Hukum buat hair bleaching, kena tahu sebelum pergi salun supaya perbuatan kita tak bertentang dengan syarak yang ingin tampil bergaya, dan trendy.
Namun, sebagai seorang Muslim, setiap bentuk perhiasan dan gaya hidup perlu dilihat dari sudut syarak, bukan semata-mata mengikut budaya atau trend luar.
Islam tidak melarang umatnya untuk berhias, bahkan mewarnakan rambut yang beruban adalah sunnah. Tetapi, bagaimana pula dengan melunturkan rambut yang masih sihat dan hitam? Di sinilah pentingnya kita memahami pandangan ulama agar tidak terjebak dalam perbuatan tabaruj dan tasyabbuh (menyerupai orang bukan Islam).
Hair bleaching atau melunturkan rambut adalah proses kimia yang menyingkirkan pigmen melanin dalam rambut menggunakan bahan seperti hidrogen peroksida. Ia menjadikan batang rambut lebih mudah menyerap warna lain.
Proses ini kebiasaannya dilakukan di salon, tetapi kini banyak produk tersedia untuk digunakan sendiri di rumah.
Antara inai rambut dan luntur rambut
Dalam Islam, mewarnakan rambut beruban adalah sunnah. Rasulullah SAW sendiri menyuruh Abu Quhafah, bapa kepada Abu Bakar RA, untuk mengubah warna ubannya dengan sesuatu selain warna hitam.
Ads
Imam al-Nawawi menjelaskan, hukum mewarnakan uban dengan inai merah atau kuning adalah sunat, manakala menggunakan warna hitam adalah haram kerana dianggap menipu.
Namun, melunturkan rambut hitam yang masih sihat tidak termasuk dalam keperluan yang dianjurkan syarak. Ia lebih kepada tujuan berhias berlebihan (tabaruj) serta meniru gaya hidup bukan Islam (tasyabbuh). Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka. (HR Abu Daud)
Ads
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-San’ani bahawa hadis di atas menunjukkan seseorang yang meniru perbuatan khusus golongan ahli fasik, ahli kafir mahupun orang yang berbuat bid’ah sama ada dari sudut pemakaian, tunggangan dan tingkah laku, maka dia tergolong dalam kalangan mereka
Maka, melunturkan rambut kepada gaya seperti blonde dianggap tidak wajar, kerana ia lebih kepada mengikut trend Barat berbanding tujuan syarie.
Berhias ada Batasan
Islam mengajar umatnya menjaga maruah dalam berhias. Jika ada keperluan tertentu seperti menutup uban pada usia muda atau rawatan perubatan, ia dibolehkan dengan cara sederhana.
Ads
Namun, melunturkan rambut semata-mata kerana fesyen dan gaya perlu dielakkan. Ingatlah, kecantikan seorang Muslim bukan diukur pada warna rambutnya, tetapi pada akhlak, adab, dan ketakwaannya kepada Allah.
Khamis ini, kita akan menyambut peristiwa agung Israk dan Mikraj.
Sebagai umat Islam, peristiwa ini sangat besar dan perlu dihayati kerana ia perjalanan Rasulullah SAW naik ke langit ke tujuh. Peristiwa pada malam hari ini dengan izin Allah taala bermula dari Masjidil Haram menuju ke Masjidil Aqsa.
Firman Allah di dalam Surah Al-Israk ayat 1: "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari, dari Masjid Al-Haram (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Baginda Rasulullah SAW kemudian naik ke langit sampai ke Sidratil Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah (suatu tempat di mana alam ini diatur) dengan menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.
Kisah-kisah dalam peristiwa Israk dan Mikraj mengandungi sesuatu yang amat menakjubkan kerana ia tidak sama dengan cara perjalanan ditempuh oleh manusia biasa. Perjalanan ini adalah perjalanan istimewa menggunakan kenderaan Allah (dikatakan burqa) yang kelajuannya tidak boleh ditandingi dengan apa saja kenderaan yang direka oleh manusia.
Di sebalik perjalanan ini, timbul satu pertanyaan, adakah perjalanan Rasulullah ini dengan roh dan jasad atau hanya roh sahaja semasa perjalanan agung itu terjadi? Dipetik dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Mufti menjawap persoalan mengenai perjalanan agung ini.
Jawapan: Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Dalam isu ini, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat beberapa pandangan para ulama yang berbeza di antara satu sama lain. Sebahagian mereka berpendapat bahawa Rasulullah S.A.W diperjalankan daripada Masjid al-Haram menuju ke Masjid al-Aqsa adalah dengan roh sahaja dan bukannya dengan jasad baginda. Manakala pendapat lain pula menyatakan bahawa baginda S.A.W diperjalankan oleh Allah S.W.T dengan roh dan juga jasad. Di antara ayat yang menjadi fokus perbincangan di dalam isu ini adalah firman Allah S.W.T:
Maksudnya: Maha suci zat yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam daripada Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati kawasan sekelilingnya, untuk Kami tunjukkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Kami, sesungguhnya Dia adalah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Surah Al-Isra’(1)
Ketika menafsirkan ayat ini, Imam Al-Thabari Rahimahullah berkata: Para ulama berbeza pendapat berkenaan sifat (cara-cara) Allah S.W.T memperjalankan Nabi-Nya S.A.W daripada Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa. Sebahagian mereka berkata: Allah memperjalankan baginda dengan jasadnya. Maka Nabi S.A.W diperjalankan pada satu malam dan baginda berada di atas buraq daripada Baitullah al-Haram menuju ke Al-Aqsa sehinggalah baginda sampai ke sana. Lalu Allah menunjukkan kepada baginda apa yang dikehendaki dari sudut keajaiban-keajaiban perintah-Nya di samping keagungan dan kebesaran kerajaan-Nya. Kemudian baginda berkumpul di sana bersama dengan para Nabi, dan solat bersama mereka di sana. Kemudian Nabi dinaikkan ke atas langit sehingga ke langit yang ketujuh. Kemudian Allah mewahyukan kepada baginda di sana, dengan kadar yang Dia kehendaki dan seterusnya baginda pulang semula ke masjid al-haram pada malam yang sama dan baginda solat subuh di sana.
Kemudian Imam Al-Thabari menukilkan pendapat yang kedua yang menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W tidak diperjalankan dengan jasad baginda akan tetapi dengan roh baginda. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Saidina Mu’awiyah bin Abi Sufian apabila beliau ditanyakan berkenaan dengan isra’ Nabi S.A.W beliau menjawab: Ia berlaku dengan cara mimpi yang benar.
Manakala Umm al-Mu’minin Aísyah R.anha pula berkata: Tidaklah hilang jasad Rasulullah S.A.W akan tetapi Allah S.W.T memperjalankannya dengan rohnya. Berkenaan dengan kenyataan daripada Saidina Mu’awiyah dan juga Umm al-Mu’minin A’isyah R.anha, ia diriwayatkan oleh Muhammad bin Ishak dengan katanya:
Maksudnya: Telah menceritakan kepada aku sebahagian daripada keluarga Abu Bakar, bahawasanya A’isyah R.anha berkata: Tidaklah hilang jasad Rasulullah S.A.W. Akan tetapi Allah memperjalankannya dengan rohnya.
Athar ini diriwayatkan daripada Ibn Hisyam di dalam kitabnya Sirah Al-Nabawiyyah (2/46). Riwayat ini bagaimanapun dikritik oleh ramai ulama besar. Kata Al-Syeikh ‘Alawi Al-Saqqaf: Athar ini dhaif, ia diriwayatkan oleh Ibn Ishaq dengan sanad yang terputus. Lihat Takhrij Ahadiith al-Zhilal (Hlm. 246).
Bahkan melalui riwayat tersebut juga jelas kelihatan bahawa Ibn Ishaq tidak menamakan individu dari keluarga Abu Bakr yang menceritakan kepadanya. Ia dianggap sebagai mubham iaitu terdapat kesamaran pada perawi. Jika dinamakan sekalipun, kita perlulah meneliti berkenaan status individu tersebut, adakah ia thiqah ataupun sebaliknya. Maka jelaslah bahawa riwayat ini dhaif dan tidak boleh untuk dijadikan hujah sebagai sandaran.
Imam al-Thabari apabila mengeluarkan pendapat beliau dan mentarjihkan kedua-dua pendapat di atas beliau mengatakan: Pendapat yang tepat di sisi kami adalah:-
Sesungguhnya Allah S.W.T memperjalankan hambanya Muhammad S.A.W daripada Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa sebagaimana yang telah Allah khabarkan kepada para hamba-Nya. Dan sebagaimana yang telah jelas perkhabaran-perkhabaran daripada Nabi S.A.W, bahawasanya Allah S.W.T meletakkan baginda di atas buraq sehinggalah Nabi sampai dengan menaikinya serta solat di sana (Masjid al-Aqsa) bersama-sama dengan para Nabi dan Rasul, serta Allah S.W.T menunjukkan kepadanya tanda-tanda kebesaran-Nya. Maka tiada makna bagi golongan yang berpendapat: Nabi diperjalankan dengan rohnya dan bukan dengan jasadnya. Ini kerana, sekiranya keadaannya sedemikian rupa, sudah tentu perkara tersebut tidak menjadi suatu dalil kenabiannya serta tidak ada hujah ke atas kerasulan baginda. Maka Allah S.W.T apabila mengkhabarkan di dalam al-Quran bahawa Dia memperjalankan hamba-Nya, dan Dia tidak menyatakan yang Dia memperjalankan roh hamba-Nya. Maka tidak boleh untuk seseorang itu untuk berlebih-lebih terhadap apa yang dikatakan oleh Allah kepada pendapat lainnya. Lihat Tafsir al-Thabari, Ibn Jarir (17/328).
Demikian juga Imam al-Thabari berpendapat bahawa dalil-dalil yang sahih telah jelas menunjukkan bahawa baginda Rasulullah S.A.W diperjalankan di atas haiwan yang dinamakan sebagai buraq. Sekiranya isra’ itu berlaku dengan roh baginda, nescayalah roh tidak dipikul di atas buraq. Ini kerana, haiwan tidak menanggung selain daripada jisim.
Berkenaan perjalanan Nabi S.A.W dengan menaiki buraq tersebut, hal ini dinyatakan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Kemudian aku didatangkan dengan seekor haiwan yang berwarna putih yang dinamakan sebagai al-buraq. Bentuknya lebih tinggi berbanding keldai dan rendah sedikit berbanding baghal.
Hal ini jelas menunjukkan bahawa baginda melihat dengan jelas warna, bentuk, dan keadaan haiwan yang didatangkan kepada baginda. Kemudian baginda S.A.W menceritakan bahawa baginda dibawa naik ke atas belakang haiwan tersebut dengan sabdanya:
Maksudnya: Aku dibawa naik ke atasnya (Buraq) kemudian kami pun bertolak sehinggalah kami sampai ke langit dunia. Riwayat Muslim (164)
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Thabari sebelum ini, perkataan menaiki dan duduk di atas sesuatu itu jelas menunjukkan yang ia berlaku dengan jasad dan bukannya dengan roh sahaja. Inilah juga pendapat yang dipersetujui oleh Imam Al-Nawawi Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini. Beliau menukilkan pendapat daripada Imam al-Qadhi ‘Iyadh Rahimahullah yang berkata: Para ulama berbeza pendapat berkenaan isu isra’ Rasulullah S.A.W.
Maka dikatakan bahawa: Keseluruhan peristiwa itu berlaku di dalam mimpi. Kebenarannya, yang dipegang oleh majoriti manusia, kebanyakan para salaf, serta ramai dari kalangan para fuqaha, ahli hadis, dan para mutakallimin bahawa baginda S.A.W diperjalankan dengan jasadnya. Athar-athar jelas menunjukkan kepada perkara ini bagi sesiapa yang meneliti dan mengkajinya. Dan adalah tidak boleh untuk mengalih hal ini daripada zahirnya. Bahkan tiada kemustahilan untuk ia berlaku sehingga memerlukan kepada takwil. Lihat Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (2/357).
Kesimpulan
Setelah kami meneliti beberapa pendapat yang dikemukakan di atas, kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa kejadian isra’ (perjalanan) Rasulullah S.A.W daripada Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa itu berlaku dengan roh dan jasad baginda S.A.W. Ini dengan mengambil kira penelitian yang dilakukan terhadap nas ilahi di samping hadis-hadis yang sahih lagi jelas yang menyatakan hal tersebut. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita dalam beragama. Ameen.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Kalau duduk serumah dengan abang ipar, wanita memang kena bertudung litup 24 jam ke? Kalau balik sekejap-sekejap, mungkinlah tidak menjadi masalah untuk menutup aurat penuh.
Tetapi bayangkan jika seorang wanita memang tinggal dengan keluarga mentua dan abang ipar. Sudah tentu agak sukar untuk menutup aurat sepanjang masa.
Kalau duduk serumah dengan abang ipar, memang kena tutup litup semua ke, jenuhlah nak pakai stokin tiap masa dalam di dalam rumah bukan.
Tidak dinafikan, dalam mazhab Imam Syafie, kaki perempuan ini masih dikira aurat dalam keadaan apa sekalipun tapi sebenarnya ada jalan keluar untuk masalah ini.
Menurut Dr Abdul Karim Zaidan, dia tarjih pandangan yang paling kuat, kita ini sebenarnya dberikan keringanan untuk singkap aurat semasa bekerja contohnya ketika kita mencuci pinggan.
Namun begitulah tidaklah kesemua, jika bahagian tangan hanyalah dari hujung jari hinggalah ke pangkal lengan dan juga kaki. Jadi kalau abang ipar ternampak aurat kita pada ketika itu dimaafkan pada syarak.
Kaedah fiq ada sebut, ‘kepayahan membawa kepada keringanan’. Tapi jangan pula kita ambil mudah keringanan ini kerana hanya dibenarkan seorang wanita membuka pada bahagian kaki dan lengan sahaja.
Ada pun kepala, rambut, semua ni kita wajib tutup ya seperti kebiasaanya. Elakkan diri daripada berkemban di depan abang ipar sedangkan kita dan abang ipar ialah larangan muaqqat.
Info 1:
Larangan sementara (Muaqqat) ialah larangan untuk tempoh masa atau keadaan tertentu. Apabila keadaan berubah, hukum larangan itu pun terbatal. Seorang lelaki diharamkan mengahwini adik atau kakak kepada isterinya (iparnya) selagi mana isterinya masih ada.
Hukum ini dapat dilaksanakan khusus buat mereka yang tinggal serumah saja. Jika abang ipar itu sekadar menyinggah atau ziarah sekali-sekala, kita masih kena tutup aurat, full macam biasa.
Sesungguhnya, ipar-duai turut tidak dibenarkan berkhalwat (berdua-duaan) apatah lagi bersentuhan kulit, sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Berhati-hatilah kamu ketika masuk menemui wanita.
Lalu seorang lelaki Ansar berkata:
Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat engkau tentang ipar?
Baginda bersabda:
Ipar adalah maut,” – Riwayat al-Bukhari (5232) Riwayat al-Muslim (2172).
Wanita perlu lebih berhati-hati menjaga diri dan aurat ketika berada dalam satu rumah dengan ipar lelaki kerana fitnah bersama al-hamwu lebih besar dan berbahaya.
Adapun kalau hanya berdua dengan ipar-duai tanpa ada kehadiran mahram lain adalah dilarang oleh syara’ dan perlu dijauhi bagi menutup pintu fitnah (saddu zara’ii).
Larangan ni sebagai langkah berja-jaga daripada timbul sebarang kerosakan (mafsadah) yang lebih besar pada masa akan datang.
Info 2 : Mahram yang dimaksudkan adalah daripada pihak perempuan bukannya lelaki
Kashoorga: Islam ini memudahkan, tapi jangan pula kita mengambil ringan dalam bab aurat.
Esok bermulalah permulaan tahun baru hijrah atau disebut juga Awal Muharram.
Istimewanya Maal Hijrahini ialah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Peristiwa bersejarah itu berlaku pada 1 Muharam tahun baru bagi takwim hijrah.
Banyak peristiwa berlaku dalam Awal Muharram ini, antaranya ialah Hari Nabi Musa AS diselamatkan manakala Firaun dan pengikutnya ditenggelamkan, diampunkan dosa setahun yang lalu bagi yang berpuasa di 10 Muharrama atau disebut hari Asyura, hari diterimanya taubat Nabi Adam serta lain lagi.
Bermula Asar nanti, segala buku amalan kebaikan dan keburukan do akita lakuakn akan diangkat ke langit dan digantikan dengan buku baru. Dan kerana itulah kita disarankan berdoa pada akhir dan permulaan tahun baru hijrah ini.
Pasti ramai di antara kita tertanya-tanya apakah makna di sebalik doa baca ini. Inilah makna di sebalik doa yang kita baca kelak.
Fainnana Nastaghfiruka Faghfirlana, Wamaa ‘Amilna Fiihaa Mimma Tardohu Wawa ‘Adtana ‘Alaihit-tawwab, FanasAluka Allahumma Ya Karimu Ya Dzal Jalaali Wal Ikramm
An Tataqobbalahu Minna Walaa Taqtogh RajaaAna Minka Ya Karim, Rabbanaa Aatina Fiddunya Hasanatan Wa Fil Aakhirati Hasanatan Waqina ‘Aazabannar
Was Sollallahu ‘Ala Sayyidinaa Muhammadin Wa ‘Ala Aalihi Wasohbihi Ajmain, Walhamdulillahi Rabbil ‘Alamin.
Maksudnya:-
Segala pujian bagi Allah, Tuhan semesta alam. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada junjungan kami Nabi Muhammad SAW, beserta para keluarga dan sahabatnya.
Ya Allah, segala yang telah kami kerjakan selama ini dari apa yang menjadi laranganMu, sedang kami belum bertaubat, padahal Engkau tidak melupakan dan Engkau bersabar (dengan kasih SayangMu), yang sesungguhnya Engkau berkuasa memberikan siksa untuk kami, dan Engkau telah mengajak kami untuk bertaubat sesudah melakukan maksiat.
Kerana itu ya Allah, kami mohon ampunanMu dan berilah ampun kepada kami dengan kemurahanMu.
Segala apa yang telah kami kerjakan, selama tahun ini, berupa amal perbuatan yang Engkau redhai dan Engkau janjikan akan membalasnya dengan pahala, kami memohon kepadaMu, wahai Zat Yang Maha Pemurah, Wahai Zat Yang Mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan, semoga berkenan menerima amal kami dan semoga Engkau tidak memutuskan harapan kami kepadaMu, wahai Zat Yang Maha Pemurah.
Doa awal tahun dibaca pada selepas waktu Maghrib sebanyak 3 kali pada malam 1 Muharram.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam, Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada junjungan kami Nabi Muhammad, beserta keluarga dan sahabatnya.
Ya Allah, Engkaulah Yang Abadi, Dahulu, lagi Awal. Dan hanya kepada anugerahMu yang Agung dan dermawanMu tempat bergantung.
Dan tahun baru ini benar-benar telah datang. Kami memohon kepadaMu perlindungan dalam tahun ini dari (godaan) syaitan yang direjam, pembantu-pembantunya dan bala tenteranya.
Dan kami memohon pertolongan untuk mengalahkan hawa nafsu amarah yang mengajak kepada kejahatan, agar kami sibuk melakukan amal yang dapat mendekatkan diri kami kepadaMu wahai Dzat yang memiliki Keagungan dan Kemuliaan.
Wahai Tuhan yang Maha Mengasihani kepada hamba-hambaNya. Ya Allah, berikanlah kebaikan hidup di dunia dan kebaikan hidup di akhirat, serta jauhkan kami dari azab neraka.
Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada junjungan kami Nabi Muhammad, beserta para keluarga dan sahabatnya.
Segala Pujian bagi Allah, Tuhan semesta Alam.
Kashoorga : Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita setahun yang lalu dan semoga tahun akan datang membawa hidup kita lebih berkat. Amin.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Tidur tanpa seurat benang sering dikaitkan dengan gangguan jin, tetapi adakah ia benar menurut Islam? Ketahui penjelasan berdasarkan dalil serta amalan sunnah sebelum tidur.