
Ibu jadi imam kepada anak lelaki, sah atau tidak? Persoalan ini mungkin timbul dalam kalangan ibu-ibu, terutama bila anak lelaki masih kecil dan sudah mula belajar solat.
Ramai yang memilih untuk berjemaah bersama anak-anak di rumah, namun timbul persoalan, adakah sah solat berjemaah jika seorang ibu menjadi imam kepada anak lelaki?
Jawapan kepada persoalan ini dikongsi melalui portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Hukum Ibu Jadi Imam Kepada Anak Lelaki
Hukum ibu menjadi imam kepada anak-anak lelakinya yang telah mencapai usia mumayyiz iaitu 6 atau 7 tahun adalah tidak sah.
Sebaliknya, anak lelaki yang telah mencapai had usia mumayyiz layak menjadi imam kepada ibunya apabila mampu membaca al-Quran dengan betul dan mengetahui syarat-syarat sah solat dan imam.
Lelaki tidak boleh menjadi makmum kepada wanita dan solat jemaah dalam keadaan ini tidak sah. Hal ini kerana antara syarat sah untuk menjadi makmum mestilah lelaki tidak menjadi makmum kepada perempuan mahupun khunsa musykil (khunsa yang tidak dikenal pasti kecenderungan jantinanya. Perkara ini dinyatakan oleh Ad-Damiri dalam karya Najm al-Wahaj:
لا تصح قدوة رجل ولا خنثى بامرأة
Maksudnya: “Tidak sah makmum lelaki dan khunsa (musykil)berimamkan perempuan[1]
Begitu juga, fuqaha mazhab Syafi’i bersepakat tidak membenarkan kanak -kanak lelaki yang sudah baligh solat di belakang imam perempuan.
Kategori solat berjemaah yang sah dan tidak sah
Berikut adalah kategori solat berjemaah yang sah berdasarkan kedudukan jantina imam dan makmum:
- Lelaki menjadi makmum kepada lelaki.
- Perempuan menjadi makmum kepada lelaki
- Khunsa menjadi makmum kepada lelaki
- Perempuan menjadi makmum kepada khunsa
- Perempuan menjadi makmum kepada perempuan
Kategori solat berjemaah yang tidak sah berdasarkan kedudukan jantina imam dan makmum:
- Lelaki menjadi makmum kepada perempuan
- Lelaki menjadi makmum khunsa (kemungkinan imam perempuan)
- Khunsa menjadi makmum kepada perempuan (kemungkinan makmum lelaki)
- Khunsa menjadi makmum kepada khunsa (kemungkinan imam perempuan makmum lelaki.
Lelaki yang telah mencapai had umur mumayyiz tidak sah menjadi makmum bagi imam perempuan. Perkara ini dijelaskan oleh Khatib al-Syirbini :
وَلَا تَصِحُّ قُدْوَةُ) ذَكَرٍ (رَجُلٍ) أَوْ صَبِيٍّ مُمَيِّزٍ (وَلَا خُنْثَى بِأُ) نْثَى (امْرَأَةٍ) أَوْ صَبِيَّةٍ مُمَيِّزَةٍ ،
Maksudnya: Lelaki atau kanak-kanak lelaki yang mumaiyiz dan khunsa (musykil) tidak sah menjadi makmum kepada wanita, atau dengan kanak-kanak perempuan yang mumaiyiz.
Kesimpulannya, ibu tidak sah menjadi imam kepada anak-anak lelakinya yang telah mencapai usia mumayyiz. Sementara itu, sekiranya anak-anak lelaki yang baik bacaan al-Qurannya lebih layak untuk menjadi imam bagi makmum lelaki apatah lagi boleh menjadi imam kepada wanita.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?





