Tular di media sosial bahasa seorang guru Pendidikan Jasmani dan Pendidikan (PJK) yang jelas agak emosi kerana pelajar tidak memasuki kelas PDPR diajarnya. Mungkin kerana terlalu marah, guru yang tidak dinyatakan mengajar di sekolah mana ini memaklumkan tidak akan menghalalkan ilmuPJK termasuk tasawur pernah diajarnya kepada kumpulan pelajar berkenaan walau pelajar itu dilihat sudah meminta maaf bagi pihak kawan-kawannya.
Dalam kita selalu diajar tentang istilah guru menghalalkan ilmu ini, wujud pertanyaan adakah benar wujudnya ISTILAH HALALKAN ILMU ini sudah menjadi percakapan biasa bagi kebanyakan dari kita. Sebahagian kita sangat takut jika tidak lulus dalam peperiksaan kerana ilmu tidak berkat dan sebagainya bila guru mengucapkan sedemikian. Bekas Mufti WP yang kini merupakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Al Bakri pernah mengulas isu ini di page Pejabat Mufti pada 22 Oktober 2018. Kita tidak mahu kerana emosi membawa kepada salah faham dalam agama sedangkan mungkin tidak diajar.
Bolehkah seorang guru tidak menghalalkan ilmu kepada pelajarnya kerana pelajarnya melakukan kesalahan terhadap guru tersebut? Adakah tindakan tidak menghalalkan ilmu sesuatu tindakan yang wajar?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.
Islam amat menghargai ilmu. Tambahan pula, menuntut ilmu merupakan satu kewajipan bagi setiap umat Islam. Sebagaimana yang di sabdakan oleh Nabi SAW:
طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
Maksudnya: “Menuntut ilmu adalah satu kewajipan ke atas setiap Muslim” Riwayat Ibnu Majah (224)
IKLAN
Dengan ilmu manusia akan menerima banyak kelebihan bahkan ia merupakan kayu ukur dalam kehidupan manusia bagi menentukan sama ada perkara tersebut baik ataupun buruk. Misalnya, ketika temuduga pekerjaan, latarbelakang pendidikan merupakan diantara kelayakan utama yang akan disemak oleh majikan sebelum diterima untuk bekerja. Ini selari dengan firman Allah SWT memberi jaminan kepada orang yang berilmu di angkatkan darjatnya.
Maksudnya: “Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. (Surah Al-Mujadalah:11)
Proses penyampaian ilmu merupakan tugas sinonim bagi seorang guru. Bahkan dalam menuntut ilmu, penuntut disarankan untuk berguru kerana ia merupakan jalan dan perantaraan yang terbaik untuk memperolehnya. Guru merupakan pendidik yang bertanggungjawab dalam memikul tugas mulia dan sentiasa diyakini sebagai orang yang memiliki ketinggian ilmu, akhlak dan tingkah laku.
IKLAN
Merujuk kepada soalan diajukan, tidak diketemui perbincangan yang khusus di kalangan ulama’ yang membahaskan konsep “tidak menghalalkan ilmu atau meminta untuk menghalalkan ilmu”.
Kami beranggapan guru yang mengucapkan “tidak menghalalkan ilmu kepada penuntut ilmu atas alasan melakukan kesalahan, ia merupakan satu terma ugutan bagi seorang guru terhadap anak muridnya supaya beradab dalam menuntut ilmu.
Begitu juga, konsep bagi anak murid meminta untuk menghalalkan ilmu daripada guru. Kami melihat kata-kata tersebut membawa erti tersirat yang menjelaskan ia sebagai satu adab tinggi bagi memperoleh keberkatan ketika menuntut ilmu disamping menghormati dan memuliakan gurunya.
Namun begitu, jika guru yang menyebut sedemikian di hadapan anak murid, maka hal tersebut tidaklah membawa kepada dosa jika diamalkan ilmu yang disampaikannya. Bahkan Imam Nasai’ sendiri pernah berlaku perselisihan bersama gurunya dan dihalau dari bertalaqi. Tetapi beliau tetap hadir bertalaqi walaupun tidak dapat melihatnya.
Kisah ini diceritakan oleh Imam Ibnu Athir di dalam kitabnya, beliau menceritakan tentang biografi Imam Nasai’ bersama gurunya Al-Haris bin Miskin. Apabila Imam Nasai’ meriwayatkan hadis daripada Al-Haris bin Miskin, beliau akan mengunakan perkataan “telah berkata Al-Haris bin Miskin dan aku mendengar” berbanding beliau menggunakan “telah berkata kepada kami atau telah mengkhabarkan kepada kami” seperti mana beliau menggunakan pada guru-gurunya yang lain.
IKLAN
Ini kerana, dikatakan bahawasanya Al-Haris dan Imam Nasai’ pernah berselisih faham sehingga menyebabkan beliau tidak dapat hadir lagi ke majlis gurunya itu. Bahkan beliau hanya bersembunyi pada satu sudut dan mendengar apa yang dibacakan oleh gurunya tanpa melihat. (Rujuk Jamik al-Husul fi al-Hadith al-Rasul, 1/196).
Beradab di hadapan guru adalah prinsip yang amat penting bagi seorang penuntut ilmu. Lihat bagaimana Ulama’ terdahulu ketika menuntut ilmu, mereka akan mempelajari adab sebelum mempelajari ilmu. Seperti Imam Al-Ghazali yang amat mementingkan adab dalam menuntut ilmu. Beliau telah mengkhususkan satu bab di dalam kitabnya, Ihya’ Ulum al-Din khusus untuk mempelajari adab bersama guru. Bahkan Sheikh Abdullah bin Mubarak pernah menyatakan:
طلبت الأدب ثلاثين سنة، وطلبت العلم عشرين سنة؛ كانوا يطلبون الأدب ثم العلم
"Aku mempelajari adab menuntut ilmu selama 30 tahun, kemudian baru mempelajari ilmu". (Rujuk Ghoyatul Nihayah fi Tobaqat al-Qira’, 1/446)
Bahkan telah tercatat melalui karangan Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya, Ihya’ ‘Ulum al-Din yang menukilkan kisah adab dan akhlak Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah terhadap gurunya Imam Al-Syafi’e. Diriwayatkan bahawa Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah mengatakan: “Tidaklah aku solat semenjak 40 tahun melainkan di dalam solatku, aku mendoakan untuk al-Imam Al-Syafi’e semoga Allah SWT merahmatinya”.
Kesimpulan daripada isu ini, kami menasihatkan bahawa dalam menyampaikan ilmu guru perlulah bijak menguruskan masalah dan seharusnya berlapang dada dalam menghadapi situasi anak murid yang melakukan kesalahan dan nakal. Begitu juga kepada anak murid, beradab di dalam menuntut ilmu merupakan perihal yang penting bagi mendapat keberkatan ilmu.
Tawadu’lah terhadap orang yang mengajarkan ilmu kerana mereka diibaratkan sebagai pahlawan. Dr. Hamka pernah menyatakan; guru adalah pahlawan yang sejati. Bukankah pahlawan tanah air, negarawan, pengarang, ahli pidato, orang penting atau berjawatan tinggi, dulunya pernah belajar di bangku sekolah dari serendah-rendahnya hingga setinggi-tingginya? Maka hargai insan yang bernama guru, kerana dia kamu dimuliakan. WallahuA’lam. Sumber : Al Khafi 862: Guru Tidak Menghalalkan Ilmu
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Masa kini, ada sebahagian lelaki memilih menjadi suri rumah untuk tidak bekerja dan membantu isteri menguruskan rumah tangga kerana pelbagai tuntutan termasuk gaji isteri lebih besar dan isu diberhentikan kerja akibat masalah kewangan syarikat.
Bolehkah lelaki tidak bekerja kerana tanggungjawab memberi nafkah adalah kewajipannya dan apa hukumnya. Datuk Dr Zulkilfi Mohamad Al Bakri mengulas isu ini.
Assalamualaikum ustaz. Apa hukum seorang suami yang tidak bekerja dan menjadi suri rumah? Seorang suami diberhentikan kerja kerana masalah kewangan syarikat, lalu kemudian menjadi ‘house husband’. Isterinya yang menanggung perbelanjaan keluarga. Hal ini menyebabkan berlaku sedikit ketegangan dalam rumah tangga. Namun, suami tersebut adalah seorang yang baik dan bertanggungjawab, serta membantu urusan kerja rumah dan menguruskan anak-anak ke sekolah. Mohon pandangan dan nasihat ustaz.
Jawapan:-
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Perkahwinan bertujuan untuk membangunkan institusi kekeluargaan dan ia sangatlah digalakkan di dalam Islam. Ia juga bertujuan untuk memenuhi keperluan fitrah manusia, mengembangkan masyarakat Islam serta mewujudkan ketenangan dan ketenteraman jiwa. Galakan Islam terhadap perkahwinan agar mendapat banyak kebaikan dan faedah daripadanya.
Begitu juga, suami isteri merupakan pasangan yang saling melindungi di antara satu sama lain dan saling perlu memerlukan. Ini diperumpamakan di dalam al-Quran, firman Allah SWT:
هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ
Maksudnya: “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.”[1]
Ibn Kathir menukilkan pandangan Ibn Abbas R.Anhuma, Mujahid, Sa’id bin Jubair, al-Hasan, Qatadah, al-Suddi dan Muqatil bin Hayyan bahawa maksud yang dikehendaki dari ayat di atas “Mereka adalah ketenangan bagi kalian dan kalian pun adalah ketenangan bagi mereka.”[2]
Syeikh Dr. Mustafa al-Khin di dalam kitab beliau telah menyatakan beberapa hikmah perkahwinan, antaranya:
Memenuhi keperluan fitrah manusia
Mengembangkan masyarakat islam dengan keturunan
Mewujudkan ketenangan jiwa dan ketenteraman rohani
Memelihara akhlak daripada kerosakan dan keruntuhannya.
Memelihara generasi manusia yang sejahtera
Mengembangkan kekeluargaan dan mengeratkan semangat kerjasama.[3]
Takrif Nafkah
Nafkah dari segi bahasa mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia dinamakan nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu.[4]
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut, nafaqah bermaksud semua keperluan asas manusia, seperti makanan, minuman, pakaian dan juga tempat tinggal. Ia dinamakan nafaqah kerana ia dikeluarkan atau dihabiskan untuk tujuan keperluan asas tersebut.[5]
Nafkah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah wang atau makanan dan lain-lain yang diperlukan untuk hidup dan sara hidup dan juga perbelanjaan dan lain-lain yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya.[6]
Terdapat pelbagai nas al-Quran dan Sunnah berkenaan nafkah di antaranya, firman Allah SWT:
Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”[7]
Tanggungjawab Suami Memberi Nafkah kepada Keluarga
Di dalam Sunnah, terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Mu’awiyah al-Qusyairi RA, bahawa beliau telah bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Maka Rasulullah SAW menjawab:
Maksudnya: “Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah.” [8] Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara iaitu:
Makanan,
Barang-barang dapur,
Pakaian,
Tempat tinggal,
Alat-alat untuk membersihkan diri,
Barangan rumah,
Pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu.[9]
Para ulama bersepakat (Ijma’) suami wajib memberi nafkah kepada isterinya. Malah, ianya termasuk juga sekiranya isteri mempunyai pendapatan, harta atau pekerjaan. Kewajipan nafkah tetap dipikul oleh suami. Hal ini bersandarkan kepada firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.”[10]
Ibn Kathir menyatakan di dalam tafsirnya bahawa wajib ke atas ayah untuk memberi nafkah dari sudut pakaiannya dengan cara yang sepatutnya iaitu apa-apa pakaian yang diterima oleh adat atau seumpama dengannya di negara tersebut tanpa berlaku pembaziran dan tidak menyusahkan. Ia sekadar apa yang termampu ketika dia (ayah atau suami) dalam keadaan senang dan bersederhana serta apa yang melaziminya.[11]
Berdasarkan ayat di atas, para ulama mengatakan bahawa wajib ke atas seorang suami untuk memberikan nafkah kepada isterinya. Imam al-Haramain Abdul Malik al-Juwaini berkata:
وَالأَمْرُ بِالشَّيْء نَهْيٌ عَنْ ضِدِّهِ
Maksudnya: “Perintah melakukan sesuatu itu merupakan suatu larangan terhadap meninggalkannya.”[12]
Justeru, perintah untuk seorang suami memberikan nafkah kepada isteri apabila ianya ditinggalkan maka ia termasuk dalam perkara yang dilarang.
Dalam permasalahan nafkah, ianya perlu difahami dengan baik. Hal ini kerana, nafkah adalah suatu elemen yang penting dalam perkahwinan yang dimasukkan di bawah tanggungjawab suami ke atas isteri dan tanggungannya.
Bahkan meninggalkan pemberian nafkah kepada isteri dan anak-anak dianggap sebagai satu dosa berdalilkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-As, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas sesiapa yang berada di bawah penjagaannya.”[13]
Isu Suami Tidak Bekerja dan Menjadi Suri Rumah
Berbalik kepada persoalan di atas – seperti yang kami telah jelaskan di atas – bahawa pada asalnya, wajib suami menafkahi isteri dan anak-anaknya. Namun jika isteri menafkahi suami dan anak-anaknya, maka itu adalah ihsan dan pahala yang besar ke atasnya. Tanggungjawab suami menafkahi isteri ini disebut dalam al-Quran.
Selain itu, diriwayatkan daripada Jabir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya:“Mulakan nafaqah dengan dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi, berikanlah kepada mereka dan seterusnya.”[14]
Berkata para pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (4/170-179), seorang suami wajib menafkahkan isteri dan anak-anak kandungnya yang tidak mampu mencari nafkah sendiri atas faktor masih kecil, sakit, cacat atau gila.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ
Maksudnya: “Kemudian, jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya.”[15]
Ayat ini menjelaskan bahawa perempuan yang menyusukan anak orang lain wajib diberi upah oleh bapa kepada anak tersebut. Ini bermakna kewajipan memberi nafaqah kepada anak lebih utama dilaksanakan oleh bapa. Allah SWT berfirman:
Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu, dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.”[16]
Dalam ayat ini, menisbahkan anak kepada bapanya yang menggunakan huruf lam ikhtisas membawa makna bapa dikhususkan bertanggungjawab memberi nafaqah kepada anak-anaknya. Oleh itu, kewajipan bapa memberi nafaqah kepada ibu yang menyusukan anaknya menunjukkan bahawa kewajipannya memberi nafaqah kepada anak-anak adalah lebih utama.
Hal ini berdasarkan hadith, daripada Aisyah R.Anha, katanya:
Maksudnya: “Hindun binti ‘Utbah berkata: “Wahai Rasulullah! Abu Sufyan ialah seorang lelaki yang bakhil dan tidak pernah memberi aku belanja yang mencukupi untukku dan anakku melainkan yang aku ambil daripadanya tanpa pengetahuannya.” Rasulullah SAW bersabda: “Ambillah perbelanjaan untukmu dan anakmu secukupnya.”[17] Manakala nafkah kepada isteri lebih utama berbanding anak-anak. Dalil firman Allah SWT:
Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) ke atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafaqah) sebahagian dari harta mereka.”[18]
Maksudnya: “Bertaqwalah kepada Allah dalam mengendalikan urusan kaum wanita. Kamu mengambil mereka dengan amanah Allah…Kewajipan kamu pula ialah memberikan nafaqah dan pakaian yang sepatutnya kepada mereka. Sesungguhnya, aku tinggalkan satu perkara yang kamu tidak akan sesat selama-lamanya, selagi kamu berpegang dengannya, iaitu kitab Allah.”[19]
Berkata pengarang al-Fiqh al-Manhaji (4/181-182) dengan fenomena wanita bekerja untuk menafkahi keluarga:
Beberapa perkara akan berlaku kesan daripada tindakan tersebut, iaitu:
Perempuan terpaksa melibatkan diri untuk bekerja dan mencari rezeki. Akibatnya, mereka terpaksa bersaing dengan golongan lelaki dalam pelbagai bidang pekerjaan. Jika ini berlaku, golongan perempuan pasti terdedah kepada perkara yang negatif serta penyelewengan. Keadaan yang berlaku hari ini adalah bukti paling jelas terhadap kenyataan itu. Kesannya, rumahtangga yang memerlukan seseorang untuk mengurus dan menjaga hal ehwalnya serta mendidik anak-anak tidak dapat dipenuhi. Malah, rumahtangga menjadi tidak terurus. Rumahtangga yang sepatutnya menjadi sumber kebahagiaan, pencetus kedamaian, tempat berehat dan berkumpul, kini bertukar menjadi punca masalah dan kacau bilau.
Jika rumahtangga dibina atas satu daripada dua rukun yang telah dinyatakan, sudah pasti hak berada di tangan isteri sama ada secara bersama atau bersendirian. Undang-undang ekonomi dan sosial menyatakan, sesiapa yang mengeluarkan belanja, maka dialah yang berkuasa. Dalam perbincangan tajuk telah dinyatakan bahawa terdapat hikmah yang amat besar apabila hak berada di tangan suami.
Nafaqah kepada isteri mempunyai kadar tertentu. Walau bagaimanapun, jumlah dan jenisnya berbeza berdasarkan kemampuan suami. Kedudukan isteri dari segi kekayaan, kemiskinan, keturunan dan lain-lain tidak mempengaruhi kadar tersebut kerana faktor yang diambil kira ialah kemampuan suami. Perkara ini merujuk kepada pemberi nafaqah yang bukan penerimanya. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafaqah menurut kemampuannya, dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafaqah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu), Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”[20]
Penutup
Melihat kepada dalil-dalil di atas, kami menyatakan bahawa wajib bagi suami untuk berusaha sebaik mungkin menafkahkan keluarganya dengan segala upaya tanpa berharap kepada pendapatan isteri.
Sekurang-kurangnya hendaklah lelaki itu berusaha menyediakan atau menyumbang tempat tinggal yang selamat dengan peralatan-peralatan asas seperti tempat tidur, duduk dan memasak, makanan dan minuman, pakaian yang sesuai dan menutup aurat, dan alat dan bahan kebersihan, untuk isteri dan anak-anaknya.
Kegagalan menyediakan atau berusaha membantu keluarga akan merendahkan martabat seorang lelaki yang dipertanggungjawabkan dalam Syarak untuk menjaga keluarganya.
Sekiranya seorang lelaki itu enggan dan tidak mahu berusaha menafkahi keluarga dalam keperluan asas, maka isteri memiliki hak untuk menfasakhkan perkahwinan dan itu tidak termasuk perkara dosa. Hal ini berdasarkan hadith daripada Abi Hurairah RA, katanya:
Maksudnya: “Nabi bersabda tentang seorang lelaki yang tidak mempunyai sesuatu untuk diberi nafaqah kepada isterinya: “Pisahkan mereka berdua.”[21] Justeru, kami cenderung menyatakan bahawa hukum suami menjadi suri rumah adalah tidak digalakkan jika tidak diredhai oleh isteri. Namun jika isteri meredhainya, maka itu dibenarkan seperti mana diharuskan untuk suami memakan mahar isteri sekiranya dibenarkan.[22]
Kami mengambil kesempatan di sini untuk menyatakan beberapa perkara:
Tindakan isteri membantu keluarga adalah satu tindakan terpuji dan pengorbanan yang wajib diterima kasih oleh suami.
Isteri tersebut juga hendaklah bersyukur kerana masih mempunyai suami yang baik sekalipun beliau diuji tanpa pekerjaan. Ini kerana, ada juga terdapat musibah dalam kehidupan berkeluarga apabila suami bukan dari kalangan yang baik.
Hendaklah isteri bersabar dalam situasi seperti ini dan sentiasa berbincang dengan penuh harmoni antara suami isteri.
Jelaskan yang bahawa matlamat kehidupan adalah mencari mardhatillah dan kebahagiaan dalam hidup. Insya Allah, kabus yang sukar ini akan berlalu pergi berganti dengan cahaya kebahagiaan hidup.
Suami hendaklah sentiasa berusaha dan mencuba untuk mencari pekerjaan dalam menafkahkan kepada isteri serta keluarganya.
Kehidupan bukanlah sentiasa dalam keadaan tenang tetapi di sana adanya badai yang memerlukan sebuah kebijaksanaan, hikmah, ketenangan dan kecerdikan untuk penyelesaian dalam melayari bahtera kehidupan agar ia selamat dan sejahtera.
Banyakkan berdoa kepada Allah semoga dimurahkan rezeki seperti banyakkan istighfar, qiamullail, sedekah dan membantu mereka yang memerlukan.
Saya berdoa kepada Allah agar penanya dan keluarganya dapat hidup dengan penuh ketenangan. Semoga rumahtangga yang dibina menjadi seperti yang diharapkan iaitu Baiti Jannati. Jangan lupa membaca doa seperti:
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”[23]
Wallahu a’lam. [1] Surah al-Baqarah: 187 [2] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/510 [3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji 4/13-16 [4] Lihat Hasyiyah al-Bajuri ala Ibn Qasim, 2/185, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/274 [5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/101 [6] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=nafkah [7] Surah al-Talaq: 7 [8] Riwayat Abu Daud (2142), Ibn Majah (1850) dan Ahmad (20013) [9] Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, 10/7349 [10] Surah al-Baqarah: 233 [11] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/634 [12] Lihat Syarh al-Waraqat fi Usul al-Fiqh, hlm. 115 [13] Riwayat Abu Daud (1692) [14] Riwayat al-Bukhari (6763) dan Muslim (997) [15] Surah al-Talaq: 6 [16] Surah al-Baqarah: 233 [17] Riwayat al-Bukhari (5049) dan Muslim (1714) [18] Surah al-Nisa’:34 [19] Riwayat Muslim (1218) [20] Surah al-Talaq: 7 [21] Riwayat al-Daraqutni (3/297) [22] Dalam isu suami menggunakan mahar yang telah diberikannya kepada isteri:
Haram hukumnya bagi suami memakan/menggunakan/mengambil manfaat daripada mahar isteri jika tanpa kerelaan dan kebenaran isteri, kerana mahar merupakan hak milik isteri yang telah diisytiharkan oleh Allah SWT dalam al-Qur’an.
Harus hukumnya bagi suami memakan/menggunakan/mengambil manfaat daripada mahar isteri jika dengan kerelaan dan kebenaran isteri.
Ramai perempuan pilih rupa daripada hati. ‘Tak ramai orang nampak ketelusan hati melainkan Allah.’ Ternyata lumrah kehidupan, ramai manusia memilih rupa berbandin g daripada keluhuran hati, budi.
Ada yang memandang budi pekerti dan akhlak, namun tak ramai. Bertuahlah kalian jika ditemukan dengan pasangan yang tak pernah memandang rupa.
Sebenarnya rupa bukanlah jaminan bahagia, bak kata orang biarlah sakit mata daripada sakit hati. Ustaz Adnin berkongsi persoalan ini di akaun TikToknya,
Ustaz, nak tanya kenapa ramai perempuan pilih rupa daripada hati?
Ini jawapan Ustaz Adnin, katanya bukan saja perempuan, lelaki pun ramai yang pilih rupa sebab isu hati ini tak ramai orang nampak.
Tak ramai orang yang nampak ketelusan hati dan kebaikan hati, Kebiasaannya, apa yang orang nampak adalah luaran saja.
Dan manusia juga selalunya, judge kita hanya pada luaran saja. Tapi berbeza dengan Allah SWT, Dia langsung tak pandang luaran.
Ketelusan Hati Melainkan Allah
Dalam masa yang sama jelasnya, Allah tak pandang rupa paras, tapi Allah pandang adalah hati dan amal kita. Oleh sebab itulah jaga hati kita, kejarlah cinta Allah.
Insyallah Allah akan hadirkan kepada kita jodoh yang turut mencintai Allah dan turut menjaga hati.
Sesungguhnya orang yang baik untuk yang baik, manakala hamba yang kurang baik untuk mereka yang kurang baik.
Jadi kalau nak dapat jodoh yang baik, jadilah orang yang baik.
Hari ini ramai suami isteri berniaga untuk meningkatkan pendapatan masing-masing. Biasanya perniagaan dirancang itu melibatkan idea bersama. Malah setiap keuntungan itu juga dibahagi dua. Namun perlukah nafkah isteri dibayar lagi. Ikuti kupasan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengenai persolan ditanya ini.
Asslamualaikum wbt
Saya ingin bertanya berkaitan nafkah. Saya dan isteri sama-sama berniaga di rumah. Saling bantu membantu. Keuntungan berniaga untuk bayar rumah, bil, barang dapur dan lain-lain keperluan. Selebihnya kami bahagikan sama rata. Jadi perlukah lagi saya memberikan nafkah duit kepada isteri.?Pendapatan saya menjadi kecil sebab sudah dibahagikan untuk komitmen tadi. Kalau ikutkan makan, pakain, tempat tinggal sudah tersedia. Saya rasa terbeban, sebab nak buat simpanan sendiri lagi dan nak hulurkan kepada ibu bapa di kampung. Wajibkah lagi saya memberi nafkah wang kepada isteri.? Jika isteri tidak redha macam mana? Terima kasih.
RINGKASAN JAWAPAN
Kami simpulkan jawapan dari persoalan di atas melalui beberapa isi yang utama:
Nafkah ialah mengeluarkan belanja atau sara hidup kepada mereka yang wajib atas seseorang itu untuk membiayainya.
Para ulama bersepakat (Ijma’) suami wajib memberi nafkah kepada isterinya.
Suami wajib memberi nafkah kepada isteri walaupun isteri ada harta atau pendapatan.
Sekiranya isteri redha tidak diberi nafkah, suami terlepas dari kewajipannya. Namun sebaliknya jika suami enggan untuk memberi nafkah, nafkah tersebut akan menjadi hutang bagi pihak isteri.
Kadar nafkah ialah melihat kepada kemampuan keadaan suami.
Nafkah kepada keluarga tetap wajib meskipun ketua keluarga jatuh miskin, manakala nafkah kepada ibu bapa hanya wajib jika anak itu mampu. Majoriti ulama berpendapat nafkah terhadapa isteri dan anak lebih utama daripada ibu bapa.
HURAIAN JAWAPAN
Waalaikumsalam wbth.
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Nafkah dari segi bahasa mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. (Lihat: Hasyiyah al-Bajuri ala Ibn Qasim Halabi Fatoni, 2/185, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/274)
Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.
Surah al-Baqarah (233)
Imam Ibn Kathir berkata ketika mentafsirkan ayat di atas bahawa wajib ke atas ayah untuk memberi nafkah dari sudut pakaiannya dengan cara yang sepatutnya iaitu apa-apa pakaian yang diterima oleh adat atau seumpama dengannya di negara tersebut tanpa berlaku pembaziran dan tidak menyusahkan. Ia sekadar apa yang termampu ketika dia (ayah atau suami) dalam keadaan senang dan bersederhana serta apa yang melaziminya. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, Dar al-Tayyibah 1999M, 1/634)
Maksudnya: “laki-laki (suami) itu pelindung bagi perempuan (isteri), kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahgian yang lain (perempuan), dan kerana mereka (laki-laki) telah memberikan nafkah dan hartanya.”
Surah al-Nisa’ (34)
Sayyid Qutub dalam mantafsirkan ayat ini katanya:
Allah telah menciptakan manusia lelaki dan perempuan sebagai suami isteri mengikut peraturan semesta untuk membangunkan alam ini. Di antara tugas-tugas perempuan yang telah dijadikan Allah ialah mengandung, melahir, menyusu dan membela anak selaku hasil hubungan dengan lelaki. Tugas-tugas ini adalah tugas yang besar dan penting bukannya tugas yang senang dan kecil yang boleh dilaksanakan begitu sahaja tanpa persediaan jasmani, persediaan kejiwaan dan persediaan amali yang mendalam dalam diri perempuan. Oleh itu adalah adil bagi Allah meletakkan ke atas bahu lelaki tugas mengadakan keperluan-keperluan rumahtangga dan tugas memberi perlindungan kepada perempuan supaya ia dapat memberi tumpuan kepada tugas yang penting ini. Tentulah tidak sewajarnya ia dipaksa mengandung, melahir, menyusu dan memelihara anak-anak sedangkan serentak dalam waktu yang sama ia terpaksa bekerja, berpenat dan berjaga untuk memelihara keselamatan dirinya dan keselamatan anaknya. Begitu juga adil bagi Allah mengurniakan kepada lelaki dan perempuan ciri-ciri khusus masing-masing pada struktur anggota, saraf, akal dan jiwa mereka masing-masing, iaitu ciri-ciri yang dapat membantu mereka dalam kerja-kerja melaksanakan tugas mereka masing-masing. (Lihat: Fi Zilal al-Quran, Dar al-Syuruq 2009M al-Qahirah 2/650)
Manakala terdapat hadis Nabi SAW yang menyuruh kepada perkara tersebut berdasarkan hadis dari Mu’awiyah al Qusyairi R.anhu telah bertanya kepada Nabi SAW:
يا رسولَ اللَّهِ ، ما حقُّ زَوجةِ أحدِنا علَيهِ ؟ ، قالَ : أن تُطْعِمَها إذا طَعِمتَ ، وتَكْسوها إذا اكتسَيتَ ، أوِ اكتسَبتَ ، ولا تضربِ الوَجهَ ، ولا تُقَبِّح ، ولا تَهْجُرْ إلَّا في البَيتِ
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Baginda menjawab,”Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah”. (Lihat: Sunan Abi Daud, al-Maktabah al-Asriyyah Birut, 2/244)
Soal nafkah boleh buat suami isteri bercakaran
Sehubungan dengan itu, majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara:
Makanan
Barang-barang dapur
Pakain
Tempat tinggal
Alat-alat untuk membersihkan diri
Barangan rumah
Pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu sahaja).
(Lihat: Mughni al-Muhtaj, Dar al-Fikri Birut, 3/426, al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, Dar al-Fikri Damsyiq, 10/7349)
Para ulama bersepakat (Ijma’) suami wajib memberi nafkah kepada isterinya. Ini bersandarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 233 yang tertulis diatas. Malahan ia termasuk juga sekiranya isteri mempunyai pendapatan, harta atau pekerjaan. Kewajipan nafkah tetap dipangku oleh suami.
Bahkan meninggalkan pemberian nafkah kepada isteri dan anak-anak dianggap sebagai satu dosa berdalilkan sabda Nabi SAW yang berikut. Abdullah bin ‘Amr bin al-Ash berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas sesiapa yang berada di bawah penjagaannya. (Lihat: Sunan Abi Daud, al-Maktabah al-Asriyyah Birut, 2/132)
Nafkah pada asalnya sesuatu perkara yang diwajibkan ke atas suami terhadap isteri. Akan tetapi jika si isteri menghalalkan nafkah yang wajib diberikan suami ke atas dirinya tidak menjadi masalah. Nafkah itu secara langsung tidak menjadi kewajipan ke atasnya. Jika isteri tidak menghalalkannya maka ianya dikira sebagai hutang, menurut majoriti ulama bahawa nafkah yang tidak dijelaskan oleh suami akan dikira sebagai hutang sekiranya suami enggan menunaikannya kepada isteri. Ia tidak akan gugur kecuali dengan pembayaran atau dengan pelupusan sebagaimana hutang-hutang yang lain. Ia juga tidak akan gugur dengan sebab berlalunya tempoh idah tanpa membuat pembayaran. Dalil majoriti ulama ialah sesungguhnya nafkah adalah gantian, bukan sesuatu pemberian tanpa gantian. Sesungguhnya nafkah itu diwajibkan oleh syarak dengan berlangsung akad perkahwinan sebagai balasan daripada kedudukan isteri menjadi hak isteri bagi suami dalam perkahwinan. Apabila nafkah merupakan gantian semata-mata, maka ia adalah seperti hutang-hutang yang lain yang wajib dibayar. (Lihat: al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, Dar al-Fikri Damsyiq, 10/7404).
Di dalam perbahasan nafkah suami terhadap isteri, para ulama feqah membahagikan kepada tiga golongan suami, yang senang, sederhana dan susah. Sekiranya suami merupakan orang susah, maka cukup sekadar mengeluarkan nafkah yang asas. Seperti mengeluarkan secupak beras berserta dengan lauk asas yang mengikut tradisi setempat. Kemudian, menyediakan pakaian asas untuk dipakai isteri mengikut pakaian yang dipakai masyarakat setempat sama ada ketika di rumah dan ketika keluar dari rumah, cukup sekadar menutup aurat serta mengikut budaya pakaian orang Islam setempat. Kemudian, menyediakan rumah mengikut kemampuan, tanpa disyaratkan untuk memiliki rumah tersebut, sudah memadai sekiranya menyewa. Sekiranya suami yang tidak berkemampuan ini menunaikan tanggungjawab dengan memberi nafkah asas ini, maka isteri tidak berhak untuk memohon fasakh. (Lihat: Hasyiyah al-Bajuri ala Ibn Qasim, Halabi Fatoni, 2/190-191)
Terdapat pelbagai nas al-Quran dan Sunnah berkenaan kemampuan nafkah suami di antaranya, Firman Allah SWT:
Maksudnya: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.
Surah al-Talaq (7)
Sementara itu, berkata Imam al-Nawawi RH dalam meresponkan tentang keutamaan di dalam memberi nafkah kepada ibubapa ataupun isteri dengan katanya ialah:
Dalam kondisi saudara, kami menasihatkan supaya saudara berbincang dengan isteri tentang nafkah yang berkaitan selain daripada nafkah yang asas seperti alat-alat untuk membersihkan diri dan seumpamanya. Namun perlu diingatkan bahawa pemberian nafkah ini hendaklah mengikut kemampuan suami.
Selain itu, sekiranya si isteri redha dengan suami tidak memberi nafkah zahir, adalah dibenarkan. Tetapi apabila muncul masalah di kemudian hari, mungkin isteri akan mengungkit dan akan mendatangkan masalah yang lebih besar. Justeru, suami perlu bertekad untuk menguruskan nafkah keluarga dengan baik. Perlu sentiasa berunding dengan hikmah dan baik dengan isteri. Dicadangkan juga suami dan isteri menyediakan plan tindakan bersama bagi mengurus kewangan keluarga.
Wallahua’lam.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Kita selalu fikir, apabila kita lakukan amal kebaikan, pastinya Allah akan balas dengan pahala atau kebaikan juga. Ini apa yang selalu diajar di sekolah dahulu.