Soalan

Saya ada mendapat wang bantuan dari pihak sekolah saya gunakan wang itu untuk membeli telefon. Dengan telefon itu, saya tengok benda maksiat. Sekarang baru saya sedar perbuatan saya, adakah saya perlu menggantikan wang sekolah atau bertaubat?

Jika perlu menggantikan wang itu saya tidak mampu kerana masalah kewangan, cukupkah dengan saya hanya bertaubat?

Jawapan

Wa’alaikumussalam,

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Agama Islam merupakan agama yang menyuruh kepada perkara yang makruf (baik) dan mencegah daripada perbuatan mungkar (jahat). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّه

IKLAN

Maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”

(Surah Ali ‘Imran: 110)

Imam Al-Qurtubi ketika mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa Allah menyifatkan umat Islam sebagai umat yang melakukan amar makruf dan nahi mungkar dan mereka dipuji disebabkan itu. Antara isi penting daripada tafsiran ayat ini ialah perkara yang mungkar perlulah dijauhi dan ditegah kerana itu merupakan tanda-tanda orang beriman. (Rujuk: Al-Jami’ li Ahkamil Quran, jld.4, hlm. 170)

Menjawab persoalan yang diajukan, wang bantuan yang diberikan oleh pihak sekolah itu merupakan wang amanah yang telah diamanahkan oleh pihak tertentu untuk diberi kepada penerima yang layak.

IKLAN

Oleh yang demikian, wang bantuan yang diberikan oleh pihak sekolah tersebut perlulah digunakan sebaiknya dan tidak digunakan untuk perkara yang tidak berfaedah dan haram di sisi agama seperti membeli rokok, vape atau digunakan untuk berjudi dan sebagainya.

Ada pun berkenaan penggunaan wang bantuan tersebut untuk membeli telefon bimbit tidak menjadi masalah jika ia satu keperluan. Namun, perbuatan yang dilakukan seperti melihat perkara yang haram dan maksiat perlulah si pelaku bertaubat daripada perbuatan tersebut serta tidak mengulanginya lagi kerana dikhuatiri keberkatan akan hilang dan mendapat kesan buruk yang tertentu.

Pelaku tidak perlu menggantikan wang tersebut disebabkan kesempitan wang yang dihadapi tetapi perlu menyesal atas perbuatan melihat maksiat seperti yang dinyatakan. Firman Allah SWT dalam al-Quran:

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَىٰ مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ

IKLAN

Maksudnya: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).”

(Surah Ali ‘Imran: 134)

Kesimpulan

Setelah si pelaku mengetahui perbuatan menggunakan sesuatu pemberian seperti wang bantuan telah digunakan untuk tujuan yang salah seperti melakukan maksiat, pelaku tersebut perlulah segera bertaubat dan mengharap pengampunan daripada Allah SWT. Si pelaku tidak perlu memulang atau menggantikan wang bantuan tersebut disebabkan masalah kekangan dan kesempitan wang.

Wallahu’aklam.

Sumber: Mufti Pulau Pinang

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI