Puasa Sunat Hari Putih – 13, 14 dan 15 Syawal bersamaan Isnin 18 Jun, Selasa 19 Jun dan 20 Jun 2019.
Puasa Isnin (13 Syawal) dapat 3 pahala: 1. Puasa Isnin 2. Puasa 6 3. Puasa Hari Putih
Kita disunnahkan berpuasa dalam sebulan sekurang kurangnya tiga hari. Dan yang lebih utama adalah melakukan puasa pada “ayyamul bidh”, iaitu pada hari ke-13, 14, dan 15 dari bulan Hijriyah (Qomariyah). Puasa tersebut disebut “ayyamul bidh” (hari putih) kerana pada malam-malam tersebut bersinar bulan purnama dengan sinar rembulannya yang putih.
“Jika kamu ingin berpuasa tiga hari setiap bulan, maka berpuasalah pada 13hb, 14hb, dan 15hb (dari bulan Hijriyah).”
(HR. Tirmidzi no. 761 dan An Nasai no. 2425. Abu ‘Isa Tirmidzi mengatakan bahawa hadis Hasan).
Ads
Dari Ibnu Milhan Al Qoisiy, dari ayahnya, ia berkata,
“Rasulullah SAW selalu memerintahkan kami untuk berpuasa pada ayyamul bidh yaitu 13hb, 14hb dan 15hb (dari bulan Hijriyah).” Dan baginda bersabda, “Puasa ayyamul bidh itu seperti puasa setahun.”
(Hadis Sahih riwayat Abu Daud no. 2449 dan An Nasai no. 2434)
“Rasulullah SAW biasa berpuasa pada ayyamul biidh ketika tidak musafir maupun ketika bersafar.”
(HR. An Nasai no. 2347. Al Hafizh Abu Thohir mengatakan bahawa sanad hadis ini Hasan.).
Namun dikecualikan berpuasa pada 13 Dzulhijjah (sebahagian dari hari Tasyriq). Berpuasa pada hari tersebut diharamkan. Oleh itu diganti ke 16 Dzulhijjah.
Referensi:
Al Fiqhu Al Manhaji ‘ala Madzhabil Imam Asy Syafi’i,
Penyusun:
Dr. Musthofa Al Bugho, dkk,
Perbitan:
Darul Qolam, cetakan kesepuluh, tahun 1431 H, hal. 357-358
Sumber kredit FB: Mohammad Haidzir Hussin
VIDEO KASHOORGA:
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Ulamak Abu Abdul Rahman bin Abdullah Al-Mubarak Al-Hanzhali Al-Marwazi, seorang ulamak yang termahsyur di Makkah menceritakan kisah ini.
Suatu ketika, selepas selesai salah satu ritual haji, beliau berehat dan tidur. Dalam mimpinya beliau melihat dua malaikat turun dari langit, dia terdengar perbualan mereka, “Berapa ramai jemaah yang datang pada tahun ini?” Tanya malaikat itu kepada para malaikat lain.
“Tujuh ratus ribu,” jawab malaikat yang satu lagi.
“Berapa ramai orang-orang yang diterima hajinya itu?”
“Tiada satu pun”
Perbualan itu membuat Abdullah gementar ketakutan, “Apa?” Dia menangis dalam mimpi.
“Semua orang-orang ini datang dari belahan bumi yang jauh, dengan susah payah dan keletihan sepanjang jalan, mengembara melalui padang pasir yang luas, dan semua usaha mereka sia-sia?”
TERUS DENGAR PERBUALAN
Walaupun dengan rasa takut, dia terus mendengar cerita kedua malaikat tersebut.
“Namun ada seorang lelaki yang walaupun dia tidak datang untuk menunaikan haji, tetapi ibadah hajinya diterima dan semua dosanya telah diampunkan. Di atas keberkatan daripada lelaki itu, seluruh haji para jemaah diterima oleh Allah. “
“Bagaimana ia boleh terjadi begitu?”
“Itu adalah kehendak Allah”
“Siapakah orang tersebut?”
“Sa’id bin Muhafah, tukang kasut di kota Damsyik”
Mendengar ucapan itu, ulamak itu terus terjaga. Pulang daripada haji, dia tidak terus balik ke rumah, tetapi beliau pergi ke kota Damsyik, Syria.
Sampai di sana, beliau terus pergi ke tukang kasut yang disebut oleh malaikat dalam mimpinya. Hampir semua tukang-tukang kasut dia bertanya, apakah benar ada tukang kasut yang bernama Sa’id bin Muhafah.
MENCARI TUKANG KASUT
“Di sana, di pinggir bandar,” kata seorang tukang kasut sambil menunjukkan arahnya. Apabila di sana, ulamak tersebut menemui seorang tukang kasut yang berpakaian lusuh.
“Adakah benar anda bernama Sa’id bin Muhafah?”, tanya Ulamak
“Betul, siapakah tuan?”
“Saya Abdullah bin Mubarak”
Said terharu, “Tuan adalah ulama yang terkenal, kenapa tuan datang mencari saya?”
Sejenak ulamak itu agak terkeliru, di mana beliau ingin memulakan soalan, akhirnya beliau memberitahu perihal mimpinya itu.
“Saya ingin tahu, adakah apa-apa yang anda telah buat, sehingga anda layak mendapat pahala haji mabrur?”
“Wah! saya sendiri tidak tahu!”
“Beritahu saya bagaimana kehidupan anda selama ini”.
Sa’id bin Muhafah kemudian teringat, “Setiap tahun, setiap musim haji, saya selalu mendengar: Labbaika Allhuma labbaika….Labbaika la syarika laka labbaika… innal hamda…Wanni’mata… Laka wal mulka… La syarika laka…
Ya Allah, aku datang kerana panggilan -Mu. Tiada sekutu bagi -Mu. Segala pujian dan nikmat adalah kepunyaan-Mu dan kekuasaan-Mu. Tiada sekutu bagi -Mu.
Setiap kali aku mendengarnya, aku sentiasa menangis “Ya Allah aku rindu Mekah … Ya Allah aku rindu melihat ka’abah … Izinkan aku datang … Izinkan aku datang, ya Allah …”
ISTERI MENGIDAM
Oleh kerana itu, sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu setiap hari saya mengenepikan sedikit wang dari hasil kerja saya sebagai tukang kasut. Sedikit demi sedikit, saya kumpulkan. Akhirnya, tahun ini, saya mendapat 350 dirham, cukup untuk haji saya.
“Saya sudah bersiap-sedia untuk berangkat menunaikan haji”
“Tetapi anda batalkan?”
“Benar”
“Apa yang berlaku?”
“Isteri saya mengandung, dan sering mengidam. Ketika saya hendak berangkat pergi saat itu isteri saya terlalu ngidamkan sesuatu “
“Abang, awak terhidu bau masakan yang sedap ini?
“Ya sayang”
“Cubalah abang cari, siapakah yang memasak sehingga baunya lazat begini. Mintalah sedikit untuk saya “
“Tuan, saya mencari sumber bau masakan itu, ia datang dari sebuah pondok buruk berhampiran. Di situ terdapat seorang balu dan enam orang anaknya.”
HALAL BUAT KAMI, HARAM BUAT TUAN
Saya memberitahunya bahawa isteri saya mahu masakan yang dia masak, walaupun sedikit. Ibu tunggal itu diam melihat saya, sehingga saya mengulangi kata-kata saya.
Akhirnya dengan perlahan dia berkata, “Tidak boleh tuan”
“Saya sanggup membeli walau dengan harga yang tinggi,” kata saya tegas
“Makanan ini bukan untuk dijual, tuan,” katanya sambil berlinang air mata.
Saya bertanya kenapa?
Sambil menangis, wanita itu berkata, “Ini adalah daging halal untuk kami dan haram untuk tuan,” katanya.
DAGING KELDAI MATI
Dalam hati saya, “Bagaimana halal baginya, tetapi ia adalah haram untuk saya, padahal kita sama-sama Muslim? Kerana itu, saya menggesa beliau lagi, “Kenapa?”
“Sudah beberapa hari kami tidak makan. Di rumah tidak ada makanan. Hari ini kami ternampak seekor keldai mati, dan kemudian kami mengambil sebahagian dagingnya untuk dimasak “
“Bagi kami ini adalah daging yang halal, kerana jika kami tidak memakannya kami akan mati kebuluran. Tetapi bagi Tuan, daging ini haram”.
Mendengar kata-kata wanita itu, saya terus menangis, lalu saya pulang ke rumah.
Saya memberitahu isteri saya mengenai kejadian itu, dia pun menangis, kami akhirnya memasak makanan dan pergi ke rumah wanita itu tadi.
BERI WANG PERUNTUKAN HAJI
“Ini masakan untuk kamu”
Peruntukan wang haji sebanyak 350 dirham telah saya berikan kepada mereka.
“Gunakan wang ini untuk puan dan keluarga puan. Gunakanlah ia untuk modal berniaga, supaya puan sekeluarga tidak lapar lagi”
Ya Allah … di sinilah Hajiku …
Ya Allah… di sinilah Mekahku …
Mendengar kisah tersebut Abdullah bin Mubarak tidak dapat menahan air mata.
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya?”
Baginda menjawab: “Kamu bersedekah ketika kamu dalam keadaan sihat dan kikir, takut menjadi fakir dan berangan-angan menjadi orang kaya. Maka janganlah kamu menunda-nundanya hingga tiba ketika nyawamu berada di kerongkongmu. Lalu kamu berkata, si fulan punya ini dan si fulan punya itu. Padahal harta itu milik si fulan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis itu, sedekah yang paling besar pahalanya dilaksanakan ketika seseorang sedang sihat dan berasa sayang terhadap harta itu. Justeru, jangan ditunda untuk bersedekah sebelum ajal datang menjemput!
“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.” (Surah Al-Dhariyat, 51:56)
SUDAHKAH kita berinteraksi dengan al-Quran hari ini?
Pengalaman bekerja mengendalikan khidmat pelanggan dan komunikasi korporat di syarikat dahulu, menjadikan saya orang yang sibuk, sehingga jarang sekali saya menanyakan soalan tersebut. Walhal sebagai seorang Muslim, al-Quran sepatutnya menjadi way of life kita, menjadi ‘kunyahan’ dan dinikmati setiap hari. Hari ini, saya disedarkan saya sibuk kerana tidak membaca al-Quran setiap hari sedangkan dengan membaca al-Quranlah saya mampu menguruskan kesibukan saya dengan baik. Yang membuat saya sibuk selama ini adalah kerana tiadanya al-Quran dalam dada dan jiwa. Yang membuat saya sibuk sebelum ini adalah masa yang dipergunakan untuk mengejar cita-cita dunia dan wang ringgit serta harta.
Jangankan kepada orang yang sibuk dengan urusan kehidupannya sendiri kepada orang mukmin di tengah medan perang pun tetap diperintahkan agar membaca al-Quran sebagaimana firman ALLAH: “…Dia memberikan keringanan kepadamu, kerana itu bacalah apa yang mudah (bagimu) daripada al-Quran, Dia mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit, dan yang lain berjalan di bumi mencari sebahagian kurniaan ALLAH, dan yang lain berperang di jalan ALLAH, maka bacalah apa yang mudah (bagimu) daripada al-Quran dan laksanakanlah solat, tunaikanlah zakat, dan berikanlah pinjaman kepada ALLAH pinjaman yang baik…” (Surah Muzammil, 73: 20)
Daripada terjemahan di atas saya belajar bahawa ada perintah dari ALLAH SWT untuk baca al-Quran dalam tiga waktu yang sempit iaitu ketika sakit, golongan yang berjalan di bumi mencari kurniaan ALLAH dan golongan yang berada di medan perang. Walaupun berjihad, mereka sentiasa akrab dengan al-Quran, apatah lagi buat diri kita yang sihat dan tidak berada di medan perang. Saya juga belajar orang yang berada di dalam dakapan al-Quran, tidak hanya diberi jalan kebaikan, petunjuk dan solusi tetapi al-Quran juga akan menguruskan hati kita, cita-cita dan hawa nafsu kita.
Jadikanlah al-Quran sebagai tabir rahsia alam dan pintu pembuka keberkatan hidup kita. ALLAH akan memudahkan segala urusan, Insya-ALLAH. Mintalah, nescaya ALLAH akan memberimu. Saya pernah melalui proses panjang untuk memotivasikan diri dan mencari cara bagaimana untuk bahagia berhadapan dengan kehidupan dan pekerjaan. Saya mencarinya di seminar-seminar besar yang dihidangkan oleh pakar motivasi luar negara, membaca buku tulisan Barat dan sanggup menghabiskan duit setiap bulan untuk hadiri seminar.
Secara tidak sedar kerangka fikir dibentuk oleh cara motivasi Barat
Ada kalanya terjerit-jerit, terlompat-lompat, berlaku percampuran lelaki perempuan dan motivasi yang bersifat sangat keakuan. Kebahagiaan fizikal dan material menjadi motivasi di dalam mencari kejayaan. Saya melukis pelan mimpi dan membiarkan ia masuk ‘menghantui’ saya. Ya, benar, ALLAH berikan. Namun, suatu saat saya berfikir, itukah tujuan utama hidup saya di dunia? Apakah sebetulnya yang ALLAH mahukan lewat
ayat-ayat-Nya?
ALLAH berfi rman: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.” (Surah Al-Dhariyat, 51:56)
Maka benarkah apa yang saya lakukan selama itu telah memanifestasikan ibadah saya kepada ALLAH? Apakah tindak-tanduk atau ucapan saya melambangkan cinta yang diredai oleh ALLAH? Kerangka fikir saya tidak didasari oleh apa yang ada di dalam al-Quran, astaghfi rullah hal azim.
Persekitaran, rakan-rakan, bahan yang kita baca, kursus yang kita hadiri, sedikit sebanyak mempengaruhi cara kita memandang kehidupan. Berada dalam persekitaran yang mementingkan hubungan sosial atas nama networking atau material, mendorong saya untuk terpalit sama. Hati itu sangat mudah disentuh dan dikuasai oleh suasana yang kita diami. Ada waktunya terjadi pertembungan yang sukar dimengerti, kita keliru antara pertembungan dan kemahuan yang ingin diikuti. Hati inginkan apa yang terpampang di hadapan mata namun jauh di sudut hati yang paling dalam, ada yang kita cari.
Ketika bekerja di sebuah syarikat yang terlibat dengan aktiviti melobi projek dan entertainment, walau tidak terlibat secara terus, saya menjadi sebahagian daripada kumpulan berkenaan, menyaksikan ada garis agama yang dilanggar dalam usaha lobi melobi. Saat bekerja juga, ada waktunya tindakan kita begitu terpisah dengan agama. Ramai dalam kalangan ketua yang saya temui, mereka tidak berani untuk mengimplementasikan apa yang ada di dalam al-Quran ke dalam syarikat. Walaupun mereka memegang kuasa yang mampu merubah sesuatu. Di mulut, kita mengatakan yakin pada apa yang ALLAH gariskan di dalam al-Quran, namun dalam implementasi, kita sesungguhnya masih ragu-ragu. Justeru itu saya kira pentingnya kita wujudkan persekitaran atau ekosistem yang kondusif sehingga kita berasakan bahawa al-Quran adalah rujukan terpenting dalam kehidupan.
Pentingnya kita mengarusperdanakan al-Quran sehingga ia menjadi budaya atau cara hidup kita. Mulakan perubahan bermula daripada diri, keluarga dan jabatan kita sehingga persekitaran kita ikut berubah dengannya. Bersama-sama kita siapkan suasana dan diri kita untuk hidup dalam dakapan al-Quran, di rumah, di sekolah, di pejabat dan juga komuniti. Kerana inilah jalan yang indah dan teduh, saat jiwa terpaut dan berasa rindu kepada al-Quran.
Moga kita menjadi pencinta al-Quran yang hidup berlandaskan al-Quran; tidak membaca bahan lain sebelum membaca al-Quran, tidak berdebat tanpa wahyu di dalam kata-kata, tidak bertindak tanpa petunjuk wahyu dan sabda Nabi Muhammad SAW dan tidak juga merujuk kepada ilmuwan Barat yang hakikatnya mereka sendiri keliru menjalani kehidupan kerana ketiadaan wahyu dalam akal dan tindakan mereka. Moga kita menjadi manusia yang beruntung saat al-Quran menjadi penolong buat diri, keluarga dan ummah. Sama-sama lakukan perubahan melalui interaksi dengan al-Quran; baca, faham dan amalkan. Lakukan perubahan dengan apa yang kita mampu.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Setiap kali solat tak pernah lupa untuk berdoa, tapi dek kerana mengejar waktu doa dibuat dalam tergesa-gesa. Hanya lafaz di mulut tapi tidak menghayatinya.
Mungkin juga kerana perkara ini doa kita belum makbul. Hakikatnya ketika berdoa itu ada adabnya.
Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Berdoalah kepada Allah dalam keadaan yakin akan dikabulkan dan ketahuilah bahawa Allah tidak mengabulkan doa daripada hati yang lalai.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Berikut adalah adab-adab yang perlu dititik beratkan ketika berdoa, moga doa kita dimakbulkan satu hari nanti.
Antara adab berdoa, seseorang itu perlulah meminta kepada Allah SWT dalam keadaan dirinya bersangka baik dengan-Nya agar permintaan itu dimustajabkan. Demikian juga, seseorang itu perlulah berdoa dalam keadaan penuh harap (agar doa dimustajabkan) dan juga perasaan takut (dari doa tertolak). Ini berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya: Sesungguhnya mereka itu (para Nabi) sentiasa bersegera dalam melakukan perkara kebaikan. Dan mereka berdoa kepada Kami dalam keadaan penuh harap dan rasa takut. (Surah al-Anbiya’: 90)
Ayat di atas ini sebelumnya menceritakan berkenaan beberapa orang para Nabi dan juga permintaan yang mereka lakukan. Nabi Ayyub AS berdoa kepada Allah SWT untuk memberikan kesembuhan kepada penyakit yang menimpanya, lalu Allah mustajabkan.
Nabi Yunus AS berdoa supaya diselamatkan dari musibah yang menimpa dirinya saat berada di dalam perut ikan Nun, kemudian Allah mustajabkan doanya. Berikutnya, Nabi Zakaria AS juga berdoa supaya dikurniakan zuriat, lalu Allah SWT memustajabkannya dengan mengurniakan Nabi Yahya sebagai anak.
Ketiga-tiga para Nabi ini dimustajabkan doa mereka kerana berdoa dalam keadaan penuh harap dan takut kepada Allah SWT.
Begitu juga berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan. Dan ketahuilah kamu bahawa Allah SWT tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa.
Riwayat al-Tirmizi (3479)
Antara adab dalam berdoa adalah dengan memuji Allah SWT sebelum meminta sebarang hajat. Sebagai contoh mudah adalah dengan melihat kepada bacaan surah al-fatihah yang dibacakan oleh seseorang.
Ia berdasarkan sebuah riwayat yang panjang daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW menceritakan berkenaan bacaan al-Fatihah di dalam solat. Lalu Allah SWT membahagikan solat kepada dua bahagian, untuk diri-Nya dan untuk para hamba-Nya.
Jelas dalam surah al-Fatihah, terdapat 5 pujian daripada ayat pertama hinggalah ke ayat yang ke lima kepada Allah SWT. Kemudian pada ayat yang keenam, ia diikuti dengan permintaan atau doa yang pertama iaitu:
اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ
Maksudnya: Berilah kami hidayah kepada jalan yang lurus. (Surah al-Fatihah: 6)
Demikian juga seperti yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam al-Quran yang menceritakan berkenaan doa Nabi Ibrahim A.S, baginda memulakan dengan katanya:
Maksudnya: Dialah Tuhan yang telah menciptakan aku maka Dia jugalah yang memberikan petunjuk. Dialah Tuhan yang memberi makan dan minum kepadaku. Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang memberikan kesembuhan. Dan Dialah Tuhan yang mematikan aku kemudian menghidupan semula (diriku). Dan Dia jugalah Tuhan yang sangat aku harapkan supaya Dia mengampunkan kesalahan-kesalahanku pada hari akhirat. (Surah al-Syu’ara: 78 – 82)
Kesemua ungkapan di atas ini, jika diteliti ia adalah suatu puji-pujian seorang hamba kepada Tuhannya. Maka Nabi Ibrahim AS tidak terhenti sekadar lima pujian ini, bahkan baginda menyambungnya dengan lima buah permintaan kepada Allah SWT melalui firman-Nya:
Maksudnya: Tuhanku, berilah hikmah kepadaku dan golongkanlah diriku bersama dengan orang-orang yang soleh. Berilah kepadaku lisan yang benar buat orang-orang yang terkemudian. Dan jadikanlah aku di antara mereka yang mewarisi syurga al-na’im. Dan ampunkanlah bapaku, sesungguhnya dia tergolong dalam kalangan mereka yang tersesat. Dan janganlah Kau hinakan aku pada hari kebangkitan. Surah al-Syu’ara’ (83-87)
Justeru, dapat kita fahami bahawa petunjuk qurani di dalam berdoa adalah dengan memulakannya dengan ucapan pujian-pujian kepada Allah SWT.
Sebagai tambahan, cukuplah kami nyatakan di sini dua hadis untuk melengkapkan jawapan di atas.
Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Siapa yang suka Allah terima doanya ketika kesukaran dan kepayahan, maka hendaklah dia membanyakkan doa pada masa kemewahan dan kesenangan.” Riwayat al-Tirmizi (3382) dan Abu Ya’la
Daripada Abi Hurairah R.A katanya, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Berdoalah kamu kepada Allah dalam hal keadaan kamu yakin dengan penerimaan Tuhan. Ketahuilah bahawa Allah SWT tidak menerima doa daripada hati orang yang lalai.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?