Zaman dunia teknologi masa kini, ada pasangan suami isteri yang menyimpan sperma suami untuk bayi tabung uji. Jika si suami masih hidup tiada masalah namun bagaimana apabila suami meninggal dunia.
Timbul masalah kefahaman dari segi hukum sama ada boleh atau tidak sperma suami yang disimpan itu digunakan oleh isteri.
Ikuti pencerahan berikut.
SOALAN:
Ada orang tanya isu bayi tabung uji. Sepasang suami isteri menyimpan 7 tabung sperma untuk bayi tabung uji. Tiba-tiba suami itu meninggal. Adakah boleh terus disenyawakan dengan ovum isteri setelah ketiadaan suami?
Ads
JAWAPAN:
Diharamkan bagi seorang balu menggunakan air mani suami yang telah meninggal dunia bagi tujuan menghasilkan bayi tabung uji. Ini kerana hubungan perkahwinan tamat apabila suami meninggal dunia. Justeru, benih lelaki yang disimpan sebelum kematian tidak boleh digunakan oleh isteri untuk tujuan persenyawaan dan kehamilan.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-5 yang bersidang pada 16-17 November 1982 dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-6 yang bersidang pada 10 Oktober 1983 telah membincangkan Bayi Tabung Uji.
Ads
Muzakarah telah memutuskan bahawa:
Bayi Tabung Uji dari benih suami isteri yang dicantumkan secara ‘terhormat’ adalah sah di sisi Islam. Sebaliknya benih yang diambil dari bukan suami isteri yang sah bayi tabung itu adalah tidak sah. Bayi yang dilahirkan melalui tabung uji itu boleh menjadi wali dan berhak menerima harta pusaka dari keluarga yang berhak.
Sekiranya benih dari suami atau isteri yang dikeluarkan dengan cara yang tidak bertentangan dengan Islam, maka ianya dikira sebagai cara ‘terhormat’. Antaranya kaedah bayi tabung uji yang diharamkan ialah menggunakan air mani suami yang disimpan Bank Sperma kemudian digunakan oleh isteri selepas kematian suami untuk tujuan kehamilan.
Ads
Berkata Syeikh Prof. Dr. Ali al-Qurahdaghi dalam kitabnya Fiqh al-Qadhaya al-Fiqhiyyah al-Mu`asirah (hlm. 574):
“Seperti mana persenyawaan itu mungkin berlaku semasa suami masih hidup, persenyawaan juga mungkin berlaku setelah suami mati. Hal itu berlaku apabila sesuatu (kehamilan) itu terhasil selepas kematian suami dengan menggunakan nutfah (air mani lelaki atau peringkat awal janin) yang diambil sebelum kematian suami lalu disimpan dalam suatu tempat yang dinamakan “Bank Sperma”. Persenyawaan jenis ini adalah haram secara qat`I sama ada dilakukan secara in-vitro (luar rahim) atau in-vivo (dalam rahim). Ini kerana hubungan perkahwinan tamat dengan kematian, justeru apabila berlaku persenyawaan maka itu berlaku dengan benih bukan suami lalu jadilah ia nutfah yang diharamkan. Sekiranya lahir juga anak daripada hal itu, maka zahirnya anak itu tidak dinasabkan kepada si suami selama mana punca benih itu tidak kekal hidup.”
Tabung uji yang berisi air mani suami yang sudah meninggal dunia tidak boleh lagi digunakan dan hendaklah dihapuskan. Ianya sesuai dengan pandangan hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-1 yang bersidang pada 28-29 Januari 1981 bahawa sekiranya bank air mani telah sedia wujud maka air mani tersebut tidak boleh digunakan lagi.
Sumber Kredit: Mufti Wilayah Persekutuan (Sahibus Samahah Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri)
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
‘Kebersihan sebahagian daripada iman.’ Tiada larangan dalam islam menyapu sampah pada waktu malam seperti yang dimomokkan oleh kebanyakan orang.
Ramai yang percaya bahawa menyapu sampah pada waktu malam akan membawa kesusahan dan kesempitan dalam hidup. Ternyata ia hanya sekadar kepercayaan bukannya larangan dalam agama Islam.
Ikuti penerangan Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri tentang isu menyapu sampah di malam hari akan membawa kepada kemiskinan.
Benarkah menyapu rumah pada malam hari membawa kepada kemiskinan? Sebabnya saya pada waktu siang, saya bekerja, jadinya waktu malam sahaja masa yang ada untuk mengemas rumah. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Secara umumnya tidak ada larangan dalam Islam untuk menyapu dan membersihkan rumah pada waktu malam.
Bahkan sebaliknya kita dituntut untuk menjaga kebersihan rumah dan tempat tinggal kita pada bila-bila masa.
Hal ini kerana Islam sangat prihatin terhadap soal menjaga kebersihan dan bersuci. Ini kerana kebersihan merupakan sebahagian daripada ciri-ciri orang beriman.
Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Malik al-Asy‘ari bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ
Maksudnya: “Bersuci itu adalah sebahagian daripada ciri-ciri keimanan.”
Riwayat Muslim (223)
Begitu juga terdapat hadith lain yang menggalakkan atau menggesa untuk membersihkan rumah-rumah, dan ia jelas disebut sebagai salah satu ciri orang Mukmin dan meninggalkannya pula adalah salah satu ciri orang Yahudi.
Terdapat riwayat daripada Sa‘ad bin Abu Waqqas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah itu baik dan mencintai kebaikan, bersih dan menyukai kebersihan, mulia dan mencintai kemuliaan, pemurah dan menyukai kedermawanan. Oleh itu, bersihkanlah halaman rumahmu dan janganlah menyerupai orang Yahudi.”
Riwayat al-Tirmizi (2799) dan beliau menilainya sebagai gharib kerana di dalamnya terdapat perawi bernama Khalid bin Ilyas dan dia dinilai sebagai dha’if.
Syu‘aib al-Arna’ut pula menyatakan dalam Takhrij Zad al-Ma‘ad (4/256), di dalamnya terdapat perawi bernama Khalid bin Ilyas dan dinyatakan dalam al-Taqrib, matruk al-hadith (orang yang ditinggalkan hadithnya).
Bahkan Dr. Muhammad ‘Abd al-Sami‘, Mudir Idarah al-Furu‘ al-Fiqhiyyah dan Ahli Jawatankuasa Fatwa di Dar al-Ifta’ ketika ditanya mengenai adakah menyapu rumah pada waktu malam membawa kepada kefakiran?
Beliau menyebutkan bahawa dibolehkan untuk membersihkan rumah pada waktu malam dan tidak ada apa-apa akibat dalam melakukan hal tersebut, serta hukumnya tidak haram sebagaimana yang disangkakan oleh sebahagian orang.
Beliau menambah lagi dalam jawapannya itu, begitulah juga halnya membersihkan kawasan perniagaan pada waktu malam. Hal ini kerana tidak ada dalam agama apa-apa yang melarang daripada melakukannya dalam apa jua keadaan.
Kami berpendapat selama mana ia kotor dan ada kemampuan oleh tuan rumah atau amah, maka boleh dibersihkan siang ataupun malam.
Kami melihat Masjid Nabawi dan Masjidil Haram dibersihkan siang dan malam begitu juga hotel-hotel. Tiada nas yang sahih lagi sarih yang melarang untuk menyapu rumah sama ada malam, siang, pagi dan petang.
Pepatah Arab menyebut:
النَّظَافَةُ مِنَ الَايْمَانِ
Maksudnya: “Kebersihan sebahagian daripada iman.”
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kashoorga: Umum mengetahui bahawa orang-orang tua dahulu banyak kiasan, jadi barangkali mungkin mereka hanya berpesan agar anak-anak mengemas rumah di siang hari melakukan pekerjaan lain.
Antara amalan sunat yang boleh dilakukan apabila tibanya Syawal adalah dengan melakukan ibadah puasa sunat enam hari pada bulan Syawal. Ini berdasarkan sebuah hadis riwayat Muslim daripada Abu Ayyub al-Ansari RA, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari pada bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun. Riwayat Muslim (1164)
Persoalannya, jika seseorang itu tidak berpuasa penuh ketika Ramadan, contohnya kerana sakit atau datang haid, kemudian dia berpuasa enam hari pada bulan Syawal, adakah dia dikira mendapat pahala seperti yang disebut dalam hadis?
Imam Ibn Hajar al-Haitami menjelaskan ketika menghuraikan hadis di atas:
Maksudnya: Poin utama matan hadis ialah hukum sunat berpuasa (enam hari pada bulan Syawal), termasuk bagi yang tidak berpuasa pada bulan Ramadan, kecuali bagi sesiapa yang tidak berpuasa dengan sengaja (tanpa sebarang keuzuran).
Maksudnya: Maka di sini kita ketahui bahawa sesiapa yang tidak mampu berpuasa Ramadan kerana sakit dan membayar fidyah sebagai ganti, kemudian dia sembuh pada hari raya, lalu dia puasa sunat Syawal selama enam hari, dia mendapat pahala seperti yang disebut dalam hadis, dan tiada masalah dalam hal tersebut.
Permasalahan yang berkaitan juga adalah apa yang disebut oleh al-’Izz bin ‘Abd al-Salam bahawa seseorang yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa, seolah-olah dia berpuasa selama setahun.
Kesimpulannya, seseorang yang tidak berpuasa penuh ketika Ramadan kerana keuzuran, atau langsung tidak berpuasa kerana sakit, lalu dia membayar fidyah dan dia menunaikan puasa enam hari pada Syawal, dikira mendapat pahala puasa setahun yang disebut dalam hadis.
Maksudnya: Jika seseorang itu sakit atau bermusafir (dan tidak solat secara berdiri atau solat secara qasar, dia akan mendapat pahala sama seperti amalannya ketika dia bermukim dan dalam keadaan sihat. Sahih al-Bukhari
Menurut Syeikh al-Husain al-Muzhir, hadis ini bermaksud:
إذا فات منه عمل صالح بسبب المرض أو المسافرة أو شغل طاعة أو مباح، أعطاه ثواب ذلك العمل؛ لأنه معذور في فَوت ذلك العمل، وهذا في غير الفرائض
Maksudnya: Jika seseorang itu terlepas daripada melakukan suatu amal soleh disebabkan sakit, permusafiran atau kesibukan kerana melakukan suatu perkara ibadah atau perkara yang harus, Allah SWT tetap akan mengurniakan pahala amal soleh tersebut kepadanya. Hal ini kerana dia diberi keuzuran akibat terlepas daripada mengerjakan amal tersebut, namun hal ini hanya khusus kepada amalan sunat sahaja.
Namun kelebihan ini tidak diperolehi jika dia sengaja tidak berpuasa atau sengaja berbuka pada bulan Ramadan tanpa sebarang keuzuran.
Ramai yang beranggapan andai bernazar, ianya wajib ditunaikan. Namun bila menyentuh tentang nazar ada sesuatu yang harus kita fahami dari konteks apa nazar itu disebut. Ketua Penolong Mufti Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed berkongsi mengenai nazar poligami yang wajar diberi perhatian oleh golongan lelaki yang sering menyebutnya.
Nazar Poligami (Sesiapa yang malas baca semua, boleh skip ke point no. 7 dan seterusnya)
1) Apabila seseorang itu bernazar untuk melakukan sesuatu ibadah yang sunat, maka wajib ke atasnya untuk melakukan ibadah itu, sebagai contoh: ‘Aku bernazar kerana Allah melakukan puasa Asyura pada tahun ini’. Hukum asal puasa pada hari Asyura ialah sunat, namun apabila dinazarkan maka ia menjadi wajib. Jika dia tidak melakukan puasa Asyura pada tahun itu, maka dia wajib membayar kaffarah kerana melanggar janji kepada Allah.
2) Namun begitu tidak semua amalan sah atau ‘valid’ untuk dijadikan amalan yang dinazarkan(Manzur). Oleh itu sesiapa yang ingin bernazar maka dia perlu mengenal pasti dahulu amalan manakah yang sesuai untuk dinazarkan. Imam Syahabuddin al-Ramli(Ramli Kabir) menjelaskan piawaian amalan yang sah untuk dijadikan amalan nazar di dalam karangan beliau “Fathul Rahman”(Syarah Matan Zubad):
وأما المنذور: فهو قربة غير واجبة وجوب عين، سواء أكانت عبادة مقصودة بأن وضعت للتقرب بها وعرف من الشارع الاهتمام بتكليف الخلق بإيقاعها عبادة؛ كصلاة وصوم وحج، واعتكاف وصدقة، أو فرض كفاية
Maksudnya: “Manakala ‘manzur’(amalan yang dinazarkan) adalah qurbah(ibadah) yang bukan fardu ain, samaada ibadah maqsudah iaitu dilakukan untuk mendekatkan diri (kepada Allah) dan ditakrifkan oleh Pensyariat(Allah Ta’ala) sebagai satu komitmen yang ditaklifkan (dipertanggungjawabkan) kepada makhluk yang dikira sebagai ibadah, seperti solat, puasa, haji, iktikaf, sedekah atau fardu kifayah”.
3) Kenyataan Imam Ramli di atas menunjukkan bahawa amalan yang layak dinazarkan hanya tertakluk kepada ibadah sahaja yang bukan ketogari fardu ain seperti solat 5 waktu dan puasa Ramadan. Selain dari ibadah khusus seperti solat dan puasa sunat, apa sahaja amalan yang dipuji oleh syarak, sah dan wajib diamalkan sebagai nazar, perkara ini disebut dengan jelas oleh Imam Ramli dalam rujukan yang sama:
وإنما هي أعمال وأخلاق مستحسنة رغب الشارع فيها؛ لعظم فائدتها، وقد يبتغي بها وجه الله تعالى فيثاب عليها؛ كعيادة المريض، وتطييب الكعبة وكسوتها، وتشميت العاطس، وزيارة القادم والقبور، وإفشاء السلام على المسلمين، وتشييع الجنائز.
Maksudnya: “Ia(qurbah) hanyalah amalan-amalan dan akhlak yang baik yang mana ia digalakkan oleh Pensyariat(Allah) untuk melakukannya kerana faedahnya yang sangat besar. Adakalanya ia (dilakukan) demi mendekatkan diri pada Allah maka ia diberi ganjaran melalui amalan-amalan itu seperti menziarahi orang sakit, mewangikan kaabah, meletakkan kiswah pada kaabah, mendoakan orang yang bersin, menziarahi orang yang pulang dari musafir, menziarahi kubur, memberi salam pada orang-orang Islam dan mengiringi jenazah”.
4) Perbuatan yang tidak dikira sah untuk diamalkan sebagai nazar adalah perkara yang melibatkan perbuatan maksiat dan perbuatan yang diharuskan/dibolehkan oleh syarak. Fakta ini dinyatakan dengan jelas oleh Imam al-Ramli:
وخرج بـ (القربة): المعصية، فلا يصح نذرها، والمباح كأكل ونوم، فلا يصح نذره؛ لخبر أبي داوود: "لا نذر إلا فيما ابتغي به وجه الله"، فلو نذر ذلك وخالف .. لم تلزمه كفارة.
Maksudnya: “Perkara yang terkeluar dari ketogari qurbah ialah maksiat, maka tidak sah nazar untuk maksiat. Begitu juga perkara yang harus hukumnya seperti makan dan tidur, maka tidak sah nazarnya, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, “Tiada nazar melainkan pada perkara yang mendekatkan diri pada Allah”. Jika seseorang itu bernazar (untuk perkara yang harus hukumnya) lalu dia tidak menunaikan nazar itu, maka tidak diwajibkan kaffarah ke atasnya”.
5) Jelas di sini bahawa hukum bernazar dengan amalan yang harus dilakukan menurut syarak tidak sah nazarnya menurut mazhab Syafi’ie, malah ia adalah perkara yang sia-sia dan pada zahirnya tiada ganjaran yang dikurniakan oleh Allah. Malah jika seseorang tidak menunaikan nazar tersebut maka dia tidak dikira melanggar janji pada Allah dan tidak diwajibkan kaffarah sebagai ganti. Perkara ini dibuktikan melalui hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ibn Abbas radiyallahu ‘anhuma:
Maksudnya: Ketika Nabi ﷺ berkhutbah, pada masa yang sama ada seorang lelaki yang berdiri di tengah matahari terik, lalu Baginda bertanya tentang lelaki itu. Lalu para sahabat menjawab, ‘Dia Abu Israel bernazar untuk berdiri dan tidak duduk, tidak berteduh (dari kepanasan matahari), tidak bercakap dan berpuasa’. Lalu Baginda bersabda, “Suruh dia bercakap, berteduh dan duduk. Hendaklah dia menyempurnakan puasanya”. (HR Abu Daud) 6) Jelas yang dinyatakan oleh hadis di atas, Rasulullah ﷺ tidak membenarkan Abu Israel RA meneruskan amalan nazar yang bukan dalam ketogari ibadah. Namun Baginda memerintah agar beliau menuruskan nazar puasanya kerana ia termasuk dalam ibadah.
7) Bagi menjawab soalan di atas, hukum asal perkahwinan adalah sunat dan ia termasuk dalam kategori qurbah (ibadah) yang dipuji dan digalakkan oleh syariat, bahkan ia adalah sunnah yang amat dituntut Rasulullah ﷺ. Oleh itu sesiapa yang telah bernazar untuk berkahwin sama ada poligami atau monogami, maka dia wajib menunaikannya lebih² lagi bagi mereka yang mampu.
8)) Hukum meninggalkan nazar bagi mereka yang mampu melaksanakan adalah berdosa dan disifatkan sebagai orang yang bersifat munafik kerana mengingkari janjinya kepada Allah. Selagi dia mampu untuk melaksanakan nazar itu dia tidak boleh berpindah kepada kaffarah.
9) Melainkan jika seseorang itu tidak mampu atau terhalang untuk melaksanakan nazar oleh keuzuran syar’ie, maka dia wajib menunaikan “Kaffarah Yamin”, iaitu memilih salah 1 dari 3 cara, a) Membebaskan seorang hamba mukmin b) Memberi makan 10 orang fakir miskin c) Memberi pakaian lengkap kepada 10 orang fakir miskin d) Jika tiada ketiga² di atas, maka puasa 3 hari.
10) Satu perkara penting yang ditekankan di sini bahawa sesuatu nazar tidak sah dan tidak wajib dilaksanakan jika sekadar berniat di hati, iaitu niat nazar itu tidak dilafazkan dengan lidah. Maksudnya jika bernazar untuk poligami hanya di dalam hati dan tidak dilafazkan di mulut, maka tidak termetrai nazar itu dan tidak wajib dilaksanakan. Namun jika sebaliknya ia menjadi kewajipan yang tidak boleh diabaikan.
11) Dinasihat agar kita semua perlu berfikir panjang sebelum berniat dan melafazkan sesuatu nazar, apakah implikasinya di kemudian hari? agar tidak menyesal di suatu hari nanti, jangan sampai periuk dan belanga terbang di sana sini. Wallahu A’lam Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil @ Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Dalam kesibukan kehidupan seharian yang sering menuntut tenaga fizikal dan emosi, waktu sebelum tidur menjadi detik paling sesuai untuk seorang Muslim kembali menenangkan jiwa...