidup dalam keadaan daif di Kedah dan berita itu mendapat kecaman di media sosial, Lembaga Zakat Negeri Kedah tampil memberi penjelasan mengenai isu ini.
Susulan isu tular mengenai seorang penerima bantuan zakat bernama Rokhimah Ismail oleh media tempatan baru-baru ini, pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak di atas keprihatinan dalam isu ini.
Kesan daripada isu yang tular ini, ramai netizen yang mengecam denga n kata-kata kesat terhadap agensi-agensi bantuan negeri terutamanya Lembaga Zakat Negeri Kedah seolah-olah tidak pernah ada sekelumit usaha untuk mengagihkan zakat para pembayar dengan telus dan amanah.
Untuk makluman semua, cik Rokhimah Ismail, 67 tahun belum pernah berkahwin dan tidak mempunyai anak. Beliau sebelum ini yang tinggal bersama saudara-maranya juga mempunyai beberapa buah rumah lain milik keluarga yang cukup dengan kemudahan asas serta boleh didiami berhampiran dengan rumah uzur yang ditularkan tersebut.
Ada di antara rumah tersebut yang masih tidak berpenghuni dan telah dijadikan rumah sewa lengkap dengan kelengkapan lain seperti elektrik dan air.
Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, Makngah Rokhimah telah mengambil keputusan untuk kembali ke rumah uzur tersebut dan tinggal di sana.
Susulan keputusan tersebut, Makngah Rokhimah juga telah berkali-kali dipujuk oleh ahli keluarga untuk berpindah ke rumah yang lebih elok dan selesa berhampiran tersebut namun ditolak beliau.
Pihak LZNK turut berkesempatan bertemu dengan anak saudara Makngah Rokhimah iaitu En. Shariman.
Menurut beliau, “Kami dah cuba memujuk mak ngah untuk tinggal dirumah lain milik keluarga tapi mak ngah masih berkeras nak tinggal disitu. Saya bagi pihak keluarga memohon supaya orang ramai tidak salah sangka dengan berita yang diviralkan di media sosial kerana sedikit sebanyak ia memberi kesan kepada imej kami sekeluarga.” katanya.
Selain itu, LZNK juga telah menawarkan pilihan kepada beliau untuk berpindah dan tinggal di sebuah Pondok Pengajian yang berada di bawah seliaan LZNK yang lengkap dengan kemudahan asas dan pendidikan namun tawaran tersebut turut ditolak beliau.
Seperti mana yang kita semua sedia maklum, Makngah Rokhimah adalah merupakan penerima bantuan kewangan LZNK secara bulanan sebanyak RM200 bermula daripada tahun 2018 sehingga 2020 selain pernah menerima bantuan kewangan zakat sekaligus berjumlah RM300.00 pada Disember tahun lalu. Beliau juga menerima bantuan makanan 'Food Bank' LZNK melalui Penolong Amil dan Imam Kariah Masjid bagi meringankan beban beliau.
Selain itu, Bantuan Warga Emas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah juga turut diterima beliau sebanyak RM500.00 sebulan.
Hasil siasatan bersama anak saudara beliau juga, Makngah dan keluarga mempunyai tanah sawah yang diberi sewa sebanyak RM1,700.00 dan dibayar secara giliran kepada 6 orang adik-beradik yang lain termasuk beliau.
Menurut En Shariman juga, anggaran nilai tapak hartanah yang didiami Makngah Rokhimah beserta 6 buah rumah milik beliau dan ahli keluarga sahaja sebenarnya telah mencecah nilai RM1.7 juta.
Walau bagaimanapun, pihak LZNK bersyukur hasil rundingan semula pihak LZNK bersama Makngah Rokhimah dan ahli keluarga beliau pagi tadi, Makngah Rokhimah akhirnya bersetuju untuk berpindah ke rumah berhampiran milik mereka yang lebih selamat untuk didiami.
LZNK sentiasa komited dalam menguruskan kutipan dan agihan zakat dalam masa yang sama perlu memastikan ia selari dengan ketetapan hukum syarak serta garis panduan asnaf yang sebenar.
Sehubungan itu, pihak LZNK amat menghargai keprihatinan semua yang amat mengambil berat dengan isu-isu yang melibatkan institusi zakat. Harapan kami agar setiap maklumat yang diterima harus disemak dahulu sebelum ditular meluas di media sosial bagi mengelakkan daripada timbulnya fitnah kepada asnaf mahupun institusi zakat sendiri.
Dalam kita ghairah memberi komen, cacian dan cercaan kepada semua pihak, alangkah baiknya sekiranya kita menahan jari jemari kita dengan menyiasat dan bertabayyun terlebih dahulu daripada pihak-pihak yang terlibat. Sesungguhnya institusi agama ini tidak akan berdiri teguh jika bukan dengan sokongan semua saudara-saudara Islam kita yang sama-sama berganding bahu menunjukkan keprihatinan bagi membantu golongan yang memerlukan.
Jika anda terjumpa asnaf atau ingin mendapatkan kepastian atau menyemak status asnaf yang dibantu oleh LZNK, anda boleh memuat turun aplikasi Zakat On Touch di telefon masing-masing atau menghubungi kami di talian 04-7331740, whatsapp 019-4181740 atau emelkan aduan anda di aduan@zakatkedah.com.my.
Terima kasih. Lembaga Zakat Negeri Kedah 3 Februari 2021
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Ambil air sembahyang tanpa tanggalkan mekap, sah atau tidak wuduk? Iyalah tujuan ambil air sembahyang adalah untuk mendirikan solat.
Adakah sah wuduk sekiranya seseorang itu tidak menanggalkan krim atau pelembap muka terlebih dahulu sebelum mengambil wuduk, tetapi hanya menanggalkan krim,pelembap tersebut ketika sedang berwuduk?
Maksudnya:
“Kami pulang bersama-sama Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah. Apabila kami sampai ke kawasan air di pertengahan jalan, sekumpulan orang bergegas untuk bersolat Asar. Lalu mereka berwuduk secara tergesa-gesa. Kami pun menghampiri mereka dan dapati buku lali mereka tidak dibasahi air.
Lantas Rasulullah SAW bersabda: Celakalah buku lali mereka daripada api neraka (penyebab mereka masuk ke neraka)! Oleh itu, berwuduklah kamu dengan sempurna.”
(Sahih Muslim: 241)
Syeikh Ali al-Qari menyebut:
وفيه دليل على وجوب غسل الرجلين على وجه الاستيعاب وهو المنقول من فعله – صلى الله عليه وسلم – ومن فعل الصحابة رضي الله تعالى عنهم أجمعين
Maksudnya:
“Pada hadis ini terdapat dalil kewajipan membasuh kedua-dua kaki secara meliputi (menyampaikan air kepada keseluruhan bahagian kaki yang wajib dibasuh), dan perkara ini diambil daripada perbuatan Nabi SAW dan perbuatan para sahabat RA.” (Rujuk Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masobih, jil. 2 hlm.110)
Para fuqaha’ telah bersepakat bahawa kewujudan sesuatu benda pada anggota wuduk atau anggota mandi wajib yang menghalang sampainya air kepada kulit, menghalang sahnya wuduk dan mandi wajib tersebut.
Oleh sebab itu, antara syarat wuduk ialah menghilangkan perkara yang menghalang air mengenai kulit, sama ada minyak tepu, lilin dan seumpamanya.
Syarat ini disepakati oleh 4 Mazhab yang muktabar. (Rujuk; al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, jilid 2 halaman 282 dan Mausu’ah Ahkam al-Thahahrah, halaman 71)
Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab al-Majmu’:
إذا كان على بعض أعضائه شمع أو عجين أو حناء وأشباه ذلك، فمَنَعَ وصولَ الماء إلى شيء من العضو؛ لم تصحَّ طهارته، سواء كثر ذلك أم قلَّ، ولو بقي على اليد وغيرها أثر الحناء ولونه دون عينه أو أثر دهن مائع بحيث يمس الماء بشرة العضو ويجري عليها لكن لا يثبت؛ صحَّت طهارته
Maksudnya:
“Jika sekiranya di atas sebahagian anggota badannya terdapat lilin, tepung atau inai dan seumpamanya, yang mana ia menghalang air daripada sampai kepada anggota tersebut, maka tidak sah taharahnya, sama ada benda itu sedikit ataupun banyak. Namun, jika di atas tangannya atau pada anggota badan yang lain masih tersisa kesan inai dan warnanya tanpa zatnya, atau kesan minyak yang cair yang mana air akan menyentuhi kulit anggota badan tersebut, dengan mengalir dan tidak melekat, maka sah taharahnya itu.” (Rujuk; al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jilid 1 halaman 464)
Perkara ini dijelaskan dalam kitab Taqrirat al-Sadidah, bahawa yang dimaksudkan dengan bebas daripada perkara yang menghalang sampainya air ke anggota wuduk ialah tidak terdapat jirim pada anggota wuduk yang menghalang sampainya air.
Maksudnya, tidak terdapat sesuatu zat atau benda asing pada anggota wuduk yang kalis atau tidak telap air, adapun kesan yang ditinggalkan daripada zat tersebut, seperti kesan minyak yang cair dan warna inai pada jari seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi, maka ia tidak menghalang sampainya air.
Begitu juga keadaannya dengan dakwat pen, kerana ia tidak menghalang sampainya air kepada kulit. (Rujuk; Taqrirat al-Sadidah Qism al-Ibadah, hlm. 95)
Setiap perbuatan rukun yang telah disebutkan, bilangan yang dituntut hanyalah sekali sahaja, namun dengan syarat ia melakukan dengan sempurna, iaitu dapat meliputi seluruh bahagian anggota wuduk dengan sekali basuhan atau sapuan.
Sekiranya dengan satu kali perbuatan (basuhan atau sapuan) tidak berjaya meliputi keseluruhan anggota yang wajib dikenakan air, maka wajib melakukannya untuk kali kedua hingga kesemua bahagian anggota berjaya diliputi air.
Namun yang dituntut adalah melakukannya sebanyak tiga kali, iaitu perbuatan pertama sebagai perbuatan wajib, dan perbuatan kedua hingga ketiga adalah perbuatan sunat.
Basuhan atau sapuan pertama diukur apabila berjaya meliputi keseluruhan anggota, sekiranya seseorang memerlukan sehingga dua kali untuk berjaya meliputi, maka dua kali perbuatan itu dianggap sebagai satu perbuatan.
Adapun melakukan kurang daripada tiga kali (iaitu sebanyak dua kali, dalam keadaan perbuatan pertama sudah berjaya meliputi keseluruhan anggota), atau lebih daripada tiga kali (dalam keadaan keseluruhan anggota telah berjaya diliputi), maka hukumnya makruh, dan sah wuduknya. (Rujuk; al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jilid 1 halaman 441-443)
Berkaitan dengan soalan yang diajukan, perkara utama yang perlu diperhatikan ialah; adakah air sampai kepada keseluruhan anggota wuduk?
Bagi memastikan perkara ini berjaya dilakukan, ia boleh dilakukan dengan apa sahaja cara sekalipun asalkan tujuan tercapai, iaitu menyampaikan air ke anggota wuduk.
Justeru, sekiranya menanggalkan krim atau pelembap muka terlebih dahulu, sehingga air dapat disampaikan kepada keseluruhan anggota wuduk, maka telah terlaksana kewajipan berwuduk.
Adapun sekiranya membasuh tanpa menanggalkan krim/pelembap muka terlebih dahulu, sekiranya basuhan pertama hanya menghilangkan krim/pelembap muka tetapi tidak menyampaikan air kepada kulit, wajib membasuh lagi hingga air berjaya sampai ke kulit.
Setelah air berjaya sampai ke kulit baru dianggap telah melakukan basuhan atau sapuan wajib (walaupun sebenarnya melakukan dua kali atau lebih perbuatan) dan wuduknya sah. Jika krim/pelembap muka tetap ada dan menghalang air sampai ke kulit, maka tidak sah wuduk itu.
Oleh itu, kami mencadangkan agar dihilangkan terlebih dahulu krim/pelembap muka kerana ia lebih berkemungkinan dan diyakini dapat memastikan kita melaksanakan wuduk dengan sempurna.
Apatah lagi telah jelas dalam hadis-hadis berkenaan orang yang tidak menyempurnakan wuduk dengan ancamannya, maka sangat wajar untuk berhati-hati dan berusaha agar kita tidak tertinggal kawasan yang sepatutnya dikenakan atau disampaikan air.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya.