Menjelang hari raya korban bulan hadapan, sudah tentunya ramai yang ingin berhasrat melaksanakan ibadah korban.
Ibadah korban ini adalah usaha memenuhi anjuran syarak di samping menuruti sunnah Nabi Muhammad SAW.
Perintah untuk mengerjakan ibadah korban ini merupakan sunat muakkad dan ia amat digalakkan ke atas mereka yang berkemampuan agar melaksanakannya.
Maksud berkemampuan di sini ialah seseorang yang mempunyai harta atau wang melebihi perbelanjaan untuk dirinya sendiri dan mereka di bawah tanggungannya, sama ada makan, pakaian dan tempat tinggal pada sepanjang hari raya dan hari tasyrik.
Namun timbul persoalan bagi mereka yang tidak mampu melaksanakannya, adakah dibolehkan bagi mereka untuk berhutang bagi tujuan mengerjakan ibadah korban tersebut? Sama ada dengan cara meminjam wang dari orang lain atau pun dengan cara menggunakan kad kredit.
Ibadah bukan untuk menyusahkan
Memetik penjelasaan dalam laman web Mufti Wilayah Persekutuan, pada dasarnya tuntutan beribadat di dalam agama Islam bukanlah bertujuan untuk menyusahkan manusia. Allah SWT berfirman:
Maksudnya: “Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.”
Selain daripada itu, berhutang akan membebankan diri seseorang. Terdapat ancaman yang menunjukkan bahawa roh orang yang tidak melangsaikan hutang akan tergantung daripada tempat yang sepatutnya seperti mana yang dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Roh seorang mukmin itu tergantung-gantung dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan.”
Ads
Hukum berhutang untuk melaksanakan korban
Walau bagaimanapun, melaksanakan korban dengan cara berhutang tetaplah sah disisi syarak. Hal ini kerana, berkemampuan bukanlah syarat sah ibadah korban sebaliknya ia merupakan syarat taklif.
Cuma tidak digalakkan untuk berhutang bagi tujuan melakukan ibadah korban kerana tuntutan untuk melakukannya adalah pada orang yang mampu melakukannya menggunakan wang sendiri.
Ia juga kerana Islam tidak pernah membebankan umatnya untuk melakukan sesuatu di luar kemampuan dirinya. Namun begitu, sekiranya seseorang yakin bahawa dia mampu membayar hutang tersebut dan tidak akan terbeban dengannya, maka dibolehkan untuk dia menggunakan pakej akikah secara ansuran yang ditawarkan.
Tular di media sosial bahasa seorang guru Pendidikan Jasmani dan Pendidikan (PJK) yang jelas agak emosi kerana pelajar tidak memasuki kelas PDPR diajarnya. Mungkin kerana terlalu marah, guru yang tidak dinyatakan mengajar di sekolah mana ini memaklumkan tidak akan menghalalkan ilmuPJK termasuk tasawur pernah diajarnya kepada kumpulan pelajar berkenaan walau pelajar itu dilihat sudah meminta maaf bagi pihak kawan-kawannya.
Dalam kita selalu diajar tentang istilah guru menghalalkan ilmu ini, wujud pertanyaan adakah benar wujudnya ISTILAH HALALKAN ILMU ini sudah menjadi percakapan biasa bagi kebanyakan dari kita. Sebahagian kita sangat takut jika tidak lulus dalam peperiksaan kerana ilmu tidak berkat dan sebagainya bila guru mengucapkan sedemikian. Bekas Mufti WP yang kini merupakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Al Bakri pernah mengulas isu ini di page Pejabat Mufti pada 22 Oktober 2018. Kita tidak mahu kerana emosi membawa kepada salah faham dalam agama sedangkan mungkin tidak diajar.
Bolehkah seorang guru tidak menghalalkan ilmu kepada pelajarnya kerana pelajarnya melakukan kesalahan terhadap guru tersebut? Adakah tindakan tidak menghalalkan ilmu sesuatu tindakan yang wajar?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.
Islam amat menghargai ilmu. Tambahan pula, menuntut ilmu merupakan satu kewajipan bagi setiap umat Islam. Sebagaimana yang di sabdakan oleh Nabi SAW:
طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
Maksudnya: “Menuntut ilmu adalah satu kewajipan ke atas setiap Muslim” Riwayat Ibnu Majah (224)
Dengan ilmu manusia akan menerima banyak kelebihan bahkan ia merupakan kayu ukur dalam kehidupan manusia bagi menentukan sama ada perkara tersebut baik ataupun buruk. Misalnya, ketika temuduga pekerjaan, latarbelakang pendidikan merupakan diantara kelayakan utama yang akan disemak oleh majikan sebelum diterima untuk bekerja. Ini selari dengan firman Allah SWT memberi jaminan kepada orang yang berilmu di angkatkan darjatnya.
Maksudnya: “Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. (Surah Al-Mujadalah:11)
Proses penyampaian ilmu merupakan tugas sinonim bagi seorang guru. Bahkan dalam menuntut ilmu, penuntut disarankan untuk berguru kerana ia merupakan jalan dan perantaraan yang terbaik untuk memperolehnya. Guru merupakan pendidik yang bertanggungjawab dalam memikul tugas mulia dan sentiasa diyakini sebagai orang yang memiliki ketinggian ilmu, akhlak dan tingkah laku.
Merujuk kepada soalan diajukan, tidak diketemui perbincangan yang khusus di kalangan ulama’ yang membahaskan konsep “tidak menghalalkan ilmu atau meminta untuk menghalalkan ilmu”.
Kami beranggapan guru yang mengucapkan “tidak menghalalkan ilmu kepada penuntut ilmu atas alasan melakukan kesalahan, ia merupakan satu terma ugutan bagi seorang guru terhadap anak muridnya supaya beradab dalam menuntut ilmu.
Begitu juga, konsep bagi anak murid meminta untuk menghalalkan ilmu daripada guru. Kami melihat kata-kata tersebut membawa erti tersirat yang menjelaskan ia sebagai satu adab tinggi bagi memperoleh keberkatan ketika menuntut ilmu disamping menghormati dan memuliakan gurunya.
Namun begitu, jika guru yang menyebut sedemikian di hadapan anak murid, maka hal tersebut tidaklah membawa kepada dosa jika diamalkan ilmu yang disampaikannya. Bahkan Imam Nasai’ sendiri pernah berlaku perselisihan bersama gurunya dan dihalau dari bertalaqi. Tetapi beliau tetap hadir bertalaqi walaupun tidak dapat melihatnya.
Kisah ini diceritakan oleh Imam Ibnu Athir di dalam kitabnya, beliau menceritakan tentang biografi Imam Nasai’ bersama gurunya Al-Haris bin Miskin. Apabila Imam Nasai’ meriwayatkan hadis daripada Al-Haris bin Miskin, beliau akan mengunakan perkataan “telah berkata Al-Haris bin Miskin dan aku mendengar” berbanding beliau menggunakan “telah berkata kepada kami atau telah mengkhabarkan kepada kami” seperti mana beliau menggunakan pada guru-gurunya yang lain.
Ini kerana, dikatakan bahawasanya Al-Haris dan Imam Nasai’ pernah berselisih faham sehingga menyebabkan beliau tidak dapat hadir lagi ke majlis gurunya itu. Bahkan beliau hanya bersembunyi pada satu sudut dan mendengar apa yang dibacakan oleh gurunya tanpa melihat. (Rujuk Jamik al-Husul fi al-Hadith al-Rasul, 1/196).
Beradab di hadapan guru adalah prinsip yang amat penting bagi seorang penuntut ilmu. Lihat bagaimana Ulama’ terdahulu ketika menuntut ilmu, mereka akan mempelajari adab sebelum mempelajari ilmu. Seperti Imam Al-Ghazali yang amat mementingkan adab dalam menuntut ilmu. Beliau telah mengkhususkan satu bab di dalam kitabnya, Ihya’ Ulum al-Din khusus untuk mempelajari adab bersama guru. Bahkan Sheikh Abdullah bin Mubarak pernah menyatakan:
طلبت الأدب ثلاثين سنة، وطلبت العلم عشرين سنة؛ كانوا يطلبون الأدب ثم العلم
"Aku mempelajari adab menuntut ilmu selama 30 tahun, kemudian baru mempelajari ilmu". (Rujuk Ghoyatul Nihayah fi Tobaqat al-Qira’, 1/446)
Bahkan telah tercatat melalui karangan Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya, Ihya’ ‘Ulum al-Din yang menukilkan kisah adab dan akhlak Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah terhadap gurunya Imam Al-Syafi’e. Diriwayatkan bahawa Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah mengatakan: “Tidaklah aku solat semenjak 40 tahun melainkan di dalam solatku, aku mendoakan untuk al-Imam Al-Syafi’e semoga Allah SWT merahmatinya”.
Kesimpulan daripada isu ini, kami menasihatkan bahawa dalam menyampaikan ilmu guru perlulah bijak menguruskan masalah dan seharusnya berlapang dada dalam menghadapi situasi anak murid yang melakukan kesalahan dan nakal. Begitu juga kepada anak murid, beradab di dalam menuntut ilmu merupakan perihal yang penting bagi mendapat keberkatan ilmu.
Tawadu’lah terhadap orang yang mengajarkan ilmu kerana mereka diibaratkan sebagai pahlawan. Dr. Hamka pernah menyatakan; guru adalah pahlawan yang sejati. Bukankah pahlawan tanah air, negarawan, pengarang, ahli pidato, orang penting atau berjawatan tinggi, dulunya pernah belajar di bangku sekolah dari serendah-rendahnya hingga setinggi-tingginya? Maka hargai insan yang bernama guru, kerana dia kamu dimuliakan. WallahuA’lam. Sumber : Al Khafi 862: Guru Tidak Menghalalkan Ilmu
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Ramai ingin kelihatan cantik sehinggakan tidak sedar perbuatan itu haram hukumnya. Bahkan di media sosial banyak teknik pembedahan dilakukan tanpa sedar ia menyalahi hukum agama.
Bagi yang ingin tahu apakah hukumnya cipta lesung pipit buatan, baca pencerahan dari Mufti Wilayah Persekutuan mengenainya.
Ringkasan Jawapan :-
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Hukum lesung pipit buatan melalui proses tindikan mahupun pembedahan adalah haram. Lesung pipit yang dibuat semata-mata bertujuan kecantikan (tahsiniyyah) adalah dilarang kerana ia mengubah ciptaan Allah yang jelas bukan pada situasi keperluan (hajiyyah).
Huraian Jawapan :-
Lesung pipit ialah lekukan kecil semulajadi dalam daging pada bahagian tubuh manusia, terutama di pipi atau dagu. Lesung pipit di pipi akan kelihatan ketika seseorang membuat ekspresi wajah seperti tersenyum. Sementara lesung dagu adalah garis kecil di dagu (lekuk) yang tetap tanpa perlu membuat ekspresi wajah tertentu. Lesung pipit terjadi disebabkan oleh variasi struktur otot muka yang dikenali sebagai zygomaticus major terbelah dua [1]
Menurut kajian, mereka yang memiliki lesung pipit dikatakan mempunyai kecacatan otot yang sangat menawan selain menjadi tarikan penyeri wajah ketika tersenyum. [2] Namun tidak semua manusia mempunyai lesung pipit, maka terdapat mereka yang sanggup melakukan prosedur yang menyakitkan melalui cara pembedahan (dimpleplasty) ataupun tindik untuk mencipta lekukan lesung pipit untuk kekal dalam tempoh masa tertentu. Menurut kajian, risiko pembedahan (dimpleplasty) ialah pada kecederaan cabang saraf wajah namun ia jarang berlaku[3]. Walaubagaimanpun pembedahan tersebut tetap terdedah risiko yang tidak diketahui tanpa sebarang jaminan.
Pada asalnya, pembedahan kosmetik dan sebarang prosedur yang yang membawa kepada perubahan anggota badan manusia tanpa keperluan adalah diharamkan oleh Syarak.Ini berdasarkan hadis bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya : Allah melaknat orang yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu, wanita-wanita yang mencukur alis (bulu kening) dan orang yang meminta mencukur kening dan orang yang mengasah gigi untuk kecantikan yang (semua itu) mengubah ciptaan Allah SWT”.Riwayat Muslim 2125.
Ancaman laknat “ لَعَنَ” dalam hadis menunjukkan pengharaman mengubah ciptaan Allah sama ada bagi orang yang melakukannya dan juga orang yang meminta untuk dilakukannya ( Lihat Fath al-Bari 10/377) . Imam al-Nawawi mensyarahkan makna perkataan لِلْحُسْنِ lil husn bagi perbuatan menjarangkan gigi dalam hadis tersebut ialah
وَأَمَّا قَوْلُهُ الْمُتَفَلِّجَاتُ لِلْحُسْنِ فَمَعْنَاهُ يَفْعَلْنَ ذَلِكَ طَلَبًا لِلْحُسْنِ وَفِيهِ إِشَارَةٌ إِلَى أَنَّ الْحَرَامَ هُوَ الْمَفْعُولُ لطلب الحسن أما لو احتاجت إِلَيْهِ لِعِلَاجٍ أَوْ عَيْبٍ فِي السِّنِّ وَنَحْوِهِ فلابأس والله أعلم
Perbuatan menjarangkan gigi untuk kecantikan “lil husn” memberi makna perbuatan hanya untuk kecantikan dan ianya sebagai isyarat kepada pengharaman. Hal Ini keranaorang yang meminta untuk melakukan hal tersebut khusus menzahirkan kecantikan semata-mata. Adapun sekiranya berhajatuntuk merawat (suatu cela) atau kerana aib pada gigi maka tidak menjadi masalah dan Allah lebih mengetahui (Rujuk al-Minhaj fi Syah Sahih Muslim,14/107). Oleh itu, hadis tersebut sebagai hujah larangan terhadap segala perbuatan mengubahsuaian ciptaan-Nya yang semata-mata bertujuan kecantikan tanpa keperluan yang mendesak.
Konklusinya, berdasarkan nas yang dibentangkan, kami menyatakan bahawa mencipta lesung pipit melalui kaedah pembedahan mahupun bertindik bagi tujuan kecantikan adalah haram. Pembedahan yang menghasilkan kesan lekukan di pipi dilarang kerana mengubahsuai ciptaanNya serta terdapat unsur penipuan terhadap kecantikan wajah yang bukan asli. Bahkan, pembedahan lesung pipit (dimpleplasty) melibatkan kos yang tinggi serta terdapat implikasi bahaya seperti merosakkan otot pipi. Rawatan kosmetik yang boleh mengubah ciptaanNya hanya boleh diterima pada situasi keperluan mendesak dan bukan semata-mata untuk kecantikan (tahsiniyyah).
Akhir kalam,marilah kita mensyukuri nikmat kurniaan-Nya serta redha dengan rupa dan bentuk fizikal yang telah Allah ciptakan untuk hamba-hamba-Nya
Amalan ‘salam kaut’ cukup sinonim dalam majlis atau kenduri kahwin di Malaysia. Bukan saja sebagai sumbangan untuk meringan beban penganjur majlis ia juga untuk meraikan pengantin baru.
Tapi bagaimana pula jika kita tidak melakukannya dan pada masa yang sama sudah makan dengan kenyang seisi keluarga.
Persoalan ini mendapat respons dari Ustaz Azhar Idrus. Ujarnya jika tidak diberi duit kerana perasaan kedekut makan hukumnya makruh.
“Apakah hukum jika tak beri duit masa jamuan kahwin, sedangkan kita sudah makan kenyang? Jawapannya, tengok keadaan. Kalau kita memang kedekut, hukumnya makruh, dibenci syarak.
“Jika kita terlupa bawa duit, hukumnya harus kerana jamuan makan tidak disyaratkan (tidak wajib) bayar duit,” katanya dipetik menerusi video yang dikongsikan di laman sosial YouTube Milina pada Khamis.
Dalam Islam, jelas Ustaz Azhar, kenduri kahwin merupakan salah satu bentuk ibadah dan sunnah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai tanda kesyukuran atas sebuah pernikahan.
“Kita jamu orang sebab Nabi Muhammad SAW suruh apabila dapat menantu atau isteri,” katanya.
Perkara itu disokong oleh hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Adakanlah walimah walaupun dengan seekor kambing.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Sekiranya tidak mampu dilakukan dengan kambing besar, ujar agamawan itu, memadai dengan menjamu anak kambing atau menyediakan makanan sederhana seperti nasi lemak.
“Janji biar orang makan tanda terima kasih kepada ALLAH (kerana) mengurniakan menantu atau pasangan hidup,” ungkapnya.
Dalam pada itu, agamawan tersebut turut mengingatkan, kenduri kahwin bukanlah bersifat komersial yang mewajibkan para tetamu untuk membayar atau membalas segala hidangan yang dijamah.
Tegas beliau, tiada kewajipan untuk tetamu memberi wang kepada tuan rumah.
Pun begitu, katanya, memberikan sumbangan, hadiah atau wang kepada tuan rumah adalah sunat hukumnya dan mendapat ganjaran pahala jika diniatkan sebagai hadiah sesama Muslim.
“Dalil sunat, Nabi Muhammad SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud ‘Berilah hadiah, nescaya kamu akan saling berkasih sayang’.
“(Bila) jumpa orang, selalulah latih diri kita beri hadiah. Nabi tidak kata majlis kahwin (semata-mata), (tapi) mana-mana tempat kita jumpa, beri hadiah…dan Nabi juga tidak kata (beri) duit ke pisang, (semuanya) terpulang kepada kita,” terangnya panjang lebar.