Insiden pelakon Will Smith memukul rakan artis, Chris Rock mendapat perhatian dunia. Apatah lagi, tindakan itu dilakukan di majlis Oscar yang merupakan acara berprestij. Will Smith dikatakan memukul Chris kerana menghina isterinya yang menderita sakit alopecia sehingga rambutnya gugur dan botak.

Ramai melihat tindakan kerasnya itu sebagai “hero” kerana mempertahankan maruah isteri disayangi.

Di dalam Islam dan di dalam perkahwinan, suami dan isteri mempunyai hak yang perlu saling dijaga di antara satu sama lain.

Bagi seorang isteri, antara tanggungjawab yang perlu dia jalankan adalah menjaga maruah dirinya dan suaminya khususnya ketika ketiadaan suami. Ini berdasarkan firman Allah SWT

فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّـهُ

Maksudnya : “…Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya…”

Imam Al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat tersebut, beliau menyatakan :-

هَذَا كُلُّهُ خَبَرٌ، وَمَقْصُودُهُ الْأَمْرُ بِطَاعَةِ الزَّوْجِ وَالْقِيَامُ بِحَقِّهِ فِي مَالِهِ وَفِي نَفْسِهَا فِي حَالِ غَيْبَةِ الزَّوْجِ.

“Ini semua adalah pengkhabaran. Yang dimaksudkan dengan ayat tersebut adalah perintah agar taat kepada suami dan menunaikan hak suami pada hartanya serta (menjaga) dirinya ketika ketiadaan suaminya.”

IKLAN

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi ﷺ pernah ditanya :-

أَيُّ النِّسَاءِ خَيْرٌ؟ قَالَ: ” الَّذِي تَسُرُّهُ إِذَا نَظَرَ، وَتُطِيعُهُ إِذَا أَمَرَ، وَلَا تُخَالِفُهُ فِيمَا يَكْرَهُ فِي نَفْسِهَا وَمَالِهِ

Maksudnya : “Siapakah wanita yang terbaik?. Baginda ﷺ bersabda : Yang mana dia menggembirakan suaminya jika dia melihatnya, dia taat kepadanya jika dia perintah dan tidak melakukan perkara yang bersalahan dengan apa yang dia tidak suka sama ada pada maruah dirinya atau harta suaminya.

Dalam sebuah riwayat yang lain yang diriwayatkan daripada Abu Umamah Al-Bahili, Nabi ﷺ bersabda :-

مَا اسْتَفَادَ الْمُؤْمِنُ بَعْدَ تَقْوَى اللَّهِ خَيْرًا لَهُ مِنْ زَوْجَةٍ صَالِحَةٍ، إِنْ أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ، وَإِنْ نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ، وَإِنْ أَقْسَمَ عَلَيْهَا أَبَرَّتْهُ، وَإِنْ غَابَ عَنْهَا نَصَحَتْهُ فِي نَفْسِهَا وَمَالِهِ

Maksudnya : “Seorang mukmin tidak akan mendapat faedah yang lebih baik daripada isteri yang solehah selepas bertakwa kepada Allah. Jika suaminya memerintahkannya, dia akan taat. Jika suaminya melihatnya, dia akan menggembirakan suaminya. Jika suaminya bersumpah, dia akan melepaskan sumpah suaminya. Jika suaminya tiada, dia akan menjaga maruah dirinya dan harta suaminya.”

IKLAN

Jika dilihat pada firman Allah dan hadith-hadith tersebut, seorang wanita atau isteri perlu untuk menjaga dirinya ketika ketiadaan suaminya. Jika keadaan seperti itu sudah diwajibkan untuk menjaga diri dan maruah, apatah lagi jika berada di hadapan suaminya. Aib suami perlu dijaga dan nama baik suami perlu dipelihara.

Tanggungjawab ini bukan sahaja dipikul oleh isteri bahkan suami juga mempunyai tanggungjawab yang lebih besar. Firman Allah ﷻ :-

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّـهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ

Maksudnya : “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan…”

Imam Al-Baidhawi menafsirkan ayat ini :-

يقومون عليهن قيام الولاة على الرعية،

IKLAN

“Para lelaki mempunyai tanggungjawab ke atas para wanita seperti mana tanggungjawab pemimpin terhadap rakyat.

Ini bermakna tanggungjawab para suami bukan hanya memberikan nafkah bahkan lebih daripada itu. Antara tanggungjawab suami yang perlu dijalankan terhadap isterinya adalah mendidiknya. Perkara ini merujuk kepada firman Allah :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّـهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

Ibn Kathir menukilkan pandangan Qatadah, seorang tokoh ahli tafsir terhadap ayat tersebut. Beliau berkata :-

تأمرهم بطاعة الله وتنهاهم عن معصية الله وأن تقوم عليهم بأمر الله وتأمرهم به وتساعدهم عليه فإذا رأيت لله معصية ردعتهم عَنْهَا وَزَجَرْتَهُمْ عَنْهَا،

“Kamu memerintahkan mereka untuk taat kepada Allah dan melarang mereka daripada melakukan maksiat kepada Allah. Kamu perlu jalankan tanggungjawab terhadap mereka berdasarkan perintah Allah dan membantu mereka untuk menjalankan perintah Allah. Jika kamu lihat mereka melakukan maksiat kepada Allah, maka halang dan cegah mereka daripadanya.”

Inilah tanggungjawab yang perlu dipikul oleh suami. Dia tidak boleh membiarkan isteri dan ahli keluarganya hanyut tanpa panduan. Lebih teruk lagi membiarkan isterinya melakukan sesuatu yang dilarang oleh agama. Jika ini berlaku maka suaminya itu adalah seorang suami yang dayus. Bahkan saat maruah isteri dihina, suami wajib mempertahankanya. Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI