Nampak pokok bunga cantik tepi jalan atau lebuh raya kita pun berhenti dan cantas sedikit batangnya untuk buat benih tanam di rumah.
Mungkin dah biasa kita lakukan tapi harus diingat ada hukum dan adab yang termaktub tentang perkara ini dalam Islam. Persoalan ini dibangkitkan oleh netizen kepada Mufti Pulau Pinang dan berikut adalah penjelasan yang diberikan. Moga dijadikan panduan buat kita.
Soalan
Apakah hukum mengerat sedikit ranting dan tunas atau mengambil anak yang tumbuh dari pokok bunga yang hidup di tepi jalan raya atau di taman. Tujuannya adalah untuk mendapat benih/baka bagi tumbuhan tersebut. Cara mengerat dibuat dengan baik dan tidak merosakkan tumbuhan tersebut.
Jawapan
Hukum asal adalah haram mengambil atau mengerat walaupun sedikit ranting atau tunas pada pokok di tepi jalan atau taman kerana ia adalah milik orang lain kecuali dengan izinnya.
Perkara ini termasuk dalam kategori mengambil atau memakan harta orang lain secara batil (salah) yang telah diharamkan oleh Allah SWT seperti dalam firmannya:
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan salah.”
(Surah al-Baqarah: 188)
Ads
Namun syarak mengiktiraf adat dan budaya baik setempat. Jika adat dan budaya sesuatu tempat masyarakat yang hidup berjiran saling membenar dan menghalalkan sesama mereka, maka ia adalah dibenarkan mengambil dan memakannya dengan tidak berlebih-lebihan sekadar untuk keperluan dirinya sahaja.
Akan tetapi berasaskan kepada sifat wara’, adalah baik tidak mengambil dan memakannya kecuali telah diketahui secara pasti bahawa jiran atau tuan tanah tersebut sememangnya seorang yang baik hati atau terus sahaja meminta izin daripadanya atau orang yang menguruskannya.
Ads
Hal ini juga termasuk tanah milik kerajaan atau kawasan rizab yang telah ditentukan, maka sebaiknya hendaklah mendapat keizinan terlebih dahulu. Demikianlah adab-adab yang dititik beratkan dalam Islam. Moga kita dapat mempraktikkannya, insya Allah.
Hukum bermain game yang mempunyai unsur sihir ini memang perlu diberi perhatian memandangkan permainan seperti ini sudah jadi bentuk hiburan harian ramai.
Tak dinafikan terdapat game yang memaparkan elemen “magic”, kuasa luar biasa atau dark theme yang mana menimbulkan persoalan, adakah ia juga dikira sebagai syirik yang dilarang dalam Islam?
Isu ini diketengahkan oleh Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang yang turut memberi penjelasan tentang hukumnya.
Memetik portal jabatan mufti tersebut, bermain video game atau game dalam talian adalah salah satu bentuk hiburan masa kini. Oleh itu, hukum asal permainan ini adalah harus. Namun begitu hukumnya boleh berubah kepada makruh atau haram mengikut garis panduan hukum berhibur yang telah dijelaskan.
Secara bahasa, sihir bermaksud satu amalan yang bertujuan mendekatkan diri kepada syaitan dengan memohon bantuan daripadanya atau perbuatan atau kejadian yang luar biasa yang dilakukan oleh manusia secara tersembunyi atau ghaib yang melibatkan makhluk halus.
Secara istilahnya memberi pengertian ikatan, jampi dan perkataan yang diucapkan atau ditulis atau dibuat sesuatu yang mendatangkan kesan dan akibat buruk terhadap tubuh orang yang disihir atau terhadap hati dan akalnya tanpa menyentuhnya secara langsung.
Para ulama menyatakan bahawa sihir merupakan perbuatan yang berdosa besar dan boleh membawa kepada kesyirikan. Oleh itu, Islam melarang umatnya daripada terjerumus dengan sihir serta menyuruh mereka menjauhinya.
Namun, berdasarkan pemerhatian, sihir atau ‘magic’ dalam game adalah kesan khas yang berasaskan sumber tenaga alami seperti api atau air atau kilat sebagai kemahiran yang digunakan melalui butang permainan untuk mengalahkan musuh. Tujuan permainan tersebut juga adalah untuk menghiburkan para pemain.
Berbalik kepada persoalan, kami berpandangan sebegini:
ما أدى إلى الحرام فهو حرام
Maksudnya: “Sesuatu yang membawa kepada haram maka hukumnya juga haram.”
Hal ini kerana, permainan ini dimainkan semata-mata atas tujuan hiburan. Oleh itu, hukum bermain permainan tersebut tidak boleh diletakkan dalam golongan yang membenarkan atau mempercayai sihir yang telah diharamkan berdasarkan hadis Nabi SAW melalui sabdanya:
Maksudnya: “Siapa yang mendatangi tukang tilik lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu maka tidak diterima darinya solat selama empat puluh malam.” [Sahih Muslim 2230]
Berdasarkan pernyataan di atas, kami menyimpulkan bahawa bermain video games yang mempunyai unsur ‘magic’ atau ‘bad omen’ yang tidak mempunyai sebarang ritual atau jampi atau isyarat yang berkaitan dengan keagamaan tertentu atau kefahaman yang menyeleweng daripada agama Islam adalah dibenarkan.
Berhati-hati dengan orang bersikap talam dua muka, ahli neraka tempatnya. Mulut manis, pandai berlakon, tiada simpati dan susah menerima teguran antara ciri-ciri orang yang bersikap talam dua muka.
Dalam erti kata lain, pandai bermuka-muka demi kebaikan dan kepentingan sendiri hingga sanggup menjatuhkan serta mengaibkan orang lain tanpa rasa bersalah.
Hidup seakan penuh drama dan penipuan tetapi si talam dua muka ini sememangnya tiada rasa malu dan takut dengan perbuatan yang telah dilakukan. Padahal ketahuilah balasan Allah kelak bagi orang seperti ini.
Ikuti kemusykilan yang dirungkaikan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tentang kesahihan hadis yang menyebutkan tentang orang bertalam dua muka di akhirat mempunyai dua muka daripada neraka.
Soalan:
Salam, boleh saya tahu ada tak hadis yang menyebutkan bahawa orang bertalam dua muka akan datang pada hari akhiratnya dengan mempunyai dua muka daripada neraka?
Dewasa ini, masyarakat Islam khususnya di Malaysia semakin berhati-hati terhadap sesuatu berita yang mereka terima sama ada secara lisan mahupun bacaan.
Sikap sebegini harus dipuji kerana Islam mengajarkan umatnya untuk sentiasa bertabayyun(meneliti fakta) dalam setiap berita yang diterima. Hal ini kerana, tidak semua berita yang diterima adalah benar.
Dalam satu hadis Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Memadai seseorang itu dianggap sebagai pendusta apabila dia menyampaikan semua yang dia dengar.”- Riwayat Muslim.
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, adakah terdapat hadis yang menyebutkan bahawa orang yang talam dua muka akan datang di hari akhirat dengan dua muka?
Setelah carian dilakukan, benar terdapat hadis yang menyebutkan berkenaan manusia yang talam dua muka.
Namun dalam hadis tersebut tidak mengatakan bahawa manusia yang talam dua muka akan datang pada hari akhirat dengan dua muka daripada neraka kerana sikapnya di dunia sedemkian.
Hadis tersebut merupakan hadis riwayat Abu Hurairah RA dan ia boleh ditemui dalam dalam karya-karya hadis muktabar seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain.
Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya:
Kami mendapati sejahat-jahat manusia adalah manusia yang bermuka-muka, dia mendatangi satu kumpulan dengan satu muka dan mendatangi kumpulan lain dengan muka yang lain.- Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa orang yang talam dua muka merupakan seorang yang memiliki sifat munafik.
Perkara ini sebagaimana yang beliau sebutkan dalam al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, kata beliau:
Maksudnya:
Sabda SAW yang menyebutkan bahawa manusia yang mempunyai dua muka merupakan manusia yang jahat kerana ia merupakan sifat munafik, bohong dan dia berhelah untuk mendapatkan rahsia daripada dua kumpulan.
Dia mendatangi setiap kumpulan dengan apa yang mereka suka dan diceritakan kepada kumpulan itu dan daripada cerita itu ada yang baik dan ada yang buruk. Perbuatan bermuka-muka seperti ini diharamkan.
Benar terdapat hadis yang menyebutkan berkenaan orang yang bersikap dengan sikap talam dua muka. Hadis tersebut ialah riwayat Abu Hurairah RA dan ia boleh ditemui dalam beberapa karya hadis muktabar seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Musnad al-Imam Ahmad dan lain-lain.
Namun dalam hadis tersebut tidak dinyatakan bahawa orang yang bersikap dengan sikap talam dua muka, di akhirat kelak dia akan datang dengan dua muka daripada neraka kerana sikapnya di dunia sedemikian.
Solat jamak adalah menghimpunkan atau mengumpulkan dua solat dalam satu waktu, iaitu menghimpunkan solat Zohor dengan Asar, atau Maghrib dengan Isyak dalam satu waktu yang sama, sama ada dalam waktu yang pertama atau yang kedua.
Umum mengetahui ia adalah untuk kemudahan bagi golongan musafir, namun adakah solat jamak ini dibolehkan untuk orang yang sakit?
Menjelaskan tentang persoalan ini kata Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil terdapat beberapa pandangan tentang solat jamak untuk orang yang sakit.
Pandangan mazhab Syafi’i bahawa sakit bukan keuzuran yang membenarkan seseorang untuk menjamakkan dua solat.
Oleh yang demikian, orang yang sakit walaupun tenat sekalipun tidak boleh menjamakkan antara dua solat menurut pendapat yang muktamad.
Namun menurut pendapat kedua Imam Syafi’i (menurut kenyataan al-Azra’i dan al-Isnawi) dan pandangan peribadi Imam Nawawi mengharuskan orang yang sakit menjamakkan dua solat sama ada takhir atau takdim. Perkara ini dinyatakan oleh Sheikh Shato al-Bakri di dalam karyanya, Iʿānat al-Ṭālibīn:
ولا يجوز الجمع بنحو وحل ومرض على المشهور في المذهب، لكن المختار من حيث كأن كان يحم مثلا وقت الثانية قدمها بشروط جمع التقديم، أو وقت الاولى أخرها بنية الجمع في وقت الاولى.
Maksudnya: “Tidak boleh (haram) menjamakkan solat disebabkan lumpur (di jalanan disebabkan hujan) dan sakit menurut pendapat yang masyhur(rajih) menurut mazhab Syafi’i.
Tetapi pendapat yang terpilih (di sisi al-Nawawi) seperti mana seseorang yang demam panas (kuat) misalnya (dijangka berlarutan dan bertambah) pada waktu yang kedua, lalu melakukan jamak takdim dengan syarat-syarat jamak takdim, atau sakit itu bermula pada waktu solat yang pertama lalu ditakhirkan dengan niat jamak pada waktu solat yang pertama.”
Walau bagaimanapun, majoriti ulama mutakhir Syafi’iyyah menyokong pandangan Imam al-Nawawi dan qaul kedua Imam Syafi’i yang mengharuskan jamak solat bagi orang yang sakit kerana kekuatan dalilnya.
Ia dinyatakan sendiri oleh Sheikh Zainuddin al-Malibari di dalam karyanya, Fatḥ al-Muʿīn:
يجوز الجمع بالمرض تقديما وتأخيرا على المختار
Maksudnya: “Harus menjamakkan solat secara takdim dan takhir disebabkan sakit menurut pandangan yang dipilih (oleh Imam al-Nawawi).”
Ulama mutakhir mazhab Syafi’I telah menetapkan piawaian sakit yang membenarkan si pesakit menjamakkan dua solat sepertimana yang dijelaskan di dalam kitab Iʿānat al-Ṭālibīn:
وضبط جمع متأخرون المرض هنا بأنه ما يشق معه فعل كل فرض في وقته، كمشقة المشي في المطر، بحيث تبتل ثيابه .وقال آخرون: لا بد من مشقة ظاهرة زيادة على ذلك، بحيث تبيح الجلوس في الفرض.
Maksudkan:
“Sejumlah ulama mutakhir (mazhab Syafi’i) menetapkan piawaian sakit di sini ialah sakit yang menyukarkan pesakit untuk melaksanakan setiap solat fardu pada waktunya seperti kesukaran berjalan ketika hujan yang membasahkan pakaiannya.
Menurut sebahagian ulama yang lain, kepayahan itu mestilah terzahir dengan jelas yang lebih dari kadar itu, iaitu sakit yang mengharuskan solat fardu dalam keadaan duduk.”
i. Menurut pandangan Imam al-Nawawi dan ulama mutakhir mazhab Syafi’i, Orang yang ditimpa sakit harus menjamakkan antara dua solat sama ada jamak takdim atau takhir. Oleh yang demikian, masyarakat awam boleh beramal dengan pandangan ini.
ii. Sakit yang mengharuskan solat mestilah sakit yang kuat atau teruk sehingga pesakit itu sukar untuk mendirikan solat pada setiap waktu akibat sakit tenat yang dialaminya, seperti sakit yang susah untuk berwuduk dengan sendiri, sakit yang tidak boleh bangun dan sakit ketika hendak bersalin.
iii. Manakala sakit ringan seperti pening kepala dan demam ringan tidak dibenarkan solat jamak sepertimana yang dinyatakan oleh Sheikh Shato al-Bakri di dalam Iʿānat al-Ṭālibīn.
iv. Solat jamak dalam perbahasan ini hanya melibatkan jamak sahaja, iaitu tidak diharuskan mengqasarkan solat dalam keadaan sakit. Melainkan si pesakit berada dalam keadaan musafir.