Dikurniakan anak dengan dua atau tiga pusar di kepala seharusnya tidak dilihat sebagai satu bala. Berlegar nitos atau kepercayaan karut di kalangan ibu bapa, anak-anak yang mempunyai lebih daripada satu pusar di kepala diyakini akan membesar menjadi anak yang nakal, degil dan sukar diatur.
Bukan itu sahaja, ada juga yang mempercayai anak ini menjadi rebutan dua roh yang ingin menguasai badan anak tersebut. Dan menambahkan lagi kegelisahan, ada juga yang percaya, anak-anak ini apabila dewasa akan berkahwin lebih daripada satu.
Mitos seperti ini sebenarnya tidak menyumbang kepada perkembangan positif baik kepada anak itu atau ibu bapa yang tertekan dengan kepercayaan yang diperturunkan dari zaman moyang kita lagi.
Menurut Doktor Abdul Rahim dari Klinik Abdul Rahim, Bayan lepas Pulau Pinang, kejadian ini sebenarnya bukanlah perkara pelik dalam dunia perubatan.
“Pusar rambut di kepala adalah sejenis rambut yang tumbuh mengikut pattern arah jam atau lawan arah jam membulat dengan titik pusat kelihatan di tengah-tengahnya.
“Pusar ini terjadi kepada manusia atau haiwan yang berbulu; di atas badan dan di kepala sejak dalam kandungan ibu lagi. Mempunya pusar rambut satu, dua atau lebih mengikut genetik. Dan tiada kaitan langsung menentukan tabiat atau perangai anak,” jelasnya.
Ads
Manakala dari sudut pandang Islam, tidak sepatutnya sebarang mitos timbul dalam perkara ini.
Semua ibu bapa harus tahu dan faham bahawa Islam adalah agama sempurna, ilmiah yang dibangunkan di atas bukti dan dalil-dalil; samada dari ayat suci al-Quran atau pun sunnah nabi SAW atau boleh juga diterima secara penemuan hasil kajian saintifik oleh pakar yang boleh menjelaskan perkara ini.
Anak kecil ini tidak tahu apa-apa. Kita lah yang mencorakkan kehidupannya nanti, bukannya pusar di kepala.
Kita sebagai hamba Allah yang dikurniakan akal fikiran, perlu berpegang dan mengamalkan dua perkara ini sahaja bagi menjawab apa sahaja persoalan tentang kehidupan:
Ads
Dalil Al Quran atau hadis yang menunjukkan hal tersebut
Bukti material yang jelas sebab dan akibatnya dan boleh diuji.
Kalau tidak ada satu dari keduanya, maka itulah yang dikenal dengan khurafat (cerita bohong tanpa bukti) atau Tathoyur (menganggap sial kerana sesuatu) dan yang sejenisnya.
Maka jelas di sini dari penjelasan seorang doktor dan juga dari sudut pandang agama, mempercayai mitos tentang pusar di kepala ini adalah sesuatu yang tidak benar; bercanggah dari ajaran Islam. Mempercayainya akan jatuh khurafat yang boleh membawa kepada syirik.
Perginya seorang murabbi ummah dan sebutir permata hati Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz begitu mengesankan.
Allahyarham telah kembali ke rahmatullah pada Subuh 1 Mei 2019 bersamaan 25 Syaaban 1440H. Mulia sungguh pengakhirannya, Allahuakbar.
‘Andainya ini Ramadan Terakhir’ adalah kuliah Maghrib terakhir disampaikan ayah saya malam sebelum pemergiannya,” demikian menurut Mohamad Yusri Abu Hassan, 45, anak sulung kepada Allahyaram Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz,72.
Menurutnya, pada kebiasaan ayahnya akan bermalam di kawasan tempat ceramah, namun malam itu, Allahyarham pulang ke rumah bersama ibunya kerana pagi 1 Mei 2019 beliau perlu menghadiri satu lagi sesi ceramah di Ipoh, Perak.
UNGKAPAN TERAKHIR
‘Selepas malam ini tiada lagi soalan’ adalah ungkapan terakhir yang menjadi kenangan dalam kalangan 150 jemaah Surau An-Nur Fasa 3 Bandar Seremban Selatan.
Pada akhir kuliah itu, Allahyarham telah meminta para jemaah surau itu mengajukan soalan kepadanya dan melafazkan ungkapan itu selepas tiada lagi pertanyaan dan menutup kuliahnya dengan bacaan doa.
Setiausaha surau itu, Allaudin Shah Maidin Syed berkata, Allahyarham tiba di surau berkenaan kira-kira pukul 8 malam dan menyampaikan kuliah sehingga pukul 9.30 malam.
Katanya, Allahyarham hanya mengadu mengenai kesesakan jalan raya yang terpaksa ditempuhnya selama dua jam dari Kuala Lumpur ke sini sehingga menyebabkan beliau lewat tiba.
“Kami semua mendengar kuliahnya yang sememangnya sentiasa menarik minat kepada sesiapa pun,” katanya.
Jelasnya, tiada yang aneh mengenai kuliah Allahyarham atau semasa para jemaah menemuinya dalam jamuan makan yang dihidangkan oleh surau selepas majlis tersebut.
“Allahyarham memberitahu beliau sudah lama tidak makan nasi dan hanya makan kuih.
“Kami bersalaman dengan beliau sebelum Allahyarham menaiki kereta untuk pulang,” ujarnya.
Allaudin Shah memberitahu, para jemaah berasa terkejut dan sedih apabila mendengar berita pagi ini mengenai kematian Abu Hassan
HIDAP PARU-PARU BERAIR
Reda dengan pemergian ayahnya, Mohamad Yusri berkata, tahap kesihatan Allahyarham berada dalam keadaan kurang baik selepas doktor sahkan paru-parunya berair.
“Kalau ikut sejarah kesihatan, ayah pernah buat pintasan jantung sekitar 20 tahun lalu. Sebulan sekali ayah buat pemeriksaan kesihatan.
“Tak ada yang major… cuma itulah paru-paru berair dan doktor nasihatkan jaga makan dan minum je,” katanya.
Melihat susuk tubuh Allahyarham, ramai tidak menyangka Allahyarham kurang sihat.
Mohamad Yusri juga mengakui perkara itu apatah lagi, dengan ada masalah jantung, paru-paru berair dan terkini buah pinggang kurang berfungsi, Allahyarham masih aktif menyampaikan kuliah mahupun ceramah di serata negeri walaupun kurang sihat.
REBAH SELEPAS SOLAT SUBUH
Menceritakan detik Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya, Mohamad Yusri berkata, ketika itu Allahyarham sedang bersiap untuk ke Ipoh bagi sesi ceramah tengah hari ini.
“Masa tu lepas solat Subuh. Ayah rebah. Ibu telefon bagi tahu keadaan ayah sebab ibu pun tak tau nak buat apa.
“Saya minta dua adik saya tengokkan keadaan ayah sebab tak tinggal sekali dengan ayah sementara saya sampai.
“Pernafasan ayah lemah dan mukanya dah pucat sewaktu berada di rumah lagi.
“Ambulans datang rumah dan bawa ayah ke hospital. Masa di rumah, doktor ada buat bantuan kecemasan dan CPR. Dalam ambulans pun buat, di hospital pun buat juga.
“Sampai di ICU (unit rawatan rapi) Hospital Kuala Lumpur, doktor cuba sedaya mungkin bantu ayah.
“Kami tengok pada mesin tu… kami reda sewaktu doktor maklumkan denyutan nadi telah berhenti ketika sampai ke hospital,” katanya.
PENGAKHIRAN YANG MUDAH
Sebagai anak sulung, Mohamd Yusri turut memohon maaf kepada mana-mana pihak andai ada yang tersinggung dengan Allahyarham ayahnya.
Bekas Penasihat Agama Istana Negara ini menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 7.30 pagi tadi ketika bersiap untuk menghadiri program di Maahad Tahfiz di Kota Raja Ipoh, tengah hari ini.
Namun, Allahyarham dikatakan rebah sewaktu sedang bersiap dan tidak sedarkan diri sebelum mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur.
Allahyarham Abu Hassan meninggalkan seorang balu, Rosbi Shabudin dan tujuh anak serta 13 cucu.
Merupakan adik kepada dua pendakwah terkenal, Allahyarham Datuk Dr Haron Din dan Allahyarham Ishak Din.
Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris Derma di Arau, Perlis kemudian di Sekolah Menengah Agama Arab Alawiyah serta melanjutkan pelajaran di Mesir.
Allahyarham mula bertugas di Pusat Islam pada 1976 sebelum berkhidmat di Masjid Negara pada tahun berikutnya sehingga memangku jawatan Imam Besar.
KASHOORGA: Salam takziah buat keluarga Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz.
Sumber kredit: Sinar Harian dan Utusan Online
VIDEO KASHOORGA:
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Diam tak diam kita sudahpun memasuki Syaaban sebelum bertemunya Ramadan mulia.
Bagi yang tidak dapat berpuasa kerana hal tertentu, adakah sudah menggantikannya? Jika belum, tidak terlewat bagi menggantikannya dengan qada puasa dan membayar fidyah.
Namun begitu, perlu tahu siapakah golongan yang perlu membayar fidyah ini. Dan kenapa penting bagi mereka ini membayar fidyah sebagai denda tidak dapat berpuasa.
Ikuti penjelasan dari Ustaz Hamka Idris ini pada posting di laman sosial Facebook mengenai bab bayaran fidyah ini agar tidak keliru soal ini.
KECIL BAGI KITA, BESAR BUAT MEREKA
Antara aktiviti saya sekitar Ramadan. Ini gambar tahun lalu. Ada jemaah yang meminta saya bantu mereka memberikan fidyah kepada golongan yang memerlukan.
Saya akan bantu membeli barangan keperluan harian. Untuk kelangsungan hidup golongan yang berkelayakkan.
InsyaAllah, untuk tahun ini pada minggu hadapan saya akan bantu beberapa jemaah untuk urusan ini. Ada beberapa sumbangan daripada para jemaah sekalian.
Bila masuk sahaja Rejab dan Syaaban, soalan para jemaah adalah berkisarkan fidyah puasa.
Ibu mengandung @ menyusukan anak, orang yang sakit tiada harapan untuk sembuh dan lain-lain keadaan.
Persoalan yang sering juga ditanya adalah fidyah ni berganda sama macam puasa berganda juga ke?
Baik, saya kongsikan keadaan ini.
1. Pertama. Orang yang musafir atau sakit. Jika berada dalam keadaan pertama ini, kita hanya perlu ganti puasa sahaja mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Tidak boleh bertangguh. Tidak perlu fidyah.
Namun, akan dikenakan fidyah apabila hari yang ditinggalkan itu tidak diganti sehingga bertemu dengan Ramadhan akan datang.
2. Kedua. Orang yang sakit tiada harapan untuk sembuh atau orang yang terlalu tua dan tidak mampu untuk berpuasa.
Golongan kedua ini hanya diganti puasa yang ditinggalkan itu dengan fidyah.
3. Ketiga. Ibu mengandung dan ibu menyusukan anak.
Situasi pertama apabila berbuka puasa kerana diri sendiri tidak mampu berpuasa. Risaukan keadaan diri sendiri. Maka, perlu diganti puasa sahaja. Tidak perlu fidyah. Fidyah akan diwajibkan apabila tidak diganti puasa sehingga datang Ramadhan tahun hadapan.
Situasi kedua apabika berbuja puasa disebabkan risau anak dalam kandungan atau anak yang sedang disusukan itu. Maka perlu diganti puasa dan fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
Puasa tidak akan bertambah dengan bertambahnya tahun. Jika ditinggalkan 4 hari, maka 4 hari sahaja yang perlu diganti.
Fidyah akan bertambah dengan bertambahnya tahun. Bermaksud, fidyah akan berganda dengan bertangguhnya puasa yang tidak diganti.
Fidyah adalah 600g makanan asasi bersamaan RM1.85.
Sebagai contoh.
Kamal tidak berpuasa selama 6 hari pada tahun 2015. Dia tidak menggantikan puasanya sehingga Ramadhan tahun 2019. Ini bermakna Kamal telah bertangguh sehingga 4 tahun.
Bilangan Hari x Bilangan Tahun x Kadar Fidyah = Jumlah yang perlu dibayar.
6 x 4 x RM1.85 = RM44.40
Fidyah perlu diberikan kepada fakir miskin. Melalui amil zakat.
Ini kes yang amat berat. Setiap pasangan perlu berhati-hati apabila lafaz cerai atau talak diucapkan. Salah seorang perlu keluar dari rumah serta merta kerana mereka bukan lagi berstatus suami isteri.
Selepas lafaz cerai, pasangan boleh rujuk semula dalam tempoh iddah iaitu tiga kali bekas isteri suci daripada haid. Tiada lagi dibolehkan tinggal sebumbung apatah lagi berbantal kan lengan pasangan.
Tiada istilah lafaz tak sengaja, bergurau atau tak ada niat nak cerai kerana hal talak tidak boleh dibuat main. Kita ikuti penjelasan lanjut oleh SS Mufti Wilayah Persekutuan tentang hal ini kerana ramai juga yang keliru.
Assalamualaikum. Saya dalam proses mendapatkan surat cerai setelah menceraikan isteri saya. Namun dengan nama Allah, hakim atau pendaftar di mahkamah syariah negeri Selangor terbabit menyatakan saya masih boleh bersetubuh dengan bekas isteri saya jika penceraian tidak mendapat pengesahan mahkamah.
Adakah kuasa mahkamah syariah menafikan hukum syarak sedia ada? Adakah jika saya melakukan persetubuhan ia tidak dihukumkan sebagai zina oleh Allah?
Waalaikumussalam. Semoga Allah permudahkan urusan rumah tangga kalian. Apabila berlaku penceraian, setiap pasangan perlu mengambil berat soal hak dan tanggungjawab serta perkara yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan agar tidak terjerumus melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum Syarak.
Antara perkara penting yang wajib diketahui ialah berkaitan hukum talak dan rujuk beserta prosedurnya mengikut ketetapan daripada Mahkamah Syariah.
Dalam perkahwinan yang sah, seorang suami mempunyai hak untuk menceraikan isterinya sebanyak tiga kali. Penceraian pertama dan kedua masih boleh dirujuk selagi mana masih dalam tempoh ʿiddah.
Sekiranya tempohʿiddahsudah tamat, suami tidak boleh rujuk isterinya kembali melainkan perlu mengulang semula akad nikah berserta maharnya sekali seperti perkahwinan pertama kali.
Dari segi hukum syarak, sejurus sahaja talak diucapkan maka talak satu akan jatuh serta-merta tidak kira sama ada lafaz talak diucapkan di mahkamah ataupun luar mahkamah.
Kesannya, tidak boleh bagi bekas suami untuk tinggal bersama isteri yang telah diceraikan di dalam satu rumah apatah lagi melakukan persetubuhan, sama ada talak rajʿī[1]atau talak bain[2]. Ini kerana isteri yang sudah ditalakkan adalah wanita ʿajnabi (asing) kepada bekas suami.
Kekeliruan timbul apabila ada pihak mengatakan talak hanya jatuh apabila dilafazkan di depan hakim di mahkamah tidak di luar. Menjawab kekeliruan ini, persoalan di atas boleh dijawab berdasarkan pembahagian wajib.
Ulama’ membahaskan wajib ada tiga jenis; wajib dari segi Syarak (Diyānah), wajib dari segi Undang-undang (Qaḍa’) dan wajib dari segi Syarak dan Undang-undang. Pengertiannya:
Contohnya, suami mentalakkan isteri tanpa saksi. Apabila isteri ingin mengangkat kes talak ini ke mahkamah bagi menuntut hak-hak berkaitan sedangkan suami tidak mahu mengaku sudah melafazkan talak.
Keadaan ini menyebabkan hakim memutuskan perempuan itu masih isteri yang sah atas faktor tidak mempunyai saksi dan pengakuan, si suami tetap tidak boleh menafikan fakta yang dia sudah menceraikan isterinya.
Keputusan hakim berdasarkan apa yang terzahir sahaja, sedangkan Allah Maha Mengetahui segalanya. Mengikut ketetapan Syarak, talak tetap jatuh dan suami wajib melaksanakan segala suruhan dan larangan berkaitan talak dan rujuk walaupun hakim memutuskan sebaliknya.
Contohnya boleh didapati daripada soalan di atas, undang-undang mewajibkan setiap penceraian mestilah didaftarkan dan disahkan di mahkamah.
Sekiranya penceraian tersebut masih belum mendapat pengesahan mahkamah, kesannya mereka berdua masih dianggap suami isteri di sisi undang-undang.
Namun perlu diingatkan, status suami isteri tersebut hanya sah di sisi undang-undang sahaja, tidak di sisi syarak. Hal ini berlaku kerana syarak menetapkan talak tetap jatuh apabila syarat-syaratnya dipenuhi tidak kira mahkamah sudah mengesahkannya atau belum.
Pembahagian wajib di atas menunjukkan bahawa penceraian yang berlaku di luar mahkamah tetap dianggap sah di sisi agama walaupun mahkamah masih belum mengesahkannya.
Walaupun begitu, dinasihatkan kepada semua pasangan untuk mendaftarkan sebarang penceraian dan rujuk yang berlaku di Mahkamah Syariah. Dalam masa yang sama, mematuhi hukum-hakam berkaitan talak dan rujuk. Pengamalan ini lebih baik dan sempurna.
Menurut Akta Undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri, lafaz talak perlulah dilakukan di dalam mahkamah sebagaimana yang dinyatakan di dalam seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 bagi tujuan rekod dan memudahkan urusan tuntutan jika terdapat sebarang permasalahan.
Sekiranya lafaz talak tersebut dibuat di luar mahkamah, pihak suami atau isteri hendaklah segera membuat pengesahan di Mahkamah Syariah dalam tempoh 7 hari bagi mengelakkan didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Akta ini diwujudkan demi kebaikan kedua-dua belah pihak. Menyembunyikan lafaz cerai yang dilakukan di luar mahkamah boleh menyebabkan ketiadaan rekod di Pejabat Agama. Akibatnya, akan menyukarkan pihak-pihak berkaitan untuk mengingat kembali butir kejadian sekiranya perkara yang sama berulang kembali di masa hadapan.
Sekiranya lafaz telah berlaku secara kerap pula boleh menyebabkan berlakunya talak tiga tanpa disedari dan menyebabkan suami isteri tidak boleh berkahwin semula.
Lebih dahsyat apabila kedua-dua pasangan sudah melakukan persetubuhan sedangkan proses rujuk tidak dibuat di dalam tempoh ʿiddah sehingga memberi kesan kepada nasab anak yang lahir. Jika berlaku, suami dan isteri terlibat wajib bertaubat kepada Allah kerana terlibat dengan dosa zina.
Berdasarkan keterangan di atas, boleh disimpulkan bahawa haram bagi suami untuk bersetubuh dengan isterinya sepanjang tempoh penceraian walaupun belum mendapat pengesahan mahkamah.
Kuasa mahkamah syariah berperanan sebagai institusi kehakiman dalam melaksanakan dan memelihara hukum syarak sedia ada demi memelihara kebaikan dan kepentingan anggota masyarakat.
Persetubuhan yang terjadi sebelum proses rujuk boleh dianggap sebagai zina. Suami dan isteri yang terlibat wajib bertaubat kepada Allah atas keterlanjuran yang dilakukan.
Akhirnya, apabila suami melafazkan kata-kata yang meragukan segeralah merujuk ke Mahkamah Syariah yang berhampiran untuk penerangan lanjut. Sikap berdiam diri boleh membawa padah di kemudian hari.
[1] Talak rajʿī: Talak yang boleh dirujuk dengan syarat berlaku pada kali pertama dan kedua serta masih dalam tempoh ʿiddah [2] Talak bain: Talak yang tidak boleh dirujuk disebabkan tamat tempoh ʿiddah (ketika talak pertama atau kedua) atau talak berlaku kali ketiga
Kashoorga : Semoga yang tak sedar sudah sedar dan perbetulkan semula keadaan. Ramai juga yang masih tinggal sebumbung kerana keiru dengan status masih suami isteri yang dinyatakan pihak mahkamah. Tetapi di sisi Allah, hubungan mereka bukan lagi suami isteri sah.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?