
Isi Kandungan
ToggleDalam kelompok masyarakat hari ini terdapat juga golongan transgender. Meski melakukan sesuatu yang bertentangan dengan agama namun mereka bergaul seperti biasa kalangan masyarakat. Malah ada yang bersahabat baik dengan golongan transgender ini.
Dalam Islam sendiri apakah hukumnya berkawan dengan golongan sebegini terutama yang telah menukar jantina. Berikut adalah penjelasan pendakwah terkenal Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid.
Pilihlah dengan siapa kita bersahabat
“Perbuatan merubah jantina tentunya adalah bertentangan dengan fitrah bertentangan dengan akal juga pada masa yang sama bertentangan dengan agama.
“Tentunya di dalam persahabatan membawa kesan yang baik atau sebaliknya bergantung kepada siapa kita bersahabat dan apa tujuan dalam bersahabat.
“Oleh sebab itu Rasulullah SAW bersabda:
“Seseorang itu akan berada pada perangai atau agama, atau maruah sahabatnya”.
“Hendaklah kamu memilih dengan siapa kamu bersahabat”.
“Kata Nabi SAW
“Orang bersahabat dengan orang yang baik, umpama orang yang pergi kedai minyak wangi”
“Yakni akan mendapat wangi dan kebaikan. Nabi memberikan penjelasan tentang penting untuk memilih sahabat dan memilih teman
“Bila mana dalam anjuran kita bersahabat dengan orang yang baik dan di dalam syariat juga larangan bersahabat dengan orang yang tidak baik, maka kita patuh kepada aturan syariat untuk memilih kepada teman dengan siapa kita bersahabat.
“Kemudian hak persahabatan itu adalah membawa kebaikan kepada sahabatnya seperti menasihati bila mana salah, seperti berkongsi maklumat bila mana mendatangkan manfaat seperti mengajak kepada kebaikan, baik kepada orang yang baik atau orang yang fasik.
Berkawan untuk berdakwah
“Berteman dengan orang-orang yang tidak baik, bila mana tujuannya untuk menasihati, bila mana tujuannya untuk berdakwah, bila mana tujuannya untuk menginsafkan,

“Maka dalam hal ini adalah perkara itu dianjurkan untuk berdakwah kepada sesiapa sahaja, bukan hanya kepada (yang) mengubah jantina walaupun kepada sesiapa sahaja yang berbuat maksiat, orang fasik kita diperintahkan untuk berdakwah kepada semua.
“Tetapi kalau berkawan dengan mereka sekadar seperti kawan-kawan biasa, maka dalam hal ini kembali kepada asas pembahasan tentang persahabatan itu mendatangkan manfaat ataupun sebaliknya mendatangkan mudharat.
“Berkawan dengan yang baik atau berkawan dengan yang tidak baik, bila mana berkawan dengan orang yang baik (orang yang soleh), maka itu digalakkan.
“Tapi bila mana berdakwah dengan orang yang kita boleh terjejas dengan bersahabat dengannya, maka mengelak daripada berkawan dengan orang-orang yang sedemikian.
Wallahuallam
Sumber: Instagram Habib Ali Zaenal
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Boleh Ke Kandungan Berusia 4 Bulan Digugurkan Jika Hasil Scan Dapati Anak Cacat? Mufti WP Beri Penjelasan

Berbanding zaman dahulu, ujian scan semasa mengandung pada hari ini lebih canggih dan tepat. Ini termasuklah ibu ayah yang bakal menimang anak boleh melihat wajah anak berbanding dahulu hanya mengetahui jantina sahaja.
Ujian ultrasound ini bukan saja mengetahui jantina bayi, kesempurnaan fizikalnya tetapi mampu juga mengesan jika bayi di dalam kandungan mempunyai kelainan fizikal.
Menjawap satu pertanyaan adalah dibolehkan ibu mengandung menggugurkan anak berusia 120 hari yang mengalami kecacatan seperti tempurung kepala tidak sempurna, dipetik dari pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ini adalah hukum menggugurkan kandungan berusia 120 hari wajar kita ketahui. Semoga pencerahan ini mampu menghuraikan permasalahan ibu ayah.
JAWAPAN
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.
Pengguguran bayi dikalangan wanita Islam merupakan satu fenomena semasa yang menjadi permasalahan bersifat domestik dan antarabangsa. Namun, ia bukanlah satu perkara baru dan telah dibincangkan oleh para ulama’ dalam kitab-kitab Fiqh klasik dan moden.
Hukum menggugurkan bayi dalam kandungan boleh dibahagikan kepada dua bahagian; iaitu menggugurkan kandungan sebelum berusia 4 bulan dan menggugurkannya selepas berusia 4 bulan. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW daripada Ibn Mas’ud RA:
إنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِيْ بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِيْنَ يَوْمَاً نُطْفَةً، ثُمَّ يَكُوْنُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُوْنُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ إِلَيْهِ المَلَكُ فَيَنفُخُ فِيْهِ الرٌّوْحَ
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap daripada kamu dihimpunkan penciptaannya di dalam rahim perut ibunya selama 40 hari, kemudian jadilah (nutfah) itu segumpal darah selama tempoh itu juga, kemudian jadilah (`alaqah) itu segumpal daging selama tempoh itu juga, kemudian diutuskan malaikat dan ditiupkan ke dalamnya roh”.
Riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)
Menggugurkan kandungan yang berusia empat bulan atau kurang daripadanya adalah termasuk dalam perkara yang menjadi perselisihan di kalangan para ulama’ kerana dalam tempoh tersebut roh belum lagi ditiupkan ke dalam kandungan. Majoriti ulama mengatakan bahawa hukumnya adalah haram. Sebahagian lain mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh. Manakala sebahagian yang lain pula berpendapat bahawa hukumnya adalah harus dengan syarat-syarat tertentu. Rujuk Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah (2/58-59), Nihayah al-Muhtaj (8/416). Boleh rujuk perbahasan dalam masalah ini melalui artikel kami yang terdahulu dibawah tajuk: “Al-Kafi #659: Hukum Gugurkan Janin Bagi Wanita Yang Sibuk Berkerja”[1]
Adapun menggugurkan kandungan selepas berusia 4 bulan, para ulama’ bersepakat bahawa hukumnya haram kerana pada usia tersebut, roh telah ditiupkan ke dalam kandungan ibu berdasarkan hadith Ibn Mas’ud RA. Rujuk Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah (2/57), al-Mughni (8/418).
Namun, diharuskan menggugurkan bayi di dalam kandungan walaupun sudah ditiupkan roh kepadanya (selepas berusia 4 bulan), jika ia boleh mengancam nyawa ibunya. Rujuk Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah (2/57)
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-26 yang telah diputuskan pada 7 Mac 1990 menyatakan:-
(1) Menurut Ijmak Fuqaha’, haram menggugurkan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab-sebab kecacatan yang teruk.
(2) Makruh menggugurkan janin yang berumur antara satu hari hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya pada ibu dan mendapat persetujuan daripada kedua-dua suami dan isteri.

(3) Ijmak Fuqaha’ berpendapat hukum pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu.
Muzakarah telah mengambil keputusan bahawa adalah haram menggugurkan janin di dalam kandungan kecuali atas sebab-sebab kecacatan yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.
Kesimpulan
Berdasarkan nas, perbincangan dan fatwa di atas, kami simpulkan bahawa bayi di dalam kandungan yang berusia 4 bulan dan ke atas tidak boleh digugurkan kecuali pengguguran itu bertujuan untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab-sebab kecacatan yang teruk dan setelah mendapat nasihat daripada pakar-pakar perubatan yang berautoriti.
Kami menasihatkan agar pihak yang bertanya mendapatkan pandangan daripada pakar-pakar perubatan yang berautoriti mengenai kedudukan bayi di dalam kandungan dan kesan yang mungkin berlaku kepada ibu dan bayi jika bayi di dalam kandungan tersebut tidak digugurkan.
Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Perlu Ke Tunaikan Nazar Begini? Ketua Penolong Mufti Wilayah Ulas Isu Nazar Poligami

Ramai yang beranggapan andai bernazar, ianya wajib ditunaikan. Namun bila menyentuh tentang nazar ada sesuatu yang harus kita fahami dari konteks apa nazar itu disebut. Ketua Penolong Mufti Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed berkongsi mengenai nazar poligami yang wajar diberi perhatian oleh golongan lelaki yang sering menyebutnya.
Nazar Poligami
(Sesiapa yang malas baca semua, boleh skip ke point no. 7 dan seterusnya)
1) Apabila seseorang itu bernazar untuk melakukan sesuatu ibadah yang sunat, maka wajib ke atasnya untuk melakukan ibadah itu, sebagai contoh: ‘Aku bernazar kerana Allah melakukan puasa Asyura pada tahun ini’. Hukum asal puasa pada hari Asyura ialah sunat, namun apabila dinazarkan maka ia menjadi wajib. Jika dia tidak melakukan puasa Asyura pada tahun itu, maka dia wajib membayar kaffarah kerana melanggar janji kepada Allah.
2) Namun begitu tidak semua amalan sah atau ‘valid’ untuk dijadikan amalan yang dinazarkan(Manzur). Oleh itu sesiapa yang ingin bernazar maka dia perlu mengenal pasti dahulu amalan manakah yang sesuai untuk dinazarkan. Imam Syahabuddin al-Ramli(Ramli Kabir) menjelaskan piawaian amalan yang sah untuk dijadikan amalan nazar di dalam karangan beliau “Fathul Rahman”(Syarah Matan Zubad):
وأما المنذور: فهو قربة غير واجبة وجوب عين، سواء أكانت عبادة مقصودة بأن وضعت للتقرب بها وعرف من الشارع الاهتمام بتكليف الخلق بإيقاعها عبادة؛ كصلاة وصوم وحج، واعتكاف وصدقة، أو فرض كفاية
Maksudnya: “Manakala ‘manzur’(amalan yang dinazarkan) adalah qurbah(ibadah) yang bukan fardu ain, samaada ibadah maqsudah iaitu dilakukan untuk mendekatkan diri (kepada Allah) dan ditakrifkan oleh Pensyariat(Allah Ta’ala) sebagai satu komitmen yang ditaklifkan (dipertanggungjawabkan) kepada makhluk yang dikira sebagai ibadah, seperti solat, puasa, haji, iktikaf, sedekah atau fardu kifayah”.
3) Kenyataan Imam Ramli di atas menunjukkan bahawa amalan yang layak dinazarkan hanya tertakluk kepada ibadah sahaja yang bukan ketogari fardu ain seperti solat 5 waktu dan puasa Ramadan. Selain dari ibadah khusus seperti solat dan puasa sunat, apa sahaja amalan yang dipuji oleh syarak, sah dan wajib diamalkan sebagai nazar, perkara ini disebut dengan jelas oleh Imam Ramli dalam rujukan yang sama:
وإنما هي أعمال وأخلاق مستحسنة رغب الشارع فيها؛ لعظم فائدتها، وقد يبتغي بها وجه الله تعالى فيثاب عليها؛ كعيادة المريض، وتطييب الكعبة وكسوتها، وتشميت العاطس، وزيارة القادم والقبور، وإفشاء السلام على المسلمين، وتشييع الجنائز.
Maksudnya: “Ia(qurbah) hanyalah amalan-amalan dan akhlak yang baik yang mana ia digalakkan oleh Pensyariat(Allah) untuk melakukannya kerana faedahnya yang sangat besar. Adakalanya ia (dilakukan) demi mendekatkan diri pada Allah maka ia diberi ganjaran melalui amalan-amalan itu seperti menziarahi orang sakit, mewangikan kaabah, meletakkan kiswah pada kaabah, mendoakan orang yang bersin, menziarahi orang yang pulang dari musafir, menziarahi kubur, memberi salam pada orang-orang Islam dan mengiringi jenazah”.
4) Perbuatan yang tidak dikira sah untuk diamalkan sebagai nazar adalah perkara yang melibatkan perbuatan maksiat dan perbuatan yang diharuskan/dibolehkan oleh syarak. Fakta ini dinyatakan dengan jelas oleh Imam al-Ramli:
وخرج بـ (القربة): المعصية، فلا يصح نذرها، والمباح كأكل ونوم، فلا يصح نذره؛ لخبر أبي داوود: "لا نذر إلا فيما ابتغي به وجه الله"، فلو نذر ذلك وخالف .. لم تلزمه كفارة.
Maksudnya: “Perkara yang terkeluar dari ketogari qurbah ialah maksiat, maka tidak sah nazar untuk maksiat. Begitu juga perkara yang harus hukumnya seperti makan dan tidur, maka tidak sah nazarnya, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, “Tiada nazar melainkan pada perkara yang mendekatkan diri pada Allah”. Jika seseorang itu bernazar (untuk perkara yang harus hukumnya) lalu dia tidak menunaikan nazar itu, maka tidak diwajibkan kaffarah ke atasnya”.
5) Jelas di sini bahawa hukum bernazar dengan amalan yang harus dilakukan menurut syarak tidak sah nazarnya menurut mazhab Syafi’ie, malah ia adalah perkara yang sia-sia dan pada zahirnya tiada ganjaran yang dikurniakan oleh Allah. Malah jika seseorang tidak menunaikan nazar tersebut maka dia tidak dikira melanggar janji pada Allah dan tidak diwajibkan kaffarah sebagai ganti. Perkara ini dibuktikan melalui hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ibn Abbas radiyallahu ‘anhuma:
بَيْنَمَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ، إِذَا هُوَ بِرَجُلٍ قَائِمٍ فِي الشَّمْسِ فَسَأَلَ عَنْهُ؟ قَالُوا: هَذَا أَبُو إِسْرَائِيلَ نَذَرَ أَنْ يَقُومَ، وَلَا يَقْعُدَ، وَلَا يَسْتَظِلَّ، وَلَا يَتَكَلَّمَ، وَيَصُومَ، قَالَ: «مُرُوهُ فَلْيَتَكَلَّمْ، وَلْيَسْتَظِلَّ، وَلْيَقْعُدْ، وَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ». رواه أبو دأود

Maksudnya: Ketika Nabi ﷺ berkhutbah, pada masa yang sama ada seorang lelaki yang berdiri di tengah matahari terik, lalu Baginda bertanya tentang lelaki itu. Lalu para sahabat menjawab, ‘Dia Abu Israel bernazar untuk berdiri dan tidak duduk, tidak berteduh (dari kepanasan matahari), tidak bercakap dan berpuasa’. Lalu Baginda bersabda, “Suruh dia bercakap, berteduh dan duduk. Hendaklah dia menyempurnakan puasanya”. (HR Abu Daud)
6) Jelas yang dinyatakan oleh hadis di atas, Rasulullah ﷺ tidak membenarkan Abu Israel RA meneruskan amalan nazar yang bukan dalam ketogari ibadah. Namun Baginda memerintah agar beliau menuruskan nazar puasanya kerana ia termasuk dalam ibadah.
7) Bagi menjawab soalan di atas, hukum asal perkahwinan adalah sunat dan ia termasuk dalam kategori qurbah (ibadah) yang dipuji dan digalakkan oleh syariat, bahkan ia adalah sunnah yang amat dituntut Rasulullah ﷺ. Oleh itu sesiapa yang telah bernazar untuk berkahwin sama ada poligami atau monogami, maka dia wajib menunaikannya lebih² lagi bagi mereka yang mampu.
8)) Hukum meninggalkan nazar bagi mereka yang mampu melaksanakan adalah berdosa dan disifatkan sebagai orang yang bersifat munafik kerana mengingkari janjinya kepada Allah. Selagi dia mampu untuk melaksanakan nazar itu dia tidak boleh berpindah kepada kaffarah.
9) Melainkan jika seseorang itu tidak mampu atau terhalang untuk melaksanakan nazar oleh keuzuran syar’ie, maka dia wajib menunaikan “Kaffarah Yamin”, iaitu memilih salah 1 dari 3 cara, a) Membebaskan seorang hamba mukmin b) Memberi makan 10 orang fakir miskin c) Memberi pakaian lengkap kepada 10 orang fakir miskin d) Jika tiada ketiga² di atas, maka puasa 3 hari.
10) Satu perkara penting yang ditekankan di sini bahawa sesuatu nazar tidak sah dan tidak wajib dilaksanakan jika sekadar berniat di hati, iaitu niat nazar itu tidak dilafazkan dengan lidah. Maksudnya jika bernazar untuk poligami hanya di dalam hati dan tidak dilafazkan di mulut, maka tidak termetrai nazar itu dan tidak wajib dilaksanakan. Namun jika sebaliknya ia menjadi kewajipan yang tidak boleh diabaikan.
11) Dinasihat agar kita semua perlu berfikir panjang sebelum berniat dan melafazkan sesuatu nazar, apakah implikasinya di kemudian hari? agar tidak menyesal di suatu hari nanti, jangan sampai periuk dan belanga terbang di sana sini.
Wallahu A’lam
Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil
@ Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Bolehkah Mulakan Solat Sunat Witir Satu Rakaat, Dan Diikuti Dua Rakaat?

Isi Kandungan
ToggleKita amat bertuah kerana dikurniakan dengan pelbagai ibadah solat sunat. Kelebihan solat sunat membolehkan kita mengumpul pahala sebanyak mungkin sebagai bekal ke akhirat. Salah satunya ialah solat sunat Witir.
Solat sunat Witir mempunyai rakaat ganjil sebagai penutup solat. Cuma ada pertanyaan yang perlu dijawab apabila ada yang mendirikan solat Witir satu rakaat di permulaan solat kemudian disusuli dengan solat dua rakaat. Boleh atau tidak? Kita ikuti penjelasan SS Mufti Wilayah Persekutuan.
Artikel berkaitan: Bangun Awal Sebelum Subuh Buat Solat Sunat Dulu, Antara Perkongsian Menarik Neelofa Yang Sangat Berinsprasi
Artikel berkaitan:Perlu Atau Tak Lakukan Solat Sunat Dua Rakaat Lepas Akad Nikah, Ini Jawapannya Elak Keliru
Soalan :
Assalamu’alaikum ustaz, dalam situasi solat Witir tiga rakaat secara berjemaah, imam buat solat witir satu rakaat dahulu kemudian baru buat dua rakaat. Boleh atau tidak begitu ?
Jawapan :
Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT, Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Kalimah witir atau sebutannya وَتْر / وِتْر watru dan witru dari sudut bahasa membawa maksud tunggal (bilangan yang ganjil) iaitu kalimah yang berlawanan dengan syafa’ (genap).
Manakala dari sudut istilah pula, witir bermaksud : ‘’Solat tertentu yang dilakukan pada waktu yang tertentu yang menutup solat-solat malam, sama ada ia dilakukan pada awal malam, pertengahan, atau pengakhiran malam’’.
Bilangan rakaatnya adalah bilangan yang ganjil dan disebabkan itulah ia dinamakan sebagai witir. Solat sunat Witir merupakan antara ibadah yang sangat digalakkan kepada setiap umat Islam.
Ini dapat dilihat berdasarkan beberapa riwayat yang menceritakan tentang anjuran dan galakan melakukan solat ini.
Antaranya berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata :
أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَيِ الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ
Maksudnya: Kekasihku (Rasulullah SAW) berwasiat kepadaku supaya melakukan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada setiap bulan, mengerjakan dua rakaat Dhuha dan melakukan solat witir sebelum tidur. Riwayat Al-Bukhari (1981)
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, kami menyatakan bahawa solat sunat Witir adalah solat terakhir pada waktu malam. Ini berdasarkan beberapa hadis antaranya seperti yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda :
اجْعَلُوا آخِرَ صَلاَتِكُمْ بِاللَّيْلِ وِتْرًا
Maksudnya : Jadikanlah solat witir sebagai solat terakhir kamu pada waktu malam.
Riwayat Al-Bukhari (998)

Juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda :
الْوِتْرُ رَكْعَةٌ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ
Witir adalah satu rakaat di akhir malam (penutup solat malam).
Riwayat Muslim (752)
Begitu juga berdasarkan sebuah hadis dari Ibn Umar bahawa Rasulullah S.A.W ditanyakan tentang tatacara solat malam, lalu baginda bersabda:
مَثْنَى مَثْنَى فَإِذَا خَشِيتَ الصُّبْحَ فَصَلِّ رَكْعَةً وَاجْعَلْ آخِرَ صَلاَتِكَ وِتْرًا
Maksudnya: (Solat malam) dilakukan sebanyak dua rakaat dua rakaat, apabila kamu khuatir masuknya waktu subuh maka solatlah satu rakaat dan jadikan akhir solat kamu adalah witir. Riwayat Muslim (749)
Berdasarkan beberapa riwayat di atas, solat witir itu adalah solat penghujung. Maknanya bagi mereka yang melakukan solat witir tiga rakaat dengan memisahkan antara dua rakaat syafa’ dan satu rakaat Witir. Hendaklah mendahulukan solat syafa’ dahulu dan barulah solat witir.
Penutup
Sebagai kesimpulan, setelah kami meneliti beberapa nas dan hujahan di atas, serta merujuk kepada definisi solat Witir yang telah kami sertakan, kami menyatakan bahawa solat Witir dengan cara melakukan satu rakaat terlebih dahulu dan kemudiannya dua rakaat adalah menyelisihi sunnah.
Ini kerana, apabila seseorang itu berniat melakukan solat Witir, maka sudah pastilah solat tersebut diakhiri dengan witir dan bukanlah syafa’ (iaitu dua rakaat), bahkan jika diakhiri solat Witir dengan solat Syafa’, ini jelas menafikan maksud solat Witir itu sendiri. Wallahu A’lam.
Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI