Hukum Senaman Pilates Adakah Haram Macam Yoga?

Share

Hukum senaman pilates adakah sama haram macam yoga? Hari ini, ramai umat Islam khususnya orang Melayu yang aktif melakukan senaman moden seperti Pilates.

Namun, timbul persoalan apabila ada yang mengaitkan Pilates dengan yoga kerana pergerakannya kelihatan hampir sama.

Sedangkan kita tahu, Muzakarah Fatwa Kebangsaan telah mengharamkan senaman yoga kerana kaitannya yang rapat dengan ajaran agama Hindu.

Islam melarang umatnya menyerupai agama lain sama ada dalam pertuturan, perbuatan atau pakaian. Dalam sebuah hadis daripada Ibn Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” (Riwayat Abu Daud)

Hukum tentang senaman pilates ini dirungkai oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Hukum senaman pilates

Persoalannya, adakah hukum melakukan Pilates juga sama seperti yoga? Atau ia sebenarnya dibenarkan dalam Islam?

Menurut pakar, Pilates adalah senaman moden yang dicipta oleh Joseph Pilates pada abad ke-20, bertujuan untuk menguatkan otot, meningkatkan kestabilan tubuh, mencantikkan bentuk badan, mengurangkan sakit pinggang, menurunkan berat badan, dan menajamkan fokus. Ia hanyalah senaman fizikal tanpa kaitan dengan unsur kerohanian agama lain.

Yoga pula berasal dari falsafah Hindu dengan tujuan menyatukan diri dengan ‘tuhan’ melalui meditasi, bacaan mantera, dan pergerakan tertentu. Inilah sebab utama ia diharamkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada tahun 2008 kerana mengandungi unsur keagamaan yang boleh merosakkan akidah.

Syarat & Garis Panduan Senaman Pilates

Ulama menjelaskan, senaman seperti Pilates hukumnya harus selagi:

  • Dilakukan di tempat tertutup.
  • Tidak berlaku percampuran lelaki dan perempuan.
  • Tiada bacaan atau upacara yang bercanggah dengan syarak.

Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

الحُكْمُ يَدُورُ مَعَ عِلَّتِهِ وُجُودًا وَعَدَمًا

“Sesuatu hukum berlegar bersama sebabnya ketika ia ada atau tiada.”

Jabatan Fatwa Mesir turut menjelaskan, pergerakan senaman semata-mata adalah harus jika tujuannya untuk kesihatan, dan tidak dikaitkan dengan konsep atau amalan agama lain.

Kesimpulannya, pilates dibenarkan dalam Islam kerana ia bebas daripada unsur keagamaan Hindu. Namun, umat Islam perlu berhati-hati memilih bentuk senaman yang diamalkan. Jika senaman tersebut ada bacaan mantera, meditasi keagamaan, atau unsur spiritual yang bercanggah dengan akidah, maka ia wajib dielakkan.

Islam menggalakkan umatnya menjaga kesihatan tubuh, tetapi dalam masa sama memelihara kesucian akidah. Jangan kerana ingin sihat, kita terjerumus dalam perkara yang memudaratkan iman.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Baca Lagi: Hukum Senaman Yoga Haram!

Menarik: Wanita Berzumba Di Khalayak Ramai Haram Walau Bertudung, Pakaian Longgar

 

Related Post
Published by
Team Kashoorga