Fesyen seluar singkat, sampai nampak betis tapi di bahagian atas elok bertudung.
Tak dinafikan ramai Muslimah hari ini yang selesa memilih mengenakan seluar. Namun menjadi masalah bila mereka memilih seluar seperti di atas. Ia jelas sudah menampakkan aurat wanita yang sepatut ditutup.
Pendakwah Ustaz Azhar Idrus turut memberi penjelasan buat Muslimah tentang fesyen seluar singkat yang seharusnya tidak dijadikan ikutan.
Menurut beliau seorang Muslimah apabila keluar dari rumahnya, wajib dia memakai pakaian yang menutup sekelian badannya kecuali muka dan dua pergelangan tangannya.
Jika orang perempuan hendak memakai seluar keluar rumah maka wajiblah seluarnya itu labuh dan longgar maka jika nampak kedua kakinya atau nampak tumitnya apatah lagi sampai nampak keting dan betisnya maka perempuan tersebut berdosa kerana tidak menutup auratnya.
Ads
Diriwayatkan daripada Ummu Salamah r.a. adalah Rasulullah bersabda tentang tumit perempuan :
Artinya : “Apabila adalah pakaian perempuan itu labuh sampai menutup akan belakang dua tapak kakinya.” (Hadith riwayat Abu Daud)
Ads
Haram muslimah pakai seluar singkat
Kerana itulah ulamak menetapkan haram hukumnya perempuan itu menampakkan dua tumitnya kepada selain dari mahramnya dan keting dan betis pula adalah lebih lagi haram dibuka.
Berkata Mufti Jordan Dr Nuh Ali Sulaiman :
Ads
قرر الفقهاء أن جميع بدن المرأة عورة أمام الأجانب إلا الوجه والكفين فيحرم عليك أن تظهري شيئا من قدميك للرجال غير المحارم
Ertinya : “Telah menetapkan oleh fuqahak bahawasanya sekelian badan perempuan adalah aurat di hadapan segala lelaki ajnabi kecuali wajah dan dua pergelangan tangannya. Maka haram atas kamu menampakkan suatu dari dua tapak kakimu kepada segala lelaki selain dari sekelian mahram.” (Majlis Fatwa Jordan)
Mati itu sudah pasti dan sudah tertulis di luh mahfuz. Cuma sebagai hambaNya kita tidak tahu bilakah masanya itu akan tiba. Oleh sebab itu kita perlu sentiasa bersedia penuhkan diri dengan amal ibadah mencukupi sebagai bekalan untuk dibawa ke akhirat kelak.
Dan kematian yang sangat dimuliakan oleh Allah memang akan dicemburui setiap insan yang masih hidup.
Itu yang berlaku ke atas Allahyarham Mohd Rawi Ismail, 61 tahun apabild disahkan meninggal dunia ketika mengimamkan solat Subuh di Masjid Sultan Abu Bakar di Raub, kelmarin.
Perginya insan mulia ini meninggalkan segala amalan baik yang telah dilakukannya sebelum ini. Ketika hayatnya, arwah sering menasihati isteri serta anak-anaknya supaya membaca dan menghafal surah Al-Mulk setiap kali sebelum tidur.
Menurut isterinya, Mek Nab Che Sof, arwah suaminya itu tidak pernah lupa membaca surah berkenaan sebelum tidur dan juga kadang-kadang selepas solat.
Bukan itu sahaja, arwah juga dikatakan seorang yang sangat pemurah dan suka bersedekah kepada kanak-kanak, saudara dan sahabatnya terutamanya memberi buah hasil cucuk tanaman diusahakannya.
Malah setiap tetamu yang datang berkunjung ke rumah pasti tidak akan pulang dengan tangan kosong. Arwah juga bekas pembantu pertanian dan pernah melakukan pembedahan pintasan jantung 13 tahun lalu.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 6.10 pagi itu apabila Allahyarhan menjadi imam ganti selepas imam bertugas dikatakan terlewat tiba ke masjid.
Melalui artikel di Harian Metro, menurut sahabat baik arwah yang juga menjadi makmum solat Subuh berkenaan, tidak melihat sebarang tanda sakit pada diri Mohd Rawi sebelum diminta mengimamkan solat.
“Selepas membaca surah Fatihah beliau membaca ayat lazim, cuma tersekat-sekat kerana tidak cukup nafas. Selepas rukuk, dia bangun dan nampak terhuyung-hayang hendak rebah ke belakang dan saya pun sambut dia.
“Saya baringkan dia dan dia tidak berkata apa tetapi nadi dia masih ada dan saya terus mengajar mengucap kalimah syahadah,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Dalam pada itu, warganet juga turut bersimpati dengan kematian insan mulia ini. Rata-rata menzahirkan simpati dan menyifatkan pengkahiranya yan sangat indah dan semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
SATU surah di dalam al-Quran sekiranya ia diamalkan, maka orang yang membacanya, apatah lagi dapat menghafaznya akan terlepas daripada azab kubur.
Ia adalah Surah Al-Mulk yang mengandungi 30 ayat. Surah itu juga disebut sebagai At Tabaarak yang bermakna Maha Suci.
Sebab itu, Nabi SAW menyarankan umatnya supaya tidak meninggalkan bacaan al-Quran pada setiap hari.
Hati orang yang membaca al-Quran akan sentiasa tenang, dijauhi daripada bisikan syaitan serta dirinya turut dihormati.
Daripada Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Al-Quran mengandungi satu surah terdiri daripada tiga puluh ayat yang akan mensyafaati pembacanya sehingga dia diampunkan iaitu Tabarakallazi biyadihil Mulk.” (Riwayat Abu Dawud, Ahmad, at-Tirmizi, Riyadh as-Salihin oleh Imam Ahmad)
Antara azab kubur itu, didatangkan kepada manusia dua malaikat yang sangat bengis iaitu Munkar dan Nakir.
Sekiranya manusia melihat wajah malaikat azab itu, mereka akan pengsan. Di tangannya ada besi penukul dan apabila dihayun tukul itu, nescaya akan hancur semua gunung yang ada di atas muka bumi ini.
Bagaimanapun, bagi mereka yang menjadikan Surah Al-Mulk sebagai bacaan harian, di kubur kelak ia akan menjadi penghalang pengamalnya daripada diseksa.
Di dalam kubur, orang yang meninggal dunia akan didatangi malaikat azab bermula di kakinya untuk memberi hukuman.
Saidina ‘Abdullah bin Abbas berkata: “Sesiapa membaca surah Al-Mulk sehingga menjadi amalan wiridnya, nescaya ia mendapat bantuan dan pertolongan daripada Allah SWT di dalam kuburnya. Bila azab hendak datang ke kepala, terdengar satu seruan: “Tidak boleh engkau datang ke pihak kepala ini kerana ada Surah Al-Mulk.”
Sekiranya seseorang itu selamat daripada seksaan di alam barzakh, dia juga selamat untuk menghadapi permulaan akhirat yang lebih besar dan dahsyat.
Jika seseorang itu sudah menerima seksaan di alam barzakh, maka sudah pasti dia juga tidak akan selamat menghadapi kecelakaan lebih besar menunggunya selepas itu.
Maka, Nabi SAW mengajarkan kita beberapa cara untuk selamat dan selesa ketika berada di alam barzakh, antaranya membaca Surah Al-Mulk pada setiap malam.
Sebelum tidur, pastikan kita ambil sedikit masa untuk membaca Surah Al-Mulk. Dengan harapan apabila biasa melazimi bacaan Surah Al-Mulk dan ditakdirkan kita meninggal dunia, Allah SWT akan mengampuni segala dosa serta mengharumkan perkuburan kita menjadi sebahagian taman daripada taman syurga.
Sebagaimana diriwayatkan oleh Jabir r.a bahawa sudah menjadi kebiasaan Rasulullah SAW tidak akan tidur selagi tidak membaca Tabarakallazi biyadihil Mulk dan Alim Lam Miim Sajadah. (Ahmad, Tirmizi dan Darimi)
Setiap orang beriman tidak boleh memandang ringan perihal di alam barzakh yang bakal mereka lalui satu masa nanti.
Persediaan itu wajib dilakukan. Jaga setiap tingkah laku serta pertuturan seharian kita supaya terhindar daripada mendapat pengakhiran yang buruk.
Abu Darda berkata, “Tiga perkara yang membuat aku ketawa dan menyebabkan aku menangis. Tiga perkara itu ialah orang yang mengejar dunia padahal kematian sedang mengejarnya, individu yang ketawa terbahak-bahak, tetapi dia tidak tahu adakah Tuhannya reda kepada-nya atau memurkainya dan individu yang lalai padahal Allah tidak pernah lalai kepadanya.”
Rasulullah SAW juga mengajar untuk mengamalkan satu doa bagi memohon perlindungan dan azab kubur iaitu “Allahumma inni a’uzu bika minal ‘ajzi wal kasali wal jubni wal harami wal bukhli, wa’auzu bika min ‘azabil qabri wa ‘auzu bika minfitnatil mahya walmamati” bermaksud: “Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada kelemahan, malas, penakut, pelupa, bakhil dan aku berlindung dengan-Mu daripada seksa kubur dan fitnah hidup dan mati.”(Hadis Riwayat Muslim)
Rebutlah peluang untuk mencari Lailatul Qadar dengan melipatgandakan lagi amalan pada 10 malam akhir Ramadan. Mendapatkan malam Lailatul Qadar menjadi impian bagi setiap mukmin. Mana tidaknya, malam yang lebih mulia dari seribu bulan ini hanya ada sekali dalam setahun.
Rasulullah shallallalhu ‘alaihi wasallam menyebutkan, “Barang siapa yang terjaga untuk mendapatkan malam Lailatul Qadar, kemudian benar-benar mendapatkannya, maka dia telah diampuni dosa sebelum dan sesudahnya,” (HR. Ahmad)
Maka sebab itulah kita perlu membuat persiapan bagi ‘menyambut’ kedatangan malam Lailatul Qadar.
Berikut perkongsian Ummu Naufal. Moga ia bermanfaat untuk kita semua.
Malam Laylatul Qadr bakal tiba.
Hadiah hebat yang perlu dicari yang dianugerahkanNya.
Dikongsikan bersama sedikit bagaimana kita sekeluarga boleh atur dan persiapkan diri dan keluarga dalam mencari malam yang lebih mulia dari seribu bulan yang dijanjikanNya;
1.BEREHAT DI SIANG HARI
Usah lagi disibukkan diri dengan urusan dapur, kuih muih eid mahupun keluar membeli belah di tempoh ini (10 malam terakhir). Hentikan!
Menu iftar dan sahur keluarga dipermudahkan.
Aktiviti siang diringankan.
Tidurlah seketika walau tidak biasa tidur di waktu siang. 10 hari terakhir ini sahaja.
2. BERJAGA WAKTU MALAM
Apabila siang sudah cukup rehat, di waktu malam akan terasa segar inshaAllah. Mandilah air suam jika ia boleh menyegarkan tubuh badan. Ringankan makanan berbuka agar badan tidak berasa lemah dan berat kemudian. Jika penggemar minuman panas, siapkanlah minuman panas di dalam termos agar sentiasa ada untuk diminum. Pasangkanlah bauan bakhour atau diffuser minyak pati lemon, inshaAllah ia sangat membantu menaikkan mood, membantu menyegarkan diri dan menaikkan semangat kita.
3.SIAPKAN RUANG SOLAT
Solatlah di ruang khusus, atau di mussola kecil keluarga, jika ada. Biarlah ruang ini selesa, bersih, suhu yang sesuai dan baik pengudaraannya.
Elakkan solat di bilik tidur kita, kecuali jika ada penghadang.
Solat, membaca Al Quran dan berzikir diselang-selikan sepanjang malam di ruang khas ini. Hiaslah jika mahu mencantikkan suasana. Ringkaskan ruang dengan apa yang perlu sahaja.
Jika ada bayi, bawa bersama di ruang ini bila si kecil terjaga. Biarkan dia tidur di ruang mussola yang sama sambil kita meneruskan ibadah malam kita.
Subhanallah.
Besar kesan dalam jiwanya inshaAllah.
4.TULISKAN DOA
“Umi, should they write it in points?” Nadiyah bertanya apabila dia ditugaskan membantu adik-adiknya mencatatkan doa yang mahu dipohon sepanjang 10 malam terakhir.
Nadiyah dan Naufal telah diajarkan yang sama ketika seusia adik-adik mereka. Bermula dengan poin sahaja, ditingkatkan kepasa adab menyusun kata dalam memohon doa padaNya.
Doa ditulis agar dirancang rapi apa yang mahu dipohon padaNya. Bila ditulis, menjadi lebih fokus bila berdoa padaNya.
Bersama anak-anak, hafalkanlah doa yang diajarkan Nabi s.a.w kepada Aisyah r.a apabila Baginda ditanya apakah doa terbaik untuk diucapkan pada malam Laylatul Qadr;
“ALLAHUMMA INNAKA ‘AFUWWUN TUHIBBUL ‘AFWA FA’FU ‘ANNII”
(Ya Allah, sesungguhnya Engkau Dzat Yang Maha Pemaaf dan Pemurah maka maafkanlah diriku)
5.TINGKATKAN SEDEKAH
Tingkatkan sedekah kita setiap hari dalam 10 malam terakhir ini. Jika sebelum ini kita memberi makanan iftar kepada jiran tetangga, 10 malam terakhir ini kita memberi kepada yang tidak kita kenali pula.
Pejalan kaki, penjaja di gerai, pencuci sampah…sesiapa sahaja yang dilewati kita.
Edarkan “Ramadan Iftar Bag”. Minta anak-anak isikan di dalamnya; kurma, air, roti, juga sedikit wang, misalnya. Edarkan setiap hari selama 10 hari terakhir ini. Rancanglah berapa beg yang boleh diberikan bersama seisi keluarga.
6.TUTUP TELEVISYEN DAN DISIMPAN SEMUA GAJET YANG ADA
Amankan suasana rumah tanpa hiburan di kaca tv dan radio. Off telefon bimbit dan disimpan jauh-jauh…..termasuk telefon ibubapa juga ya. Tiada ‘cheat hour’ mahupun ‘reward slot’. Ini dilakukan sepanjang 10 malam terakhir Ramadan tanpa salingan.
Usah risau, 10 hari tanpa bermesej dan media sosial tidak akan merbahayakan sesiapa, inshaAllah.
Subhanallah.
Hebatnya malam Laylatul Qadr ini sepertimana Allah swt sebutkan di dalam Surah Al Qadr;
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya [Al Qur’an] pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sampai terbit fajar.”
Lalu duhai diri dan sahabat yang dikasihi sekalian, bersungguh dan berikhtiarlah mencari malam kemuliaan ini bersama keluarga tersayang.
Ingatlah, Ramadan tahun hadapan belum tentu kita ada. Maka usahakanlah sekarang kerana tiada usaha bersungguh kita sia-sia di sisiNya.
Semoga kita semua dipertemukan dengan Malam Penuh Kemuliaan ini dalam keampunan dan redhaNya.
Bayangkan jika sudah solat berpuluh tahun lamanya tapi rupanya ada tertib yang salah kita lakukan.
Sujud adalah tempat yang paling dekat seorang hamba dengan Allah SWT. Namun begitu masih ramai yang melakukan tanpa memenuhi syarat sah sujud. Berhati-hatilah kerana dibimbangi solat yang kita lakukan bertahun-tahun lamanya boleh jadi tidak sah akibat kejahilan kita sendiri.
Oleh itu, sentiasalah belajar dan menghadiri kuliah-kuliah atau majlis ilmu. Jangan kita hanya belajar melalui “ikut-ikut” atau “tengok-tengok” sedangkan orang yang kita “ikut” itu belum tentu betul caranya.
Sabda Rasulullah SAW: “Aku diperintahkan supaya sujud di atas tujuh tulang (yakni tujuh anggota) iaitu; dahi –baginda menunjukkan dengan tangannya ke atas hidungnya-, dua tangan, dua lutut dan jari-jari dari dua kaki ..” (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Abbas r.a. )
Ia mestilah dilakukan dengan tujuh anggota badan.
Dahi: Di dalam mazhab Syafie, dahi mesti ditekan di tempat sujud, diletakkan sebetulnya dan menekan dahi di tempat sujud telah termasuk di dalam syarat sah sujud
Hujung jari kaki: Kedudukan hujung jari kaki cara meletakkan hujung jari kaki ialah dengan melipat hujung jari kaki kita semasa sujud.
Minimum ialah dengan satu jari kaki yang betul kedudukannya. jika jari kaki tidak dillipat, tidak diletakkan dengan betul, solat kita boleh batal kerana ia merupakan anggota wajib.
Bagi mereka yang boleh meletakkan jari kaki dengan betul, hendaklah melakukannya dan bagi mereka yang mungkin sudah berusia dan sukar melipat jari kaki, lakukanlah sekadar kemampuan.
Hidung: Di dalam mazhab syafie, makruh hukumnya jika kita sujud dalam keadaan tidak merapatkan hidung di tempat sujud. Justeru itu, pastikan kita meletakkan atau merapatkan hidung di tempat sujud.
Ini berdasarkan hadis yang menyuruh kita bersujud di atas 7 anggota.
Kedudukan muka: Di dalam hadis Nabi SAW yang menyebut bahawa baginda meletakkan wajahnya di antara kedua-dua tangannya semasa sujud (Abu Daud).
Tangan: Merenggangkan tangan semasa sujud. Di dalam hadis Bukhari Muslim bahawa Nabi Muhammad SAW merenggangkan kedua belah tangannya daripada sisinya atau rusuknya lambungnya sehingga kelihatan putih ketiak baginda.
Mengangkat siku: Ada hadis riwayat muslim bahawa nabi memerintahkan meletakkan kedua telapak tangan dan mengangkat siku.
Merapatkan jari: Di dalam hadis al-Baihaqi bahawa Nabi Muhammad SAW apabila rukuk, baginda membuka/merenggangkan jarinya dan apabila sujud baginda merapatkan jarinya.
Dalam kesibukan kehidupan seharian yang sering menuntut tenaga fizikal dan emosi, waktu sebelum tidur menjadi detik paling sesuai untuk seorang Muslim kembali menenangkan jiwa...