Islam merupakan satu agama yang amat menitikberatkan akan kebersihan dan Allah SWT amat suka akan hamba-hamba-Nya yang bersih.
Mandi juga merupakan salah satu daripada cara-cara untuk membersihkan diri. Tambahan pula, Allah SWT juga memerintahkan kita untuk mandi sebagaimana terdapat di dalam al-Qur’an:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri (mengerjakannya) solat sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan berjunub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi (bersuci)”. [al-Nisa’:43]
Ads
Meskipun ada perintah untuk umat Islam untuk mandi membersihkan diri namun begitu, ada pendapat yang mengatakan terdapat pula larangan untuk kita mandi pada Waktu malam.
Kemusykilan ini dirungkai oleh portal Mufti Wilayah Persekutuan yang menyatakan bahawa sebenarnya tidak terdapat ayat al-Qur’an, hadith dan juga athar daripada para sahabat berkaitan larangan mandi pada waktu malam.
Untuk itu, dibolehkan untuk mandi pada bila-bila sahaja yang dikehendaki kerana tidak ada dalil berkaitan larangan mandi pada waktu malam.
Ads
Tapi ada pendapat jauhi mandi pada dua waktu
Walaupun begitu, terdapat beberapa pendapat daripada kalangan ahli ilmu tentang kemakruhan mandi ketika matahari hampir terbenam dan di antara dua Isyak (antara maghrib dan isyak). Hal ini ada dinyatakan di dalam kitab Mughni al-Muhtaj:
Maksudnya: “Dan adalah makruh memasukinya (tandas) ketika matahari hampir terbenam dan di antara dua isyak (antara maghrib dan isyak) kerana pada waktu itu syaitan berkeliaran”. [Lihat: Mughni al-Muhtaj, 224/1]
Melihat kepada nukilan di atas, sebaik-baiknya kita cuba untuk menjauhi dan tidak memasuki tandas pada dua waktu tersebut melainkan ketika berhajat kepadanya. Tambahan pula, tandas atau mandi telah menjadi satu keperluan bagi setiap manusia contohnya apabila hendak membuang air dan melakukan mandi wajib.
Dewasa ini ramai wanita yang bersolat dengan hanya mengenakan tudung labuh, jubah panjang dan stoking sehingga menimbulkan tanda tanya sama ada solat mereka sah mahupun tidak. Adakah ketika bersolat, wajib mengenakan telekung atau ia sekadar syarat sahaja?
Dengan pakaian seperti jubah, asalkan syarat menutup auratnya dipenuhi, maka solat boleh didirikan dengan mudah, tidak kira di mana. Tidak perlu khuatir solat lewat kerana terpaksa menunggu giliran menggunakan telekung dan sebagainya. Seandainya pakaian yang dipakai sudah cukup menutup aurat dan bebas daripada najis, maka solat itu sah.
Ikuti perkongsian AJ Joseph tentang persoalan ini.
Ke sekian kalinya ditegur kerana solat tanpa telekung di surau beberapa hari lepas.
Saya diam, dengar saja.
Sesudah yang menegur habis cakap, saya ucap terima kasih lalu berlalu pergi dengan anak-anak tapi ditahan pula.
Belum habis ya tegurannya..
Saya masih cuba berdiam diri tapi bila nada penegur makin tinggi, seolah-olah saya buat kesalahan besar, malah dia juga mengatakan solat saya tidak sah kerana pakai baju biasa, bukan telekung.
I had to say something.
“Puan, kenapa solat saya tak sah?”
“Awak tak pakai telekung. Pakai baju biasa je.”
“Telekung bukan hukum sah solat puan.”
“Ustaz kata pakaian terbaik solat ialah telekung.”
“Tak semestinya pakai telekung baru sah.”
“Tapi ustaz kata..”
Oh, this gonna be a loooong one. Need to cut it short. I had to go.
“Puan, terima kasih atas teguran. Saya faham concern puan. Mmm.. Antara hukum sah solat ialah menutup aurat, betul kan puan? Telekung ini labuh dan longgar, sebab itu ustaz kata ia pakaian terbaik untuk solat. Tapi bukan wajib pakai telekung baru sah solat.”
“Sekarang ni puan lihat pakaian saya cukup labuh atau tidak? Melekat di badan? Tudung saya menutup dada, depan belakang tidak singkat. Bahagian bawah dagu juga saya cover. Saya pakai handsocks dan stokin.”
“Pada pandangan puan, cara pemakaian saya ini tidak patuh dengan hukum aurat wanita ke?”
“Tapi aspek kebersihan belum tentu lepas. Mana tahu ada najis melekat tanpa sedar. Lagi pula tadi awak masuk je terus solat, tak ambil air semayang, tak pakai telekung, solat gitu je.”
“Puan, saya yakin pakaian saya bersih. Saya masih ada..”
“Macam mana awak boleh yakin sangat?! Kat Malaysia ni, tempat..”
I’m late. I’m late. I’m late. ?
“Puan.. Sebelum keluar rumah, saya sudah berwudhu. Saya drive ambil anak di tadika kemudian terus drive ke sini. Satu-satunya tempat yang saya ada turun dari kereta adalah kawasan depan tadika anak. Tiada najis di situ.”
“Berjalan dari parking sampai ke surau, tiada najis kelihatan. Saya tiada pergi ke tandas, dan kalau saya perlu pergi tandas, saya tahu cara jaga pakaian saya daripada dicemari najis.”
“Macam mana awak yakin sangat ni?!! Awak mualaf kan?!!”
Kenapa tengking-tengking ni..
“Puan, dalam Islam ini semuanya sudah dinyatakan dengan jelas. Memang saya bukan lahir Islam, memang saya tak pandai agama, banyak benda saya tak tahu, tapi hal aurat ini saya cuba jaga sebaiknya sebab bagi saya ini adalah yang paling senang di antara semua perintah Allah untuk dibuat, diubah, selepas saya peluk Islam.”
“Saya yakin pakaian saya bersih, saya yakin wudhu masih ada, saya yakin saya tutup aurat ikut guideline, saya yakin solat saya sah tanpa telekung. Saya amal konsep pakaian solat-ready puan. Lagipun telekung-telekung dalam surau ini banyak yang kotor terutama di bahagian keliling muka, penuh make-up. Kepam. Saya tak selesa pakai.”
“Saya faham keprihatinan puan. Terima kasih kerana tegur. Saya kena pergi dah ni. Asssala..”
“Ustaz kata kalau ragu-ragu, was-was, mesti..”
Lambat dah ni.. ??
“Puan, ragu-ragu tak bertempat ini boleh jadi kita ni ada masalah dalaman yang kita tak sedar. Saya suggest puan pergi jumpa balik dengan ustaz tu atau rujuk kenyataan-kenyataan daripada mufti wilayah. Saya banyak rujuk penjelasan mufti. Assalamualaikum.”
Hampir cakap masalah mental sebab rimas juga bila kena tahan time kita tengah kejar masa settle-kan urusan, bawa 2 anak kecil lagi. Tapi fikir-fikir nanti jadi biadab pula. ?
Hmm..
I’m not trying to say that I’m better than anyone.
Dalam hidup ini, kita semua ada matlamat dan impian masing-masing.
Priority kita berbeza.
Bagi diri saya sendiri..
Saya fikir, apalah guna saya ni masuk Islam kalau tak nak ikut apa Islam ajar, tak nak jadi lebih baik..
Like I said, bagi saya, dalam banyak-banyak perkara yang saya perlu ubah supaya seiring dengan ajaran Islam, yang paling senang ialah aurat.
Saya ni dulu agak hardcore gamer juga. Main Gears of War tu mesti nak master skill itu ini, level up sampai max level. Score mesti nak setinggi-tinggi yang boleh. Lepas tu nak complete-kan semua mission, objective, task.. Aim for 100% completion.
Main console game, attitude begitu.
Peluk Islam, attitude acuh tak acuh pula.
(Ini saya cakap pasal diri sendiri bukan tuju kat semua gamers.)
I cannot say on behalf of all reverts.
But to me, my life as a revert is challenging.
Cerita pasal nenek masuk ward, worrying about her, wishing for her speedy recovery.. pun ada orang ‘tegur’.
Like kenapa la aku selalu jumpa orang yang jumud.
Kena jeling, kena tegur dengan nada sinis pasal solat tanpa telekung ni bukan perkara baru, selalu jadi tapi puan di atas ni yang paling agresif antara semua.
Mungkin Allah bagi ujian banyak-banyak untuk fast track belajar banyak perkara.
Mati itu pasti, bila-bila masa.
P.S. Saya tak marah atau terasa hati dengan puan itu. Niatnya baik.
P.P.S. Plus, we came from different background and living with different circle hence the different perspective.
BERIKUT PENJELASAN DARIPADA MUFTI WILAYAH
HUKUM SOLAT TANPA MENGENAKAN TELEKUNG
Hukum bagi wanita yang solat tanpa mengenakan telekung adalah sah sekiranya pakaian sedia adanya itu telah menutupi aurat. Tanpa menafikan bahawa penggunaan telekung juga menepati kaedah penutupan aurat secara syar’ie, namun sekiranya terdapat wanita yang pakaian sedia adanya telah cukup syarat penutupan aurat, maka pakaiannya yang sedia ada itu boleh dibawa solat meskipun tanpa mengenakan telekung.
Permasalahan mula timbul bila mana mengganggap bahawa telekung merupakan syarat sah solat sedangkan yang menjadikan solat itu sah sebenarnya adalah dengan menutup aurat.
Perlu diingatkan juga bahawa yang dimaksudkan dengan menutup aurat itu adalah dengan melabuhkan tudung sehingga menutupi bahagian dada, pakaian yang longgar tidak menampakkan bentuk tubuh dan juga tidak nipis sehingga boleh menampakkan warna kulit serta labuh hingga boleh menutupi bahagian kaki. Ketahuilah juga bahawa aurat wanita di dalam solat itu adalah auratnya juga ketika di luar solat.
Semoga dengan pencerahan ini, menjadikan kita beramal mengikut neraca syara’ yang sebenarnya. Wallahu a’lam.
Puasa Sunat Hari Putih – 13, 14 dan 15 Syawal bersamaan Isnin 18 Jun, Selasa 19 Jun dan 20 Jun 2019.
Puasa Isnin (13 Syawal) dapat 3 pahala: 1. Puasa Isnin 2. Puasa 6 3. Puasa Hari Putih
Kita disunnahkan berpuasa dalam sebulan sekurang kurangnya tiga hari. Dan yang lebih utama adalah melakukan puasa pada “ayyamul bidh”, iaitu pada hari ke-13, 14, dan 15 dari bulan Hijriyah (Qomariyah). Puasa tersebut disebut “ayyamul bidh” (hari putih) kerana pada malam-malam tersebut bersinar bulan purnama dengan sinar rembulannya yang putih.
“Jika kamu ingin berpuasa tiga hari setiap bulan, maka berpuasalah pada 13hb, 14hb, dan 15hb (dari bulan Hijriyah).”
(HR. Tirmidzi no. 761 dan An Nasai no. 2425. Abu ‘Isa Tirmidzi mengatakan bahawa hadis Hasan).
Dari Ibnu Milhan Al Qoisiy, dari ayahnya, ia berkata,
“Rasulullah SAW selalu memerintahkan kami untuk berpuasa pada ayyamul bidh yaitu 13hb, 14hb dan 15hb (dari bulan Hijriyah).” Dan baginda bersabda, “Puasa ayyamul bidh itu seperti puasa setahun.”
(Hadis Sahih riwayat Abu Daud no. 2449 dan An Nasai no. 2434)
“Rasulullah SAW biasa berpuasa pada ayyamul biidh ketika tidak musafir maupun ketika bersafar.”
(HR. An Nasai no. 2347. Al Hafizh Abu Thohir mengatakan bahawa sanad hadis ini Hasan.).
Namun dikecualikan berpuasa pada 13 Dzulhijjah (sebahagian dari hari Tasyriq). Berpuasa pada hari tersebut diharamkan. Oleh itu diganti ke 16 Dzulhijjah.
Referensi:
Al Fiqhu Al Manhaji ‘ala Madzhabil Imam Asy Syafi’i,
Penyusun:
Dr. Musthofa Al Bugho, dkk,
Perbitan:
Darul Qolam, cetakan kesepuluh, tahun 1431 H, hal. 357-358
Sumber kredit FB: Mohammad Haidzir Hussin
VIDEO KASHOORGA:
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Antara amalan sunat pada hari Jumaat adalah membaca surah Al-Kahfi, dan sebaiknya surah ini dibaca secara keseluruhan. Memetik daripada Maktabah Al Bakri terdapat hadis yang menyatakan pengkhususan membaca surah al-Kahfi secara keseluruhan pada hari Jumaat serta kelebihannya.
Ia berdasarkan hadith, daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَرَأَ سُوْرَةَ الكَهْفِ فِي يَوْمِ الجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ مَا بَيْنَ الجُمُعَتَيْنِ
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat Allah akan meneranginya dengan cahaya sepanjang masa di antara dua Jumaat.” Riwayat al-Hakim (3392), dan al-Baihaqi (5996)
Dalam riwayat lain, disebutkan bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya “Sesiapa membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat, maka dipancarkan cahaya untuknya sejauh antara dirinya dia dan Baitul ‘atiq.” Riwayat al-Darimi (3273).
Hadith ini dinilai sahih dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib (736)
Imam al-Syafie berkata : Dan aku suka bacaan Surah al-Kahfi pada malam Jumaat serta pada siang hari Jumaat berdasarkan riwayat yang menganjurkannya. (Lihat al-Umm, 1/239).
Membaca surah al-Kahfi pada hari dan juga malam Jumaat adalah sunat sebagaimana yang disebutkan oleh imam al-Munawi dalam menukilkan pandangan imam al-Syafi’e.
Imam al-Munawi menyebutkan,”Hal ini menunjukkan bahawa sunat untuk membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, begitu juga pada malamnya, sebagaimana telah ditunjukkan oleh al-Imam al-Syafi’e.” (Lihat al-Faidh al-Qadir, 6/198)
Antara kelebihan lain bagi sesiapa yang membaca surah al-Kahfi adalah dilindungi daripada fitnah Dajjal sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Darda’, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْفِ عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Sesiapa yang menghafaz sepuluh ayat daripada awal surah al-kahfi, dia akan dipelihara daripada Dajjal.” Riwayat Muslim (809), Abu Dawud (4323), dan Ahmad (27540)
Imam al-Nawawi menyebutkan di dalam syarahnya, “Dikhususkan awal surah ini kerana terdapat keajaiban dan tanda-tanda, maka sesiapa yang mentadabbur ayatnya maka dia tidak akan terkena fitnah dajjal”. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/93)
Justeru, sebagaimana yang ditunjukkan dalam nas, untuk mendapatkan fadhilat penuh bacaan Surah al-Kahfi pada malam Jumaat atau pada siang hari Jumaat, hendaklah dibaca keseluruhan surah tersebut sebanyak 110 ayat. Tidak mencukupi dengan sekadar membaca 10 ayat pertama atau 10 ayat terakhir sahaja.
Selain itu, Imam al-Ramli juga pernah ditanya tentang seseorang yang membaca separuh Surah al-Kahfi pada waktu malam dan separuh lagi pada waktu siang, adakah dia mendapat ganjaran yang dikhususkan atau tidak.
Lalu beliau menjawab : “Dia tidak mendapat ganjaran yang dikhususkan tersebut, akan tetapi dia hanya mendapat pahala asal (membaca surah daripada Al-Quran).” (Lihat Hasyiah al-Bujayrimi, 2/210; I’anah al-Talibin, 2/103).
Oleh itu, untuk mendapat ganjaran seperti yang disebutkan dalam hadith, seseorang itu hendaklah sama ada membaca Surah al-Kahfi keseluruhannya pada malam Jumaat, atau membaca keseluruhannya pada siang hari Jumaat, dan tidak dibaca secara separuh-separuh.