
Hukum buat hair bleaching, kena tahu sebelum pergi salun supaya perbuatan kita tak bertentang dengan syarak yang ingin tampil bergaya, dan trendy.
Namun, sebagai seorang Muslim, setiap bentuk perhiasan dan gaya hidup perlu dilihat dari sudut syarak, bukan semata-mata mengikut budaya atau trend luar.
Islam tidak melarang umatnya untuk berhias, bahkan mewarnakan rambut yang beruban adalah sunnah. Tetapi, bagaimana pula dengan melunturkan rambut yang masih sihat dan hitam? Di sinilah pentingnya kita memahami pandangan ulama agar tidak terjebak dalam perbuatan tabaruj dan tasyabbuh (menyerupai orang bukan Islam).
Hair bleaching atau melunturkan rambut adalah proses kimia yang menyingkirkan pigmen melanin dalam rambut menggunakan bahan seperti hidrogen peroksida. Ia menjadikan batang rambut lebih mudah menyerap warna lain.
Proses ini kebiasaannya dilakukan di salon, tetapi kini banyak produk tersedia untuk digunakan sendiri di rumah.
Dalam Islam, mewarnakan rambut beruban adalah sunnah. Rasulullah SAW sendiri menyuruh Abu Quhafah, bapa kepada Abu Bakar RA, untuk mengubah warna ubannya dengan sesuatu selain warna hitam.
Imam al-Nawawi menjelaskan, hukum mewarnakan uban dengan inai merah atau kuning adalah sunat, manakala menggunakan warna hitam adalah haram kerana dianggap menipu.
Namun, melunturkan rambut hitam yang masih sihat tidak termasuk dalam keperluan yang dianjurkan syarak. Ia lebih kepada tujuan berhias berlebihan (tabaruj) serta meniru gaya hidup bukan Islam (tasyabbuh). Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka. (HR Abu Daud)
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-San’ani bahawa hadis di atas menunjukkan seseorang yang meniru perbuatan khusus golongan ahli fasik, ahli kafir mahupun orang yang berbuat bid’ah sama ada dari sudut pemakaian, tunggangan dan tingkah laku, maka dia tergolong dalam kalangan mereka
Maka, melunturkan rambut kepada gaya seperti blonde dianggap tidak wajar, kerana ia lebih kepada mengikut trend Barat berbanding tujuan syarie.
Islam mengajar umatnya menjaga maruah dalam berhias. Jika ada keperluan tertentu seperti menutup uban pada usia muda atau rawatan perubatan, ia dibolehkan dengan cara sederhana.
Namun, melunturkan rambut semata-mata kerana fesyen dan gaya perlu dielakkan. Ingatlah, kecantikan seorang Muslim bukan diukur pada warna rambutnya, tetapi pada akhlak, adab, dan ketakwaannya kepada Allah.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan