Rebutlah peluang untuk mencari Lailatul Qadar dengan melipatgandakan lagi amalan pada 10 malam akhir Ramadan. Mendapatkan malam Lailatul Qadar menjadi impian bagi setiap mukmin. Mana tidaknya, malam yang lebih mulia dari seribu bulan ini hanya ada sekali dalam setahun.
Rasulullah shallallalhu ‘alaihi wasallam menyebutkan, “Barang siapa yang terjaga untuk mendapatkan malam Lailatul Qadar, kemudian benar-benar mendapatkannya, maka dia telah diampuni dosa sebelum dan sesudahnya,” (HR. Ahmad)
Maka sebab itulah kita perlu membuat persiapan bagi ‘menyambut’ kedatangan malam Lailatul Qadar.
Berikut perkongsian Ummu Naufal. Moga ia bermanfaat untuk kita semua.
Malam Laylatul Qadr bakal tiba.
Hadiah hebat yang perlu dicari yang dianugerahkanNya.
Dikongsikan bersama sedikit bagaimana kita sekeluarga boleh atur dan persiapkan diri dan keluarga dalam mencari malam yang lebih mulia dari seribu bulan yang dijanjikanNya;
1.BEREHAT DI SIANG HARI
Usah lagi disibukkan diri dengan urusan dapur, kuih muih eid mahupun keluar membeli belah di tempoh ini (10 malam terakhir). Hentikan!
Menu iftar dan sahur keluarga dipermudahkan.
Aktiviti siang diringankan.
Tidurlah seketika walau tidak biasa tidur di waktu siang. 10 hari terakhir ini sahaja.
2. BERJAGA WAKTU MALAM
Apabila siang sudah cukup rehat, di waktu malam akan terasa segar inshaAllah. Mandilah air suam jika ia boleh menyegarkan tubuh badan. Ringankan makanan berbuka agar badan tidak berasa lemah dan berat kemudian. Jika penggemar minuman panas, siapkanlah minuman panas di dalam termos agar sentiasa ada untuk diminum. Pasangkanlah bauan bakhour atau diffuser minyak pati lemon, inshaAllah ia sangat membantu menaikkan mood, membantu menyegarkan diri dan menaikkan semangat kita.
3.SIAPKAN RUANG SOLAT
Ads
Solatlah di ruang khusus, atau di mussola kecil keluarga, jika ada. Biarlah ruang ini selesa, bersih, suhu yang sesuai dan baik pengudaraannya.
Elakkan solat di bilik tidur kita, kecuali jika ada penghadang.
Solat, membaca Al Quran dan berzikir diselang-selikan sepanjang malam di ruang khas ini. Hiaslah jika mahu mencantikkan suasana. Ringkaskan ruang dengan apa yang perlu sahaja.
Jika ada bayi, bawa bersama di ruang ini bila si kecil terjaga. Biarkan dia tidur di ruang mussola yang sama sambil kita meneruskan ibadah malam kita.
Subhanallah.
Besar kesan dalam jiwanya inshaAllah.
4.TULISKAN DOA
“Umi, should they write it in points?” Nadiyah bertanya apabila dia ditugaskan membantu adik-adiknya mencatatkan doa yang mahu dipohon sepanjang 10 malam terakhir.
Nadiyah dan Naufal telah diajarkan yang sama ketika seusia adik-adik mereka. Bermula dengan poin sahaja, ditingkatkan kepasa adab menyusun kata dalam memohon doa padaNya.
Ads
Doa ditulis agar dirancang rapi apa yang mahu dipohon padaNya. Bila ditulis, menjadi lebih fokus bila berdoa padaNya.
Bersama anak-anak, hafalkanlah doa yang diajarkan Nabi s.a.w kepada Aisyah r.a apabila Baginda ditanya apakah doa terbaik untuk diucapkan pada malam Laylatul Qadr;
“ALLAHUMMA INNAKA ‘AFUWWUN TUHIBBUL ‘AFWA FA’FU ‘ANNII”
(Ya Allah, sesungguhnya Engkau Dzat Yang Maha Pemaaf dan Pemurah maka maafkanlah diriku)
5.TINGKATKAN SEDEKAH
Tingkatkan sedekah kita setiap hari dalam 10 malam terakhir ini. Jika sebelum ini kita memberi makanan iftar kepada jiran tetangga, 10 malam terakhir ini kita memberi kepada yang tidak kita kenali pula.
Pejalan kaki, penjaja di gerai, pencuci sampah…sesiapa sahaja yang dilewati kita.
Edarkan “Ramadan Iftar Bag”. Minta anak-anak isikan di dalamnya; kurma, air, roti, juga sedikit wang, misalnya. Edarkan setiap hari selama 10 hari terakhir ini. Rancanglah berapa beg yang boleh diberikan bersama seisi keluarga.
6.TUTUP TELEVISYEN DAN DISIMPAN SEMUA GAJET YANG ADA
Ads
Amankan suasana rumah tanpa hiburan di kaca tv dan radio. Off telefon bimbit dan disimpan jauh-jauh…..termasuk telefon ibubapa juga ya. Tiada ‘cheat hour’ mahupun ‘reward slot’. Ini dilakukan sepanjang 10 malam terakhir Ramadan tanpa salingan.
Usah risau, 10 hari tanpa bermesej dan media sosial tidak akan merbahayakan sesiapa, inshaAllah.
Subhanallah.
Hebatnya malam Laylatul Qadr ini sepertimana Allah swt sebutkan di dalam Surah Al Qadr;
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya [Al Qur’an] pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sampai terbit fajar.”
Lalu duhai diri dan sahabat yang dikasihi sekalian, bersungguh dan berikhtiarlah mencari malam kemuliaan ini bersama keluarga tersayang.
Ingatlah, Ramadan tahun hadapan belum tentu kita ada. Maka usahakanlah sekarang kerana tiada usaha bersungguh kita sia-sia di sisiNya.
Semoga kita semua dipertemukan dengan Malam Penuh Kemuliaan ini dalam keampunan dan redhaNya.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya sama ada suara seorang wanita itu aurat ketika solat atau sebaliknya. Bagaimana pula jika mengaminkan bacaan al-Fatihah dengan mengeluarkan suara sepert kaum lelaki lakukan? Entri ini mungkin boleh membantu kemusykilan anda selama ini.
Pada solat jemaah jahriyah (subuh, magrib dan isyak) harus bagi wanita untuk menjaharkan (melantangkan) suara ketika solat bersama mahram mereka. Namun ketika mana mereka solat bersama bukan mahram maka ia hendakhlah dilakukan secara sirr (diam).
Ibnu Qudamah menjelaskan “Seorang wanita melantangkan suaranya ketika solat jahriah. Jika ada lelaki-lelaki asing (bukan mahramnya ) maka dia tidak boleh melantangkan suaranya. Adapun jika yang mendengar adalah lelaki daripada kalangan mahramnya maka dia boleh melantangkan suaranya.” (al-Mughni: 2/202)
Dalam kitab al-Mufassal Fi Ahkam Al-Mar’ah pada bab bacaan jahar dan sir dalam solat wanita telah dinukilkan bahawa Imam Nawawi berkata :
“Ada pun wanita maka berkata kebanyakan ulama Shafieyah – apabila dia solat bersendirian tanpa ada orang lain atau bersamanya kaum wanita atau lelaki mahramnya, hendaklah dia melantangkan suara (jahar), sama ada bersendirian atau berjemaah sesama kaum wanita. Ada pun jika solat bersama lelaki ajnabi (bukan mahramnya) maka hendaklah mendiamkan bacaan (sirr)”. (al-Mufassal Fi Ahkam Al-Mar’ah: 1/255, Dr Abd. Karim Zaidan)
Maka dapat difahami bahawa wanita tidak boleh melantangkan bacaan ketika solat bersama bukan mahram sama ada ketika dia menjadi imam, makmum atau bersendirian.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Ketika bersujud, umat Islam meletakkan kepala mereka ke bumi dan dalam keadaan begini, jantung berada di kedudukan lebih tinggi daripada kepala. Ia memudahkan darah turun ke otak dibantu oleh tekanan graviti.
Peter Russell dalam bukunya, ‘The Brain Book’ berpendapat, “Otak manusia beroperasi tujuh peratus lebih cepat dan empat belas peratus lebih tepat dalam keadaan kepala mereka ke bawah atau inverted.
Merujuk artikel ‘Chronic Pain: Exercise can bring relief’ di laman web mayoclinic.com, pakar-pakar berhujah bahawa senaman secara berterusan adalah penting untuk kesihatan sendi.
Senaman juga mampu mengurangkan sakit dan merangsang pengeluaran hormon endorfin yang berfungsi mengurangkan rasa sakit.
Solat sememangnya bermanfaat kerana ia menggerakkan sendi-sendi badan termasuk tangan dan kaki secara sederhana.
Pada tahun 1967, Professor Dr. Herbert Benson daripada Fakulti Perubatan Harvard membuat kajian ke atas tiga puluh enam orang yang bermeditasi.
Dapatan kajian menunjukkan mereka menggunakan oksigen tujuh belas peratus lebih rendah daripada biasa, jantung mereka berdenyut dengan kadar yang lebih perlahan daripada kelaziman dan gelombang theta dalam otak meningkat dengan jelas.
Gelombang theta adalah gelombang otak yang wujud apabila seseorang berada di saat yang amat menenangkan terutamanya ketika hampir terlena.
Kajian yang melibatkan sembilan puluh orang pesakit kanser yang telah melakukan meditasi selama tujuh minggu ini, menemukan para pesakit didapati kurang masalah kesugulan, keresahan dan kemarahan.
Mereka lebih bertenaga, sakit jantung menurun serta masalah pada sistem penghadaman berkurangan. Kajian ini telah diterbitkan dalam majalah Psychosomatic Medicine pada tahun 2000.
Solat serta zikir yang kusyuk boleh diibaratkan seperti bermeditasi yang melebihi meditasi biasa. Maksudnya di sini tampak unsur-unsur meditasi cuma di dalam Islam ia dilakukan sebagai satu ibadah.
Bagaimana pula halnya kaitan manfaat solat pada ibu hamil?
Pakar ‘Fetal Positioning’ & Bidan Profesional mengiktiraf kedudukan Forward Leaning Inversion (FLI) iaitu bersujud adalah bagus diamalkan ibu mengandung. Antara sebabnya:
Objektif kekerapan FLI setiap hari untuk membebaskan urat tersimpul, ketat dan memaksimumkan kapasiti janin di dalam rahim. Ia turut memberi ruang untuk bayi memasukkan kepalanya dalam rongga saluran pelahiran bila sudah tiba masanya bayi dilahirkan.
Teknik solusi untuk bayi songsang, lebih efektif dilakukan awal sebelum bayi melebihi tiga puluh enam minggu ke atas. Namun, jangan putus asa, masih ada ruang dan peluang kedudukan janin songsang berubah.
Kedudukan ini juga telah memperlihatkan kesan dramatik untuk janin berkedudukan melintang dalam rahim berubah.
Jadi, kenapa tidak memperbanyakkan sahaja solat dan sujud lebih lama dengan bacaan sunat dan doa meminta pada Yang Maha Mengetahui?
Posisi rukuk pada sudut sembilan puluh darjah dapat mengurangkan sakit belakang dan boleh digunakan sebagai terapi untuk menurunkan dan memulihkan sakit pinggang. Bukankah ibu-ibu hamil mudah dapat sakit pinggang? Jadi ini antara cara merawat sakit pinggang tersebut.
Pelupa sinonim dengan ibu hamil gara-gara peningkatan hormon progesteron. Menurut beberapa kajian, otak didapati mengeluarkan gelombang alpha yang agak jelas ketika sujud dan jalur frekuensi gelombang gamma selepas solat adalah lebih tinggi berbanding sebelum solat.
Fenomena ini bermaksud penumpuan dan daya ingatan meningkat ke atas mereka yang bersolat dengan penuh kusyuk.
Gementar untuk mengharungi proses bersalin adalah isu lazim bagi mana-mana ibu yang bakal melahirkan. Antara saranan ialah mengaktifkan hormon gembira endorfin bagi menurunkan aras cemas dan gelisah ini.
Telah dinyatakan senaman ringan yang terbit daripada pergerakan kaki dan tangan semasa ibadah solat mampu merembeskan hormon yang membantu ibu menjelang proses melahirkan.
Kekhusyukan dalam solat yang sinonim dengan unsur meditasi telah terbukti mampu memperbaiki emosi yang kurang stabil. Ibu-ibu yang hamil akan melalui fasa emosi tidak menentu dek penangan hormon-hormon yang bekerja keras. Bersolatlah bagi meredakan perasaan yang membelenggu.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
SITUASI: Iqbal memerhatikan teman sebiliknya menunaikan solat Subuh pada satu pagi. Dia mendapati bahawa temannya itu tidak membaca doa Qunut semasa rakaat kedua dan tidak melakukan sujud sahwi di
akhir solat. Apabila ditanyakan, temannya hanya tersenyum dan menyatakan bahawa solat tidak batal walaupun meninggalkan doa Qunut dengan sengaja dan tidak melakukan sujud sahwi.
Ustaz Khairul Naim Mansor menghuraikan persoalan ini.
Perkara ini telah dibahaskan oleh para ulama sekian lamanya. Secara ringkas, saya ingin cuba menghuraikan padangan-pandangan ulama tentang perkara ini.
Pertama: Ada di antara mereka yang mengatakan bahawa ia terus-menerus menjadi sunnah pada solat subuh pada waktu ketika bencana atau tiada berlaku apa-apa. Pendapat ini adalah daripada Imam Malik, Imam Syafie, Ibnu Abi Laila, Hasan bin Solah, Abu Ishaq al-Ghazali dan al-Auza’ie serta ramai lagi. Termasuk juga daripada sahabat yang berpandangan sedemikian seperti Abu Bakar al-Siddiq,Umar al-Khatab, Uthman bin ‘Affan, Ali bin Abi Talib, Ibnu Abbas, Barra’ bin Azib.
Antara dalil yang paling kuat sebagai hujah bagi pandangan ini adalah “Terus-menerus Rasulullah s.a.w qunut pada solat subuh sehingga Baginda wafat.” (Abdul Razzaq dalam Musannaf 3:110 no 4964, Ahmad 3:162 dan banyak lagi).
Namun terdapat beberapa kritikan pada perawinya sehingga dianggap bahawa hadith ini lemah dan tidak boleh dijadikan hujah. Ini kerana ada juga yang mengatakan Qunut itu mempunyai lebih daripada 10 makna pengertian iaitu doa, khusyuk, ibadah, taat dan lain-lain sebagaimana yang diriwayatkan Ibnu Hajar dan Ibnu Arabi.
Manakala dalam hal waktu solat yang lain ada juga dinyatakan bahawa “tidak ada qunut dalam solat lima waktu kecuali solat subuh. Melainkan jika berlakunya bencana maka dibolehkan dalam semua solat sekiranya imam menyukai.” (al-Umm 1 : 205)
Kedua: Ada di antara mereka seperti Abu Hanifah, Sufian al-Thauri dan lain-lain daripada ulama Kufah yang berpendapat qunut pada solat subuh tidak disyariatkan kerana sudah ter’mansukh’.
Ketiga: Ulama yang berpendapat qunut hanya disyariatkan pada Qunut nazilah dan boleh dilakukan pada solat subuh dan solat-solat lain. Ini merupakan pandangan daripada Imam Ahmad, Al-Laith bin Sa’ad, Yahya bin Yahya al-Laithi dan ahli-ahli fiqh daripada para ulama hadith. Ada juga daripada mereka yang mengatakan tidak ada dalil sahih yang mengkhususkan solat subuh secara terus menerus dan ada riwayat yang menunjukkan qunut subuh disyariatkan daripada perlakuan sahabat yang sahih namun tidak boleh dijadikan pembuktian dalil daripada riwayat tersebut. Ada pun jika ada perlakuan yang jelas daripada mereka ianya pula lemah dan tidak boleh digunakan untuk berhujjah.
Selain itu, Ibnu Qayyim al-Jauziyah mengatakan bahawa di dalam Zaad al-Ma’ad Qunut tidak disyariatkan terus-menerus. Ini kerana andai ia dilakukan pastinya akan diriwayatkan dengan begitu banyak daripada para sahabat namun ternyata ia hanya diriwayatkan dalam hadith yang lemah. Maka meninggalkannya adalah tidak menjadi kesalahan.
Manakala jika kita mengikut pandangan Mazhab Syafie Qunut subuh dikira sebagai sunat ab’adh kerana selalu dilakukan oleh Nabi s.a.w dan apabila meninggalkannya atau terlupa, disunatkan untuk melakukan sujud sahwi dan tidak mengapa jika tidak melakukannya. Ini adalah merujuk hadith yang menerangkan keadaan Nabi s.a.w yang melakukan sujud sahwi ketika meninggalkan tahiyat awal. Para ulama meng’qiyas’kan sujud sahwi yang disebabkan terlupa dan dengan meninggalkannya secara sengaja berdasarkan samanya illat (alasan) hukum iaitu terlupa atau lalai (khalal). Justeru itu, meninggalkan Qunut dan tahiyat awal dianggap sama.
Walau bagaimanapun, ada pendapat kecil yang mengatakan bahawa tidak sunat sujud sahwi jika meninggalkan dengan sengaja. Pendapat ini disanggah ulama kerana kelalaian dengan sengaja itu lebih utama untuk diganti dengan sujud sahwi dari sebab lalai atau terlupa.
Ustaz Khairul Naim Mansor merupakan penyunting Al-Quran di Jabatan Penerbitan Al-Quran Karangkraf dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab Dan Kesusasteraan, Universiti Yarmouk, Jordan.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Bayar Deposit Beli Barang Tapi Tak Jadi Ambil, Duit Pendahuluan Ini Hak Pembeli Atau Penjual?Dalam urusan jual beli hari ini, bayaran pendahuluan atau deposit...