
Dalam dunia hari ini, saman fitnah bukan lagi sesuatu yang asing. Fitnah tidak hanya tersebar dari mulut ke mulut, tetapi kini mampu menular sepantas kilat melalui media sosial dan platform digital. Sekali nama seseorang dijatuhkan, reputasi yang dibina bertahun-tahun boleh musnah dalam sekelip mata.
Disebabkan fenomena ini juga, semakin banyak kes saman fitnah dilakukan bukan sahaja dalam kalangan ahli politik atau usahawan, tetapi juga individu biasa. Maka timbul persoalan pentingapakah hukum saman fitnah dari perspektif syarak?
Fitnah dalam Islam merupakan dosa besar yang sangat berat. Perbuatan fitnah termasuk dalam kategori dosa besar yang tidak mendapat pengampunan Allah S.W.T selagi tidak diselesaikan sesama manusia. Justeru, setiap Muslim wajib berhati-hati dalam menyebarkan berita, apatah lagi jika ia belum pasti kesahihannya.
Dalam konteks undang-undang Malaysia, Akta Fitnah 1957 membenarkan individu yang difitnah menuntut ganti rugi bagi kerosakan reputasi. Plaintif perlu membuktikan bahawa kenyataan tersebut bersifat fitnah, merujuk kepadanya, dan telah disebarkan kepada pihak ketiga. Jika terbukti, mahkamah boleh mengenakan ganti rugi terhadap pemfitnah mengikut budi bicara.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dalam perbahasan hukum Islam, saman fitnah boleh dikaitkan dengan mudarat maknawi iaitu kerosakan yang tidak berbentuk fizikal seperti kehormatan dan maruah seseorang.
Ulama silam berbeza pandangan. Jumhur ulama berpendapat tiada ganti rugi bagi kerosakan maknawi kerana ia tidak boleh dinilai dengan harta. Namun, ulama kontemporari seperti Dr. Wahbah al-Zuhaili berpandangan bahawa pampasan bagi kerugian maknawi adalah diharuskan, kerana Islam menegah segala bentuk kezaliman dan menuntut agar kemudaratan diperbaiki.
Beliau menjelaskan bahawa hakim boleh menjatuhkan denda atau hukuman ta‘zir terhadap pelaku fitnah bagi memulihkan keadilan serta mendidik masyarakat supaya lebih berhati-hati.
Fitnah hari ini tidak lagi sekadar kata-kata di jalanan; ia boleh menjadi senjata media yang merosakkan kerjaya, rumah tangga, dan kehormatan seseorang. Maka, saman fitnah
menjadi salah satu cara yang sah dari segi syarak untuk menuntut hak dan menegakkan keadilan.Tindakan ini bukan bertujuan membalas dendam, tetapi sebagai pendidikan moral agar masyarakat lebih berdisiplin dalam menjaga tutur kata dan tidak meremehkan dosa fitnah. Ia juga bertepatan dengan maqasid syariah — menjaga maruah (hifz al-‘ird) dan keharmonian hidup bermasyarakat.
Secara kesimpulannya hukum saman fitnah menurut syarak adalah harus, berdasarkan pandangan ulama kontemporari. Ia termasuk dalam usaha menegakkan keadilan, mendidik masyarakat agar tidak memandang ringan dosa fitnah, serta memelihara kehormatan insan.
Ingatlah, lidah dan jari yang menulis boleh menjadi asbab seseorang mendapat dosa yang berpanjangan. Maka berhati-hatilah dalam setiap perkataan, sama ada di dunia nyata atau di alam maya.
“Dan janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya; sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya akan dipertanggungjawabkan.” (Surah al-Isra’: 36)